15 Sep 2010

Beranikah Najib Arah Utusan Ditutup Dan Perkasa Di Bubarkan?

PM Tentang Sekeras-Kerasnya Perlakuan Puak Pelampau Di Negara Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menentang sekeras-kerasnya perlakuan puak-puak pelampau yang terdiri daripada kumpulan atau individu yang mempercayai pada pandangan dan tindakan radikal terhadap pihak lain.

"Saya berasa sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi.

"Apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini," katanya di dalam entri terbaru bertajuk "Perjuangan Kita Terhadap Faham Pelampau" dalam blognya www.1malaysia.com.my di sini.

Najib berkata kesedihan yang beliau rasakan itu adalah disebabkan golongan itu menolak cara hidup masyarakat di negara ini yang berbeza-beza serta menolak gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata ketika negara menyambut satu peristiwa penting dalam sejarah Malaysia esok (pembentukan Malaysia pada 16 Sept, 1963), terlalu banyak yang perlu dibanggakan kerana Malaysia kini sebuah negara yang sedang membangun dan cemerlang dalam banyak bidang seperti pelancongan, perbankan dan kewangan, hab halal, perubatan dan banyak lagi.

Beliau berkata Malaysia bertuah kerana berupaya melalui pengalaman dalam pelbagai budaya, beraneka makanan dan kepercayaan agama yang berbeza tanpa perlu pergi lebih jauh ke luar negara.

"Sungguhpun kita telah mencapai sekian banyak kejayaan, namun ianya menggusarkan hati saya apabila melihat kemunculan isu-isu yang berpunca daripada faham pelampau di negara kita.

"Ia bukan terhad kepada fahaman bersifat perkauman sahaja. Mereka menganggap pihak yang bertentangan fahaman dengan mereka sebagai musuh dan berusaha menakut-nakutkan pihak yang tidak menerima pemikiran atau ideologi mereka dan dalam keadaan tertentu pada orang-orang yang hanya kelihatan berbeza daripada mereka," katanya.

Najib berkata, oleh sebab itu, faham pelampau di negara ini terangkum kepada segala macam faktor, termasuk pertentangan kaum, seni, budaya, cara hidup dan sebagainya.

Beliau berkata sungguhpun bilangan kumpulan ini agak kecil, namun kehadiran mereka diperbesar-besarkan melalui sentimen dan tindakan melampau mereka, bagaimanapun kerajaan akan terus mengawasi kumpulan-kumpulan seperti ini.

"Kita telah menangani beberapa kejadian ekstrem dengan berkesannya di Malaysia, umpamanya kumpulan militan yang cuba membangkitkan konflik dan ternyata benar-benar merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kami akan terus melindungi rakyat dan negara daripada ancaman dari dalam ataupun luar, melalui darat, laut, udara mahupun ruang siber," katanya.

Najib berkata beliau juga bersyukur kerana rakyat Malaysia telah menahan diri daripada bertindak balas terhadap contoh perbuatan pelampau di rantau ini juga di seluruh dunia, malah sebaliknya mempamerkan kematangan sebagai satu bangsa dan sebagai 1Malaysia.

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya terus tenang dan berfikiran rasional dalam menghadapi kenyataan sedemikian. Dengan memberikan respons sepertimana yang mereka lakukan hanya akan menyemarakkan lagi ketegangan antara dua negara dan akan menjadi halangan kepada kemajuan ktia sendiri," katanya.

Beliau berkata keadaan ekonomi telah terjejas oleh tindakan-tindakan ekstrem itu dan selalunya jalan ke arah pemulihan itu sering kali panjang dan menyulitkan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mampu berperanan mengekang faham pelampau di tanah air kita dengan mendidik diri kita sendiri dan menyertai dialog yang sempurna dari segi pemikiran dan rasional.

"Maka kefahaman yang lebih mendalam mampu dicapai antara dua pihak yang berpandangan berbeza. Kita mesti memupuk kebijaksanaan kita untuk lebih terbuka kepada pandangan dan idea yang berbeza," katanya.

Najib berkata rakyat Malaysia mesti melatih diri untuk mengaplikasikan diplomasi dalam interaksi harian dengan orang lain dan perlu menerima 1Malaysia sebagai falsafah dalam menyelesaikan konflik kerana ia tentu akan memanfaatkan rakyat sebagai satu bangsa.

-- BERNAMA


Bukti ada pemimpin 'syok sendiri'

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my
IPOH 13 Sept. - Keputusan menjauhkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menunjukkan masih ada pemimpin UMNO yang 'syok sendiri' dan tidak memikirkan masa depan parti.

Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, tindakan tersebut juga seolah-olah memperlihatkan UMNO masih meletakkan garis pemisah antara orang Melayu yang mempunyai sentimen tinggi terhadap bangsa dan orang Melayu yang hanya pentingkan diri.

Sambil menyokong kenyataan dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Hamdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu berharap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak terus membuat kenyataan yang hanya akan menjauhkan orang Melayu daripada semangat asal penubuhan UMNO.

"Jangan letak garisan pemisah antara orang Melayu dalam UMNO dan dalam Perkasa. Jangan sebab nak jaga hati kaum lain, kita ketepikan golongan Melayu yang ada sentimen tinggi sayangkan bangsa sendiri.

"Beliau (Tengku Adnan) sepatutnya sedar bahawa orang Melayu di dalam Perkasa masih sayangkan UMNO. Hakikatnya, UMNO belum pulih sepenuhnya untuk mengasingkan diri daripada kelompok Melayu lain," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, keputusan UMNO menjauhkan diri daripada Perkasa boleh menyebabkan parti itu hilang sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Kata bekas Perdana Menteri lagi, meskipun ia tidak membabitkan jumlah yang besar tetapi kesannya terhadap peluang Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan kemenangan tetap ada.

Tengku Adnan yang mempengerusikan mesyuarat BN sebelum ini berkata, UMNO tidak akan menyokong Perkasa atau Presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.

Mengulas lanjut, Hamdi menegaskan, kewujudan Perkasa yang berjaya menarik penyokong di kalangan orang Melayu sepatutnya dijadikan iktibar oleh UMNO dalam memperkemaskan perjuangan agenda bangsa.

"UMNO merupakan sebuah parti Melayu, jika sebagai sebuah parti Melayu, UMNO tidak mendapat sokongan di kalangan orang Melayu sendiri adalah sukar untuk kita mempertahankan kerusi yang ada," katanya.- utusan



Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib, sokong Perkasa

Datuk Seri Nazri Aziz mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia seolah-olah memperlekehkan gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil berkata, sama ada akhbar milik Umno itu berkonspirasi mahu ‘menggantikan’ beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nazri memberitahu The Malaysian Insider bahawa arah aliran laporan Utusan Malaysia dan editorialnnya sejak kebelakangan ini menunjukkan akhbar harian itu terbitan Kumpulan Utusan sudah lupa siapa ketua mereka yang sebenarnya.

“Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka - Najib atau Dr Mahathir?

“Saya kadangkala tertanya-tanya jika mereka ada agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib,” kata beliau ketika dihubungi malam tadi.

Dr Mahathir bersara pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersara awal April 2009.

Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata, dengan memainkan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir menyokong pertubuhan hak Melayu Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali, ia dengan jelas memperkecilkan konsep 1 Malaysia dibawa oleh Najib.

“Mereka seharusnya mempromosikan konsep 1 Malaysia dan bukannya memperlekehkan program beliau. Saya lihat begitu... mereka menyokong Dr Mahathir,” katanya.

Jelas beliau ekoran perspektif laporan mereka, Utusan Malaysia mahu memberikan lebih banyak liputan kepada pendirian Dr Mahathir berbanding Najib.

“Mereka kelihatan mempunyai agenda sendiri. Adakah mereka mempunyai agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib?” kata beliau.

Bagaimanapun wakil rakyat dari Perak ini menegaskan, kemungkinan ini sangat tipis memandangkan akhbar harian dari Kumpulan Utusan ini adalah milik Umno yang presidennya ialah Najib.

Najib yang dipilih sebagai Presiden Umno akhir Mac 2009 dan kemudian sebagai Perdana Menteri yang keenam memperkenalkan konsep 1 Malaysia.

“Dan sudah tentu, 1 Malaysia adalah agenda Najib, maka akhbar dimiliki Umno seharusnya menyokong Najib dengan mempromosikan konsep 1 Malaysia.

“Tetapi, saya tidak tahu... saya tidak terlibat dalam soal ini secara langsung.

“Macam di Harakah, mereka mempromosikan program PAS, Suara Keadilan mempromosikan PKR, The Star mempromosikan MCA tetapi akhbar Umno Utusan tidak menyokong ketua sendiri,” katanya.

Nazri mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang secara terbuka menyokong dasar Perkasa dan pendirian-pendirian memihak pertubuhan bukan kerajaan meskipun Umno mengumumkan tidak menyokong dan mahu menjauhkan diri daripada Perkasa.

Umno, komponen dominan dalam Barisan Nasional juga mengambil pendirian yang sama pada mesyuaratnya minggu lalu atas alasan tidak mahu Perkasa menghakis sokongan kepada perikatan 13 anggota itu.

Utusan Malaysia membawa laporan meluas menyokong Perkasa semalam - antara komen pelbagai pihak termasuk orang ramai serta rencana di halaman editorial.

Rencana itu bertajuk “Kenapa memusuhi Perkasa” manakala tinjauan orang membawa tajuk “Majoriti orang Melayu menyokong Perkasa”.

Edisi Ahad, Mingguan Malaysia juga menyatakan pendiriannya mempertahankan Perkasa.

Ahad lalu, Dr Mahathir mengulangi sokongan kepada Perkasa dengan memberi amaran, Umno boleh kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-13 jika parti dominan BN memutuskan untuk menyisihkan pertubuhan hak Melayu tersebut.

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah,” katanya.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, Umno tidak seharusnya menjauhkan diri daripada Perkasa kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak undi berbanding prestasi dua tahun lalu.

Nazri berpendapat bahawa laporan tinjauan itu hanya berdasarkan temu bual terpilih dengan minoriti Melayu sambil menegaskan, ia tidak semetinya menggambarkan pandangan akar umbi.

“Bagi saya, mereka tidak mewakili perasaan orang Melayu di akar umbi kerana orang Melayu yang menyokong PAS akan terus menyokong PAS tanpa mengira apa yang diperkatakan oleh Utusan dan begitu juga pengikut PKR yang akan menyokong (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)... mereka tidak kisah apa yang Utusan kata, dan begitu juga yang membabitkan lain,” katanya lagi.

Nazri memberikan contoh persekitaran di bahagian Parlimen Padang Rengas, Perak dengan berkata, Perkasa tidak dapat mengocak pengundi-pengundi Melayu di kawasannya.

“Saya ketua Umno Padang Rengas... di akar umbi, tiada cakap-cakap mengenai Perkasa dan di bahagian saya, tiada mereka yang menyertai Perkasa.

“Begitu di bahagian jiran Kuala Kangsar, Sungai Siput, Lenggong, Bukit Gantang... Perkasa tiada impak langsung,” katanya.

Nazri menambah, Perkasa hanya dijadikan popular oleh Utusan Malaysia.

“Mereka tiada impak di kawasan luar bandar dan anda mahu tahu mengapa? Ini kerana pemimpin-pemimpin Perkasa adalah ahli Umno yang telah ditolak sebelum ini.

“Ahli Umno yang memegang jawatan dalam bahagian tidak akan menyokong Perkasa,” katanya.

“Lihat pada Ibrahim Ali, yang beliau sendiri adalah pemimpin ditolak oleh Umno. Timbalan beliau juga tewas dalam pemilihan bahagian dan begitu juga ketua pemudanya,” kata beliau lagi.

Ibrahim yang menubuhkan Perkasa dua tahun lalu telah dipecat Umno pada 2004.

Pada 2008, Ibrahim bertanding di Pasir Mas sebagai wakil Bebas atas tiket PAS tetapi memutuskan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen itu.-TMI



Khairy bidas Utusan kerana sokong PERKASA

Dalam edisinya hari ini, akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

Dalam reaksi kepada tindakan Utusan Malaysia itu, ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar - seorang daripada pengkritik hebat PERKASA - melancarkan serangan secara berselindung di akaun Twitter.

Khairy menulis bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”.

“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya.

Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan PERKASA dalam apa bentuk sekalipun.

Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PERKASA.

Mereka mendakwa pandangan melampau PERKASA berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong PERKASA dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu. -mk



Ulasan GB

Najib perlu arahkan supaya Utusan ditutup, dan PERKASA dibubarkan jika Najib serius ingin mengatasi masalah golongan pelampau yang menggagalkan gagasan 1Malaysia. Tiada jalan lain. Tiada kompromi. Kerana itu saja penyelesaiannya yang praktikal.

Beranikah Najib?

Jangan hanya lantang bersuara tetapi takut untuk bertindak.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Najib dgan apacara sekalipun tidak boleh mengharamkan PERKASA dan jika di haramkan pun PERKASA telah mempunyai ahli yg ramai dan kebanyakan ahli ada lah orang UMNO dan sekiranya najib membatalkan permit utusan/perkasa semua ahli PERKASA yg menyokong UMNO tidak akan mengundi UMNO. SEMUA ahli perkasa ramai yg menyokong UMNO dan jgn dgr musuh umno cakap