16 Okt 2010

Syarikat Palsu Iklan Tawaran Pekerjaan Di Kapal Mewah

Kuala Lumpur - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran peluang pekerjaan dalam industri perkapalan mewah di perairan antarabangsa oleh sebuah syarikat yang menggunakan nama Sea Wave Cruise Line (Malaysia).

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan semalam berkata, individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini telah menarik perhatian orang ramai khususnya warga luar negara dengan menawarkan peluang pekerjaan yang menarik dan pulangan pendapatan lumayan dalam suasana kerja kapal mewah.

“Modus operandi individu-individu berkenaan adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan melalui laman sesawang dengan menyatakan mempunyai lebih 100 syarikat kapal mewah yang mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Individu-individu tersebut juga berjaya meyakinkan orang ramai dengan menyediakan visa pekerjaan dan dokumen perjalanan yang akan diuruskan oleh pejabat guaman di Malaysia,” menurut kenyataan itu semalam.

SSM menegaskan bahawa tiada syarikat yang diperbadankan dengan nama Sea Wave Cruise Line (Malaysia) Sdn Bhd dan meminta orang ramai merujuk perkhidmatan e-info SSM di http://www.ssm-einfo.my untuk menyemak status pendaftaran sesebuah syarikat atau perniagaan.

Untuk mendapatkan profil atau status sesebuah syarikat dan perniagaan, orang ramai boleh menggunakan aplikasi online dengan berdaftar sebagai anggota e-Account dan profil itu akan dihantar terus ke e-mail pengguna.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Hotline SSM 02-22995500. - Bernama

Tiada ulasan: