15 Dis 2009

Jawatankuasa Disiplin Tidak Boleh Bias

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang dijalankan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berhubung dakwaan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno, MSTAR dipetik.

Beliau meminta agar pihaknya diberikan masa untuk membuat penelitian dengan terperinci berhubung perkara berkenaan.

"Saya harap jangan ada pihak yang buat apa-apa andaian lagi, bagilah kami ruang untuk teliti perkara ini dengan lebih mendalam.

"Jangan buat spekulasi berhubung siapa yang salah atau siapa yang betul, kita perlu buktikan dahulu dengan fakta.


"Memang ada tuduhan, tapi tuduhan itu tak semestinya benar," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini siasatan yang dijalankan pihaknya ke atas beberapa pemimpin PAS Selangor berhubung dakwaan terbabit.

Beliau sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima surat jawapan daripada Hassan dan beberapa lagi pemimpin Pas Selangor.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, Jawatankuasa Disiplin PAS akan bermesyuarat pada 23 Disember depan bagi meneliti mengenai dokumen-dokumen berhubung siasatan berkenaan.

"Saya sendiri dah tengok dokumen-dokumen berkenaan, tapi kami ahli jawatankuasa perlu duduk bersama untuk meneliti secara khusus.

"Lagipun saya baru pulang menunaikan haji di Mekah dan ahli-ahli lain juga ada yang ke luar negara... sebab itu siasatan ini tertangguh sebentar," katanya.

Tambah beliau, keputusan sama ada perlu memanggil Hassan dan beberapa lagi pemimpin lain untuk memberikan penjelasan akan diputuskan pada mesyuarat berkenaan.

"Bergantung pada hasil mesyuarat kita nanti, kalau ada kes terhadap beliau, mungkin kita akan panggil untuk beri penjelasan," katanya.

Ulasan GB

Dato Tuan Ibrahim, selaku Pengerusi Lambaga Tatatertib (meskipun GB sehingga kini masih belum mendapat jawapan tentang pembentukan Lembaga tatatertib samada ia memenuhi kehendak Perlembagaan Parti seperti GB nyatakan di SINI) sepatutnya tidak mengeluarkan perkataan ini:

"Memang ada tuduhan, tapi tuduhan itu tak semestinya benar,"

Sebab saya menyatakan ia tidak boleh di keluarkan, awal-awal lagi ia menunjukkan ciri bias. Kerana ianya boleh ditempelak, "tuduhan itu tak semestinya salah" dan dengan sendirinya kredibiliti dan integriti Lemabaga tatatertib boleh dipersoalkan lantarannya.

Senario yang hampir sama pernah berlaku semasa Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), yang setelah menerima surat pengosongan DUN Changkat Jering dan Behrang mengeluarkan kenyataan berikut:

"Saya telah terima surat dari Speaker Perak, tetapi saya juga telah menerima surat bantahan dari ADUN-ADUN berkenaan".

Sedangkan surat-surat dari ADUN-ADUN berkenaan sepatutnya tidak dilayan kerana tiada peruntukan undang-undang untuk Pengerusi SPR berbuat demikian.

Hasilnya, keputusan tidak berpihak kepada kebenaran yang sepatutnya pilihanraya kecil diadakan, tetapi berpihak kepada konspirasi untuk mempastikan kedua-dua kerusi itu kekal kepada BN.

Jawapan yang hampir sama diberikan oleh Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) sewaktu ditanya mengenai kes rasuah bekas MB Selangor, Mohd Khir Toyo.

"Memang ada laporan tentang kes rasuah berkenaan, tetapi tiada ada bukti kukuh untuk mendakwanya".

Dan Mohd Khir Toyo bebas lepas.

Itu dua contoh "hakim" yang tidak berwibawa. Itu contoh "hakim" yang menyalahgunakan kuasa. Itu contoh "hakim" yang khianat dan durjana.

Seorang hakim tidak boleh berpihak. Seorang hakim perlu adil. Seorang hakim perlu menghukum dengan kebenaran dan keadilan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Hakim itu ada tiga macam, Satu di syurga dan dua di neraka:
1) Yang di syurga adalah hakim yang tahu kebenaran dn ia menghukum dengan kebenaran tersebut
2) Seorang lelaki yang tahu kebenaran tetapi ia menyimpang daripada kebenaran itu, maka ia ke neraka
3) Seorang lelaki yang menghukum manusia tanpa ilmu, maka ia ke neraka.
(Abu Dawud, Tarmidhi, Ibn Majah)

Sebelum ini, GB menyatakan bahawa Perlembagaan PAS menetapkan bahawa Jawatankuasa Tatatertib perlu dilantik oleh Majlis Syura Ulamak.

Jika jawatankuasa yang ada tidak dilantik oleh Majlis Syura Ulamak, tetapi oleh Presiden dan sebagainya, dengan sendirinya ia terbatal dan tidak berkuatkuasa.

Majlis Syura Ulamak sepastinya mengetahui bahawa Jawatankuasa Disiplin yang hendak dilantik perlu mempunyai kriteria seseorang itu mempunyai 'ilmu (dan sebaik-baiknya ada pengalaman) di dalam bidang perundangan dan penghakiman bersuaian dengan hadith yang dinukilkan tadi.

Ini diperkuatkan dengan satu hadith yang lain:

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah kehancuran” – (Bukhari)

Ketelitian pemilihan jawatankuasa disiplin atau tatatertib perlu diberikan perhatian serius oleh parti agar kebenaran dan keadilan itu benar-benar ditegakkan.

Saya dengan ini meminta supaya persoalan mengenai ahli jawatankuasa Lembaga Tatatertib disemak semula supaya melantik mereka yang benar-benar berkeahlian memegang jawatan itu sebelum PAS hancur binasa kerananya sesuai dengan amaran hadith kedua tadi.


8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hebat GB, siap dengan fakta sekali, macamana nak sanggah ni

Tanpa Nama berkata...

macam dah tahu keputusannya, Hassan ali akan dilepaskan. tidak ada bukti kukuh.

apa nak jadi dgn PAS era UG ni...

Tanpa Nama berkata...

Ya, saya bersetuju dengan GB.
Tuan Ibrahim dilihat sntiasa mengeluarkan kenyataan yang berat sebelah.

Perlantikan beliau sebagai jawatankuasa disiplin pun penuh tandatanya, siapa lantik beliau?

Adalah lebih baik bagi beliau "letak jawatan" sekadar segera.

Tanpa Nama berkata...

TERANG, TAJAM DAN TEPAT. TAHNIAH GB. PEMBONGKARAN YANG SEBEGINI DIPUJI KERANA PENUH FAKTA. ADA DALIL AQLI DAN NAQLI.

DIHARAP SEMUA PIHAK AMBIL BERAT TERHADAP APA YANG DITULIS OLEH GB INI.

harun berkata...

perlembagaan PAS berkaitan penubuhan Lembaga Disiplin parti telah ditukar dan di sahkan dalam muktamar baru2 ni.

harap maklum n get the fact right!

Unknown berkata...

Pertama, Perlembagaan PAS tidak pernah ditukar. Ia hanya boleh dipinda.

2) Sepanjang saya meneliti resolusi Muktamar PAS kali Ke 55 tidak ada yang menyentuh soal pindaan kepada mana-mana bahgian yang menentukan fasal mengenai Lembaga Disiplin PAS.

3) Sila kemukakan bukti terdapat pindaan itu dan saya akan membetulkan tulisan saya.

4) Tanpanya, saya tetap menyatakan bahawa penubuhan Lembaga Disiplin yang ada dipersoalkan.

Tanpa Nama berkata...

So bagaimana pendapat GB? Apakah Jawatankuasa Disiplin yang ada kini dibentuk tidak menepati Perlembagaan PAS?

Jika demikian, apakah status kedudukan J/K ini?

Unknown berkata...

emmm, setakat ini apa yang GB tuliskan di SINI, belum ada yang tampil menyanggah atau berhujjah.

Apabila mereka tidak mempunyai hujjah mereka mencari jalan lain, menuduh GB yang bukan-bukan dengan segala maki-hamun dan gelaran-gelaran, sedangkan kebenaran itu tetap kebenaran... ia sudah pun tercatat di dalam Perlembagaan PAS tentang kuasa pembentukan Lembaga Disiplin adalah di tangan Majlis Syura Ulamak.