12 Mac 2010

Datuk Ramli Yusof Dibebaskan Dari Tuduhan Gagal Isytihar Aset

Setelah perbicaraan lebih dua tahun setengah, bekas pemimpin ketiga tertinggi dalam pasukan polis diraja Malaysia, Datuk Ramli Yusuff dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini tanpa dipanggil membela diri berhubung dakwaan tiga kes kegagalan mengisytiharkan asetnya.

Hakim M Gunalan membuat keputusan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah gagal membuktikan kes prima facie ke atas Ramli.

Jawatan terakhir Ramli adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID) dan beliau menyertai PDRM pada 1979.

Dia juga merupakan pegawai tertinggi polis yang pernah didakwa SPRM setakat ini.

Sebanyak 35 saksi pendakwaan memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu termasuk dua adik Ramli, Roslina dan Rohmah.

Rakan Ramli, Datuk Ling Keak Ming, yang membantu dua adik perempuan bekas pegawai kanan polis itu memperoleh dua lot kedai di Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur turut memberikan keterangan.

Ramli, 57, dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan 20,000 unit saham Telekom Malaysia Berhad, 154,000 unit saham Permaju Industries Berhad dan kepentingan dalam dua lot pejabat itu bernilai RM1,032,840.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya BPR di Putrajaya pada 17 Sept, 2007.

Sebelum didakwa pada 2007, Ramli mendakwa beliau dan pegawainya dijadikan mangsa setelah jabatan yang diketuainya bertindak menyiasat aktiviti kongsi gelap yang berkaitan dengan seorang ahli perniagaan Johor, Goh Cheng Poh @ Tengku.

Kegiatan kongsi gelap dan kegiatan 'bawah tanah' itu dikaitkan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika ini, yang kemudiannya dikenakan perintah tahanan terhad oleh jabatan Rahim.


Berikutan tindakan itu, Pejabat Peguam Negara enggan mengeluarkan affidavit untuk permohonan habeas corpus untuk Goh dan Ramli dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Johari Baharom terpaksa mengupah peguam Rosli Dahlan untuk berbuat demikian. --Malaysiakini



1 ulasan:

Awanama berkata...

ini lah buktinya betapa Mahkamah Malaysia begitu berintageriti sehinggakan semua pemimpin tertinggi umno/bn yang menghadapi tuduhan rasuah & pecah amanah bernilai jutaan ringgit RM dengan begitu mudah dilepas & dbebaskan tanpa merlu membela diri.
in other word "no case".