2 Mac 2010

Rais Mahu Memaksimumkan Penguatkuasaan Akta Komunikasi Dan Multimedia

Ketika dunia bercakap mengenai kepentingan maklumat menerusi internet, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula mahu melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke tahap maksimum.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan latihan tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang itu.

Rais berkata demikian ketika diwawancara dalam rancangan bual bicara "Soal Jawab" terbitan TV3 yang dipancar secara langsung, malam semalam.

Sekalipun berjanji, kononnya kerajaan tidak akan menyekat kebebasan maklumat internet, Rais memberi alasan penguatkuasaan sedemikian perlu kerana rakyat tidak boleh menerima informasi media baru secara bulat-bulat.

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk melantik seorang pegawai khas dari Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kemungkinan undang-undang sedia ada, diperketat.

Rais juga menganggap tindakan penguatkuasaan undang-undang pada tahap maksimum itu sebagai langkah penting bagi menyekat apa yang dilabelnya sebagai unsur negatif yang disebar menerusi internet.

Lantaran itu, beliau meminta setiap individu di negara ini supaya berhati-hati dalam penulisan di internet dan tidak mengugat keselamatan negara.

Beliau turut mendedahkan sebanyak 113 kes berkaitan akta itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan 12 daripadanya sedang diteliti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kerajaabn BN menyekat kebebasan bersuara dan mendapatkan maklumat rakyat

Tanpa Nama berkata...

kebebasan bersuara rakyat hanya berlaku jika BN tak perintah malaysia lagi