4 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : PAS Ucapkan Syabas Kepada GMI

Sabtu lalu telah menyaksikan kejayaan penganjuran himpunan mansuhkan ISA di ibu kota Kuala Lumpur yang dihadiri paling kurang oleh 20,000 demonstran, mengikut perangkaan rasmi. Perhimpunan ini adalah anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dengan sokongan berpuluh pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik.

PAS melalui sayap pemudanya, sebagai sebuah organisasi yang berafiliasi dengan GMI telah menghantar lebih kurang 1,000 tentera merahnya (Unit Amal) sebagai tanda sokongan. Bahkan penyertaan Dewan Pemuda PAS dalam perhimpunan tersebut diketuai sendiri oleh ketuanya iaitu Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Nasrudin dalam perutusan tahniahnya kepada GMI turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga yang terlibat, termasuklah pimpinan Pakatan Rakyat, pemimpin pemuda Pakatan Rakyat dan rakyat prihatin yang turut sama menjayakan perhimpunan bersejarah itu.

Sepatah komentar Nasrudin, perhimpunan tersebut telah berjaya mencapai objektifnya. Jika dikutip para demonstran yang berterabur di pelbagai lokasi kerana gagal mendekati Istana Negara, maka jumlah tidak rasminya boleh sahaja mendekati angka sasaran, 100,000 orang!

Tegas Nasrudin lagi, rakyat telah menyatakan sikap mereka terhadap perlaksanaan ISA, yang diterima sebagai sebuah akta yang zalim dan kejam, rakyat mahu ia dimansuhkan. Pemerintah yang didokong oleh Umno dan BN mesti akur dengan kehendak rakyat ini, jika tidak, Nasrudin memberi amaran, Umno mesti berundur atau tunggulah Umno akan dimansuhkan oleh rakyat.

Namun apa yang berlaku pada Sabtu lalu jelas tidak menunjukkan kepedulian kerajaan pimpinan Umno dan BN ini, lebih 500 demonstran ditangkap, termasuk beberapa orang dari kalangan pimpinan GMI dan parti politik.

Nasrudin menyifatkan ini satu rekod dan juga satu kejayaan manis, biarpun beliau sendiri sampai termuntah dan jatuh berguling akibat penangan semburan air berasid dari water cannon FRU yang tepat menyinggahi mukanya. Apa yang terbit dari bibirnya akibat insiden ini cumalah “jahanam Umno.”

Walaupun perhimpunan tersebut dihalang dengan cukup ketat oleh pihak polis sehingga menggagalkan usaha untuk sampai ke Istana Negara, tetapi dalam masa kumpulan demonstran terperangkap di sisi pusat beli-belah Sogo, deklarasi GMI sempat dibacakan oleh pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh. -MI


Tiada ulasan: