12 Mac 2010

SPR Tidak Waras Tolak Pilihan Raya PBT

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap alasan yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menolak cadangan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan sebagai tidak masuk akal dan pemikiran cetek daripada sebuah badan bebas yang kononnya bertindak secara profesional.

Guan Eng yang terkejut dengan sikap yang ditunjukkan SPR menyifatkan alasan yang diberikan badan itu tidak waras dan bukan satu alasan tidak mempunyai pengalaman mengendalikan pilihan raya PBT bukan sesuatu yang munasabah.

Jelas beliau lagi sekiranya SPR benar-benar tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pilihan raya itu, banyak saluran dan cara yang boleh dilakukan seperti mendapatkan pendapat dan pendekatan daripada negara-negara yang pernah mengurus pilihan raya seperti ini.

”Terdapat 192 negara di dalam dunia ini dan 101 negara telah mengamalkan pilihan raya kerajaan tempatan sejak sekian lama.

"Ini bermakna lebih 50 peratus negara di dunia mengamalkan dasar demokrasi yang berteraskan kepada rakyat.Mengapakah Malaysia tidak boleh turut serta seperti 50 peratu negara yang memberikan hak dan kuasa kepada rakyat memilih pemimpin kerajaan tempatan,” soal beliau.

Guan Eng yang bercakap pada sidang media di pejabat semalam memberitahu bahawa beliau dan kerajaan negeri akan tetap dengan pendirianya mahu mengadakan pilihan raya PBT dan sekiranya perlu beliau sendiri akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.

Tambah Ketua Menteri dengan terlaksananya pilihan raya PBT langkah itu mampu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ahli majlis kerana mereka akan bekerja lebih kuat dan meningkatkan akauntibiliti dalam menjalankan tugas.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P. Ramasamy berkata alasan yang diberikan sukar diterima oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata pilihan raya ini adalah satu ujian kepada SPR bagi menunjukkan samada ia dianggap "Pak Turut” yang mengikuti semua arahan Umno dan Barisan Nasional.

Pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan sejak tahun 1960-an di mana pegawai-pegawai tertinggi PBT dan juga ahli-ahli majlis yang bertindak sebagai penasihat dan penggubal undang-undang kecil di PBT tidak lagi dipilih rakyat di kawasan terbabit.

Mereka kini dilantik oleh kerajaan negeri dan langkah ini telah menimbulkan masalah kepada rakyat lantaran prestasi dan perkhidmatan yang tidak memuaskan.



Tiada ulasan: