7 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Muhyiddin Dibelasah Oleh Bekas Pemimpin MIC

Bekas Naib Presiden MIC, SS Subramaniam tegas mengatakan pergolakan dalam MIC dan MCA petanda bahawa komponen parti di bawah BN sudah tidak sepakat dan ianya satu signal untuk rakyat Bagan Pinang menolak BN.

Subramaniam yang berkhidmat selama 30 tahun dengan BN-MIC kini menyertai PKR turut tidak ketinggalan sama dalam membantu kempen bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang ini.

Di satu majlis di Pusat Penyelarasan DAP semalam, Subramaniam, 65, menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya akan mengambil tindakan terhadap pihak yang mempermainkan sensitiviti perkauman.

Menurutnya, kenyataan Muhyiddin itu sengaja untuk menutup kelemahan BN yang sebenarnya. Muhyiddin sebenarnya tidak mahu rakyat melihat permasalahan yang berlaku kepada parti-parti komponennya dengan mengatakan BN sentiasa membuat transformasi dalam kepimpinannya.

"Bagaimana BN yang dalamnya ada 14 parti perkauman itu bersatu, sedangkan dalam MIC, MCA pemimpinnya saling bercakaran," jelasnya.

"Lihat MCA, bekas timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat sekarang, sampai terpaksa adakan EGM MCA 10 Oktober ni,

"MIC pula, Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu menjatuhkan maruah bekas Timbalan Presidennya, Datuk S. Subramaniam hanya kerana mahukan jawatan," ujarnya.

Beliau mengulas Muhyiddin Yassin yang mengatakan BN parti yang memupuk semangat perpaduan dengan rekod kecemerlangannya merupakan pilihan yang terbaik untuk pengundi Bagan Pinang.

"MCA sama MCA bergaduh, ada team A dan B, sampai terpaksa adakan EGM, sehinggakan Samy Vellu boleh berkata Dr. Tun Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin selain daripada MIC tidak berhak mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti tersebut,

"PPP pecat Timbalannya, di Terengganu Umno sampai bergaduh. Inikah bukti yang Muhyiddin katakan perpaduan dalam BN itu?" soalnya dihadapan ratusan penyokong PAS yang hadir malam tadi.

Beliau yang merupakan bekas naib presiden MIC, menyertai PKR dan merupakan pemimpin MIC paling kanan yang melompat menyertai pembangkang itu turut menceritakan perihal dalaman MIC yang selama ini hanya mengkayakan Presidennya sahaja.

Tiada ulasan: