23 Sep 2010

Kes Sosilawati: DNA 8 Suspek Diambil Di HKL

Lapan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dipercayai bagi menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Gambar: SEBAHAGIAN daripada lapan suspek pembunuhan jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya diiringi anggota polis selepas menjalani ujian DNA di Hospital Kuala Lumpur, Rabu. - Foto BERNAMA

Kesemua mereka tiba di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu kira-kira jam 3 petang menaiki sebuah trak polis yang diiringi dua kereta peronda polis. Mereka yang dibawa dari Pusat Tahanan Bukit Jalil itu kemudian memasuki sebuah bilik dipercayai bagi mendapatkan sampel DNA berhubung kes terbabit. Tujuh daripada mereka dilihat memakai pakaian lokap berwarna oren manakala seorang lagi memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Kesemua mereka kemudian dilihat keluar dari perkarangan terbabit kira-kira jam 5 petang dan dikawal ketat anggota polis yang mengiringi mereka sebelum meninggalkan hospital itu.

Media cetak dan elektronik yang berkumpul di perkarangan hospital terbabit turut ditemani ratusan orang awam termasuk doktor, jururawat dan pesakit yang tidak melepaskan peluang melihat kehadiran suspek.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menerusi laman web sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, polis sudah menerima kembali kertas siasatan kes terbabit yang dipulangkan Pejabat Peguam Negara semalam.

"Proses terbabit adalah prosedur biasa bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: