4 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Operasi Meroboh Kg Buah Pala Ditangguh Lagi

Operasi untuk merobohkan rumah penduduk Kampung Buah Pala yang asalnya dijadual hari ini sekali lagi ditangguhkan bagi memberi laluan kepada perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaru kes tersebut.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, yang mengumumkan perkara itu, berkata kerajaan negeri telah mengaturkan satu perbincangan antara penduduk kampung dan pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kami juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk pada pukul 7.30 malam ini di Komtar bagi membincangkan satu draf penyelesaian yang sedang dirangka," kata P Ramasamy selepas menemui penduduk Kampung Buah Pala hari ini, lapor Bernama.

Pada pertemuan pagi tadi, penduduk kampung itu membidas Ramasamy kerana kegagalan kerajaan negeri bertindak pantas menyelesaikan masalah berkenaan.

Sejak 6 pagi tadi, seramai 200 orang yang memakai kemeja T berkumpul di kampung itu untuk memberi sokongan kepada penduduk di situ, dan ada yang duduk di tengah jalan utama menghala ke kampung itu bagi menghalang kerja meroboh itu.

Turut kelihatan di kampung itu ialah anggota polis dan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C Tharmaraj, berkata penduduk kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang asyik menangguhkan keputusan berhubung jalan penyelesaian kawasan berkenaan.

Isu Kg. Buah Pala yang berlarutan semenjak kerajaan BN memerintah Pulau Pinang tidak dapat diselesaikan apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penduduk-penduduk terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada pemilik tanah itu, Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Berikutan itu, mahkamah mengeluarkan notis kepada penduduk supaya mengosongkan tanah itu sebelum 3 Ogos ini bagi membolehkan pemaju memulakan kerja pembangunan.

Dan sejak itu penduduk Kg. Buah pala menyalahkan pula kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin Lim Guan Eng kerana menurut mereka gagal menggunakan kuasanya untuk membantu kemelut tersebut untuk diselesaikan.



Tiada ulasan: