5 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Catatan Seorang Unit Amal Di Perhimpunan Anti-ISA


Bersiap sedia ke medan juang

Sesungguhnya untuk mencapai dan menggapai sesuatu kejayaan, menuntut kepada kesungguhan (al-juhd). Setiap kesungguhan pula menuntut kepada pengorbanan.

Tiada Short Cut

Inilah antara realiti yang sepatutnya diterima oleh mereka yang ingin benar-benar berada dalam perjuangan Islam, hidup dan mati bersamanya. Untuk melihat keadilan ditegakkan dan kezaliman dimansuhkan adalah merupakan sebuah cita-cita yang tinggi. Bagi pejuang Islam, cita-cita ini mestilah seiring dengan neraca pertimbangan agama Islam bukannya menggunakan mentaliti yang terlalu cetek ini.

Tidak ada jalan singkat untuk kemenangan itu. Bukan sedikit bayaran yang terpaksa dikeluarkan. Diri mestilah sanggup menerima ujian dan melakukan pengorbanan dengan lingkungan tawakkal dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT.

Khabbab bin Al-Arat merupakan seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat terkenal dengan ujian dan seksaan yang dialaminya semata-mata untuk mempertahankan aqidahnya. Namun, lihatlah bagaimana respon daripada Baginda Rasulullah apabila Khabbab menemuinya.




Sabda Rasulullah saw :

و من أبي عبد الله خباب بن الأرت رضى الله عنه قال شكونا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو متوسد بردة له في ظل الكعبة فقلنا : ألا تستنصرلنا ؟ ألا تدعولنا ؟ فقال : قد كان من قبلكم يؤخذ الرجال فيحفر له في الأرض فيجعل فيها ثم يؤتى بالمنشار فيوضع على رأسه فيجعل نصفين و يمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه و عظمه ما يصده ذلك عن دينه و الله ليتمن الله هذا الأمر حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضر موت لا يخاف إلا الله و الذئب على غنمه و لكنكم تستعجلون

Maksudnya : Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat Rha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah saw pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban . Maka kami bertanya : Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita ? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita ? Maka berkata Rasulullah saw : Sesungguhnya orang – orang sebelum kamu , ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya , kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya , namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah . Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana’a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh .

Riwayat Imam Bukhari

Kezaliman ISA

ISA adalah salah satu bentuk kezaliman. Memansuhkannya adalah salah satu bentuk keadilan. Barangkali ada di luar sana yang memandang jijik dan menganggap demontrasi semalam adalah satu kebodohan. Biarlah… Namun bagi kami, membiarkan kezaliman berlaku tanpa usaha yang bersungguh-sungguh untuk menghapuskannya adalah merupakan satu kebodohan yang lebih besar. Melihat sahaja kezaliman berlaku tanpa apa-apa perasaan adalah sifat yang paling jijik dalam diri manusia.

Setelah berpuluh tahun kita mengadakan bantahan dalam bentuk wacana, seminar, pertemuan dan muzakarah, suara kita tetap tidak mahu didengari oleh pemerintah. Bukan sedikit yang telah menjadi mangsa kekejaman ISA yang disalahgunakan ini. Terlalu banyak hati-hati yang terhiris pilu kerana terpaksa berpisah dengan mereka yang disayangi kerana dikurung ISA. Kerana ISA, berapa banyak anak-anak yang membesar tanpa ayah di sisi mereka. Kerana ISA, berapa kerap titisan air mata seorang isteri menanggung beban tanggungjawab dan rindu kerana terpaksa berpisah dengan si suami yang meringkuk dalam jeriji ISA.

Kenangan Berdemontrasi

Demontrasi membantah ISA yang dianjurkan semalam benar-benar menguji tahap ketahanan dan kesungguhan para pencinta keadilan dan kebenaran. Saya dan rakan-rakan Unit Amal Gombak tiba di Jalan Masjid India kira-kira jam 12.15 tengahari. Tangkapan terhadap orang awam yang disyaki akan terlibat dalam demonstrasi telah pun bermula. Orang tua, lelaki, wanita dan kanak-kanak yang melalui jalan itu akan diperiksa teliti. Apabila didapati sebarang tanda mereka adalah peserta demonstrasi, maka segera digari dan dimasukkan dalam lori polis. Para peserta demontrasi yang telah lama sampai di situ menyatakan bahawa gas pemedih mata telahpun dilepaskan dan tangkapan telah hampir memenuhi sebuah lori polis.

