14 Dis 2010

Pengawal Keselamatan Curi Wang ATM RM1 juta

Pengawal curi wang ATM

HAMZA (kiri) dan Soh meneliti barang kes yang dirampas daripada 13 along di IPK Sabah di Kepayan, semalam. RM844,850 diambil sedikit demi sedikit dalam tempoh 2 tahun

KOTA KINABALU: Ibarat harapkan pagar, pagar makan padi – dua pegawai syarikat keselamatan yang diamanah memasukkan wang ke dalam mesin juruwang automatik (ATM) ditahan kerana disyaki mencuri RM844,850 dengan mengambil sedikit demi sedikit daripada keseluruhan wang dimasukkan itu.

Suspek berusia 23 dan 32 tahun itu dipercayai mengambil antara RM3,000 hingga RM10,000 setiap kali memasukkan wang ke dalam ATM di empat stesen minyak di Lahad Datu sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatan mereka akhirnya terbongkar apabila audit dalaman bank itu berjaya mengesan kehilangan wang berkenaan dan membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan mereka.

Kedua-dua mereka ditahan pada 19 November lalu berikutan laporan polis dibuat pegawai bank berkenaan sehari sebelum itu dan didakwa Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata suspek dipercayai mengambil wang itu secara berdikit-dikit ketika memasukkannya ke dalam ATM bagi mengelakkan kehilangannya disedari pihak pengurusan bank.

“Audit dalaman bank mengesan kehilangan wang berkenaan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada 18 November. Keesokannya, polis menahan tujuh pegawai syarikat itu. Bagaimanapun, lima daripada mereka dibebaskan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Shariff Abdul Wahid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Superintendan Soh Hock Seng.

Terdahulu beliau menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kepayan dekat sini.

Kedua-dua suspek didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah, Rabu lalu tetapi mengaku tidak bersalah. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Sementara itu, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah dalam dua operasi berasingan di Sepanggar dan Penampang, masing-masing pada 8 dan 10 Disember lalu.

Hamza juga berkata, JSJK IPK Sabah menahan 13 lelaki dipercayai along dalam operasi di bandar raya ini, Kunak, Tawau dan Papar bulan lalu.

Katanya, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka kerana kesalahan memberi pinjaman tanpa lesen. -BH


2 ulasan:

zaid ampang berkata...

Pandai pengawal keselamatan tu kerana mengamalkan Sedikit sedikit lama lama jadi bukit ! Tapi aku heran awat dah 2 tahun baru sedar ? Oh mungkin audit dilakukan setiap 2 tahun ye ? Patut la.....

Tanpa Nama berkata...

Tahniah atas kejayaan JSJ IPK Sabah menangkap 13 Ah Long dan buka 16 kertas siasatan. Tak seperti Kuala Terengganu,macam dah sampai ke tahad buruk hingga ke usus: http://www.youtube.com/watch?v=YllxLHd66zs