8 Apr 2010

PRK Hulu Selangor: PKR Ada Kelebihan – Khir Toyo

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai kelebihan dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini kerana berjaya memainkan isu-isu perkauman khususnya untuk menarik pengundi Melayu.

Selain itu, bekas menteri besar Selangor berkata, 16,964 pengundi Cina iaitu 26.3 peratus daripada 64,500 pengundi yang mengundi PKR dalam pilihanraya umum lalu belum kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Khir Toyo yang juga bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor itu berkata, PKR telah memainkan isu perkauman apabila mendesak BN supaya meletakkan calon Melayu di parlimen tersebut.

"PKR yang rasis telah membuat provokasi kepada Umno supaya meletakkan calonnya kerana PKR akan meletakkan calon Melayu.

"Banyak penyokong Umno sudah termakan isu dan kemungkinan besar mereka akan mengundi parti pembangkang yang meletakkan calon Melayu.

"PKR boleh letak calon Melayu tetapi jika BN letak calon Umno, maka orang tidak akan percaya lagi kepada parti itu," katanya ketika diminta mengulas keputusan BN untuk meletakkan calon MIC dalam pilihanraya Hulu Selangor.

Semalam semasa menutup Kovensyen BN Selangor di Shah Alam, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN negeri mengumumkan BN akan meletakkan calon dari MIC.

Sebelum ini, ada ura-ura Umno mahu meletakkan calonnya bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib bertanding di kerusi tersebut.

Mengulas perkara tersebut, Dr Khir yang kini Adun Sungai Panjang berkata, dakwaan tersebut merupakan provokasi yang dibuat oleh PKR bertujuan untuk memecahbelahkan undi Melayu.

"Umno tidak boleh bertanding di situ kerana ia merupakan kerusi tradisi MIC.

Jika Umno meletakkan calonnya, orang tidak akan percaya lagi kepada parti Melayu itu," tambahnya.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, daripada kira-kira 32,000 pengundi Melayu, 15,000 merupakan penyokong PAS dan Umno hanya 17,000 orang.

Beliau menambah, sehingga ini pengundi Cina yang menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 belum kembali ke pangkuan BN.

"Saya rasa pengundi Cina akan menjadi penentu kemenangan kali ini," katanya.

Dr Khir juga berkata, kerajaan Selangor akan menggunakan semua jentera kerajaan untuk membantu kemenangan calon Pakatan Rakyat.

Katanya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuka sebuah pejabat di Hulu Selangor sebagai persiapan menghadapi pilihanraya kecil itu.

"Dia (Khalid) tidak pernah melawat Hulu Selangor tetapi oleh kerana adanya pilihanraya (kecil) beliau telah mengadakan mesyuarat exco dan saya difahamkan meluluskan berjuta-juta ringgit untuk penduduk di kawasan parlimen tersebut.

"Khalid sudah mula tabur janji dan projek untuk penduduk Hulu Selangor," tambahnya lagi.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad baru-baru ini.Dalam pilihanraya lalu, Zainal mengalahkan calon MIC, Datuk G Palaninel dengan majoriti 198 undi.

PKR dijangka meletakkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bertanding di situ.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon dan 25 April hari mengundi. -FMT

2 ulasan:

Tok Pambu berkata...

UMNO itu sendiri belum stabil dan pulih selepas kecederaan PRU12 yang lepas.

Perpecahan kaum melayu ini lah yang pasti akan memusnahkan UMNO. Hingga kini sudah lebih 30% melayu yang menolak UMNO.

Parti2 komponen BN semakin parah, terutama nya MCA. Tidak ada manusia yang berakal dan berbudi pekerti yang baik mahukan pemimpin yang tidak bermoral.

Kaum cina sudah solid menyokong DAP. Begitu juga dengan kaum india. Kini UMNO boleh lah teruskan berjuang bersama 'PERKASA' yang sentiasa menjulang keris nya.

Tanpa Nama berkata...

Semua yang berlaku dalam MCA adalah lakunan semata-mata kaum cina..mereka cukup cerdik berpolitik dalam mencapai matlamat mereka. Mereka tahu dengan DAP yang kuat dalam PR maka semua tuntutan mereka pasti akan tercapai. Ini kerena DAP akan bertindak like big Brother seperti UMNO dalam BN. Kita adalah melayu yang bodoh atas sebab politik keris pun dijadikan isu padahal itu lambang warisan datuk nenek moyang mereka..