23 Nov 2010

[Bergambar] Kes Aminul-Rasyid, Hakim Lawat Laluan Kejadian

Hakim lawat jalan dilalui Aminulrasyid sebelum ditembak

Gambar: Hakim Latifah Mohd Tahar (kiri) bersama peguam dan pihak pendakwaan ketika membuat tinjauan di tempat kejadian berhampiran rumah remaja lelaki yang ditembak mati Aminulrasyid Amzah, 15, di Seksyen 11 di sini, hari ini. Rakan remaja tersebut Azamudin Omar,15, turut hadir bagi memberi penerangan.

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah hari ini membawa hakim dan pembelaan melawat semua jalan yang dilalui kereta dipandu mangsa sebelum terbabas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini pada 26 April lalu.

Saksi utama pendakwaan iaitu Mohd Azamuddin Omar, 15, remaja yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid pada hari dia ditembak mati, turut menunjukkan kepada Hakim Latifah Mohd Tahar lokasi di mana kereta mereka bergesel dengan sebuah kereta lain di depan sebuah restoran di Seksyen 7.

Turut berada di kawasan itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad; tertuduh, Koperal Jenain Subi; serta peguamnya M Athimulan dan Salim Bashir, selain saksi ke-25 pendakwaan Cif Ins Mazli Jusoh@Che Kob yang juga penyiasat tempat kejadian.

Rombongan mahkamah dibawa melalui Jalan Platinum G7/56, Jalan Platinum G7/58, Persiaran Kayangan, Bulatan Kayangan dan masuk ke Persiaran Dato Menteri.

Dalam lawatan kira-kira sejam yang bermula 12.25 tengah hari itu, mereka turut ditunjukkan lokasi di mana kereta dinaiki mangsa dan Mohd Azamuddin bergesel dengan sebuah motosikal, selain di mana mereka mula dikejar kereta peronda polis iaitu di Persiaran Dato Menteri berhampiran Kompleks PKNS.

Dalam keadaan hujan lebat, rombongan mahkamah kemudian dibawa melalui Bulatan Permai, Persiaran Masjid, Bulatan Setia Jaya sebelum masuk semula ke Persiaran Masjid menuju ke Persiaran Kayangan.

Selepas itu, mereka sekali lagi dibawa melalui Bulatan Kayangan sebelum masuk ke Jalan Wau 11/1 menuju ke Jalan Tarian 11/2 sebelum berhenti di lokasi di mana kereta yang dipandu mangsa terbabas.

Mohd Azamuddin dilihat turut menerangkan kepada hakim apa yang berlaku pada hari kejadian dan bagaimana beliau meloloskan diri menerusi tingkap cermin kereta itu, sebelum lari ke arah Jalan Gamelan 11/2E berhampiran.

Dalam kes itu, Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. - BERNAMA









2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

belum selesai kes ada lagi kes, kenapa tak ditubuh suruhanjaya diraja

wak parjoe berkata...

Kes memang tak akan habis, itulah kehidupan. Siasat dengan telus dan hukum yang sepatutnya menerima hukuman. Tetapi selagi IBU BAPA gagal memainkan peranan masing-masing maka buat la apa pun, keadaan akan tetap same je.....