6 Ogo 2009

Inkues Teoh Beng Huat : Tiada Siasatan Menyeluruh Ke Atas Mayat Mendiang

Mayat setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, mendiang Teoh Beng Hock bebas dari alkohol atau dadah.

Demikian keterangan saksi ke 7, Zaihara Awang (gambar) yang bertugas sebagai Ahli Kimia, Jabatan Petaling Jaya semasa prosiding inkues kematian mendiang yang masuk hari ke 2 hari ini.

Zaihara memberitahu mahkamah hasil daripada analisisnya tidak terdapat apa- apa kandungan alkohol atau dadah dalam kandungan darah, air kencing dan kandungan perut dari spesimen mendiang berusia 30 tahun itu.

Peguam keluarga mendiang, Gobind Singh Deo menyoal Zaihara samada beliau membuat kajian dengan mengambil kira kemungkinan lain yang menyebabkan kematian mendiang. Beliau bertanya mengenai kemungkinan terdapatnya kandungan adrenalin yang tinggi jika seseorang itu hampir jatuh atu ditolak dari tempat yang tinggi dan Zaihara menjawab dengan mengiyakan soalan Gobind.

Zaihara menjelaskan Adrenalin bukanlah satu jenis dadah biasa dan ia hanya dihasilkan secara semula jadi dalam badan.

Mahkamah tegang seketika apabila peguam negara Tan Hock Chuan membantah soalan Gobind.

Gobind kemudiannya membalas dengan bertanya mengapa perkataan "ditolak" dan 'bunuh diri" tidak boleh digunakan memandangkan inkuiri ini diadakan bagi menyiasat punca kematian mendiang.

Majistret bagaimanapun menerima bantahan pendakwaraya.

Gobind kemudian mempersoalkan mengapa Zaihara tidak membuat ujian adrenalin sejurus saksi ke 7 itu menjawab pihak polis tidak mengarahkannya berbuat demikian.

Gobind bertanya sama ada beliau akan menjalan ujian tersebut jika diminta oleh pihak polis, Zaihara berkata, ujian toksikologi tidak termasuk ujian adrenalin.

Prosiding inkues hari ini bermula dengan mahkamah sekali lagi memanggil saksi ke 6, Abdul Rahman Rahim. Semalam majistret Azmil Mustapha Abbas meminta pihak peguam mengemukakan buku catatan keluar masuk bangunan Plaza Masalam Shah Alam berikutan saksi ke 6 mengatakan buku berkenaan tidak diisi sejak berbulan lalu.

Abdul Rahman mengesahkan bahawa buku itu tidak dikemaskini setiap masa. Melalui buku ini, inkues berharap dapat menemui siapa yang mendapat akses ke bumbung tingkat lima Plaza Masalam, dimana mayat mendiang ditemui.

Enam saksi telah dipanggil memberi keterangan semalam. Mereka terdiri daripada pengawal keselamatan di bangunan Plaza Masalam, seorang juruteknik dan seorang anggota polis dari balai Shah Alam.

Mahkamah berhenti rehat setengah jam sejurus memanggil saksi ke 8 iaitu Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Saiful Fazami Mohd Ali. Saiful bertugas di Seksyen Kriminalistik bahagian forensik Jabatan Kimia Malaysia.

Saksi ke 8 ini kemudiannya mengecam bahan kes yang diserahkan kepadanya untuk dianalisis sebelum dilepaskan dari kandang saksi. Bahan- bahan tersebut termasuklah sehelai seluar yang berlumuran darah, sebatang skru 5cm panjang, seutas jam tangan, pin penyambung jam tangan, klip logam, butang logam serta pelapik kaki lima.

Mahkamah kemudiannya memanggil saksi ke 9, DR Seah Lay Hong yang bertugas sebagai Ahli Kimia di Seksyen Scologi DNA sebelum mahkamah berhenti rehat dan perbicaraan disambung semula pada pukul 2.25 petang.

Dr Seah mengandaikan sample DNA yang dijumpai pada mayat mendiang kemungkinan milik 2 individu yang berlainan. Mengulas kenyataan itu Gobind berkata,

"Dr Seah memberitahu mahkamah tentang hipotesis berkaitan 3 sampel DNA yang dijumpai dikawasan jaket dan tali pinggan mendiang. Ini menguatkan teori bahawa 2 atau 3 orang pegang tali pinggan dia, kemungkinanlah. Esok majistret akan melawat kawasan kejadian di bangunan Plaza Masalam. Lusa kita akan dengar keterangan dari pakar patologis," katanya.

Mahkamah kecoh seketika apabila Gobind mempersoalkan Dr Seah yang membuat analisis tanpa langsung melihat foto keadaan mayat mendiang ditemui. Gobind mengandaikan bahawa Dr Seah menjalankan analisa mengikut arahan polis.

"Pada saya untuk dapat gambaran yang lebih tepat semasa menganalisis punca kematian mendiang ialah dengan melihat gamba mendiang. Ini menjadi perkara yang hangat dalam perbicaraan tadi," tambahnya lagi.

Perbicaraan disambung dengan Dr Seah diminta menyerahkan barang kes yang diujinya. Antara barang kes tersebut ialah spesimen rambut, kepala, kuk, pemotong kuku, kad FTA, sepasang kasut hitam, sebatang gigi, stik swab.

Turut sama diuji ialah, kemeja lengan pendek warna kelabu, blazer hitam, tali pinggang, seluar dalam warna kelabu dan sarung kaki warna biru kelabu.

Majistret Azmil memutuskan menangguh perbicaraan inkues ini ditangguh esok. -TVA



Tiada ulasan: