2 Okt 2010

PRK Galas Dijangka Selepas Deepavali

Tarikh penamaan dijangka selepas Deepavali

Tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan dijangka diadakan selepas Deepavali, manakala hari mengundi pada 14 November iaitu tiga hari sebelum Aidiladha.

Sumber berkata, tempoh berkenaan dianggap paling sesuai diadakan pilihan raya kerana ia memberi masa cukup kepada parti dan calon membuat persiapan dan bertanding bagi merebut kerusi DUN berkenaan.

"Waktu ini juga memberi kelebihan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya yang selamat dan aman bagi pengundi keluar mengundi.

"Ia juga akan memberi kelebihan kepada petugas SPR termasuk polis dan pasukan keselamatan mengawal perjalanan pilihan raya," katanya, semalam.

Kelmarin, SPR menyatakan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pilihan raya kecil DUN Galas pada 6 Oktober ini di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, ketika dihubungi, berkata pihaknya perlu menilai pelbagai aspek dan faktor bagi memilih hari mengadakan pilihan raya kecil itu.

Antara faktor diambil, termasuk senario semasa politik negara, sidang Parlimen, cuti umum atau sekolah dan peristiwa penting yang berlaku dalam negara.

Antara cuti umum diambil kira SPR ialah Deepavali pada 5 November, Aidiladha (17 November) manakala peristiwa besar ialah Perhimpunan Agung UMNO (19 hingga 23 Oktober) dan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (31 Oktober hingga 21 November). -BH

Tiada ulasan: