27 Dis 2010

[Bergambar & Video] Tahniah Malaysia, Teruskan Perjuangan!

Piala AFF-Suzuki: Malaysia Bawa Kelebihan Agregat 3-0 Ke Indonesia

Malaysia membawa bekalan selesa ke Jakarta selepas menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Ahad malam.

Mohd Safee Mohd Sali menjadi wira negara apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-59 dan 71, sementara Mohamad Ashari Samsudin menyumbang gol pada minit ke-67.

Perlawanan timbal balik akhir akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi menentukan siapa yang bakal menjulang kejuaraan edisi kali ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, Malaysia bermula garang dengan melakukan asakan bertali arus ke arah gawang Indonesia pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan yang selamat.

Skuad 'Harimau Malaya' dan skuad 'Garuda' masing-masing melakukan asakan demi asakan namun buntu dalam pencarian gol sehingga wisel rehat dibunyikan.

Selepas rehat, perlawanan yang baru bermula 10 minit dicemari dengan insiden pancaran laser oleh penyokong yang menyebabkan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl memprotes kepada pengadil, Toma Masaaki dari Jepun, dan akibatnya permainan terhenti selama lima minit bagi meredakan keadaan yang tegang di kalangan penyokong kedua-dua negara.

Sepanjang tempoh itu, keadaan dikeruhkan lagi apabila penyokong Indonesia mula membaling botol air mineral ke dalam padang dan diikuti oleh letupan bunga api yang dihalakan ke dalam padang oleh penyokong Malaysia.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pasukan mula mempamer corak permainan yang lebih agresif namun anak didik bekas pemain kebangsaan, K. Rajagobal nyata lebih unggul apabila Safee Sali menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-59 hasil daripada lorongan bola yang diterima daripada Norshahrul Idhlan Talaha dalam kotak penalti.

Lapan minit kemudian, gawang Indonesia yang dikawal Markus Harison Rihihina sekali lagi dibolosi apabila Mohamad Ashari Samsudin, yang menggantikan Amirulhadi Zainal, membuat rembatan jarak dekat kira-kira dua meter dalam kotak penalti hasil umpanan Norshahrul yang terdahulu melepasi tiga benteng lawan.

Asakan bertubi-tubi pemain Malaysia sekali lagi berhasil menembusi gol Indonesia apabila Mohd Safee menanduk masuk bola hasil hantaran daripada luar kotak penalti oleh Mahalli Jasuli pada minit ke-71.

Tersentak dengan jaringan tiga gol, Indonesia cuba bangkit untuk mencari gol tunggal namun tidak berjaya hingga tiupan wisel penamat.

Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian anak buahnya.

"Pada separuh masa pertama pemain bermain dengan cara bertahan dan menukar taktik selepas rehat. Pada masa rehat saya beritahu pemain bahawa inilah sahaja peluang pemain untuk mendapat bekalan selesa ke Jakarta nanti.

"Saya berbangga dengan pencapaian malam ini walaupun perlawanan malam ini dicemari insiden yang kurang disenangi oleh para penyokong, namun pemain negara tidak hilang fokus," katanya.

Sementara itu Riedl berkata perlawanan timbal balik akhir merupakan tugas yang berat bagi pemainnya kerana mereka perlu mengatasi agregat gol yang besar untuk merangkul gelaran juara Piala AFF-Suzuki.

"Gol pertama Malaysia memulakan segalanya apabila pasukan Indonesia mulai hilang fokus terhadap permainan. Saya rasa peluang agak tipis untuk menang di Jakarta, tapi kami perlu ambil pelbagai risiko dalam perancangan nanti," katanya.

Bagi Mohd Safee yang menjadi penjaring terbanyak pada kejohanan ini dengan empat gol, katanya beliau tidak menyangka dapat menyumbang dua lagi gol pada malam ini.

"Saya sangat yakin dengan persembahan saya dan rakan-rakan yang lain dan kami akan membawa momentum ini Rabu nanti di Jakarta," kata Mohd Safee, sambil menambah beliau berhajat untuk bermain dalam liga yang kompetitif di Indonesia selepas ini jika diberikan peluang. -- BERNAMA

Laporan Padang:

Minit ke 7:- Sepakan sudut pertama buat malaysia, tetapi ada kekecohan disitu, ada orang main laser hijau kat keeper indonesia.

Minit ke 17 :- Percubaan pertama dari Kunalan. Dengan mudah keeper indonesia menangkap bola.

Minit ke 22:- Pemain indonesia tersilap membuat hantaran dan peluang buat Safiq rahim membuat sepakan, tetapi tidak gol. Rugi yang amat!

Mint ke 25:- Sepakan sudut buat indonesia oleh Okto.

Minit ke 27:- Percubaan yang merbahaya dari indonesia, hantaran cantik oleh gonzales, ke bos toni. Sepakan kencang melintang. Nasib baik tak bol.

Minit ke 31:- Asra dilayangkan kat kuning dan sepakan percuma buat indonesia. Jarak lebih kurang 21 meter. Merbahaya disitu.

Minit ke 37:- Percubaan dari Okto, pemain indonesia, sekali lagi gawang malaysia hampir diuji. Nasib baik dengan cepat membuat clearance dengan awal.

Minit ke 43-44:- Sepakan sudut buat malaysia.

Minit ke 45: 2 minit masa tambahan, kekasaran berlaku okto dibengkes.

Tamat buat separuh masa pertama. Tiada jaringan dihasilkan.

Separuh masa kedua :-

Minit ke 46 :- Sepakan dari Gonzales, masuk ke gawang Malaysia, gooll!! TETAPI offside.

Minit ke 52 :- Gunalan dibengkes. Sepakan percuma buat malaysia. Jarak lebih kurang luar sedikit petak penalti. Kekecohan berlaku, ada orang main laser hijau dekat penjaga gol Indonesia. Keadaan kecoh sedikit.

Perlawanan dihentikan seketika, sedang mencari orang yang main laser ?

Minit ke 60 :- Goool oleh Safee Ali. Malaysia 1-0 indonesia.

Minit ke 65:- Safee Ali terlepas peluang untuk gol, diselamatkan oleh pertahanan indonesia.

Minit ke 67:- GOOOOLLL lagi oleh Shaari, sepakan yang sangat kencang. Malaysia 2-0 indonesia.

Minit ke 69:- Percubaan yang menarik dari Malaysia sekali lagi, dari Safiq Rahim.

Minit ke 71 :- Giliran Indonesia membuat sepakan percubaan , tetapi tersasar oleh Arif.

Minit ke 73 :- Gooolll lagi hasil dari tandukan oleh Safee Ali. Malaysia 3-0 Indonesia.

Minit ke 78:- Itu dia Safee ali, satu lagi percubaan sepakan yang kencang. tetapi tak gol lah, sepatutnya bagi kat safiq rahim sebelah kiri, dah kosong kot.

Minit ke 80:- Sepakan percuma buat Indonesia, sepakan oleh Gonzales. Tersasar jauh!

Minit ke 83:- Sekali lagi sepakan percuma buat Indonesia, diselamatkan oleh penjaga gol khairul fahmi

Minit ke 90:- Masa tambahan sebanyak 8 minit. Disebabkan insiden sapa yang main laser tadi huh!

Minit ke 94:- Kesilapan dari pertahanan indonesia, dan Kunalan mendapat peluang, one by one sekarang nie, tetapi macam dibengkes oleh penjaga gol indonesia. Tak dapat lah pulak sepakan penalti.

Minit ke 98:- Indonesia mendapat sepakan percuma, sedikit lagi dalam kotak penalti. Pertahanan malaysia terus kental.

Minit ke 99:- Masa perlawanan tamat, tahniah diucapkan buat pemain Malaysia. -zikrihusaini


Statistik perlawanan Malaysia menentang Indonesia di Bukit Jalil.



Gambar















1 ulasan:

Benci Rasuah berkata...

Apabila sukan tanah air khususnya bola sepak kembali menyinar kecermerlangnya sehingga membawa kemenangan adalah saat yang dinantikan oleh peminatnya.

Sukan bola sepak mampu menyatukan semua kaum dalam malaysia yang berbeza idealogi budaya, agama dan juga politik.

Tapi malangnya sukan ini telah dicemarkan dengan perbuatan rasuah yang juga diamalkan oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional. Menjadikan sukan ini hilang serinya sehingga setiap kali ada pertandingan akan menimbulkan persepsi buruk sangka.

Sukan bola sepak di Malaysia masih dibayangi perbuatan rasuah dan sikap hipokrit sebahagian dari kakitangan FAM yang tidak mahu meletakkan jawatan walaupun kehadirannya dalam barisan kepimpinan hanyalah sebagai tungul kayu reput, penyebok, menyemak dan makan gaji buta saja.

Perlu diingatkan kepada semua peminat bolasepak Malaysia, kemenangan yang diraih dalam pertandingan AFF-Suzuki hanya sebentar dan paling sesuai diraikan ketika pemain masih dalam padang lagi.

Tapi apabila pemain mula melangka keluar padang... kemenangan itu sudah jadi basi. Peminat tidak boleh syok sendiri mengenang kemenangan itu berhari dan berminggu kecuali mereka terbabit sebagai kaki judi bolasepak.

Peminat mesti setia dan sedia memberi sokongan padu kepada pasukan yang disokong. Pemain pula perlu mencari kemenangan baru yang lain agar boleh diraikan lagi sebagai pemain dan pasokan bolasepak yang handal.

Jangan dihebohkan kemenangan "HANGAT-HANGAT TAHI AYAM..."



.