3 Nov 2010

Asri: Bukan Kepada Anwar Semata-mata, Tetapi Lebih Kepada Dinosour UMNO

Asri: Nasihat saya untuk ‘dinosaur politik’ Umno bukan hanya Anwar

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ramai ‘dinosaur’ dalam Umno pun perlu bersara bagi memberi ruang kepada muka-muka baru seiring dengan landskap politik semasa negara ini.

Justeru tegas beliau, nasihatnya agar Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bersara daripada politik tidak hanya terhad kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

Semalam, pemimpin-pemimpin muda dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sambil menyifatkan kepimpinan Anwar masih “relevan” berkata, pandangan bekas mufti Perlis itu sebagai “tidak realistik”.

“Pandangan saya yang tajam dan terbuka kepada Umno (dan) BN itu sebenarnya lebih banyak, saya pernah minta dinosaur-dinosaur politik dalam Umno supaya bersara awal untuk memberi laluan kepada muka-muka baru,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau yang juga pensyarah pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia berkata, AMK sebagai sayap pemuda PKR sepatutnya tidak melenting apabila orang awam sepertinya memberi nasihat kepada Anwar, penasihat PKR.

Ini kerana kata beliau, politik baru yang dipopularkan oleh PR sejak tsunami politik pada 8 Mac 2008 sepatutnya tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk memberikan pendapat dan hujah demi kepentingan negara.

Katanya lagi, saranannya semalam agar Anwar bersara dari menjadi ahli politik sebenarnya tidaklah bermaksud untuk memadam segala rekod sumbangan ketua pembangkang itu kepada negara.

Namun, rekod sumbangan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak bermakna boleh menafikan bakat pemimpin-pemimpin muda yang lain untuk mengepalai PR, lalu mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Umno-BN kelak.

Sehubungan itu, Asri yang dikenali sebagai tokoh rentas parti turut membetulkan persepsi tidak tepat oleh dua calon Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin berhubung konotasi ‘bersara’ yang ditujukan kepada Anwar semalam.

“Saya kata bersara bukan dalam erti kata dia (Anwar) tidak boleh memberi pandangan dalam berpolitik, ramai tokoh-tokoh politik yang bersara masih boleh memberikan pandangan.”

Menurut beliau, pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pascabersara sebagai Perdana Menteri sekarang tetap dihormati dan berpengaruh dalam menentukan iklim politik negara.

“Pendapat Tun Dr. Mahathir sehingga hari ini terus didengar oleh Umno walaupun beliau sudah bersara kerana bersedia memberi laluan kepada muka-muka baru,” ujarnya.

Begitu juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata Asri sambil menambah, bekas perdana menteri itu dianggap hebat kerana bersara pada masa sesuai demi melancarkan survival politik BN.

“Tun Abdullah bukan tidak hebat, (pilihan raya umum ke-11) 2004 imejnya yang sederhana berjaya menenggelamkan populariti beberapa pemimpin pembangkang,” ujarnya.

Pun begitu, beliau menafikan spekulasi umum bahawa nasihat terbuka kepada Anwar itu ekoran perbicaraan kes liwat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekarang.

“Saya antara yang bersimpati dengan ujian Allah yang menimpa dia (Anwar), saya antara yang meminta supaya perbicaraan kes dia dibicarakan secara adil dan bermaruah,” tegasnya.

“Apa pun dalam masa yang sama saya tetap menuntut perbicaraan yang adil untuk Datuk Seri Anwar, jangan dinafikan hak beliau,” katanya lagi sambil menambah, Anwar tidak boleh dilayan sebagai penjenayah atau dianggap bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa PR memerlukan kepemimpinan muda yang baru sekiranya mahu mengambil alih Putrajaya daripada Umno-BN pada pilihan raya umum ke-13.

“Kalau pembangkang mahu momentum atau anjakan baru dalam politik tanah air, pembangkang sebenarnya memerlukan tokoh-tokoh baru,” jelasnya.

Dalam reaksinya semalam, Shamsul Iskandar menyifatkan kenyataan Asri sebagai tidak relevan kerana Anwar baginya adalah pencetus pada gelombang PR pada pilihan raya umum yang lalu.

Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai “Chegubard” turut menolak nasihat Asri kerana masih menganggap Anwar sebagai pemangkin pada perubahan landskap politik Malaysia, di samping tidak menafikan soal faktor kesedaran di kalangan rakyat sendiri.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pula berkata, Asri bebas memberi pendapat tetapi hanya rakyat dan ahli yang menentukan sama ada Anwar bersara atau tidak.

Namun anak sulung Anwar ini berkata, nasihat Asri itu tidak akan mematahkan semangat Ketua Umum PR itu untuk membawa PR menumbangkan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-13.

“Prinsip Datuk Seri Anwar untuk lawan tetap lawan sama ada ada jawatan politik atau tak seperti dalam penjara dulu,” ujarnya. -TMI

7 ulasan:

Pak Oncu berkata...

Asri lu bila dah kono terjah dgn org org Pakatan mula lah nak spin,,,, !!!!

lutfi berkata...

ada ka dalil suruh orang bersara?
ada ka nabi2 atau khalifah2 dulu bersara dari jawatan mereka? nabi berenti jadi nabi sebelum mati, khalifah berenti jadi khalifah sebelum mati? samada kamu hidup melihat apa yang Allah janjikan atau roh kamu diambik dulu balik kepadaNya sebelum sempat kamu melihat janji2Nya, kerja kamu hanyalah menyampaikan ajaranNya...
dan kamu bukanlah disuruh menggempar mereka, yakni dok pi dok nasihat orang tak tentu pasal, outside of your given scope sampai heboh seantero malaya, tapi seeloknya, berilah peringatan dengan Alquran, fazakkir bil quran, yakni nasihat2 dari Alquran.. 50:45

Tanpa Nama berkata...

lutfi

jika perjuangan kerana Allah s.w.t. semata-mata memanglah betul perkataan sdra tu.

Tetapi bab perjuangan pkr dan dsai, bolehkah dikategorikan demikian ker?

kalah dlm PAS mungkin saya boleh setuju sebab perlembagaan PAS meletakkan perjuangan mendaulatkan hukum Allah.

Budak Jelebu berkata...

Sudah lah Dr Asri jangan nak membelit2 kan fakta..Siapa yg dikatakan dinasor dlm umno tu... dlm artikel tu tak sebut pun nama siapa2 kecuali nama Anwar..atas dasar apa nak suruh anwar bersara?? umur? dlm UMNO/BN tu ramai yg lebih berusia dr Anwar... suruh mereka tu bersara dulu.Jangan banding kan dgn Tun mahathir.. Tun Mahathir bersara ketika umurnya dah melebihi 80 tahun dan setelah memegang tampuk pemerintahan selama lebih dr 20 tahun.sedang kan anwar masih 60an. Anwar Masih sihat..masih banyak idea dan pandangan dan dasar yang hendak beliau terjemahkan... dan pemimpin2 muda dalam pakatan sendiri malah dalam PR juga masih menerima kepimpinan beliau.. Kalau dah rasa silap buat kenyataan tu minta maaf je Dr Asri.. jangan nak memutar belitkan fakta.

Tanpa Nama berkata...

Dalam tulisan tuan sebelum ini tiada langsung menyentuh puak-puak UMNO, tetapi setelah di asak oleh puak pembangkang dan beberapa pandangan yang lain tuan telah mengubah rentak pulak apa ni........saya doakan agar tuan cepat cepat masuk UMNO.

Martoiriat berkata...

Salam GB
Jika ada Pemimpin lama sudah pasti ada pemimpin baru. Pemimpin-pemimpin baru akan mengambil tempat sebagai penganti kepada pemimpin lama. Soal persaraan Anwar mungkin akan tiba masanya suatu hari nanti.

Tapi dalam keadaan sekarang kita masih perlukan Anwar untuk memimpin PKR dan memberi semangat kepada pemimpin muda sebagai pengantinya. Bagi saya Anwar masih lagi relevan. Dalam perjuangan politik tidak ada had umor selagi Anwar ada kekuatan fizikal dan mental. Teruskan lah Anwar selagi masih mampu...

Justeru itu hanya yang layak menentukan Anwar bersara atau tidak ialah ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin peringkat tertinggi PKR. Mereka yang boleh menentukan masa depan Anwar samada Anwar masih diperlukan atau tidak.

Tidak salah Pengomen atau pengkritik untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap Anwar. Perbezaan pandangan atau pendapat sering terjadi diantara manusia dengan manusia di bumi ini. Itu adalah hukum alam dan hakikatnya. Jika pengomen atau pengkritik berada ditempat Anwar pun akan dikomen dan dikritik samada sehebat mana pun mereka...

Tanpa Nama berkata...

Setakat hari ini, saya lihat hanya DSAI sahaja yang layak memimpin dan berupaya membawa kebebasan dan kemakmuran kepada Negara Malaysia.

Politik Keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat yang di asaskan DSAI telah berjaya menyatukan parti-parti politik Pakatan Rakyat dan menyakinkan rakyat sebagai parti alternatif untuk mengantikan Barisan Nasional yang dilihat zalim dan berselimut dengan rasuah dan penyelewengan harta negara.

Bagi saya, dalam sesebuah perjuangan tidak ada istilah persaraan. Seseorang pemimpin hanya perlu bersara sekiranya didapati bersalah dalam perjuangan dan mengkianati amanah yang diberikan.

Maka dengan itu mereka patut bersara ataupun dibersarakan.