6 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Petronas Cuai Agih Royalti - Ku Li

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Petronas cuai dalam pembahagian royalti minyak seperti yang dituntut Kerajaan Kelantan kerana perjanjian tersebut dibuat antara Kerajaan Negeri dengan Petronas sebelum ini.

Beliau berkata, selain perjanjian dengan Kerajaan Negeri, Petronas turut membuat perjanjian pembahagian royalti tersebut dengan Kerajaan Persekutuan.

“Jadi kewajipan Petronas untuk membuat bayaran ini apabila ia mendapat hasil daripada penjualan minyak daripada kawasan yang berhampiran dengan negeri-negeri yang berkenaan. Yang penting tanggungjawab perlu dipikul dengan baik,” katanya, semalam.

Ku Li berkata, perjanjian itu sepatutnya dipatuhi kerana ia merupakan hak rakyat di negeri ini yang hidup dalam keadaan yang mundur tidak seperti di negeri-negeri lain.

“Dengan adanya duit daripada Petronas ini, ia boleh membantu meningkatkan pendapatan dan kemajuan di negeri ini. Saya cukup simpati dengan rakyat Kelantan. Saya juga berharap duit ini tidak digunakan untuk kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa yang kononnya Kerajaan Pusat belum menjelaskan tunggakan royalti sebanyak RM1 bilion hasil jualan minyak di perairan Kelantan.

Isu tuntutan royalti minyak itu juga turut menjadi isu utama kepada Pas sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan negeri Manek Urai lalu.

Menurut Ku Li, beliau baru sahaja memberikan balasan terhadap surat yang dihantar oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disampaikan Husam minggu lalu.

“Dalam jawapan saya, saya telah dengan ikhlas menerangkan, apakah sebenarnya di dalam perjanjian yang kita buat di antara Petronas dengan kerajaan negeri. Ketika itu saya menjadi Pengerusi Petronas.

“Saya juga menerangkan latar belakang yang menyebabkan kita mengadakan perjanjian dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri di Semenanjung ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak perlu bertindak di luar batasan kerana ia telah termaktub hak rakyat di negeri ini.

“Tak payah nak lawan. Ia memang hak negeri ini. Petronas pun tahu di mana mereka membuat cari gali. Tak perlu ke pelantar, tak perlu nak ukur sebab Petronas dah tahu mengikut perjanjian,” katanya. - SH

Tiada ulasan: