31 Mei 2009

Penanti: Datuk Perikatan, Bapa UMNO BN, Cucu PKR

Beberapa jam lagi pengundi-pengundi Penanti akan membuat perhitungan. Mereka boleh pilih 3 calon bebas, mereka juga boleh pilih calon PKR. Yang mereka tak boleh pilih cuma calon BN kerana BN takut hendak bertanding. Bagi Umno, seperti kata Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, 5,000 ahlinya tidak akan keluar mengundi esok.

"Jika mereka keluar mengundi ia seolah-olah mengkhianati parti. Datuk dan nenek mereka adalah pengundi BN, jadi mereka setia kepada parti," kata Datuk Zainal.

Tapi Datuk Zainal silap. Kebanyakan datuk nenek yang ada di Penanti, apa lagi datuk nenek yang sudah meninggal dunia kerana tua, mereka tidak pernah mengundi BN. Bagaimana mereka hendak mengundi BN, sedangkan semasa mereka hidup BN pun belum wujud? Yang wujud ketika mereka hidup ialah PAS, Parti Rakyat, Parti Buruh, UDP, PPP dan Perikatan. Jadi bagaimana mereka hendak mengundi parti yang belum wujud ketika mereka hidup? (Kecualilah mereka yang kahwin muda dan kini sudah bergelar datuk).

Satu lagi tidak semestinya kecenderungan memilih parti antara datuk nenek dan cucu cicit adalah sama. Datuk saya contohnya memang diakui pengundi Perikatan. Bapa saya pula pengundi tegar Perikatan kemudian BN apabila nama parti Perikatan ditukar kepada BN. Ibu saya pernah undi Perikatan, BN dan sejak dua pilihanraya lalu mengundi PAS. Adik saya pula ahli Umno tapi tak pernah mengundi BN. Anak-anak saya sejak Tadika sudah kata BN jahat, bila tiba masanya mereka layak mengundi saya sudah agak parti mana yang mereka tidak akan undi.

Berdasarkan perkara itu apa yang datuk nenek buat tidak semestinya cucu cicit ikut. Datuk sentiasa pakai kain pelikat, nenek pula gemar pakai kain batik. Bapa pula sudah pandai pakai seluar slack. Saya pula ketika santai senang memakai jeans walau di rumah suka pakai kain pelikat. Anak-anak pula jarang lekang dengan jeans dan track suit. Jadi mana sama antara datuk nenek dan cucu cicit. Datuk pangkah Perikatan, bapa pangkah BN, cucu pangkah PAS, PKR dan DAP. Keluarga Datuk Zainal mungkin lain - Datuk bawa keris, bapa hunus keris dan cucu cicit cium keris. Tapi berapa ramai saja keluarga di Penanti seperti keluarga Datuk Zainal? -pendikargunungkriang

Tiada ulasan: