7 Jul 2010

Polis Pekakkan Telinga Supaya Jangan Sesuka Hati Menembak Mati

SUARAM merujuk kepada insiden penembakan mati empat orang suspek penjenayah samun di rumah Wan Adnan di Kuantan pada 5 Julai 2010 yang lalu. SUARAM menghargai pengawai polis yang menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan rakyat dalam kes tersebut, namun pihak polis tidak sepatutnya menggunakan senjata api dan menembak mati keempat-empat suspek tersebut. Pihak polis sepatutnya cuba untuk menahan supaya mereka boleh dibicarakan di mahkamah kemudian. Dengan menggunakan senjata api untuk menembak seseorang sampai mati, pihak polis telah mencabuli hak asasi setiap suspek yang telah ditembak mati ketika proses penahanan.

SUARAM sebagai sebuah badan hak asasi manusia, menyeru kerajaan Malaysia supaya memastikan pihak berkuasa terutamanya PDRM menghormati hak untuk hidup setiap manusia semasa menjalankan tugas. Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia, Artikel 3 menyatakan bahawa "Setiap orang berhak untuk hidup" dan Artikel 5 menyatakan bahawa "Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan."

Artikel 4 dalam Prinsip Asas Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pihak Penguatkuasa 1990 (Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law Enforcement Officials) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa "Pegawai-pegawai pihak penguatkuasa, dalam menjalankan tugas seboleh mungkin menggunakan cara tidak keras sebelum terpaksa menggunakan kekerasan dan senjata api."

Mengikut statistik rasmi kerajaan, antara tahun 2007 hingga 2009 <*1>, terdapat sebanyak 183 nyawa dikorbankan akibat ditembak mati oleh polis. Pihak polis sepatutnya menggunakan alternatif lain selain daripada senjata api dalam operasi penangkapan suspek penjenayah. Malah, rakyat risau dan bimbang dengan penggunaan senjata api oleh pihak polis khususnya, kerana sehingga hari ini tiada satu mekanisme dan akauntabiliti dalam kes-kes penggunaan senjata api oleh pihak polis.

Akhirnya, kami menyeru kerajaan untuk mewujudkan satu mekanisme yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api di kalangan polis serta mendedahkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera agar penyalahgunaan kuasa polis tidak berulang lagi dan pemeriksaan awam dapat dijalankan terhadap penggunaan senjata api oleh pihak polis.

<*1> Pemberitahuan Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Dewan Rakyat, Rujukan No: 2357 , 18 March 2010.

*Kenyataan oleh Yap Heng Lung selaku penyelaras SUARAM.


Polis tembak mati 4 lelaki cuba samun rumah exco Pahang

Polis sedang memburu seorang penjenayah yang berjaya melarikan diri selepas empat rakannya ditembak mati selepas memecah masuk kediaman seorang exco kerajaan negeri Pahang di Jalan Teluk Sisek di Kuantan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, mereka memecah masuk kediaman Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat untuk melakukan samun.

Menurut polis, penyamun berkenaan mengumpil pintu sebelah tepi rumah dua tingkat itu.

Ketua Polis Pahang Datuk Robiah Abdul Ghani berkata Wan Adnan bersama enam anggota keluarganya dan dua pembantu rumah tidak cedera.

"Datuk Wan Adnan dan keluarganya ketika itu berada di tingkat atas rumah dan bertindak menghubungi polis," kata Robiah kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, polis melihat kelima-lima lelaki terbabit bergegas keluar dari rumah berkenaan.

"Suspek cuba menerpa dengan parang, dan polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan empat suspek mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi melarikan diri," katanya.

Robiah berkata semua lelaki terbabit yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditembak di kawasan berhampiran rumah exco berkenaan. Bagaimanapun identiti mereka belum dikenalpasti.

"Suspek yang melarikan diri itu dipercayai mengalami kecederaan ketika melarikan diri dan bukannya akibat ditembak. Dia memakai baju berwarna merah," katanya.

Polis menemui sebilah parang, satu alat pemotong, sebilah pisau pemotong daging dan penyungkil tayar.

"Suspek juga dipercayai menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu. Berdasarkan modus operandi yang sama dengan beberapa kes samun sebelum ini, polis percaya kumpulan itu juga terbabit dalam kejadian samun lain," katanya.

Beliau berkata polis kini melancarkan gerakan bagi memburu lelaki yang melarikan diri itu.

"Kami meminta semua klinik atau pengamal perubatan melaporkan kepada polis jika didatangi lelaki berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang mahu mendapat rawatan kecederaan," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati peluru senjata api kepunyaan Wan Adnan dilapor hilang. Bagaimanapun jumlah peluru yang hilang belum dipastikan.

- Bernama


Ulasan GB

Polis MASIH berani untuk berdegil menggunakan taktik TEMBAK MATI sekalipun sebelum ini rakyat telah membicarakan tentang kewajaran polis bertindak sedemikian di dalam menjalankan tugas mereka.

Kisah serupa di dalam mana-mana kejadian sebegini - tembak mati - alasan: anggota diserang dengan parang dan dikatakan "polis menemui sebilah parang, satu alat pemotong, sebilah pisau pemotong daging dan penyungkil tayar".

Tidak ada kejadian berbalas tembak, menunjukkan hanya polis yang memiliki dan menggunakan senjati api untuk menembak sekalian 4 orang yang dikatakan penjenayah.

Itu polis pengecut dan bacul namanya! Dah tembak mati sebelum jenayah dibuktikan berlaku.

Nak tembak GB? Tembak... lepas tu esok akhbar akan melaporkan bahawa polis dalam sidang medianya menytakan GB serang polis dengan parang!


4 ulasan:

blogenstarz berkata...

SIARKANLAH KOMEN INI !
Banyak insiden yang melibatkan PDRM telah dimanipulasi oleh pihak tertentu.Terutama berkaitan dengan KEMATIAN !
Yang peliknya kematian anggota Polis yang dilanggar oleh Tian Chua tidak pernah mendapat pembelaan.
Tetapi bila kematian yang melibatkan orang tertentu,mulalah ianya menjadi isu hangat hingga dibawa keParlimen.
Mengapa ada pilih kaseh !!!!
PDRM bukannya ROBOT yang tiada perasaan.
Siapa yang suka membunuh dan siapa yang suka dibunuk.
Jka dibandingkan diSingapura.
Kredebiliti POLIS disana langsung tidak brani disentuh olih sesiapa.Begitu juga diTailand dan Indonesia.Apa lagi diCINA. Merekalah Juara !
Tetapi diMalaysia,PDRM diperlekehkan olih rakyat sendiri !!!!! Langsung tidak dihargai pengorbanannya !!!
Mengapa jadi begini......

Greenboc berkata...

blogenstarz

Mmg ada beberapa komen anda tidak disiarkan kerana di dalamnya penuh dengan fakta yang salah dan hujah yang merapu.

Contohnya komen di atas, saya siarkan kerana anda meminta supaya disiarkan walhal ia tidak layak disiarkan.

Kesalahan 1) Anda menyatakan bahawa Tian Chua melanggar anggota polis sehingga mati. Sila semak semula kejadian itu. Fakta anda SALAH.

Kesalahan 2) Anda menyatakan ... di Singapura. Kredebiliti POLIS disana langsung tidak brani disentuh olih sesiapa. Itu tanggapan anda. Faktanya tidak berasas kepada sebarang kajian.

Kesalahan 3) Anda menulis "Tetapi diMalaysia, PDRM diperlekehkan olih rakyat sendiri !!!!! Langsung tidak dihargai pengorbanannya".

Diperlekehkan kerana polis sendiri yang bersikap perlu diperlekehkan. Pengorbanan? Semua warganegara berkorban bukan hanya polis. Tetapi yang lain tak mengambil jalan untuk menembak mati orang lain.

Banyak lagi sebenarnya hujah kamu yang tidak berdasarkan fakta tetapi hanya sentimen melulu dan mengampu tak menentu.

Wassalam

blogenstarz berkata...

TQ GB.
Bermakna ada perhatian....
Begitulah, jika MARAH , GERAM , menguasai ARTIKEL dan KOMEN !

Tanpa Nama berkata...

rakyat mati dulu.