23 Nov 2010

Persatuan Pengguna Bantah Projek Arowana Di Bukit Merah Perak

Indah tapi dibantah

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Perak menghentikan segera projek ternakan ikan arowana yang dimulakan sedekad lalu di Bukit Merah, dekat Bagan Serai kerana dikatakan menjejaskan tanaman padi.

Presidennya, S M Mohamed Idris berharap kawasan sawah padi yang ditukar guna untuk ternakan arowana dibaik pulih untuk membolehkannya digunakan semula bagi tanaman padi.

“Langkah itu wajar kerana ia bukan sahaja menjejaskan matlamat utama bekalan air tasik Bukit Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah Kerian, malah perusahaan berkenaan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan serta boleh mencemarkan alam sekitar.

“Projek itu bermula pada 2000 dalam skala kecil iaitu tidak sampai 10 pengusaha tetapi kini diusahakan 70 pengusaha melibatkan 143 hektar tanah sawah (355 ekar) dengan pembinaan 3,808 kolam,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, projek itu dibantah pada peringkat awal pelaksanaannya oleh pesawah akibat masalah kekurangan air untuk tanaman padi setelah disedut atau dipam oleh pengusaha ternakan ikan, namun tiada perhatian dan tindakan diambil oleh mana-mana pihak.

“CAP mendapati projek ini yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan,” katanya.

Selain itu, beliau bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah itu akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.

“Dalam tinjauan yang dibuat CAP dan difahamkan oleh petani terlibat, kegiatan menyedut atau mengepam air dari saliran pertanian melalui Terusan Selinsing dan Terusan Bagan Serai terus dilakukan oleh pengusaha ternakan ikan itu,” katanya.

Mohamed berkata, kegiatan pengambilan air secara berleluasa turut menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian gagal membenterasnya dengan berkesan.

“Pesawah terbabit mengadu kepada CAP akibat kekurangan bekalan air, pokok padi terencat pembesarannya, buah padi kurang berisi, serangan makhluk perosak dan ancaman rumput menjadi semakin serius dan hasil pendapatan mereka merosot secara mendadak.

“Kajian JPS antara 15 Ogos hingga 26 Oktober 2010 menunjukkan takungan air di Tasik Bukit Merah menurun 6.1 sentimeter sehari,” katanya.

“Air Tasik Bukit Merah bukan sahaja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan melibatkan sawah seluas lebih 24,000 hektar, tetapi menjadi kegunaan harian 200,000 penduduk di Semanggol, Selinsing, Bagan Serai, Beriah, Parit Buntar, Tanjong Piandang dan Kuala Kurau.

Sementara itu, wakil petani Bagan Serai dan Semanggol, Md Rasid Saliman berkata, projek ikan arowana menjejaskan hasil pertaniannya sebanyak 50 peratus sejak diusahakan 10 tahun lalu.

“Pesawah tidak mahu projek ikan arowana diteruskan kerana ia menjejaskan kami," katanya. -SH

Tiada ulasan: