15 Sep 2010

Dua Telefon Bimbit Dan Kunci Kereta Juga Ditemui

Kes bunuh Sosilawati: Kesan dua telefon bimbit dalam sungai

Polis menemui petunjuk terbaru apabila dua daripada tiga telefon bimbit milik mangsa bunuh dan bakar yang dipercayai dibuang di Sungai Kanchung Laut, ditemui kelmarin.

Menurut sumber, telefon berkenaan diperoleh ketika operasi mencari bukti yang dilakukan selepas penemuan jam tangan berjenama milik Datuk Sosilawati Lawiya. Usaha mencari senjata digunakan bagi membunuh mangsa digiatkan pasukan forensik polis di kawasan itu dan dibantu unit gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Kanchung Laut di sini, semalam Dalam operasi bermula jam 12 tengah hari itu, forensik menemui satu lagi jam tangan turut mempunyai nombor siri menjadikan dua jam tangan ditemui sehingga semalam.

Tiga suspek juga dilihat dikawal rapi Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Kuala Lumpur yang dibawa bagi mengecam barangan ditemui.

Seorang daripada suspek dibawa ke lokasi itu selepas polis menggeledah pejabat firma guaman suspek utama kira-kira jam 2 petang.

Suspek dibawa kembali ke lokasi sungai berkenaan kira-kira jam 3.15 petang sebelum dilihat mencangkung di tepi jambatan mengecam barang ditemui.

Menurut sumber, polis sedang mencari besi tajam mencantas tandan kelapa sawit termasuk pencangkuk besi yang digunakan ketika menyembelih mangsa, namun masih belum ditemui sehingga petang semalam. Bagaimanapun, satu pisau ditemui pasukan penyelam forensik kira-kira jam 4.20 petang di sungai terbabit namun dipercayai tidak digunakan suspek apabila mereka tidak mengaku senjata berkenaan milik mereka. -HM


Kunci kereta ditemui

Sepasukan polis menemui ‘objek’ dipercayai kunci kereta selepas dua daripada lapan suspek yang ditahan dibawa ke lokasi asal penemuan kereta mewah jenis BMW X5 milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47 di Apartmen Angsana, USJ 1 di sini, semalam.

Polis tiba di lokasi berkenaan kira-kira jam 7.25 malam sebelum dua suspek terbabit membawa mereka ke kawasan semak kira-kira 50 meter dari tempat letak kenderaan apartmen itu.

Selepas 30 minit, suspek berpakaian lokap terbabit berhenti sambil diiringi polis di satu kawasan sebelum pemeriksaan lanjut menemui objek dipercayai kunci kenderaan mewah berkenaan dipercayai dibuang suspek.

Sementara itu, semua mangsa dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki lain dikatakan pada mulanya dipukul dengan kayu kriket dan senjata tumpul lain dengan tujuan melemahkan mereka sebelum tangan diikat menggunakan dawai.

Difahamkan semua mangsa yang dalam keadaan lemah itu dikatakan dibunuh seorang demi seorang dan tugas kejam terbabit diserahkan kepada seorang daripada lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes kehilangan empat mangsa itu.

“Tubuh mereka dilumur dengan tahi lembu sebelum semua mangsa dibakar bagi menghilangkan bukti kes pembunuhan kejam terbabit.

“Suspek yang melakukan perbuatan ini boleh dianggap kejam dan langsung tidak berhati perut kerana membiarkan mangsa menderita sebelum menemui ajal.

“Malah, mereka diperlakukan umpama haiwan hanya kerana sikap suspek yang dikatakan terlalu tamak dengan wang ringgit,” katanya. -HM




Tiada ulasan: