18 Mac 2010

Sultan Selangor Tidak Akan Hadir Mesyuarat Agung Pertama Perkasa

Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memutuskan untuk tidak berangkat merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini.

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Banir berkata pembatalan itu bagi mengelakkan salah tanggapan dan manipulasi pihak-pihak tertentu terutamanya dalam keadaan politik sekarang.

Pada asalnya baginda telah berkenan berangkat dan menyampaikan titah perasmian selepas mengambil kira perjuangan Perkasa yang mempertahankan institusi raja, hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Baginda bercadang untuk menasihatkan Perkasa agar tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu perkauman dan harus berusaha mencapai objektif menerusi saluran dan undang-undang sedia ada, katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Namun kata Mohamad Munir, selepas mengambil kira nasihat beberapa Anggota Dewan Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin membatalkan hasrat kerana berpandangan walaupun Perkasa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi ianya diterajui seorang ahli politik.

"Baginda khuatir keberangkatan baginda akan disalahtafsir oleh pihak-pihak tertentu sebagai memihak kepada ahli politik berkenaan," katanya.

Mohamad Munir berkata baginda turut berharap pihak yang terlibat tidak menyalahkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kerana beliau tidak berniat untuk menggunakan nama Sultan Selangor semasa menghantar jemputan ke mesyuarat tersebut.

Surat mengenai pembatalan hasrat baginda bertarikh 12 Mac lepas itu telah dihantar ke pejabat Perkasa dan menjelaskan sendiri maksud pembatalan keberangkatan Baginda itu, katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Sultan Sharafuddin tetap berharap mesyuarat agung pertama Perkasa itu dapat berjalan lancar dan pertubuhan itu akan menjadi sebuah NGO Bumiputera yang beintegriti.-- BERNAMA


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

King of Frog ni tak melompat tinggilah.