27 Nov 2010

Mampukah PKR Menyapu Semua Sampah Ke Bawah Karpet?


Risalah hentam pemilihan muncul di kongres PKR

Di sebalik kegagalan protes kumpulan "baju hitam" di Kongres Pemuda dan Wanita PKR semalam, asakan terhadap jawatankuasa pemilihannya berterusan apabila muncul banyak risalah dan kain rentang mempersoalkan perjalanannya.

Risalah tersebut dikesan ditabur di sekitar Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) - tempat kongres nasional PKR berlangsung - sehingga ke kompleks membeli-belah Amcorp, berdekatan Jalan Sultan dan Jalan Barat.


Kelihatan beberapa kain rentang digantung, antaranya bertulis "We demand reform" (kami tuntut reformasi) dan "Reformasi dan keadilan 'tersangkut' akibat kronisme".

Turut dikesan risalah yang menggunakan susun letak hampir sama dengan akhbar organ parti Suara Keadilan dengan paparan muka depan berjudul "Kotor, tidak adil dan salah guna kuasa'.

Memuatkan gambar perhimpunan bantahan bekas setiausaha PKR P Jenapala di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum ini, risalah bersaiz tabloid itu mendakwa "aktivis reformasi" kecewa dengan sikap pucuk pimpinan yang dikatakan mementingkan pangkat dan kedudukan selesa di sisi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Risalah empat muka surat itu mendakwa, pemimpin PKR tidak bersungguh-sungguh menangani permasalahan yang dibangkitkan dan hanya melepaskan batuk di tangga dan sekadar menyapunya di bawah karpet.

"Gesaan agar JPP diperkemas tidak dipedulikan. Desakan supaya pemilihan ditangguhkan juga dibakulsampahkan," laporan itu dipetik.

Bagaimanapun, tidak pasti pihak mana yang bertanggungjawab mengedarkannya.

Menyenaraikan 10 dakwaan penyelewengan, risalah itu - Suara Reformasi - turut memuatkan gesaan calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim supaya Anwar dan Naib Presiden Azmin Ali berundur daripada parti.

Dimuatkan juga dakwaan kritikan Jenapala dan calon Ketua Pemuda PKR (AMK) Badrul Hisham Shaharin berhubung perjalanan pemilihan langsung kali pertamanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, demonstrasi yang bermula pada pukul 9.15 pagi itu diketuai bekas bendahari PKR Selangor KS Kottapan.

Menurut Kottapan demonstrasi itu diadakan kerana mereka tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan PKR dari peringkat cabang hingga peringkat pimpinan pusat.

Kottapan, yang sebelum ini adalah calon ketua cabang PKR Kota Raja, mendakwa bahawa walaupun beberapa surat bantahan telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) namun tiada tindakan diambil.

"Kami tidak bermaksud buat kacau, cuma ingin menyuarakan rasa hati kerana seluruh ahli parti tahu pemilihan parti itu tipu, tidak betul.

"Demonstrasi ini bukan untuk saya tetapi mewakili seluruh ahli parti yang tidak berpuas hati perjalanan pemilihan PKR... dan JPP tak siasat pun dan JPP adalah berat sebelah," katanya kepada pemberita.

Kumpulan yang berdemonstrasi itu turut mengibarkan beberapa kain rentang yang bertulis "Kami tuntut pemilihan PKR dibuat semula, hentikan korupsi", "No Hindraf No Tsunami", dan "anak India anak tiri Anwar, Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Iban anak saya".

Pada satu peringkat, beberapa pemuda memakai baju T berlambangkan "SKUAD" PKR dilihat cuba menghalang kumpulan itu daripada mengadakan demonstrasi dan menyuraikan mereka.

Dalam kekecohan itu, beberapa wartawan dan jurugambar turut ditolak
petugas parti yang cuba menghalang mereka daripada membuat liputan.

Demonstrasi itu berakhir pada kira-kira pukul 10 pagi.

Kumpulan itu beredar dengan mengatakan bahawa mereka akan mengadakan satu
lagi demonstrasi pada pukul 11 pagi tetapi sehingga pukul 11.30 pagi, tidak kelihatan mana-mana kumpulan mengadakan demonstrasi. -mk

Ulasan GB

Apa yang dapat diperhatikan daripada Kongres PKR hari ini ialah begitu giatnya pimpinan kanan parti cuba untuk mengalihkan pandangan perwakilan kepada isu lain daripada berdepan dan menyelesaikan setiap isu yang dibangkitkan selaku anak jantan.

Sekali imbas kita lihat tindakan kumpulan Hindraf seperti keterlaluan, TETAPI harus diingat kumpulan inilah yang sebenarnya membentuk Tsunami politik di dalam PRU 2008 yang lalu. Kumpulan tersebsarnya ialah di Selangor dan Kedah sehingga kedua-dua negeri tersebut berjaya dirampas oleh Pakatan Rakyat.

Dua pemimpin tertinggi parti kaum India yang datangnya dari negeri Perak tertonggeng dikerjakan Hindraf, Samy Vellu dan M.Kayveas.

Justeru itu ada benarnya tulisan di banner itu: Tiada Hindraf Tiada Tsunami.

Menyapu sampah ke bawah karpet dengan mengalih pandangan ahli kepada hal lain seperti seruan Presidennya, "Kesemua kita menang, yang kalah musuh", "PKR perlu sedia hadapi PRU mulai sekarang", dakwaan Ketua Umumnya "PKR perlu sedia hadapi PRU mulai sekarang", "Menjunjung Reformasi Membela Rakyat", perulangan Setiausaha Agongnya kononnya "PKR ada 400,000 anggota" adalah panadol sementara untuk melegakan sedikit sakit kepala. Tetapi bau bangkai yang maung melantong di bawah karpet akan tetap terhidu jua bila-bila masa dan ia memerlukan pembersihan yang benar-benar komprehensif demi meletakkan semua PKR ke identitinya yang lebih murni dan wangi, supaya dapat beriringan dengan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Jika masih nak teruskan dengan sindrom penafian, teruskanlah, jangan nanti terkangkang di dalam PRU 13 sudah. GB dah berikan peringatan banyak kali, tetapi tak diendahkan. Bagus.

Yang tukang tepuk, tukang jilat dan tukang bodek akan hanya mempercepatkan proses keruntuhan bukan pengukohan.

Dan GB ingin berpesan dua pemerhatian terakhir GB yang diambil dari petunjuk Allah mengenai pilihanraya kecil baru-baru ini menjadi kenyataan.

Baca Ulasan GB di SINI


2 ulasan:

Waris berkata...

Tuan GB,

ini baru dinamakan keadilan. Siapa2 boleh hentam. Yg hentam ni bukan agen umno tapi ahli parti sendiri. Mari kita teruskan hentam pemimpin keadilan yg masih berdarah umno. Pemimpin jgnmarah sebab ini adalah KEADILAN. Masa korang dlm umno dulu lain. Semua penakut mcm tikus wpun tak setuju. Skrg padan dgn muka korang semua bila berdepan dgn keadilan sebenar. Itu belum lagi keadilan dari YG MAHA ESA...

Tanpa Nama berkata...

GB...Saya inginkan satu tindakan yang paling adil...apabila kita bercakap tentang keadilan kita kena tengok secara menyeluruh, lihatlah dan renunglah bagaimana sebelah pihak yang setiap hari membohongi rakyat, media utusan dan media tv UMNO. Jangan melihat dari sudut politik tetapi lihatlah dari sudut bagaimana masa depan generasi akan datang, jika setiap hari rakyat dihidangkan dengan berita pembohongan atau dalam kata lain UMNO membodohkan rakyat setiap hari dan hasilnya sudah tentu generasi masa depan akan menjadi masyarakat lemah akal dan bangsa termundur. Peringatan kepada GB, jadilah medium pembawa perubahan, dengan menyampaikan maklumat kepada rakyat betapa bahayanya cara kerajaan UMNO yang boleh meruntuhkan agama, bangsa dan negara.Renung -renunglah sendiri.