23 Nov 2010

Ganti Tambak Johor - Sultan Johor Ulangi Gesaannya

Sultan Johor ulangi hasrat supaya tambak Johor digantikan

JOHOR BAHARU, 22 Nov – Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.

Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 hari ini, Sultan Ibrahim bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan berusaha menangani masalah rakyat. Namun begitu, masih ada hasrat rakyat Johor yang masih belum dapat dipenuhi iaitu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor,” titah baginda di Istana Besar di sini.

Baginda bertitah ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir sekaligus memberi kesan yang baik terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Berangkat ke istiadat berkenaan ialah permaisuri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Yang Dipertua Jumaah Di Raja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad dan kerabat-kerabat di raja lain.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Prof Datin Jamilah Ariffin, barisan exco kerajaan negeri, anggota Dewan Undangan Negeri serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Ibrahim turut meminta rakyat di Johor supaya hidup secara bertolak ansur, bersederhana dan hormat-menghormati tanpa mengira kaum selaras dengan motto kerajaan Johor “Muafakat Itu Berkat” bagi mengekalkan kesejahteraan negeri.

Baginda mahu semua pemimpin masyarakat sentiasa berusaha menyatupadukan masyarakat yang dipimpin serta mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan individu mahupun politik.

“Di Johor, tidak kira apa jua kaum, Melayu, India, Cina, mereka semua adalah rakyat negeri saya. Hak dan kepentingan semua akan dijaga. Oleh itu, jangan diungkit apa yang telah berlaku supaya terhindar rasa tidak puas hati dan buruk sangka,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan seluruh rakyat Johor supaya merebut peluang daripada pembangunan pesat negeri termasuk pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

Dalam titah berkenaan, baginda turut mengisytiharkan penubuhan Yayasan Sultan Ibrahim yang bertujuan memberikan bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa kepada pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya.

Menurut Sultan Ibrahim, dana untuk yayasan berkenaan disumbangkan daripada semua elaun diraja yang diterima baginda.

Sultan Ibrahim pada istiadat berkenan turut berkenan mengurniakan gelaran “Duli Yang Maha Mulia” kepada Raja Zarith Sofiah dan gelaran “Yang Amat Mulia Enche Besar” kepada bonda baginda, Hajah Khalsom Abdullah.

Baginda turut mengurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK I) yang merupakan darjah tertinggi bagi Johor kepada Hajah Khalsom dan Pangkat Pertama Datuk Seri Setia Sultan Ismail Johor (SSIJ) kepada Tunku Ismail. – Bernama

3 ulasan:

Megat Alam Gempita berkata...

1.Singapork tak mahu Tambak Johor dibuka kerana takut akan mengeringkan empangan-empangannya di kawasan berbukit di Singapork. Mereka risau perjanjian air dengan Malaysia akan tamat 2011 dan giat membangunkan teknologi rawatan air 'Newater' secara besar-besaran.
2.Sebaliknya, aliran air sungai yang tersekat akibat pemendapan pasir di Selat Tebrau akan menyebabkan selatan Johor banjir teruk. Di selatan dan tenggara Johor banyak Melayukan?
3. Jambatan Baru akan menjadi ikon baru Malaysia di selatan Johor, sepertimana Iskandar. Ini akan mengancam Marina Bay yg dibangunkan Singapork dari hasil tambakan tanah yg dibeli secara haram dari Pulau Batam, Riau, selatan Johor dan Selangor!.
4.Alasan sejarah tak bleh pakai kerana Singapork sendiri menafikan fakta sejarah terutamanya melibatkan kepentingan Melayu! Nama Temasek, Sang Nila Utama, Sultan Melayu Singapura, Kampung Gelam, P.Ramlee...mana generasi muda tahu?
5.Jambatan baru menyukarkan kereta kebal Singapork untuk melintas kerana mungkin rapuh. Banyak kabel optik rahsia Singapork di Tambak Johor dan simulasi perang sering dilakukan oleh Singapork melibatkan Selat Teberau!
6. Teman sokong supaya sebuah Jambatan baru dibina merobohkan Tambak Johor sedia ada dan Selat Teberau didalamkan, agar aliran air kumbahan dari utara Singapork dan selatan Johor dapat mengalir keluar. Singapork amat takut perairannya di luar selat Teberau kotor.

Tanpa Nama berkata...

Yang pasti Che Det seronok dengan pembinaan jamatan tersebut. Dia/kroni akan jadi kaya. Syarikat ini dulu dah dapat wang percuma sebagai ganti rugi kerana jambatan tersebut tak jadi dibina semasa PM Pak Lah. Ini salah satu sebab Che Det marah Pak Lah. Berdasarkan ulasan yang pertama di atas saya tak setuju jambatan tersebut dibina.

Tanpa Nama berkata...

pemerintahan BN pun patut diganti