5 Ogo 2009

Inkues Teoh Beng Hock : 5 Ogos 2009

Inkues menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, ditangguhkan sehingga esok selepas mendengar keterangan enam orang saksi.

Lima daripada enam saksi itu merupakan kakitangan kawalan keselamatan di Plaza Masalam, tempat Teoh ditemui mati bulan lalu.

Prosiding bermula pukul 9 pagi tadi dan ditangguhkan 1.30 tengah hari tadi. Ia dijadual bersambung pagi esok.

Pada prosiding hari ini, peguam yang dilantik mewakili kerajaan iaitu peguam bela dan peguam cara Tan Hock Chuan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah mencadangkan untuk mengemukakan 97 saksi.

"Kita juga bercadang untuk memanggil enam orang saksi awal dan tiga orang ahli kimia.

"Selepas ahli kimia, kita juga bercadang untuk memanggil tiga orang ahli patalogi sebagai saksi... mereka adalah antara 12 saksi awal yang akan dipanggil," katanya.

Menurut Tan, tiga laporan utama telah disiapkan iaitu laporan toksilogi, kriminologi dan laporan DNA.

Beliau berkata laporan DNA kedua juga telah diperolehi dan diserahkan kepada pihak-pihak berkepentingan pada pagi tadi.

"Swab sampel DNA telah diambil daripada 157 individu membabitkan kesemua staf SPRM Selangor, anggota polis yang terlibat dalam siasatan, anggota jabatan forensik, tukang cuci dan orang perseorangan," katanya.

Saksi pertama yang memberi keterangan hari ini ialah Siti Zabedah Yahaya, 41, merupakan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan Plaza Masalam.

Beliau merupakan individu pertama yang menjumpai mayat Teoh pada 16 Julai lalu.

Zabedah memberitahu mahkamah kira-kira pukul 1.10 tengah hari beliau berehat di sebuah bilik stor di tingkat 19 banggunan berkenaan.

Dua puluh minit kemudian, ketika beliau ingin menutup tingkap yang dibukanya ketika mula-mula memasuki bilik berkenaan, beliau ternampak satu lembaga manusia terbaring di koridor tingkat lima.

"Selepas 20 minit berehat saya hendak tutup tingkap saya jenguk ke bawah. Saya nampak lembaga manusia terbaring di koridor tingkat lima.

"Saya tidak puas hati, saya nak pastikan sama ada ia (lembaga manusia terbaring) tertidur atau pengsan, saya ambil satu skru meja dan lempar ke bawah," katanya.

"Lepas tak bergerak, saya rehat sekejap, lepas lima minit saya panggil kawan saya. Kawan saya pun nampak apa yang saya nampak.

"Kemudian, saya hubungi En Ridzuan untuk beritahu, selepas saya hubungi dia saya tidak buat apa-apa lagi," katanya kepada mahkamah.

Selepas menerima panggilan dari Siti Zabedah, juruteknik unit penyelenggaraan bangunan Plaza Masalam, Mohd Ridzuan Samsuri dan seorang rakannya, Rosli Salleh bergegas ke tempat kejadian.

Beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa koridor tingkat lima bangunan berkenaan, iaitu tempat mayat Teoh ditemui hanya boleh diakses oleh pengawal keselamatan dan pegawai penyelenggaran bangunan sahaja.

Menurutnya orang awam tidak boleh mengaksesnya sambil menjelaskan bahagian berkenaan hanya boleh dimasuki melalui dua laluan.

Laluan pertama ialah melalui sebuah tingkap pejabat, manakala laluan kedua ialah melalui dua pintu jeriji besi berkunci yang hanya boleh dibuka oleh pengawal keselamatan dan pihak penyelenggara.

"Koridor tingkat lima hanya boleh pergi melalui pejabat orang, itupun dengan kebenaran... itupun kena melalui tingkap dan cara kedua ialah melalui pintu jeriji dan perlu lapor kepada pengawal," katanya.

Terdapat lima kunci pendua pintu dan jeriji yang disimpan pihak sekuriti dan penyelenggaraan, kata Mohd Ridzuan dan menambah, pihak sekuriti dan penyelenggaraan bangunan itu yang keluar dan masuk ke kawasan itu perlu mencatat dalam buku log yang disediakan.

"Saya tak pasti pihak sekuriti ada buat catatan pada 15 atau 16 Julai, yang saya ingat ada catatan buka dan tutup sistem penghawa dingin pada pukul 10 pagi dan 10 malam untuk bangunan membeli-belah (di Plaza Masalam).

Sebaik sampai di tempat kejadian, Mohd Ridzuan memberitahu mahkamah bahawa beliau ternampak seseorang terbaring dalam keadaan mencurigakan.

"Dari jauh saya nampak orang terbaring dalam keadaan mencurigakan. Setelah saya datang dekat, saya lihat seorang lelaki berkulit putih macam Cina terbaring berlumuran darah yang sudah kering... bahagian lututnya juga ada kesan darah kering." katanya.

Bagaimanapun Mohd Ridzuan berkata beliau tidak menghubung pihak polis berhubung kejadian tersebut sebaliknya hanya memaklumkan kepada pegawai atasannya melalui walkietalkie.

"Saya panik, ini kali pertama melihat kejadian seperti ini, saya hanya hubungi pegawai atasan, bukan saya yang hubungi polis," katanya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind bertanya mengenai bidang tugas beliau sebagai juruteknik di bangunan berkenaan.

Jelas Mohd Ridzuan, antara tugasnya ialah menyelenggara talian telefon, sistem paip, elektrik serta bertanggungjawab untuk menjaga sistem penghawa dingin keseluruhan bangunan.

Menyentuh mengenai penghawa dingin, Gobind meminta penjelasan lanjut daripada Mohd Ridzuan.

Kemudian Mohd Ridzuan berkata: "Untuk bangunan pejabat, (termasuk pejabat SPRM di tingkat 14), penghawa dingin menggunakan "central system" (sistem berpusat) yang akan tertutup sendiri lepas pukul 6 petang," katanya.

Gobind telah bangun bertanya: "Adakah anda bersetuju bahawa pada pukul 6 petang, pejabat SPRM tidak mempunyai sistem penghawa dingin?"

Mohd Ridzuan berkata: "Ya, saya setuju."

Kemudian Gobind bertanya lagi sama ada SPRM mempunyai penghawa dinginnya yang sendiri, dan Mohd Ridzuan menjawab: "Ada tetapi sedikit sahaja."

Sementara itu saksi ketiga, Mohd Khairul Izwan M.Nasir yang merupakan penolong kanan sekuriti bangunan itu mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan oleh Mohd Ridzuan.

"Sampai di tempat kejadian, saya dapati Encik Ridzuan dan Encik Rosli masih berada di situ. Saya lihat seorang lelaki berkulit putih tertiarap dengan mengiring sebelah kanan, kepalanya berdarah tetapi sudah kering.

"Pegawai saya arahkan untuk tutup badan mayat dengan plastik hitam dan tindih dengan batu bata untuk mengelakkan plastik itu ditiup angin," kata Mohd Khairul ketika disoal peguam Tan Hock Chuan.

Mohd Khairul berkata pihak polis kemudian tiba ke tempat kejadian kira-kira lapan hingga 10 minit selepas beliau menghubungi mereka pada pukul 1.55 petang.

Diminta penjelasan daripada Gobind sama ada beliau meneliti mayat mangsa, Mohd Khairul memberitahu: "Saya tidak lihat dengan teliti. Saya kelam kabut dan panik kerana tidak pernah melihat kejadian seperti ini berlaku sebelum ini."

Turut dipanggil memberi keterangan sebagai saksi keempat ialah anggota polis berpangkat koperal, Abd Karem Ohtman, yang menerima panggilan dan maklumat daripada Mohd Khairul berhubung kejadianitu.

"Pada jam 1.57 petang semasa saya bertugas di bilik gerakan ibu pejabat polis daerah Shah Alam, saya terima panggilan daripada seorang lelaki Melayu yang mengaku dirinya pegawai keselamatan di Plaza Masalam.

"Dia memberitahu terjumpa mayat seorang lelaki Cina terbaring di tingkat 15 Plaza Masalam disyaki membunuh diri.

"Saya kemudian memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat dan diarahkan untuk menghubungi pakar forensik di ibu pejabat kontinjen Selangor," kata Abd Karem. -MSTAR

BERITA SEBELUMNYA

Ujian DNA ke atas ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa dan juruteknik Lee Wye Wing menunjukkan sampel mereka tidak sepadan dengan kesan darah pada kot dan tali pinggang Teoh Beng Hock, yang ditemui mati di Plaza Masalam di sini, bulan lalu.

Ia diumumkan oleh peguam keluarga mendiang, Gobind Singh pagi tadi ketika inkues disambung hari ini.

"Kedua-dua mereka telah beri sampel DNA, setelah dianalisa keputusan tersebut tidak sama dengan milik Teoh," katanya.

Tan dan Lee memberikan sampel DNA minggu lalu selepas inkues ditangguhkan Rabu lalu.

Inkues disambung semula pagi tadi.

Pada awalnya Tan dan Lee dilaporkan enggan memberikan sampel untuk ujian DNA.

Pada hari pertama inkues minggu lalu, peguam bela dan peguam cara, Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan berkata, satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang kot dan tali pinggang Teoh.

Katanya, laporan DNA pertama daripada spesimen yang diambil di bahagian luar kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Sementara itu, satu lagi profil DNA daripada spesimen yang diambil daripada bahagian tali pinggang Teoh yang terkoyak mendapati terdapat campuran DNA yang menyamai spesimen darah Teoh dan sekurang-kurangnya seorang lagi lelaki yang tidak diketahui.

Seramai 102 orang telah diuji bagi menentukan sama ada DNA mereka menyamai DNA lelaki yang tidak diketahui itu.

"Saya diberitahu oleh ahli kimia bahawa keputusan ujian 90 orang telah pun siap dan ujian bagi 12 lagi individu lelaki akan dijalankan.

"Saya juga diberitahu oleh pegawai penyiasat, dua orang enggan memberikan spesimen contoh DNA mereka," katanya.

Rakaman kamera video litar tertutup (CCTV) di lobi Plaza Masalam, Shah Alam pada 15 Julai, sehari sebelum Teoh Beng Hock dijumpai mati, menunjukkan kelibatnya yang sedang berjalan di situ.

Peguam Tan Hock Chuan yang membantu Koroner Azmil Muntapha (ulang: Muntapha) Abas memberitahu inkues mengenai kematian Teoh bahawa seorang ahli Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut melihat Teoh pada pukul 6.10 petang hari yang sama.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima plaza tersebut, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Sebelum itu, seorang pengawal keselamatan di plaza itu Abdul Rahman Rahim, 51, yang ditunjukkan 10 keping gambar CCTV mengesahkan kehadiran beberapa anggota SPRM.

Antara yang kelihatan ialah anggota SPRM yang dikenali sebagai 'Ashraf' (orang terakhir melihat Teoh), pegawai yang menemuduga pada hari berkenaan; dan seorang lagi pegawai kanan SPRM Selangor.

Kesemua rakaman itu diambil dari pukul 8 pagi 15 Julai sehingga pukul 8 malam keesokannya.

Abdul Rahman berkata sebelum kejadian beliau tidak pernah melihat kehadiran pegawai kanan SPRM Selangor itu di situ seawal pagi begitu (antara pukul 4 hingga 8 pagi).

Ditanya Tan adakah beliau ada melihat atau mendengar sesiapa jatuh dari bangunan semasa bertugas dari pukul 4 hingga 8 pagi, 16 Julai lalu, Abdul Rahman berkata: "Tidak".

Selain Abdul Rahman, rakan setugasnya Wan Rosli Wan Adam, 38, turut ditunjukkan 10 keping gambar CCTV, iaitu gambar yang berlainan.

Beliau mengesahkan terdapat gambar beberapa lelaki yang bekerja di SPRM tetapi tidak mengetahui nama mereka kerana mengenalinya melalui wajah sahaja.

Tan kemudiannya memberitahu mahkamah antara kelibat itu adalah pegawai merekod, salah seorang pegawai yang menemuduga Teoh, dan ketua operasi siasatan SPRM.

Wan Rosli juga berkata dari pukul 12 hingga 1 pagi di kawasan lobi, beliau melihat empat anggota SPRM masuk bersama seorang lelaki Cina (tidak disahkan ia adalah Teoh atau orang lain kerana saksi tidak mengenali Teoh) dan pada pukul 1 hingga 2 pagi muncul seorang anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPM).

Dalam prosiding hari ini, Abdul Rahman dan Wan Rosli, masing-masing mengakui tiada sebarang catatan dibuat bagi merekod individu yang keluar masuk ke plaza itu kerana mengenali mereka serta mengetahui anggota SPRM bertugas 24 jam sehari.

Keadaan bertukar tegang apabila Gobind Singh Deo, wakil keluarga Teoh mempersoalkan kenapa perkara itu tidak dibuat sedangkan ia amat penting dan Abdul Rahman menjawab ianya tiada perlu kerana yang bekerja hingga lewat malam hanyalah anggota SPRM.

Katanya, walaupun mengenali dan pernah berbual dengan anggota SPRM, beliau tidak pernah mengambil tahu mengapa mereka bekerja hingga lewat malam dan siapa yang disiasat.

Selain Tan, prosiding ini turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Mohd Abbas, peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili kerajaan Selangor serta beberapa orang peguam dari Majlis Peguam.

Prosiding disambung esok.
BERNAMA



1 ulasan:

Pak Oncu berkata...

hmmmmm bercanggah lah pulak !!! kata ari tu janitor yg menjerit alert pegawai SPRM,,,,,,,,