Kami cuba mencari laluan alternatif untuk ke Masjid Jamek. Namun, anggota-anggota polis yang ditempatkan di semua laluan menyukarkan pergerakan kami ke sana. Dengan diketuai oleh Saudara Mazali, kami memutuskan untuk ke pasaraya Small House terlebih dahulu untuk menunaikan solat Zuhur dan menunggu peserta-peserta demontrasi yang lebih ramai. Formulanya mudah, apabila ramai, agak sukar untuk pihak polis menyekat pergerakan.

Para peserta demontrasi telah mula berkumpul di Masjid Jamek

Para peserta demontrasi telah mula berkumpul di Masjid Jamek

Setelah menunaikan solat Zuhur, kami bergegas semula ke Masjid Jamek melalui laluan lain. Apabila hampir sampai, kelihatan peserta-peserta dan orang ramai bertempiaran lari sambil menutup hidung dan mulut. Kelihatan asap dari das pemedih mata berkepul-kepul naik ke udara. Masjid Jamek dipenuhi asap tebal. Keadaan menjadi huru-hara.

Saudara Mazali mengarahkan supaya kami mengenakan baju Unit Amal untuk segera bertugas dan memimpin gerombolan orang ramai untuk berdemontrasi. Oleh kerana kawasan itu sudah dipenuhi oleh FRU, polis dan SB, maka kami mengajak orang ramai yang berada di situ untuk ke pasaraya SOGO, satu lagi destinasi untuk berkumpul.

Alhamdulillah, Unit Amal Gombak berjaya memimpin gerombolan rakyat yang berada di kawasan itu untuk ke SOGO.

Unit Amal mula melakukan tugas

Unit Amal mula melakukan tugas

Hidup, Hidup, Hidup Keadilan… Hancur, Hancur, Hancur Kezaliman…

Begitulah antara laungan yang berkumandang sepanjang perarakakan kami.

Sesampainya di SOGO, kelihatan peserta demontrasi di sana telah dihalang oleh FRU dari bergerak. Gerombolan dari Masjid Jamek dan SOGO kemudiannya bersatu membentuk mega kumpulan rakyat. Oleh kerana terlalu ramai, kumpulan ini Berjaya merempuh sekatan FRU. Dianggarkan pada ketika itu, peserta demontrasi berjumlah hampir 60,000 orang (tidak termasuk kumpulan di Masjid Negara).

Setelah melepasi halangan pihak FRU, kami diarahkan berhenti oleh Cif Komander, YB Salahuddin Ayub. Unit Amal bergabung dan membentuk bulatan untuk melindungi pimpinan dan peserta demontrasi. Cif Komander menyampaikan ucapan. Disusuli oleh Pengerusi GMI dan YB Tian Chua.

Cif Komander memberikan ucapan

Cif Komander memberikan ucapan

Setelah tamat ucapan, kami bergerak ke Istana Negara. Namun, langkah kami tidak jauh. Kelihatan anggota-anggota FRU, lengkap dengan jentera water canon, senjata gas pemedih mata sedang melakukan sekatan bagi menghalang kami ke Istana Negara. Masing-masing memegang kayu dan perisai, bersedia melakukan apa sahaja yang diarahkan ketuanya.

Unit Amal membuat benteng bagi melindungi pimpinan dan para peserta demontrasi

Unit Amal membuat benteng bagi melindungi pimpinan dan para peserta demontrasi

Kami bersiap sedia. Saya dan beberapa orang rakan cuba melindungi beberapa pimpinan dalam kelompok besar itu. Kelihatan Tuan Guru Presiden bersama-sama Dato Mustafa Ali, Saifudin Nasution, Ustazah Nuridah dan ramai lagi berada di situ.

Akhirnya, Cif Komander memutuskan untuk mengubah laluan. Sewaktu bergerak ke laluan bertentangan, tiba-tiba FRU menembak beberapa gas pemedih mata. Para peserta melarikan diri. Keadaan menjadi huru-hara. Masing-masing panik kerana bahana gas pemedih mata yang ditembak ke arah orang ramai. Saya cuba melindungi Tuan Guru Presiden bersama beberapa sahabat yang lain. Kelihatan beliau mengesat-ngasat matanya kerana terlalu pedih terkena gas. Tidak cukup dengan gas, FRU menyembur pula dengan air yang menyebabkan kulit kami terasa pedih dan gatal.

