14 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Masalah PR Selesai, Masalah BN Tak Selesai-selesai

Pakatan Rakyat yang bermesyuarat hari ini bersepakat bahawa isu penjualan arak di Selangor dianggap selesai, lapor mstar.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selama tiga jam di Tropicana Golf Resort di sini semalam.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R.Sivarasa.

Anwar berkata, isu yang berlaku adalah masalah kecil namun media telah membesar-besarkan isu berkenaan.

"Memang ada arahan jelas oleh pimpinan parti supaya kita gunakan forum peringkat negeri dan pimpinan untuk berbincang masalah berbangkit. Kalau kita tidak dapat selesaikan kita akan rujuk kepada panel tatatertib supaya ia (masalah) dapat dibincang untuk mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya," katanya.

"Kita sokong tindakan MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa penjualan arak kepada orang Islam tidak boleh manakala penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam kekal seperti yang ada sekarang, jadi isu ini tiada masalah bebangkit," katanya.

Selain mesyuarat MPT, Pakatan Rakyat turut mengadakan bengkel Seminar memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Difahamkan seminar selama sehari itu diadakan untuk memperkukuh jentera Pakatan di semua peringkat termasuklah jentera peringkat pusat dan penggubalan dasar.

Sementara itu, ketika ditanya bila Pakatan akan didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan (ROS), Anwar berkata:

"Yang kita putuskan sekarang adalah penubuhan sekteriat Pakatan Rakyat, di mana sekteriat itu akan mengkaji langkah selanjutnya, dan kita akan putuskan dalam mesyuarat akan datang."

Sekteriat Pakatan Rakyat diketuai oleh Salahuddin Ayub, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Dalam perkembangan lain, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mengumumkan calon mereka di Permatang Pasir malam esok.

"Pilihan raya kecil di Permatang Pasir kali ini adalah satu simbol penting dalam Pakatan kerana yang bertanding PAS, Parlimen di bawah PKR sementara kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP."

"Calon sudah ada akan diumumkan malam esok, tunggu la," katanya.




Aduan polis dakwa bahagian UMNO Tanah Merah tak bermesyuarat

Laporan polis dibuat terhadap ketua bahagian dan setiausaha Umno Tanah Merah berhubung dakwaan gagal memberi notis bertulis dalam tempoh 14 hari kepada cawangan untuk mengadakan mesyuarat tahunan peringkat bahagian itu.

Aduan ketua cawangan Simpang Tiga Seri Mahligai, Amran Abdul Rahman, Sabtu lalu, turut dibuat terhadap ketua dan penolong setiausaha kesemua tiga sayap Umno bahagian - Wanita, Pemuda dan Puteri - yang gagal memberi notis kepada ahli pergerakan masing-masing dalam tempoh yang sama sebelum mesyuarat pergerakan bahagian itu bermula.

Amran membuat aduan tersebut pada 8 Ogos lalu di balai polis Tanah Merah Kelantan.

Beliau sehingga hari aduan itu dibuat, pihak bahagian masih gagal mengadakan mesyuarat perwakilan serta mesyuarat ketiga sayap pergerakan tersebut.

Sedangkan, dakwanya, tarikh akhir untuk semua bahagian Umno untuk mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing ialah 16 Ogos ini.

Oleh itu, Amaran mendakwa, bahagian berkenaan tidak layak lagi mengadakan mesyuarat perwakilannya kerana ia perlu memberi notis panggilan mesyuarat sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh mesyuarat hendak diadakan.

"Cawangan dan juga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan masih belum menerima sebarang surat daripada setiausaha bahagian serta penolong setiausaha Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian bagi memberitahu bilakah mesyuarat perwakilan bahagian serta mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian akan diadakan," kata Amran dalam aduan polis itu.

Menurut Amran lagi, mengikut pekeliling daripada ibu pejabat Umno - perkara 2.3.4 dan 2.4.3 - setiausaha bahagian dan penolong setiausaha bagi ketiga-tiga sayap dikehendaki memberi notis bertulis dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh bersidang.

Sehari selepas membuat laporan polis, Amran juga membuat aduan yang sama - melalui sepucuk surat - kepada pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berhubung perkara itu.

"Sehingga jam 12 tengah hari 9 Ogos 2009, setiausaha Umno bahagian serta penolong setiausaha pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, masih belum menghantar notis bertulis bagi memaklumkan kepada cawangan/ahli bilakah mesyuarat perwakilan bahagian dan mesyuarat pergerakan itu akan diadakan".

Sehubungan itu, tulis Amran dalam surat itu, beliau bercadang untuk menghantar laporan lengkap berhubung kegagalan pucuk pimpinan bahagian dan sayap-sayap terbabit, mematuhi perlembagaan dan peraturan parti.

"Aduan secara bertulis juga akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan di atas keingkaran pihak terbabit mematuhi perlembagaan Umno dalam mentadbir urus parti," kata Amran.

Salinan surat itu turut dihantar, antaranya kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan parti; Pengerusi Lembaga Displin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan. Datuk Norzahidi Omar.

"Amatlah diharapkan agar badan perhubungan Umno Kelantan di bawah kepimpinan YB Datuk (Mustapa) tidak akan bersikap menyokong sebarang bentuk pentadbiran kepimpinan Umno bahagian yang bertindak ingkar terhadap Pekeliling Ibu Pejabat Umno.

"Sekaligus bertentangan dengan perlembagaan Umno serta peraturan persidangan perhimpunan agung perwakilan bahagian dan persidangan cawangan Umno," katanya.

Amran turut melampirkan salinan laporan polis bersama suratnya tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Amran mengesahkan membuat aduan polis tersebut serta surat berkenaan kepada Mustapa.



Tiada ulasan: