20 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Ong Ubah Pendirian Dari Pecat Kepada Gantung Dr Chua Selama 4 Tahun

Jawatankuasa Pusat MCA (CC), badan tertinggi dalam membuat keputusan parti, pada hari Sabtu menolak keputusan awal Majlis Presiden (PC) untuk memecat bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Sebaliknya, selepas bermesyuarat selama tujuh jam, CC telah mengambil keputusan untuk menggantungkan keahlian Dr Chua selama empat tahun berkuatkuasa serta merta walaupun bekas Menteri Kesihatan itu tidak mengemukakan rayuan.

"CC secara sebulat suara menggantungkan Dr Chua selama empat tahun mulai hari ini dan jawatan dia dalam parti turut digantung," kata presiden Datuk Seri Ong Tee Keat kepada pemberita di sini.

"CC, selaku badan yang diberi kuasa Perhimpunan Agung, merupakan medan untuk ahli melahirkan pandangan dan pendapat secara bebas dan mempertimbangkan keputusan yang berpatutan," katanya.

Ong berkata dengan menangani sebarang tindakan disiplin sama ada rayuan atau sebaliknya, CC mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan majlis presiden dan membuat keputusan muktamad dalam sebarang perkara selaras dengan perlembagaan parti.

Ong menjelaskan bahawa tindakan CC menolak keputusan majlis presiden bukan kali pertama terjadi kerana sebelum ini perkara sama berlaku.

Ditanya alasan penolakan keputusan itu, Ong hanya berkata: "Kedua-dua PC dan CC sentiasa menyediakan ruang yang selesa untuk membincangkan sebarang kes disiplin."

Mengenai peluang lima agenda akan dimasukkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt ini, Ong berkata bahawa agenda itu akan kekal.

Salah satu agenda EGM itu ialah mengekalkan semula Dr Chua sebagai timbalan presiden dan ahli parti.

Sementara itu, salah seorang penyokong Dr Chua dan watak penting dalam mengusahakan EGM, Loh Seng Kok, berkata adalah tidak sesuai lagi untuk CC menyemak semula keputusan pemecatan itu kerana Dr Chua membiarkan EGM memutuskan nasibnya dalam parti.

"Tindakan menyemak keputusan pemecatan Dr Chua dan menggantikan dengan penggantungan adalah bermakna untuk menghalangnya daripada bertanding pada pemilihan parti akan datang. Ia bermaksud mendapatkan simpati untuk Ong," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: