29 Dis 2010

Mayat Lelaki Ditemui Tersandar Di Dalam Kereta Buruk

Mayat lelaki ditemui dalam kereta buruk

Gambar: Beberapa anggota Polis dari Ibu Pejabat Polis Kuantan mengangkat mayat Rosmadi Rahim yang ditemui dalam kereta buruk di Kampung Tanah Putih.

KUANTAN: Mayat seorang lelaki ditemui tersandar di bahagian tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta buruk di bengkel tidak berpenghuni di Tanah Putih di sini, petang semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata mangsa yang dikenali sebagai Rosmadi Rahim, 30, dijumpai dalam keadaan tidak berbaju serta berbau, dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.

Beliau berkata, mangsa kali terakhir dilihat beberapa kenalannya pada Khamis lalu.

"Ketika itu mangsa ada mengadu demam kepada kenalannya, sebelum meminta
mereka menghantarnya ke sebuah bengkel kereta lama di Tanah Putih," katanya hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mangsa ditemui mati pada 5 petang semalam oleh orang awam di kawasan itu.

Polis sedang menyiasat punca kematian, namun ia dipercayai tiada unsur jenayah, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: