17 Dis 2009

Krisis Perebutan Takhta Kelantan : Tg Temenggong Cabar Pemangku Raja

Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra yang minggu lalu menang dalam kes saman terhadap isterinya Manohara Odelio Pinot, seorang bekas model yang kini berada di Indonesia, kembali ke mahkamah.

Kali ini, Tengku Fakhry mencabar kesahihan tindakan kekandanya Tengku Muhammad Faris Petra yang melucutkannya daripada Majlis Perajaan Negeri.

Majlis Perajaan Negeri bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan Kelantan dan sama ada wujudnya kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah untuk tempoh yang lama.

Ia terkandung dalam perlembagaan negeri Kelantan.

Difahamkan Tengku Fakhry, 31, menerima surat dilucutkan kedudukan yang bertarikh 16 Sept 2009 daripada Tengku Faris.

Tengku Muhammad Faris Petra selaku Tengku Mahkota Kelantan, kini merupakan Pemangku Raja Kelantan susulan kegeringan yang dihadapi Sultan dan dirawat di Singapura.

Tengku Faris dilantik sebagai Pemangku Raja Mei lalu sehingga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra sembuh dari kegeringan.

Surat itu menyatakan bahawa Tengku Fakhry telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai salah seorang anggota Majlis Perajaan Negeri.

Pada Ahad lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Manohara supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepada Tengku Fakhry.

Hakim Syarie Mohd Yusof Awang berkata perintah itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja Tengku Fakhry melafazkan sumpah “Yamin Istizhar” (sumpah jelas) di mahkamah itu pada 3 Jan depan.

Manohara yang memakai gelaran Cik Puan Temenggong, juga perlu membayar jumlah hutang itu secara sekali gus dalam tempoh 30 hari selepas selesai sumpah berkenaan disempurnakan.

Turut dinamakan dalam tindakan undang-undang terbaru Tengku Fakhry ini ialah ketua setiausaha negeri, mufti negeri, kerajaan Kelantan dan empat lagi kerabat diraja.

Setiausaha kerajaan negeri juga merupakan setiausaha majlis tersebut.

Tengku Fakhry mendakwa pelantikannya dalam majlis tersebut adalah sah kerana ia dibuat oleh ayandanya.

Kemudian beliau dimaklumkan bahawa pelucutan kedudukannya dibuat oleh Tengku Faris, 35.

Tengku Fakhry mengemukakan permohonan agar keputusan kekandanya itu diketepikan atas alasan Pemangku Raja itu tidak boleh membuat keputusan sedemikian dan ia hanya boleh dilakukan oleh Sultan sendiri.

Tengku Faris dianggap bertindak di luar kuasanya dan sebagai Tengku Mahkota Kelantan, kes melibatkan baginda itu boleh dikaji oleh mahkamah rayuan.

Tengku Fakhry diwakili oleh peguam K. Shanmuga.

Tengku Fakhry juga memohon untuk mengetepikan keputusan Tengku Faris melantik Datuk Hashim Datuk Yusoff, Datuk

Tengku Salwah Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Haji Che Mohd Rahim Jusoh and Kol. Dr. Mohammad Razin Kamarulzaman (responden keempat hingga kelapan) sebagai anggota Majlis Perajaan Negeri atas alasan pelantikan mereka tidak konsisten dengan Artikel 7 Perlembagaan Kelantan.

Permohonan itu difailkan pada 1 Dis lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md. Yusof menetapkan 31 Dis ini untuk menentukan sama ada permohonan itu akan diteruskan ataupun sebaliknya. -Shazwan Mustafa Kamal

TERKINI


Tengku Fakhry Tak Boleh Cabar Keputusan Pemangku Raja - Peguam

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak boleh mencabar keputusan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra iaitu Pemangku Raja Kelantan, yang melucutkannya daripada senarai bakal pewaris takhta, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu pada hari Rabu.

Peguam Persekutuan Kanan Datin Azizah Nawawi berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengadili isu berkenaan kerana keputusan Pemangku Raja melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan, adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

"Kami menggesa mahkamah ini untuk menolak permohonan mendapatkan kebenaran berasaskan kepada prerogatif Pemangku Raja mengikut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan mengenai pelantikan dan pembatalan anggota Majlis adalah tidak boleh diadili," kata Azizah.

Beliau membantah permohonan bagi semakan penghakiman yang difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry, 31, bagi membatalkan keputusan Tengku Muhammad Faris pada 16 Sept lepas dan satu deklarasi bahawa pembatalan itu adalah bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Kelantan.

Dalam permohanan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah daripada mahkamah yang menghendaki Tengku Muhammad Faris untuk mengembalikan keanggotannya dalam majlis dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Pemangku Raja, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Kelantan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Lima responden lain ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.

Menurut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan, majlis itu bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan dan memastikan sama ada wujud kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah negeri lebih dari setahun.

Tengku Muhammad Faris selaku Tengku Mahkota Kelantan, dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berikutan kegeringan Sulan Kelantan pada 24 Mei lepas.

Dalam penghujahannya hari ini, Azizah berkata istilah "Duli Yang Maha Mulia" dalam Perlembagaan Kelantan meliputi Pemangku Raja dan sehubungan itu, Pemangku Raja mempunyai budi bicara mutlak mengenai isu pembatalan pelantikan kepada Majlis mengikut Perkara 7 perlembagaan negeri.

"Prerogatif seumpamanya hanya boleh dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia sendiri dan dengan itu tidak boleh diadili," katanya.

Peguam K. Shanmuga, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry berhujah bahawa Pemangku Raja tidak berkuasa penuh memandangkan baginda tidak dilantik Sultan tetapi oleh Majlis Perajaan pada 2001 apabila Sultan gering.

Beliau berkata Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk melaksanakan fungsinya sebagai Sultan bagi melucutkan Tengku Muhammad Fakhry daripada majlis, dan dengan bertindak sedemikian, wujud perampasan kuasa oleh Pemangku Raja.

"Oleh yang demikian, membenarkan Pemangku Raja untuk meminda komposisi majlis dan mengubah pelantikan yang dilakukan Sultan mengizinkan Pemangku Raja untuk mewujudkan tribunal yang baginda sendiri menjadi hakim, dan sedemikian menjadi faktor penentu keupayaan baginda untuk mengambil alih takhta," katanya.

"Pemangku Raja adalah waris yang pertama akan mewarisi takhta Kelantan tetapi pewarisannya itu tidak automatik, jika beliau tidak disahkan, adinda baginda Tengku Bendahara sebagai pewaris takhta kedua adalah layak, dan jika ini tidak dilakukan, maka pemohon Tengku Temenggong adalah waris selanjutnya yang akan mewarisi takhta," katanya.

Shanmuga semasa berhujah bahawa perkara itu boleh diadili, berkata: "Ini merupakan kes baik untuk diperdebatkan kerana Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan yang dipersoalkan."

Beliau turu membangkitkan isu bahawa jika Pemangku Raja dibenarkan untuk melaksanakan kuasa budi bicara, sama ada baginda dikehendaki untuk membenarkan pewaris membela diri sebelum membuat sebarang keputusan dan alasan keputusan itu diambil.

Dalam kes ini, Shanmuga berkata tiada alasan diberikan oleh responden kepada Tengku Muhammad Fakhry akan alasan pelucutan tugasnya daripada majlis itu.

"Dihujahkan di sini bahawa penentuan sama ada eksekutif telah melaksanakan kuasanya mengikut yang diperuntukkan undang-undang atau tidak, adalah satu perkara yang Mahkamah Tinggi boleh putuskan," kata peguam itu.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 31 Dis untuk membuat keputusan. -BERNAMA


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

akum....slm sjhtera buat al-sultan yg dikasihi sekeluarga....doa patik moga tuanku sultan makin sembuh.....tuanku sudah terlalu lama menginggalkan kelate.....rakyat sgt merindui tuanku....

kpd pemangku raja;moga ditabahkan hati menghadapi duagaan....ini lah dugaan menjadi ketua negeri....kami semua setia bersama tuanku pemangku raja.....

kpd tg temenggong pulak....sudah2 la tu....patik semua paham tg temenggong ni 'mummy boy' tp jgn lah semua perkara tengku ikut je telunjuk 'mummy'.....tak rasa kesiankah pada kekanda?