18 Okt 2010

GALAS: Calon PAS Sudah Diputuskan. Diumumkan Bila-bila Masa

PAS sudah putuskan calon DUN Galas

KUALA TERENGGANU: Calon yang akan mewakili PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas telah diputuskan dan akan diumum Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata bakal calon PAS dipersetujui sebulat suara Dewan Harian PAS yang bermesyuarat mewakili Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.

Mustafa yang enggan mendedahkan identiti calon berkenaan, bagaimanapun berkata beliau terdiri dari anak tempatan, tidak pernah menjadi wakil rakyat dan juga pemimpin parti itu di Gua Musang.

"Esok nama itu akan diserahkan kepada Mursyidul Am (Nik Aziz) yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan untuk diumumkan," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, nama berkenaan dipilih daripada enam nama yang disenarai pendek oleh PAS Kelantan termasuk seorang pemimpin Orang Asli di situ.

Katanya, tarikh sebenar pengumuman bagaimanapun belum dimuktamadkan lagi namun difahamkan, parti itu akan memperkenalkan calonnya 20 Oktober ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Ketika ditanya peluang PAS berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata parti itu masih berada di belakang Barisan Nasional (BN) kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat UMNO dan beberapa faktor lain.

Mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Mustafa berkata tidak dinafikan tokoh veteran itu mempunyai pengaruh tersendiri di Gua Musang.

"Bagaimanapun itu tidak semestinya diterjemah sebagai undi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata langkah SPR mengadakan serentak pilihan raya kecil DUN Galas dan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah, akan memberi kelebihan kepada BN terutama dari segi logistik berbanding pembangkang.

"Bila diadakan dua serentak, bagi kita susah untuk kita beri tumpuan, tapi ini tak halang untuk kita berusaha mencapai kemenangan," katanya.

Mengulas politik Terengganu terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau berkata PAS dan BN negeri itu mempunyai kekuatan seimbang dan masing-masing terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi atas pagar untuk membentuk kerajaan. - BERNAMA


Spekulasi sebelum ini

GALAS: CALON PAS SUHAIMI ATAU ZULKIFLI?

PAS dipercayai telah membuat keputusan akhir berkenaan bakal calon untuk diturunkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas hujung bulan ini dengan tumpuan memfokus sama ada Suhaimi Mat Deris atau Dr Zulkifli Mohamad.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua nama itu menjadi pilihan terakhir, tetapi Dr Zulkifli yang pernah mencabar Tengku Razaleigh Hamzah di kerusi Parlimen Gua Musang dua tahun lalu kemungkinan besar akan diletakkan sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat kali ini.

Dr Zulkifli merupakan seorang doktor perubatan dan memperoleh undi majoriti dari kawasan DUN Galas berbanding Tengku Razaleigh pada 8 Mac lalu.

Tengku Razaleigh mengatasi Dr Zulkifli di dua lagi kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Gua Musang, sekali gus membawa kemenangan kepadanya.

The Malaysian Insider difahamkan mereka merupakan antara lima nama yang disenaraipendekkan dan menjadi fokus perbincangan malam tadi.

Suhaimi pula merupakan pegawai halaqah berusia awal 40-an, dikatakan membawa perwatakan hampir sama seperti penyandang Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia 27 September lalu.

Pakatan Rakyat menerusi PAS pertama kali memenangi kerusi itu pada Mac 2008.

PAS akan mengumumkan calon mereka secara rasmi pada 22 Oktober ini, kata Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Malam tadi, kami mengadakan mesyuarat harian PAS. Nama-nama calon kami teliti selepas Majlis Syura telah memberikan keputusan berhubung kelayakan calon,” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau enggan menyebut nama yang telah dipilih untuk mewakili Pakatan Rakyat di DUN Galas kali ini.

“Saya tidak boleh memberitahu, tungguhlah,” kata beliau ketika ditanya sama ada kemungkinan bakal calon itu lelaki dan kalangan Orang Asli.

“Apa yang boleh saya katakan, dia seorang penduduk tempatan sebagaimana kita mahukan dan disenangi pengundi tempatan, dan jika terpilih menjadi wakil rakyat, kami pasti penduduk tempatan akan gembira memiliki seorang ADUN terbaik bagi mereka,” katanya.

“Calon ini akan memenuhi keperluan penduduk tempatan,” katanya lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini berkata nama calon akan diumumkan oleh Murysidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober.

Che Hashim merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberitahu, “kita akan semak semula kesemua nama tersebut dan akan turun ke padang untuk menemui pengundi mengenai calon yang bakal kita pilih.”

“Keputusan hanya akan diumumkan pada 22 Oktober ini dan Mursyidul Am PAS,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata kesemua nama yang dikemukakan adalah kalangan penduduk tempatan Gua Musang.

“Semuanya adalah penduduk tempatan, sama ada Melayu atau Orang Asli kita tunggu sahaja 22 Oktober nanti,” katanya. -TMI


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

calon UMNO Najib, muhyidin atau Ibrahim Ali?