19 Nov 2010

Kenyataan Media Zaid: Penarikan Diri Drp Keahlian PKR

Penarikan Diri Daripada Keahlian Parti Keadilan Rakyat

KENYATAAN MEDIA

Ini berikutan episod pemilihan parti di mana saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti: Saifudin Nasution menuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru sebelum pun saya masuk bertanding; Syed Husin dan Azmin pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti semasa saya mula-mula masuk parti lagi. Sumbangan saya kepada parti selama ini pun dikatakan kecil sahaja. Mereka juga berkata bahawa saya ini pemalas, tidak setia dan tidak memahami maksud perjuangan parti. Anwar Ibrahim sendiri telah menggelar saya sebagai ‘Trojan Horse’ dan ‘Sore Loser’. Fitnah, putar-belit dan cerita-cerita rekaan ini telah memaksa saya untuk keluar dari parti ini. Saya tidak rela bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin yang gemar menghina orang lain seperti yang telah mereka lakukan terhadap diri saya.

Saya amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli-ahli parti kepada saya selama ini. Saya mungkin telah melakukan kesilapan semasa saya berada dalam parti tetapi saya tidak sekali-kali melakukannya di atas niat jahat untuk melemahkan parti atau untuk menjatuhkan sesiapa pun. Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam. Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu.

Sewaktu saya meletakkan jawatan sebagai Menteri dahulu, saya mahu menegakkan satu prinsip penting iaitu bahawa mana-mana menteri yang tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan mestilah meletakkan jawatannya, iaitu prinsip ‘Collective Responsibility’. Pada masa itu, saya tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan untuk menggunakan ISA terhadap 3 orang awam. Kali ini pula, saya berhenti kerana adalah amat wajar untuk saya berbuat begitu apabila saya tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggap saya sebagai pengkhianat. Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.

Saya meletakkan kepercayaan saya kepada kebijaksanaan masyarakat untuk memahami bahawa kita mestilah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dasar yang ikhlas walau dalam situasi apa sekalipun kerana itulah sahaja yang akan menentukan erti perjuangan sebenar. Ramai peminat Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada saya bahawa karier politik saya akan hancur selepas ini. Kepada mereka, saya ingin menegaskan bahawa karier politik saya adalah satu perkara yang kecil sahaja; yang besar dan penting kepada kita semua ialah politik kotor dan penipuan mesti kita tentang walau dari pihak mana sekalipun ia datang; ia tidak boleh sama sekali dibenarkan untuk bertapak di bumi bertuah ini.

ZAID IBRAHIM

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

perjuangan perlukan keikhlasan bukan pangkat atau jawatan, kalau ikhlas teruskan perjuangan, ramai yang tiada pangkat tapi masih berjuang menegak keadilan....

Tanpa Nama berkata...

Apa yg disampaikan Zaid nampaknya lebih jujur, ikhlas dan telus daripada pemimpin2 PKR sendiri.