Gas pemedih mata yang memedihkan

Gas pemedih mata yang memedihkan

Kami menyalamatkan diri ke dalam Pasaraya berdekatan. Kami menahan kepedihan terkena gas dan air yang disembur sampai terbatuk-batuk. Masing-masing berebut untuk masuk ke dalam pasaraya. Penawar yang paling berkesan ketika itu adalah menenangkan diri. Kalau ada garam, letak di atas lidah dan hisap. InsyaAllah berkesan.

Tuan Guru berjaya diselamatkan dan dibawa ke Pejabat Agung. Kelihatan seorang peniaga yang sedang menangis kerana tidak tahan kepedihan. Seorang wanita yang sedang hamil juga menjadi mangsa serangan FRU itu.

Bergerak menuju ke Istana Negara

Bergerak menuju ke Istana Negara

Saya mencari rakan-rakan Unit Amal. Tidak kelihatan. Kebetulan hanset kehabisan bateri. Akhirnya, saya keluar semula ke jalan raya. Kelihatan FRU masih menembak gas pemedih mata. Ada juga yang berani mengambil peluru gas tersebut dan melempar semula ke FRU. Cemas juga FRU melihat apa yang berlaku.

Saya menelefon isteri yang bersama rakan-rakannya. Alhamdulillah, beliau selamat dan berada dalam pasaraya Pertama.

Kami kehilangan punca. Tiada pimpinan memberikan arahan samada mahu diteruskan atau tidak. Seorang sahabat saya memberitahu kami diarahkan bersurai dan perlu ke Pejabat Agung PAS di Raja Laut.

Kami terus ke sana. Apabila sampai, beberapa orang pimpinan sedang menyampaikan ucapan di hadapan Pejabat Agung. Peserta-peserta demontrasi memenuhi jalanraya. Ucapan akhirnya diakhiri dengan pidato daripada Tuan Haji Mat Sabu.

Apabila majlis bersurai, kami berjalan untuk ke tempat letak motorsikal. Tiba-tiba sekali lagi dihujani dengan gas pemedih mata. Kami selamatkan diri. Rasanya sudah tidak mampu untuk terkena dengan gas tersebut. Setelah reda, kami teruskan perjalanan. Sempat juga kami mengutip kelonsong peluru gas sebagai tanda kenang-kenangan..:)

Berada di tengah himpunan mega

Berada di tengah himpunan mega

Al-Fadhil Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan kuliah selepas solat subuh kepada peserta-peserta demontrasi yang datang dari jauh dan dekat sebagai motivasi dan tawjihat sebelum ke demontrasi

Al-Fadhil Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan kuliah selepas solat subuh kepada peserta-peserta demontrasi yang datang dari jauh dan dekat sebagai motivasi dan tawjihat sebelum ke demontrasi

Majlis Taklimat Pemuda PAS Gombak oleh YDP sebelum berangkat ke medan demontrasi

Majlis Taklimat Pemuda PAS Gombak oleh YDP sebelum berangkat ke medan demontrasi

Model baju anti ISA

Model baju anti ISA

Demikianlah secebis pengalaman untuk dikongsi bersama. Tahniah kepada semua peserta demontrasi yang telah melakukan banyhak pengorbanan. Tahniah kepada Unit Amal kerana berjaya berperanan sebaik mungkin. Tahniah kepada semua kerana berjaya mencipta gelombang kesedaran rakyat terhadap kezaliman ISA yang disalahgunakan pemerintah.

Firman Allah swt :

لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لتبعوك و لكن بعدت عليهم الشقة

“Jika sekiranya ( perjuangan ) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka ( musyrikin ) akan mengikut engkau , akan tetapi ( perjuangan ) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka.”

Sifat kemenangan adalah sukar dan jauh. Semoga perhimpunan kita akan membuahkan kemenangan dan dirahmati dan diredhai Allah SWT.

FASTAQIM KAMA UMIRTA..

-http://termizidin.wordpress.com/

Tiada ulasan: