18 Mac 2010

Abdullah Karim Siap Sedia Untuk Dipanggil

Exco Pemuda PAS Abdullah Karim - yang mendakwa terdapat 'konspirasi' beberapa pemimpin parti itu bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat - sedang menunggu dipanggil memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

“Setakat ini (saya) belum dapat makluman rasmi berkaitan perkara tersebut. Saya serahkan sepenuhnya kepada keputusan pimpinan pusat PAS ,” katanya ketika ditanya sama ada aduannya dibuka kembali.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu Malaysiakini, walaupun aduan Abdullah terhadap tiga pemimpin parti itu ditolak pada mulanya, pihaknya akan memanggil exco terbabit bagi mendengar sendiri penjelasannya.

Selepas kontroversi penggantungan jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dua bulan lalu, Abdullah tampil sebagai tokoh muda paling lantang mengkritik keputusan jawatankuasa disiplin PAS itu.

Beliau juga dilaporkan menyatakan keraguannya terhadap peranan pejabat agung PAS yang diberi kuasa menapis aduan ahli-ahlinya apabila mendakwa laporannya sendiri tidak mendapat sebarang respons.

Malaysiakini difahamkan ketiga-tiga pemimpin yang disebut oleh Abdullah amat rapat dengan pemimpin kanan PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Difahamkan juga seorang daripada mereka memegang jawatan penting dalam PAS Selangor manakala seorang lagi pernah menjadi calon PAS pada tahun 1999.

Ketika dihubungi Malaysiakini melalui e-mel malam tadi, Abdullah bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama terbabit kerana hanya pejabat agung merupakan pihak yang terbaik untuk dirujuk dalam isu tersebut.

“Saya masih menunggu perkembangan lanjut (berhubung aduan itu). Dan pada masa yang sama saya akan dapatkan nasihat dari kawan-kawan dan pimpinan PAS di Malaysia,” katanya yang kini menetap sementara di United Kingdom. -mk

Tiada ulasan: