8 Apr 2010

Shahidan Masih Idam Jawatan MB Perlis

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menafikan wujud 'fear factor' dalam kalangan penjawat awam termasuk wakil rakyat di negeri ini sehingga boleh menjejaskan urusan pentadbiran negeri seperti yang didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Tiada 'fear factor'. Sekarang ini bukan saya yang menakutkan tetapi saya ditakutkan. Saya tidak pernah cop mana-mana pihak kerana mahu menjaga hubungan sesama manusia walaupun berbeza pendapat dari dalam atau luar parti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 yang pertama 2010 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, semalam.

Ketika membahaskan rang undang-undang itu kelmarin, Shahidan mendakwa, wujud 'fear factor' atau perasaan takut dalam kalangan penjawat awam termasuk wakil rakyat di negeri ini untuk berhubung atau berbaik-baik dengannya (Shahidan) akibat larangan atau teguran oleh pegawai Dr Md Isa.

Menteri Besar berkata, beliau juga tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk pergi menunaikan umrah yang ditaja oleh pihak tertentu kerana ia adalah urusan agama yang tidak wajar dipolitikkan.

Mengenai kajian penilaian yang dijalankan oleh Majlis Tindakan Anak Negeri Perlis (Mantap), beliau yang ADUN Bintong berkata, ada memberi respons setelah ditanya oleh akhbar .”Saya jarang memberi respons kepada akhbar tetapi apabila mereka tanya, saya hanya beri respons,” katanya.

Ketika itu, Shahidan bangun sambil berkata: "YB baik, tapi tidak tegur orang yang wujudkan suasana ini dan libatkan jentera parti dan orang yang membantunya seperti mengeluarkan kata-kata, dok kena bayar hutang (yang kononnya ditinggalkan oleh Shahidan sewaktu menjadi Menteri Besar)."

Dr Md Isa memberi jaminan akan mengambil maklum dan tindakan untuk membaiki keadaan agar menjadi lebih baik.

“Wakil Pas ada membangkitkan soal tukar pucuk pimpinan. Itu adalah perkara biasa kerana di peringkat Pusat pun berlaku pertukaran kepimpinan dengan beberapa kali perubahan tarikh.

Pendirian saya adalah akan bersama di sini untuk memajukan negeri kita tanpa mengira orang Barisan Nasional (BN) atau Pas,” katanya.

Shahidan yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Besar itu terus bertanya, siapakah yang dimaksudkan dengan perubahan tarikh itu.

Dr Md Isa lantas menjawab: “Saya merujuk kepada PKR (Parti Keadilan Rakyat)" lalu disambut oleh Shahidan: “Saya terasa dengan kenyataan itu kerana Dr Md Isa pernah berkata dalam akhbar kononnya ada orang yang tergila-gila nak jadi MB”.

Menteri Besar lalu menjawab: “Saya tak kata begitu”.

ADUN Pas dari Sanglang, Hashim Jasin kemudian mencelah, “Ramai gila nak jadi MB, yang dok (ddudk) depan tu pun”, menyebabkan mereka yang berada di dalam dewan tertawa.

Shahidan kemudian mencelah: “Tengok-tengok, ia (MB) sesuai untuk saya. YB (Hashim) dah 70 tahun”.

Persidangan Dewan kemudian ditangguhkan. -SH

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mamat dua orang ni masing-masing ada kem. Memang kem-kem ni adalah permainan UMNO sejak dulu. Nak jadi juaralah katakan.

Tanpa Nama berkata...

macam mahathir juga idam nak jadi PM lagi

Tanpa Nama berkata...

rosmah juga ada hati nak jadi PM..

Tanpa Nama berkata...

kesian ya.............