16 Okt 2010

PKR Kedah Mahu SPRM Siasat Bekas MB, Exco

Alor Setar – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Ahmad Kasim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap dua pemimpin UMNO negeri ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

“Saya nak minta SPRM siasat pembinaan rumah milik Mahdzir di Pedu yang menelan kos yang agak tinggi, berbanding dua rumah bekas Menteri Besar sebelum ini, Tan Sri Osman Aroff dan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain. Tempoh beliau jadi Menteri Besar pun tidak selama mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau juga mahu SPRM menyiasat penganjuran rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri ADUN Kuah sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri, sebelum Pakatan Rakyat (PR) menawan Kedah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke12 pada 2008.

“SPRM perlu menyiasat siapa yang menaja penganjuran rumah terbuka itu memandangkan ianya dilihat terlalu mewah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau sendiri akan membuat laporan berhubung dakwaannya itu, Ahmad berkata, beliau mahu SPRM sendiri yang menjalankan siasatan.

“Sebelum ini, Nawawi mencabar SPRM menjalankan siasatan (terhadap pegawai-pegawai di bawah pentadbiran Barisan Nasional) menerusi media.

“Justeru, saya juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu agar SPRM menjalankan siasatan terhadapnya berdasarkan laporan media, biar pegawai-pegawai SPRM sendiri yang menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ir Nawawi ketika dihubungi menyangkal dakwaan majlis rumah terbukanya ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri ditaja pihak tertentu.

Menurutnya, perbelanjaan rumah terbuka itu daripada peruntukan Kerajaan Negeri, UMNO negeri serta wangnya sendiri.

“Seingat saya ketika itu, RM10,000 disediakan untuk menganjurkan majlis rumah terbuka dengan anggaran tetamu antara 3,000 hingga 5,000 orang. Kita jemput semua penduduk Langkawi.

“Exco Kerajaan Negeri diberi peruntukan kira-kira RM5,000 untuk mengadakan jamuan rumah terbuka dan selaku Exco pada ketika itu, pendapatan saya sendiri mencecah RM20,000. Justeru tidak menjadi masalah untuk mengeluarkan wang sendiri bagi menampung perbelanjaan jamuan itu,” katanya.

Ir Nawawi tidak menafikan ada mendapat tajaan tetapi dalam bentuk makanan dan minuman daripada beberapa hotel di Langkawi selain sumbangan penduduk setempat.

Difahamkan, peruntukan RM3,000 untuk ADUN dan RM5,000 untuk Exco Kerajaan Negeri menganjurkan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri diamalkan sejak dahulu lagi.

“Peruntukan sebanyak itu memang tidak mencukupi kerana tuan rumah masih perlu menambah wang sendiri, mungkin Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan menambah jumlah peruntukan itu pada masa akan datang,” katanya.

Ir Nawawi menafikan penglibatan syarikat operator bekalan air di Langkawi, Taliworks Sdn Bhd sebagai penaja majlis itu.

Menurutnya, hubungannya dengan syarikat berkenaan ketika itu tidak begitu akrab memandangkan beliau selaku Exco Air sering mempertikaikan mutu perkhidmatan mereka.

“Sekiranya penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri oleh bekas Exco atau ADUN perlu disiasat SPRM, suruhanjaya itu juga mesti menyiasat semua Exco dan ADUN sama ada kerajaan terdahulu atau yang mentadbir Kedah pada masa ini," kata Nawawi.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rumah Mahzir Khalid di Pedu? Banyak pihak dah mempersoalkan perkara ini! SPRM nak tunnggu apa lagi? Siasatlah!!