8 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Undi Pos Taktik Untuk Memenangkan BN

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memenuhi beberapa tuntutan berkaitan pengendalian undi pos bagi memastikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bersih, telus dan adil.

Beliau meminta agar SPR memansuhkan borang Lampiran 2 yang mengandungi butiran peribadi termasuk nama, kad pengenalan dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos sebagai perakuan mengesahkan pengundi pos sudah diperuntukkan kertas undi.

Katanya, borang Lampiran 2 dan kertas undi itu akan dimasukkan ke dalam sampul yang berbeza sebelum dimasukkan ke dalam satu sampul khas untuk diletakkan dalam peti undi pos.

Beliau mendakwa melalui borang itu, identiti pengundi dan calon yang mereka undi dapat dikenalpasti yang mengakibatkan pengundi pos tidak berani mengundi calon khususnya daripada parti pembangkang.

“Saya minta borang itu dihapuskan atau sekiranya tidak dihapuskan, sekurang-kurangnya apabila pengundi pos telah mendatangani borang berkenaan, hendaklah diasingkan atau disimpan dalam fail yang lain. Hanya kertas undi sahaja yang dimasukkan ke dalam beg undi pos,” katanya.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SPR sebelum ini dan berjanji untuk mempertimbangkan pemansuhan borang tersebut.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang perubahan yang dilakukan oleh badan bebas tersebut dan sistem tersebut terus diguna pakai sehingga hari ini.

Selain itu Mahfuz berkata, Pas menuntut agar wakil calon atau wakil parti bertanding bukan sahaja dibenar menyaksikan proses pengundian, malah dibenarkan mengawal keselamatan peti undi pos dan mengiringi perjalanan kotak undi pos itu.

Tiada ulasan: