23 Sep 2010

Kisah RM4b: Gigi Wak Mana? Pergi Bikin!

I'Da World batal niat laksana projek RM313b di K'tan

Syarikat I'Da World Group Sdn Bhd memutuskan untuk membatalkan niatnya melaksanakan cadangan projek pembangunan bernilai RM313 bilion di negeri Kelantan.

"Jadi projek yang kita hendak buat di negeri Kelantan itu telah dibatalkanlah. Kita hendak tutup cerita ini. Saya pun dah malas dah. Kalau dia kata kita disenaraihitamkan, kita hendak tegakkan apa lagi?" kata pengerusi eksekutifnya, Abdul Rahim Abdul Wahab.

"Kita tarik diri. Minta maaflah. Mereka kata tidak mahu, apa lagi kita boleh buat?," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kelana Jaya hari ini.

Abdul Rahim berkata syarikatnya juga belum mempunyai wang RM4 bilion yang hendak didermakan kepada PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk menjayakan projek di negeri-negeri lain.

Syarikat itu dilanda kontroversi ekoran tindakannya yang mengekut semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 billion.

Cek replika sumbangan itu diterima oleh adik menteri besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan bahawa sumbangan RM4 bilion itu merupakan satu bentuk bayaran pendahuluan daripada jumlah keuntungan daripada projek yang hendak dilaksanakan itu.

"Tiap-tiap negeri, bila buat projek usahasama, 20 peratus akan diperolehi kerajaan negeri, 80 peratus kepada (rakan niaga). Jadi bila bercakap tentang RM300 bilion, 20 peratus itu lebih kurang RM60 bilion.

"Jadi dalam RM4 bilion tadi, sebenarnnya (replika cek) itu tidak ada haribulan. Duit ini kita hendak beri bila kita dapat buat kerja (jalankan projek), dasar daripada 20 peratus tadi," tambahnya.

Katanya lagi, beliau telah berusaha untuk menjalankan projek tersebut sejak tahun 1998 lagi melalui sebuah syarikat dikenali Asas Naim Holdings.

"Pada masa itu Tuanku (Ismail Petra) masih sihat lagi," tambahnya.

Bagaimanapun, sumbangan RM4 bilion yang ingin disumbangkan kepada PAS seperti yang tercatat pada replika cek itu mencetuskan kontroversi.

PAS juga menafikan parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan. -mk


Ulasan GB

Cukup hebat.

Kita tiba-tiba dikejutkan ada jutawan, bukan, laksawan (lepas jutawan) di dalam negara kita yang mempunyai sebuah syarikat yang lebih hebat dari lain-lain syarikat yang tersenarai di bursa saham yang khabarnya ada kertas-kerja lengkap untuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7).

Semua ini gara-gara konsultan yang berada di belakang syarikat berkenaan yang menyiapkan semua kertas kerja. Konsultan ini memang diketahui mempunyai kepakaran menjanjikan usahawan dengan projek-projek mega seperti pembinaan logi Petronas, ECER dan sebagainya. Dan konsultan tidak bertauliah ini akan menjerat usahawan-usahawan yang mudah diperdayakan dengan bayaran tertentu untuk mereka "agihkan" projek-projek mega tersebut.

Konsultan ini tidak lain hanyalah "conman" - berlegar di beberapa buah hotel 5 bintang di KL, dan mereka mendakwa mempunyai hubungan-hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin UMNO, menteri-menteri, malah PM dan TPM juga, untuk memberikan kelulusan terhadap projek-projek mega yang mereka layarkan.

Conman ini akan membuat kertas-kerja yang canggih sehingga ia boleh meyakinkan pihak yang ditemuinya bagi mendapat surat sokongan yang kemudiannya dilayarkan ke bank bagi urusan mendapatkan pinjaman.

Salah seorang yang terjerat itu ialah Abdul Rahim Abdul Wahab, Pengerusi I'Da World Group Sdn Bhd yang tentunya telah bersama-sama dengan konsultan tersebut bagi menjalankan penipuan terhadap kerajaan negeri Kelantan. Beliau berjaya mendapatkan surat sokongan.



Surat di atas ternyata benar, daripada Pebadanan Menteri Besar Kelantan.

Tapi malang, seorang usahawan atas angin yang dikatakan ada syarikat bermodal dibenarkan RM1j ini membuat sumbangan RM4b, kepada parti pulak tu, bukan kerajaan negeri. Berdebus Mat Jenin jatuh ke tanah laksana cempedak busuk.

Terbongkarlah segala-galanya mengenai kisah Abdul Rahim dan Ida World ini.

Kata Sudin di dalam Seniman Bujang Lapok: Main-main kasar ..sekali aku cekik…gigi wak mana?...pergi bikin!


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kahkahkah. lawak lawak...

Tanpa Nama berkata...

dia ni nak alibabakan kelantan macam Tg Pagar dan Kg Baru agaknya?

Tanpa Nama berkata...

Suruh dia pasang gigi dulu,baru boleh buka mulut.

lah berkata...

Mace mano ahli PAS caye pelawok ni..