6 Ogo 2009

DNA Pada Mayat Teoh Beng Hock Milik Siapa?

Sampel DNA misteri yang dijumpai pada jaket dan tali pinggang setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, mendiang Teoh Beng Hock semakin menjadi tanda tanya.

Peguam Tan Hock Chuan mewakili Pendakwa Raya hari ini mendedahkan kesemua sampel DNA yang diambil dari 157 orang disahkan tidak sama dengan sampel misteri itu.

Hock Chuan mendedahkan perkara itu pagi tadi semasa prosiding inkues keatas kematian mendiang Teoh yang bermula hari ini di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Peguam mewakili keluarga mangsa, Gobind Singh Deo meminta mahkamah untuk mengesahkan bahawa sampel DNA dari dua saksi iaitu Tan Boon Wah dan Lee Wye Wing tidak sama dengan DNA misteri itu.

"Inkues telah bermula dengan panggilan saksi-saksi. Kebanyakan mereka saksi- saksi yang telah menjumpai mayat. Termasuk pekerja penyelenggaraan dan pengawal keselamatan. Mereka telah bagitahu bagaimana keadaan mayat telah jumpai dan bagaimana mereka membuat laporan pada pihak polis. Esok kita akan mulakan soal balas dengan saksi pakar saintifik, pakar patologis yang ada beberapa sample yang telah dianalisa," ujar Gobind

Boon Wah dan Wye Wing masing-masing dituduh mempunyai kaitan dengan kematian Teoh oleh sebuah blog selepas peguam tidak membenarkan mereka menyerahkan sampel kepada pihak berkuasa.

Prosiding bermula dengan mahkamah memanggil saksi utama yang menjumpai mayat mendiang Teoh di bumbung tingkat 5 bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.

Saksi utama Siti Zabedah Yahya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan memberitahu mahkamah, sekitar jam 1.10 petang, dia sedang berehat dalam sebuah stor di tingkat 19. Setelah berehat selama 20 minit, dia menjenguk tingkap sebelum bercadang untuk menutupnya. Tatkala itulah dia ternampak satu lembaga menyerupai manusia seolah- olah sedang tidur di koridor berkenaan. Dia kemudiannya bertindak menjatuhkan skru meja untuk mengejutkan lembaga itu. Namun tidak mendatangkan hasil. Dia kemudiannya menghubungi bahagian penyelenggaraan bangunan untuk tindakan lanjut.

Mahkamah kemudiannya memanggil saksi kedua, juruteknik yang meyelenggara bangunan itu, Mohd Ridzuan Samsuri. Ridzuan menjelaskan ketika dia sedang bertugas mengawasi kawasan tempat letak kereta dibahagian hadapan bangunan Plaza Masalam, dia mendapat panggilan telefon dari pengawal keselamatan, Siti Zabedah Yahya bahawa terdapat satu lembaga dibumbung tingkat 5.

Dia kemudian bersama seorang kawan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati lembaga itu adalah mayat seorang cina, berlumuran darah yang sudah kering. Dia melaporkan penemuan itu kepada pihak keselamatan dan kemudiannya kepada pihak polis. Polis tiba kira- kira 10 minit kemudian.

Mahkamah berhenti rehat selama setengah jam dan kembali bersidang dengan memanggil saksi ke 3 iaitu penolong kanan keselamatan bangunan tersebut, Mohd Khairul Izwan Mohd Nasir.

Khairul menjelaskan pada mahkamah dia menerima laporan penemuan mayat mendiang kira- kira jam 1.49 petang. Dia dan pegawainya bergegas kebumbung berkenaan dan mendapati mendiang dalam keadaan mengiring kearah kanan dengan kesan luka yang sudah kering dikepala.

Dia kemudiannya menutup mayat itu dengan plastik hitam atas arahan pegawainya, tanpa langsung menyentuh tubuh mendiang.

Khairul tanpa ragu bersetuju dengan andaian Gobind bahawa ketika mayat mendiang ditemui bahagian saku jaket mendiang kelihatan terkeluar seolah- olah terdapat sesuatu barang telah dikeluarkan dari saku mangsa.

Saksi ke 4, Abdul Karem Othman yang bertugas sebagai pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam mengesahkan dia menerima laporan penemuan mayat di Plaza Masalam 15 Julai lalu. Dia kemudiannya menghantar pasukan peronda bagi mengesahkan kejadian tersebut sejurus membuat laporan kepada Pegawai penyiasat.

Prosiding berhenti rehat bagi memberi laluan kepada Karpal Singh yang baru sahaja tiba.

Mahkamah kembali bersidang dengan memanggil saksi ke 5, Wan Rosli Wan Adam yang bertugas sebagai pengawal keselamatan. Dia memberitahu mahkamah bahawa pintu ke bumbung bangunan itu dikunci dan hanya pengawal keselamatan dan pihak penyelenggara sahaja yang dibenarkan naik ke bumbung.

Saksi ke 6, Jaafar Ibrahim yang juga berkhidmat sebagai pengawal keselamatan mendedahkan buku catatan harian yang memuatkan senarai nama pelawat yang memasuki bangunan itu selepas waktu pejabat tidak dicatat pada 15 julai lalu. Namun dia tidak dapat mengesahkan siapa yang memegang buku itu tatkala ini. Majistret Azmil Mustpha Abbas mengarahkan pihak peguam membawa buku catatan itu ke mahkamah esok.

Mahkamah ditangguhkan esok dengan sesi soal balas dengan tiga pakar kimia dan tiga pakar patologis. -TVA



Tiada ulasan: