16 Apr 2015

Menjelang Pemilihan: Taktik Kotor Pro Ulama & Musuh PAS


AJK: Kempen kotor cemari pemilihan PAS

Di sebalik slogan berjuang berlandaskan Islam, PAS mengakui proses pemilihan parti itu kini dicemari kempen kotor dan gejala tidak sihat, malah ia didakwa bukanlan perkara baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, kempen kotor dalam pemilihan parti itu bukan lagi rahsia, namun di sebalik pengakuan itu beliau tidak menolak kemungkinan ia didalangi pihak luar yang ingin mengambil kesempatan.

“Cerita label melabel sesama ahli PAS memang sudah lama berlaku. Bukan ketika pemilihan kali ini saja. Sebelum pemilihan pun ini sudah berlaku.

“Ada individu dilabel liberal, menolak hudud, sebagai begitu, sebagai begini. Ia memang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin, bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang, mengakui sukar untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden walaupun beliau mendapat pencalonan minimum seperti disyaratkan perlembagaan parti itu.

Ahmad yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pusat Islam dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia antara 1981 hingga 1999 berkata, pemilihan jawatan dalam PAS kali ini dicemari kempen kotor dan amalan berat sebelah.

Antara tokoh yang dikaitkan sebagai mangsa kempen kotor itu ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang kalah dalam perebutan jawatan Yang Dipertua Kawasan Kampar.

Pemilihan jawatan tertinggi PAS pusat dijadual diadakan Jun ini.

Ada kebenaran

Asmuni yang juga seorang peguam berkata, apa yang didedahkan Ahmad itu memang ada kebenarannya.

Katanya, antara tokoh dalam PAS yang menjadi mangsa kempen kotor itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang pernah dituduh mahu menjatuhkan kepimpinan ulama dua tahun lalu.

Tidak ketinggalan, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dan Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Ahli Parimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Asmuni menambah, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengatasi amalan itu dan berjanji akan mengambil tindakan tegas jika ada bukti kukuh mengenainya.

“Kalau melibatkan ahli, tindakan yang boleh diambil ialah membawa mereka ke lembaga disiplin parti.

"Jika calon sendiri terbabit, mereka mungkin digugurkan daripada bertanding," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai risalah memburuk-burukkan Nizar sebagai "tali barut DAP" Asmuni berkata, ia bukanlah amalan yang wajar untuk PAS.

"Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati, mereka boleh berdebat atau memberi penerangan, bukannya menyebarkan risalah seolah-olah membaling batu sembunyi tangan.

"Itu bukan akhlak Islam," katanya. -mk


Selepas ‘Facebook hantu’, buku serang pemimpin ‘parasit’ PAS

Selepas laman "Facebook hantu", muncul pula buku yang menyerang sebahagian pimpinan PAS yang disifatkan penulisnya sebagai perosak parti menjelang pemilihan pada Jun.

Buku bertajuk "Siapakah perosak sebenar PAS?" diterbitkan atas nama dan logo rasmi parti yang dicetak di muka depan buku berwarna warni itu.

Turut ditulis pada tajuk buku adalah, "Parasit, sifatnya menumpang pada tubuh dan menghisap segala zat pada tubuh itu. Parasit kenyang, namun tubuh yang ditumpangi itu semakin rosak dan lunyai."

Kandungan dan kulit luar buku ini kini tersebar di laman sosial, namun usaha The Malaysian Insider mendapatkan buku ini tidak berjaya sehingga kini.

Menurut apa yang tersebar di laman sosial, empat pemimpin parti menjadi sasaran buku ini dan menyifatkan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, sebagai "parasit no 1".

Turut menjadi sasaran buku ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat dan peguam, Mohamed Hanipa Maidin dan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Sebelum ini, tiga laman Facebook yang tidak diketahui pemiliknya, El-Haraki, Tuc Tok Usin Ceroi dan Keli Laut, sentiasa menyerang sebahagian pimpinan PAS itu.

Selepas diserang bertalu-talu oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Tuc Usin berkata laman itu akan ditutup, tetapi pada masa sama laman El-Haraki yang sekian lama berdiam diri kembali aktif menyerang sesetengah pemimpin PAS.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ahmad, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik, dan Nazmi Karim mengetuai demontrasi di depan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, menuduh Dr Hatta dalang menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mereka juga menghantar memorandum kepada PAS bagi menyiasat dakwaan itu.

Namun, apabila dipanggil memberi keterangan, Fadhli enggan bekerjasama dengan alasan tidak percaya dengan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh AJK PAS Pusat itu.

Antara yang paling awal dikesan menyiarkan tentang buku itu dalam laman sosial tersebut ialah Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan.

Beliau jelas marah dengan penerbitan buku itu dan bertanya, "Siapa terbitkan buku ini? Siapa yang membiayainya? Ni dah mula main kasar ni!!".

Beliau berharap, ahli PAS tidak menyebarkannya sambil berkata, "Ya Allah! Tunjukkanlah kepada kami kebenaran dan dedahkan kepada kami siapakah yang mahu mengadu domba di kalangan kami. Ameen".

Sebuah laman pro-Umno, Agendadaily, mendakwa buku ini adalah perang saraf untuk mendakwa kumpulan ulama dalam PAS yang menerbitkannya. – 16 April, 2015.
-TMI


ULASAN GB

Seperti yang GB ulaskan sebelum ini, perbuatan jijik dan permainan kotor kumpulan pro-ulama untuk menguasai jawatankuasa pimpinan PAS Pusat menjelang pemilihan di muktamar 2015 adalah tindakan yang unislamic yang anehnya dibiarkan dan didiamkan oleh PAS Pusat.

"Kami berjuang untuk keredhaan Allah" kata mereka. Tetapi mereka menggunakan taktik-taktik kotor ... matlamat menghalalkan cara. Tak menang pilihanraya tak apa asalkan Allah redha. Kata mereka. Tetapi dalam kandang sendiri rebut jawatan bagai nak mati walaupun langgar etika dan disiplin parti malah langgar terus hukum halal-haram Ilahi.

Menyentuh mengenai pengedaran buku yang memburukkan kumpulan progresif, GB telah mengulas sebelum ini:-

Ada yang menyatakan ia dilakukan oleh UMNO. Jika benar demikian, maka yang patut dipersalahkan ialah kumpulan pro-ulama kerana selama ini bukankah pro-ulama yang telah menyerang kumpulan progresif habis-habisan? Malah point-point yang ada di dalam buku itu kebanyakan ialah point-point yang pernah disebarkan oleh pro-ulama PAS melalui media sosial. Tahniah pro-ulama yang kini telah mendapat sokongan padu dari rakan seangkatan anda, UMNO!

"Papagomo PAS" yang bernama EL-Haraki mendakwa buku itu diterbit dan diedarkan oleh golongan progresif sendiri untuk menagih simpati. Seperti kes bakar kereta Dr.Hatta, dituduh Dr Hatta membakarnya sendiri, kes Dr.Dzulkely ditumbuk di waktu suboh kononnya dirancang oleh "jebon" sendiri... Hujjah yang sama digunakan PM masa itu sewaktu Anwar cedera di penjara dulu.. bahawa Anwar memukul diri s endiri untuk tagih simpati.

Sewajarnya untuk semua perwakilan muktamar membuka mata terhadap permainan kotor kumpulan pro-ulamak ini yang mendapat sokongan dan dokongan musuh utama PAS iaitu UMNO.

Bersabarlah DS Nizar... Hukum Kebenaran & Keadilan Akan Tetap Berjalan...


Usaha terancang singkirkan Nizar?

IPOH - Satu kenyataan bertulis yang tersebar di laman sosial semalam dikaitkan dengan agenda terancang untuk menyingkirkan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin selaku Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kampar.

Timbalan YDP Pas Kawasan Kampar, Anuar Morat berkata, perkara itu hanya diketahui ketika mesyuarat agung tahunan kali ke-27 berlangsung kelmarin.

“Saya hanya dapat tahu pun selepas dimaklumkan oleh seorang rakan yang turut sama berada dalam mesyuarat tersebut.

“Namun saya yakin surat itu tidak sampai kepada mana-mana ahli Pas cawangan yang mengundi bagi memilih YDP Pas Kawasan Kampar yang baru,” katanya, ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya masih belum dapat memastikan dalang di sebalik penyebaran kenyataan bertulis tersebut.


“Itu memang belum dapat diketahui sama ada individu yang membuat dan menyebarkan kenyataan bertulis itu datangnya dari kalangan ahli atau pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan Muhammad Nizar mempertahankan jawatan selaku YDP Pas Kawasan Kampar tidak harus disensasikan oleh mana-mana pihak kerana perkara terbabit merupakan proses biasa dalam memilih pemimpin parti.

“Peralihan kuasa itu perkara biasa dan bagi kami isu berkenaan sengaja diperbesar-besarkan bagi merenggangkan hubungan kami sesama ahli di kawasan Kampar,” katanya.

Katanya, beliau percaya isu berkaitan kenyataan bertulis terbabit berkemungkinan besar akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa bagi sesi 2014-2015.

“Mungkin akan ada yang membangkitkannya dalam mesyuarat pertama kami namun perkara itu saya tak boleh nak komen dengan lebih lanjut,” katanya. -SH



ULASAN GB

Dah bagus sangat PAS ni... dah sampai tahap ganti UMNO... termasuk dalam hal-hal penyebaran surat layang, pecat ulama beri kuliah, mewujudkan dan membiarkan "papagomo PAS" seperti TUC, ElHaraki, Keli Laut dan sebagainya ..

Dan betul juga kata bekas menteri UMNO yang berikut


Dan yang menjijikkan ia dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka kumpulan pro-ulama dalam usaha untu merebut jawatan dalam parti untuk menguasai pemilihan jawatankuasa parti 2015.

"Kami berjuang untuk keredhaan Allah" kata mereka. Tetapi mereka menggunakan taktik-taktik kotor ... matlamat menghalalkan cara. Tak menang pilihanraya tak apa asalkan Allah redha. Tetapi dalam kandang sendiri rebut jawatan bagai nak mati walaupun langgar etika dan disiplin parti.

Anehnya, Jawatankuasa PAS Pusat dan Jawatankuasa Disiplin parti senyap membisu di dalam hal ini seolah-olah merestui tindakan kotor dan jijik tersebut.

GB sudah berulangkali menyatakan, hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Kemenangan yang diperolehi dengan taktik kotor ini adalah kemenangan yang tidak ada keberkatan dan akan tetap menerima hukuman Allah....

Kita sama-sama tunggu saat ketibaannya...

Bersabarlah Dato Seri Nizar, bersabarlah wahai kumpulan progresif. Kebenaran dan keadilan akan tetap menang melawan kebatilan dan kezaliman....

15 Apr 2015

PAS Tak Perlu Lagi Undi Bukan Islam? - Pak Syukur


Undi bukan Islam tidak penting? Oleh A Shukur Harun

Ramai yang berkongsi kerunsingan dan menyertai kebimbangan bekas pemimpin PAS, Ustaz Haji Ahmad Awang apabila beliau berkata, “ramai yang sedih melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat. Sama ada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang mengentahui.”

Menurut Ahmad Awang, kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tidak penting” dan sebagainya adalah sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.

Ungkapan seperti ini bermunculan ketika tercetusnya krisis berat dalam PAS sendiri sekarang ini, lebih-lebih lagi menjelang Muktamar Tahunan PAS bulan Jun depan.

Menurut pendapat saya, pandangan PAS mampu bersendirian sementara sokongan bukan Melayu tidak penting adalah kata-kata yang menggambarkan betapa naifnya bacaan politik mereka ini, yang sama sekali tidak berasaskan realiti politik yang ada.

Bahkan pandangan begini membahayakan kelansungan masa depan PAS lebih-lebih lagi apabila golongan ini berkata, “Putrajaya bukan matlamat kami”.


Pandangan seperti ini bukan saja aneh, tetapi juga membayangkan pemikiran paranoid, kecelaruan, bahkan kedangkalan politik.

Belum pernah dalam sepanjang sejarah politik moden seperti PAS yang berjuang untuk kemenangan politik dan kuasa, tiba-tiba merasakan Putrajaya (pusat kuasa) tidak penting. Kalau begitu adakah PAS mahu berhenti sebagai parti politik dan hanya mahu menjadi badan dakwah? Pendapat begini bertentangan dengan wawasan pemimpin masa lalu. Perlu diingat, pelaksanaan hudud itu sendiri, umpamanya memerlukan kuasa politik. Oleh itu sangat aneh dan dangkal pemimpin politik yang berkata, “Putrajaya bukan matlamat kami.”

Sepanjang sejarahnya, selama ini pemimpin PAS berjuang dalam politik diiringi dengan niat untuk mencapai keredhaan Allah. Ini bermakna kemenangan politik dan redha Allah itu tidak pernah terpisah. Oleh itu, janganlah ada pemikiran dangkal memisahkannya.

Sementara itu, jika ada pemikiran PAS perlu menumpukan perhatian kepada pengundi kawasan majoriti Islam saja untuk menang, maka pemikiran politik seperti itu sangat naif dan ketinggalan zaman.

Ia hanya merugikan PAS sendiri dan tidak menolong usaha memperkukuh Pakatan Rakyat yang dipersetujui bersama dalam empat kali muktamar tahunan PAS sebelum ini.

Keadaan ini berasaskan realiti demografi pengundi di negara ini yang taburannya pelbagai, di mana negeri di Pantai Timur – Terengganu dan Kelantan – jumlah pengundi Melayunya besar. Tetapi di Pantai Barat, jumlah pengundi Melayu sekitar 60% atau kurang dari itu, sementara jumlah pengundi bukan Melayu ialah sekitar 40%.

Adalah sangat naif jika berfikir cukupkah kalau PAS dapat menang di negeri yang majoriti Melayunya besar, seperti di Pantai Timur.

Sikap seperti itu hanya mahu menarik PAS undur ke belakang 20 atau 30 tahun. Tidak munasabah jika PAS yang sudah berumur 63 tahun hendak ditarik ke belakang semakin jauh.

Sementelah lagi apakah teori memberi fokus lebih kepada kawasan Melayu itu saja, konon kerana orang Melayu majoritinya “pasti” akan mengundi PAS dengan andaian ia didukung orang Melayu/Islam. Sejarah pilihan raya yang lalu menunjukkan keadaan seumpama ini jarang, malah tidak berlaku.

Menurut suatu kajian lain pula, jumlah pengundi Melayu di luar bandar akan jauh merosot di tahun-tahun akan datang di mana mungkin susut hingga tinggal 25% saja dari jumlah keseluruhan peratusan pengundi di Malaysia hingga PRU akan datang.

Ini kerana jumlah pengundi di luar bandar banyak berpindah, mengikut anak di bandar, meninggal dunia dan beberapa sebab lagi ke bandar. Dengan itu jumlah pengundi Melayu seperti di Lembah Kelang, sekitar bandar di Johor, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan lain-lain akan terus bertambah.

Oleh itu, tumpuan pengundian pada asasnya kini ialah di dalam bandar, iaitu pengundi Melayu dan bukan Melayu. Ini tentunya sangat signifikan dalam menentukan kemenangan sesuatu parti yang bertanding dalam PRU akan datang.

Dalam PRU yang lalu, banyak calon PAS menang di kawasan campuran iaitu di bandar seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, terbukti sukar bagi calon PAS untuk menang. Inilah hakikat yang sebenarnya dan terimalah realiti ini walaupun mungkin sukar diterima. Parti politik yang matang menerima realiti yang wujud dan berusaha berasaskan rialiti yang ada.

Bagaimanapun saya yakin, pendukung PAS yang berfikiran jauh ke depan tidak akan berfikir untuk bertanding secara bersendirian dalam PRU akan datang betapapun didorong kemarahan atas apa yang berlaku dalam Pakatan sendiri. Emosi dan pemikiran sempit tidak wajar diberi ruang dalam membuat keputusan politik.

Pemikiran besar dan jauh ke depan perlu ada pada pendukung PAS. Maka di sinilah saya masih ingat pesan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Mat, beberapa tahun lalu:

“Kita (PAS) berada dalam Pakatan Rakyat, banyak manfaatnya. Kita dapat berdakwah dengan luas kepada semua kaum. Kita dapat menjalin hubungan dengan mudah dengan bukan Islam.”

Memang diakui sejak krisis yang menimpa Pakatan Rakyat lebih tujuh bulan lalu dan merecik menjadi krisis dalam PAS sendiri, tetapi ini tidaklah boleh menyebabkan sesetengah pendukung PAS terdorong mahu PAS bersendirian dalam perjuangan politik walau apa hujah pun.

Seperti diketahui, sebanyak empat kali muktamar PAS bukan saja menunjukkan komited dengan Pakatan Rakyat, bahkan berikrar memperkukuh Pakatan Rakyat.

Jadi tidaklah wajar ada sesetengah pihak di dalam PAS sendiri, walau dalam status apa pun, begitu mudah mengeluarkan kenyataan bersifat mengugut, mendesak, mengancam, menyindir, memberi kata dua dan sebagainya mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Yang perlu di sini ialah PAS bersama komponan Pakatan perlu kerap berunding untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul. – TMI

ULASAN GB

Jika berdasarkan pegangan politik kumpulan pro-ulama yang kini diketuai oleh Presiden PAS sendiri, maka PAS sudah tidak lagi perlu kepada undi bukan-Islam. PAS akan kembali seperti dudu-dulu - perjuangan era Datuk Asri - Islam kebangsaan.

PAS akan kembali ke era "katak bawah tempurung" - hanya mendominasi di kawasan-kawasan majoriti Melayu/Islam - itu pun akan terpaksa bertemu dulu dengan UMNO untuk menang. Jika tidak PAS kembali ke surau-surau hanya untuk menyampaikan kuliah ugama - itu pun perlu melutut dapatkan tauliah dari kerajaan UMNO terlebih dahulu.

Golongan progresif di dalam PAS dihentam begitu hebat. Dicari segala jalan sekalipun menggunakan cara-cara non-Islamik untuk mengalahkan mereka. Fitnah direka dan ditaburkan, sehingga PAS kini dilihat hanya dikuasai oleh golongan pro-ulama. Yang menentang mereka dituduhnya anti-ulama, dituduhnya berfahaman liberal malah dilabel dengan segala macam label seperti Jebon dan seumpamanya.

Dengan berprinsip "matlamat menghalalkan cara", kumpulan pro-ulama kini melakukan apa saja untuk menguasai Jawatankuasa PAS Pusat. Ditambahi dengan "grand design" peringkat tertinggi untuk menepis keluar golongan progresif dalam PAS.

Tetapi hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan.... akan tetap ada suara-suara ulama yang berpandangan jauh dan ikhlas di dalam perjuangan mereka. Kemunculan Ustaz Ahmad Awang untuk bertanding jawatan Presiden, diharapkan dapat mereda dan meletakkan kembali asas perjuangan PAS ke landasan yang betul.

Dan cita-cita kumpulan pro-ulama untuk menobatkan Haji Hadi sebagai Perdana Menteri, malah sebagai Ketua Pembangkang sekalipun sebenarnya kini bukan semakin dekat tetapi semakin jauh.... si Luncai terjun dengan labu-labunya... biarkan ... biarkan...

[BERGAMBAR] Siapa Edar Buku Hina Pemimpin Progresif PAS?


Kenyataan ‘sarcastic’ Nasrudin Tantawi di FB

Sebuah buku yang didakwa cuba menjatuhkan pemimpin PAS telah didedarkan menjelang Muktamar parti itu pada Jun ini.

Buku itu menyenaraikan lima pemimpin PAS yang didakwa sebagai parasit yang mahu menjatuhkan pemimpin golongan ulama dalam parti itu.

Mereka ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; Ketua Pengarah Pilihan PAS Pusat; Dr Hatta Ramli; Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat; Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Hanipa Maidin serta Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMA), Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd Zawawi.

“Parasit, sifatnya menumpang pada tubuh dan menghisap segala zat pada tubuh itu, Parasit kenyang, namun tubuh yang ditumpang itu semakin rosak dan lunyai,” antara isi kandungan buku itu.

Buku bertajuk ‘Siapa Perosak Sebenar PAS’ itu telah dimuat naik oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi di akaun Facebook.

“Siapa terbitkan buku ini? Siapa yang membiayainya? ni dah mula main kasar ni.

“Saya harap ahli PAS tidak menyebarkannya,” tulis Ahli Parlimen Temerloh itu.

Kenyataan beliau itu bagaimanapun dianggap sebagai sarcastic atau kiasan kerana Nasrudin merupakan penyokong kumpulan ulama dalam PAS yang tidak sehaluan dengan pemimpin liberal atau dirujuk golongan Anwarinas.

PasMA dikatakan ditubuhkan untuk menggantikan PAS dan mendapat sokongan DAP dan PKR yang tidak senang dengan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -FMT

ULASAN GB

Anehnya, beliau berharap ahli PAS tidak menyebarkannya, tetapi BELIAU sendiri yang memuatnaik di dalam FB.

Wartawan portal FMT pun tahu bahawa Nasruddin berlakon... berpura-pura taK tahu, menganggap kenyataannya sebagai sarkastik.

Buku itu berlambangkan logo PAS PUSAT. Sudah beredar sejak beberapa hari lepas. Tiada penafian dari Pejabat Agung PAS Pusat seolah-olah membiarkan buku itu terus diedarkan tanpa sekatan.

Inilah kerja kumpulan ulama/UG selama ini... baling batu sembunyi tangan.... menabur fitnah.... untuk menguasai kepimpinan parti menjelang pemilihan 2015.

Kemunculan TUC, El-Haraki, Keli Laut, Huzir Sulaiman dan beberapa orang yang lain yang menyerang kumpulan progresif dalam PAS adalah justifikasi terhadap penaburan fitnah dan pembalingan batu sembunyi tangan itu, berselindung di sebalik mendokong kepimpinan ulamak.

Namun, jika menang sekalipun, berkatkah kemenangan mereka secara itu?

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan...

p/s Ada yang menyatakan ia dilakukan oleh UMNO. Jika benar demikian, maka yang patut dipersalahkan ialah kumpulan pro-ulama kerana selama ini bukankah pro-ulama yang telah menyerang kumpulan progresif habis-habisan? Malah point-point yang ada di dalam buku itu kebanyakan ialah point-point yang pernah disebarkan oleh pro-ulama PAS melalui media sosial. Tahniah pro-ulama yang kini telah mendapat sokongan padu dari rakan seangkatan anda, UMNO!

14 Apr 2015

Jika Sedia Bertanding Timb Presiden, Mengapa Tidak Untuk Parlimen Rompin?


PAS akar umbi mahu Tuan Ibrahim calon Rompin, kata akhbar

Ahli PAS di peringkat akar umbi menyifatkan Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man calon paling layak memberi saingan hebat kepada Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Rompin, lapor Sinar Harian.

Ahli PAS Muadzam Shah Sofet Abdul Halim berkata, bagi PRK Rompin yang dijadualkan 5 Mei ini, akar umbi parti Islam itu tidak melihat soal pemilihan calon yang mengutamakan anak tempatan.

Namun, katanya, keputusan PRK itu nanti bergantung kepada kekuatan calon tersebut.

"Calon paling tepat Tuan Ibrahim," katanya merujuk naib presiden PAS itu.

"Jika tidak boleh, biar pemimpin pusat yang bertanding, seperti Salahuddin Ayub atau Dr Mohd Hatta Ramli.

"Kalau hendak berlawan bertinju biarlah berlawan dengan orang yang mahir bertinju, jika tidak siap sedia usung keluar gelanggang sahaja," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Sementara itu yang dipertua PAS Rompin Nazri Ahma‎d berkata, sebelum Januari lalu, kepimpinan kawasan memberi 2 nama kepada PAS negeri sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, 2 nama berkenaan membabitkan tokoh yang dikenali masyarakat setempat.

"Kemungkinan ia (nama calon) akan bertambah atau berkurang setelah diteliti kepimpinan negeri sebelum dibawa ke pusat," katanya.

Nazri pada masa sama menolak khabar angin mengatakan ‎beliau akan menjadi calon walaupun ada yang mencadangkan namanya, mengatakan beliau belum bersedia dan mahukan calon yang kuat membolehkan PAS beroleh kemenangan.

Beliau percaya terdapat beberapa isu nasional yang bakal mempengaruhi undi yang boleh memberi kelebihan kepada ‎PAS.

Antaranya, beliau berkata, membabitkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu kenaikan harga barang.

"Saya harap masyarakat tidak terbuai atau terleka sebaliknya memberi undi kepada PAS sebagai simbolik membantah isu yang membebankan rakyat.

"Populasi penduduk tanah rancangan Felda juga agak besar di sini yang melibatkan 17 kawasan kesemuanya. Isu kejatuhan saham FGV dan harga sawit rendah turut boleh mempengaruhi undi para peneroka," katanya.

Manakala, Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat semalam memutuskan akan mengumumkan calon mereka pada 20 April ini.

Menurut Sinar Harian, mesyuarat tersebut memutuskan Tuan Ibrahim sebagai pengarah jawatankuasa parti bagi PRK tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS memutuskan bertanding di Parlimen Rompin kerana ia merupakan kerusi tradisi parti Islam itu.

Selain itu katanya, PAS juga bersetuju membantu calon PKR dalam PRK Permatang Pauh walau siapa pun yang akan dinamakan.

"Kita juga akan meletakkan jentera bagi membantu PKR di PRK Permatang Pauh diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu," katanya. –TMI

ULASAN GB

Tuan Ibrahim perlu menunjukkan kejantanannya untuk bertanding di Parlimen Rompin.

Beliau sudah mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS untuk melawan Mohamad Sabu semenjak belum mendapat sebarang pencalonan lagi.

Dan hasil dari kerja-kerja golongan pro-UG yang berjaya mencalarkan imej-imej kumpulan progresif dalam PAS, kini beliau telah memperolehi pencalonan terbanyak untuk jawatan Timbalan Presiden PAS. Maka berjalanlah hukum kebenaran dan keadilan, justeru, Allah membuka ruang untuk beliau betul-betul tunjukkan keberanian dan kejantanan dengan kekosongan sebuah kerusi parlimen di Pahang iaitu di Rompin.

TITM sewajarnya menggunakan ruang itu untuk membuktikan bahawa beliau bukan sahaja pemimpin parti tetapi pemimpin untuk semua - sekurang-kurangnya untuk masyarakat Rompin, sebuah parlimen di negeri yang beliau menjadi Pesuruhjayanya.

Apakah TITM dan sekalian yang bergelar ulama hanya mahu bertanding di kerusi-kerusi yang selamat?

Jangan nanti ditempelak orang hanya bertaring di gelanggang sendiri tetapi bacul dan menggelupor di tengah padang....

Ahmad Awang Bantah Haji Hadi: Kemelut PAS Bukan Perkara Kecil


Kemelut dalam PAS bukan perkara kecil, Ahmad Awang bantah Hadi

Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang menyifatkan masalah yang sedang melanda parti itu sangat teruk, tidak kecil seperti dakwaan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jika dibiarkan berterusan, parti boleh hancur, kata Ahmad yang merupakan salah seorang calon yang layak bertanding kerusi presiden pada pemilihan parti yang akan datang Jun ini.

"Presiden kata ia perkara kecil. Apa yang ada sekarang ini bagi saya sangat teruk, dan jika terus dibiarkan, ia boleh menghancurkan parti," kata ahli Majlis Syura Ulama itu.

Beliau berkata, badan tertinggi parti Islam itu juga mahu pimpinan parti tidak membiarkan apa yang berlaku begitu sahaja, tetapi perlu menghentikannya segera.

"Jika ini caranya dan dibiarkan oleh parti, ini bukan saja tidak demokratik tetapi bercanggah dengan prinsip perjuangan PAS,"
kata Ahmad yang kini turut menjadi mangsa “permainan politik” yang berlaku dalam parti itu sekarang.

Beliau yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia itu mendakwa, pihak tertentu sudah mula mengenakan tekanan kepadanya, termasuk menghentikan kuliah beliau di masjid.

Ia dibuat ekoran tulisan beliau yang didakwa mengkritik cara kumpulan ulama dalam parti itu berkempen dan juga ekoran pencalonan yang beliau terima untuk bertanding jawatan presiden PAS.

"Setiausaha sebuah masjid menghantar SMS meminta saya menghentikan kuliah, selepas dinasihatkan Jawatankuasa Harian PAS kawasan, meminta saya direhatkan dari mengajar di masjidnya," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Ahmad yang sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan itu berkata, jika beliau memutuskan untuk bertanding, PAS perlu pastikan amalan demokrasi diamalkan dengan baik.

Beliau juga mengkritik sikap Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang baru dilantik, yang membuat kenyataan terbuka agar Hadi dikekalkan sebagai presiden.

"Ia tidak wajar dilakukan. Ia satu penyalahgunaan kuasa. Kerana kedudukan dia itu ada pengaruhnya,"
kata Ahmad yang turut kesal dengan kenyataan beberapa pesuruhjaya negeri yang seolah-olah memaksa PAS kawasannya menyokong calon tertentu.

"Bertanding bukan bermakna kita berseteru. Tetapi sekarang, seolah-olah kita mahu berseteru dengan rakan yang kita tandingi," katanya.

Beliau juga kesal dengan serangan ke atas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dibuat melalui baju-T yang dijual di Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur, Sabtu lepas.


Dalam himpunan itu, seorang penjual menjual baju yang tertulis "Yes to Hudud, No to Mat Sabu" di sebuah gerai di himpunan itu.

"Mungkin pihak penganjur boleh kata mereka tidak tahu. Tetapi sekarang mereka sudah tahu, tindakan perlu diambil oleh mereka.”

Ahmad melepasi syarat minima 2 pencalonan pada Sabtu apabila mendapat pencalonan untuk bertanding kerusi presiden parti Islam itu dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan Jelebu, Negeri Sembilan selepas mendapat pencalonan dari Parit Sulong sebelum ini.

Selain beliau, Datuk Husam Musa juga layak bertanding selepas mendapat pencalonan 8 kawasan di seluruh negara. Pada Sabtu, beliau menerima satu lagi pencalonan iaitu dari Tanjung Piai, Johor.

Menjelang muktamar PAS ke-61 Jun ini, Hadi mendapat cabaran getir sejak hari pertama apabila kawasan yang pertama mengadakan mesyuarat, iaitu Kota Baru, Kelantan, tidak menamakan beliau sebaliknya mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.

Namun, Tuan Ibrahim menolaknya, menyebabkan pencalonan beliau kekal satu dan tidak berubah sehingga kini. Setakat ini, 22 kawasan mencalonkan Hadi mengekalkan jawatan presiden.

Parti itu dilanda krisis dalaman akibat perbezaan pendapat antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) – PAS, DAP dan PKR.

Antaranya ialah langkah PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang yang berkaitan.

Kemelut itu berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon untuk jawatan menteri besar, tetapi tidak dipersetujui PAS, terutamanya Hadi, walaupun PKR dan DAP setuju hanya satu nama harus dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Keadaan menjadi bertambah buruk dengan keputusan PAS Kelantan meminda Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu, dalam usaha membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan, disusuli tindakan Hadi membelakangkan PR dengan memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965.

Tahun lepas, akibat keadaan yang tidak stabil dalam PAS itu, beberapa ahli parti Islam itu memutuskan menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bertujuan mengukuhkan hubungan dalam pakatan pembangkang. -TMI

Pertelingkahan dalam PAS ‘sangat kecil’, kata Hadi

Perbalahan yang berlaku dalam PAS ketika ini 'terlalu kecil', kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sambil memberi jaminan parti itu masih teguh dan akan kekal untuk terus maju.

Presiden PAS itu berkata, parti itu pernah berdepan krisis yang lebih besar, termasuk tindakan kepimpinan tertingginya meninggalkan parti sekitar 1950-an dan 1960-an, namun PAS tetap tidak terjejas.

"Apa yang digembar-gemburkan media hari ini, kecil sangat.

"Masalah dalaman parti tidak jadi masalah, pada 1950-an, pernah berlaku. PAS tidak mati. Tahun 1960-an, berlaku krisis, beberapa kepimpinan PAS keluar parti, PAS tidak mati, terus mara ke depan," katanya.

Belau berkata demikian pada program dialog Nadwah Fiqh Ikhtilaf di Shah Alam, hari ini, yang dihadiri lebih 300 peserta.

Beberapa insiden melanda PAS sejak krisis dalam Pakatan Rakyat (PR) tercetus apabila terdapat beberapa percanggahan dan pertelingkahan antara parti itu dengan rakan sekutu mereka, DAP dan PKR.

Antara isu yang menjadi perhatian ialah tindakan PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor melibatkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, yang dikatakan tidak dipersetujui PAS.

Krisis berkenaan turut berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ingin dilantik sebagai menteri besar dan PAS sekali lagi membantah meskipun DAP dan PKR bersetuju menghantar satu nama kepada Sultan Selangor.

Krisis antara PAS dan rakan dalam PR berterusan apabila PAS Kelantan memutuskan ingin melaksanakan pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu, yang membolehkan undang-undang Islam dilaksanakan.

Susulan beberapa insiden, segelintir pemimpin PAS menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan PR.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi sebelum ini dilaporkan berkata, penubuhan badan bukan kerajaan itu bukan untuk menggantikan PAS sebaliknya untuk pengukuhan PR.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS bagaimanapun melahirkan rasa tidak senang dengan PasMa.

Susulan kritikan dan kecaman beberapa pihak, Phahrolrazi melepaskan jawatannya di dalam PAS bagi membolehkan beliau bergerak bersama PasMa tanpa sebarang gangguan.

Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat juga mengeluarkan arahan agar kepimpinan PAS tidak terlibat dengan sebarang aktiviti PasMa.
-TMI


ULASAN GB

Jika dulu hanya UMNO saja sekat ulama PAS dari mengajar di masjid. Kini orang PAS sendiri halang ulama PAS beri kuliah di masjid.

"Setiausaha sebuah masjid menghantar SMS meminta saya menghentikan kuliah, selepas dinasihatkan Jawatankuasa Harian PAS kawasan, meminta saya direhatkan dari mengajar di masjidnya,"

Semakin teruk dah perangai dan sikap golongan pro-ulama dalam PAS. Tapi dibiarkan oleh pimpinan tertinggi PAS. Kerana tindakan-tindakan kumpulan itu dilihat memberikan keuntungan kepada golongan ulama walaupun dengan kaedah yang tidak Islamik.

Mat Sabu Ketuai Jentera PAS Di Permatang Pauh, TITM Di Rompin


Mat Sabu ketuai jentera PAS di Permatang Pauh

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan mengetuai jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Manakala Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengetuai jentera PRK Rompin 5 Mei, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Ditanya sama ada PAS akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di Permatang Pauh, Mohamad (kanan) menjawab:

“Siapa sahaja calon dalam PRK kita akan bantu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Katanya lagi, beliau yakin PKR akan memenangi di Permatang Pauh dan akan berusaha untuk menambah jumlah majoriti.

Mohamad menambah, PAS negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan sebahagian Kelantan akan membantunya berkempen di Permatang Pauh.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pula berkata PAS sudah memulakan kempen di Rompin dan akan dibantu PAS negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan dan sebahagian negeri Kelantan.

Katanya, walaupun PAS kalah dengan majoriti kira-kira 15,000 undi pada PRU lalu, pihaknya tetap akan bertanding, sekurang-kurangnya bagi menyedarkan rakyat mengenai isu-isu semasa.

“Ya, mungkin orang lihat majoriti 15,000 ni terlalu sukar, dalam PRK tidak ada benda yang mustahil.

“Kita hadapi pilihan raya bukan sebab (mahu) menang (saja) tapi soal rakyat, (mereka) perlu dapat penjelasan isu semasa yang berlaku.

“Pilihan raya kecil ini peluang terbaik untuk rakyat perlu lebih terbuka soal isu demokrasi,” katanya.

ULASAN GB

Dua-dua calon Timbalan Presiden. Masing-masing akan berpeluang untuk tunjukkan yang terbaik sebagai Ketua Jentera PAS di dalam PRK nanti.

Berkebetulan pula Mohamad Sabu orang utara dan TITM orang Pahang. Alangkah bagusnya jika kerusi di Permatang Pauh diberikan kepada PAS dan memberi laluan kepada Mohamad Sabu untuk bertanding di situ. Dan TITM bertanding di Rompin. Tetapi oleh kerana PAS menghormati bahawa kerusi Permatang Pauh itu kerusi PKR maka PAS tidak meletakkan calonnya. Kecualilah jika ada "watikah" dari antah berantah yang meletakkan orang PAS sebagai calon Bebas di situ untuk mengalahkan calon Pakatan Rakyat. Macam-macam boleh berlaku di saat Pakatan Rakyat sedang menghadapi kemelut kini. Ia bergantung kepada "kejujuran" sepertimana yang ditekankan oleh salah seorang bakal calon Presiden iaitu Ustaz Ahmad Awang. Pakatan Rakyat musnah apabila tiada kejujuran di dalam persepakatan itu. GB tambah: Tanpa kejujuran lebih baik duduk sendirian dalam hutan, jangan duduk bersama kawan.

Tetapi menyedihkan di Rompin apabila ada terdapat pemimpin PAS yang awal-awal menyatakan bahawa "kita bertanding dalam pilihanraya ini bukan untuk menang. Tetapi ini adalah peluang terbaik bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan terbuka dalam sistem demokrasi kita. Soal menang kalah tidak penting, Ini ruang yang kita ada, kita harus gunakan."...

Jika bukan untuk menang baik tak usah bertanding. Buang karan, buang masa, buang tenaga dan buang sumber. Di dalam seseuatu perjuangan MESTI ADA cita-cita dan hasrat untuk mencapai kemenangan, malah menang dengan cemerlang. Dengan itu baru ada usaha yang kental dan barulah tercapai apa yang dicita-citakan. Bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan ... disitulah letaknya keredhaan Allah kerana telah termaktub di dalam sebuah hadith qudsi bahawa "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia lakukan dengan bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya."

Nampaknya dua calon Timbalan presiden kini berpeluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing supaya ianya nanti dapat dinilai oleh para perwakilan muktamar semasa pemilihan.

13 Apr 2015

Ust Ahmad Awang Sedia Lawan Hj Hadi


Terima cukup pencalonan, Ahmad sedia timbang lawan Hadi

Bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang sedia menimbangkan untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS selepas mendapat pencalonan yang cukup bagi jawatan itu.

Namun, beliau masih enggan membuat keputusan waktu ini kerana katanya masa masih panjang dan tidak perlu terburu-buru.

"Kita lihat juga berapa calon yang lain. Ini kerana, yang banyak mendapat pencalonan sekarang ialah Datuk Husam (Musa)," kata bekas pesuruhjaya PAS Perak itu.

Katanya, pencalonan yang banyak untuk melawan penyandang jawatan ini membayangkan kecenderungan ahli PAS membuat perubahan di pucuk pimpinan parti.

"Kita lihat kecenderungan hendakkan perubahan pucuk pimpinan sudah jelas," kata bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS itu kepada The Malaysian Insider.

Namun, bagi beliau, pemimpin yang perlu naik ialah yang lebih muda dan jelas dalam perjuangan dan bukan semestinya ulama.

Ahmad kini melepasi syarat minima dua pencalonan dengan pencalonan terbaru dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan Jelebu, Negeri Sembilan pada Sabtu, selepas mendapat yang pertama dari Parit Sulong sebelum ini.

Sebelum ini, Husam juga layak bertanding. Beliau kini mendapat pencalonan 8 kawasan dari seluruh negara. Semalam, beliau mendapat satu lagi pencalonan iaitu dari Tanjung Piai, Johor.

Menjelang muktamar ke-61 Jun ini, Hadi mendapat cabaran getir sejak hari pertama mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan di seluruh negara apabila kawasan yang pertama mengadakan mesyuarat agung iaitu Kota Baru, Kelantan tidak mencalonkannya sebaliknya mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.

Namun, Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu menyebabkan pencalonan beliau kekal satu dan tidak berubah sehingga kini.

Sehingga kini, 22 kawasan mencalonkan Hadi mengekalkan jawatannya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mendapat paling banyak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden sehingga kini dan mendahului penyandang jawatan itu Mohamad Sabu.

Beliau kini mendapat 21 pencalonan untuk jawatan itu manakala Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendapat 7 pencalonan.

Untuk jawatan naib presiden pula, nama yang popular sekarang ialah Salahudin Ayub, Datuk Seri Mahfuz Omar dan Idris Ahmad.

Turut mendapat pencalonan dari kawasan-kawasan ialah Tuan Ibrahim, Husam, Datuk Dr Mujahid Yusof (ahli Parlimen Parit Buntar), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (timbalan MB Kelantan), Nasrudin Hassan (ahli Parlimen Temerloh), Datuk Iskandar Samad (exco Selangor), Dr Mariah Mahmud (ahli Parlimen Kota Raja), Mat Sabu dan Datuk Dr Mahfodz Mohamad (exco Johor).

Sementara itu, dalam mesyuarat agung semalam, dua penyandang jawatan kalah dalam pemilihan peringkat kawasan.

Menantu presiden PAS Zaharudin Mohamad mengalahkan bekas Yang Dipertua PAS Subang Mesni Dahlan.

Di Kampar, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dikalahkan Sufian Rejab untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kampar. -TMI

Selepas pencabar Hadi cukup pencalonan...

Selepas cukup pencalonan untuk mencabar presiden, penyokong veteran PAS Ahmad Awang dilihat terus berkempen mengangkatnya sebagai calon terbaik berdepan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anggota Parlimen parti Islam itu Khalid Samad mengetengahkan "perbualannya" dengan seorang penyokong Ahmad selepas mesyuarat agung tahunan PAS Shah Alam.

Dalam pemilihan peringkat bahagian itu sebelum ini, Ahmad dan Hadi sama-sama popular di mata perwakilan apabila dipisahkan cuma enam undi.

Hadi mendapat 78 undi, manakala Ahmad memperoleh 72 undi.


"Dia (Ahmad) menyelamatkan PAS semasa PRU (pilihan raya umum) 2008 dahulu. Kalau tidak kerana ketegasan Ustaz Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan Umno di Perak untuk membentuk kerajaan.

"Dia mampu menyatu padukan ahli dan PAS bersama Pakatan Rakyat. Kita patut berikan dia peluang," tulis Khalid, memetik jawapan penyokong Ahmad itu.

Bagaimanapun Khalid, dalam perbualan yang diceritakan kembali di blognya hari ini, membantah dengan menyatakan bahawa Hadi juga bertegas dengan Umno sewaktu krisis di Perak.

Ahmad 2, Hadi 22, Husam 8

"Tidak apalah YB, mesyuarat agung tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS perlukan presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi, pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.

"Tapi yang lebih penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang presiden mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap 'berdosa' menyanggah pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya tersilap," tulis Khalid, memetik jawapan anggota akar umbi PAS itu.

Ahmad semalam selamat dengan dua pencalonan bahagian dengan pencalonan minimum daripada Parti Sulong dan Jelebu. Hadi pula mendapat sekurang-kurangnya 22 pencalonan kawasan.

Sementara itu Naib Presiden Datuk Husam Musa pula mendapat sekurang-kurangnya lapan pencalonan daripada kira-kira 30 daripada 191 bahagian yang telah bermesyuarat setakat ini.

Muktamar pemilihan PAS kali ini akan berlangsung pada Jun ini di Kuala Selangor.

Soalan Umno: Kamu barua atau broker?

Dalam tulisan di blog itu juga, Khalid berkata, berdasarkan maklum balas diterimanya, akar umbi PAS mengakui ketokohan dan kefakihan Hadi tetapi mereka perlukan pemimpin yang cekap berpolitik.

Perkara lain dibangkitkan padanya termasuk dakwaan kelemahan kepimpinan Hadi seperti kekalahan PAS di Terengganu sebelum ini, tidak terbuka pada kritikan serta kegagalan menangangi perbalahan dalaman parti dan Pakatan.


Selain itu, kata Khalid, anggota itu turut mempersoal kritikan Hadi kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail secara terbuka dalam krisis Selangor serta tindakannya melemparkan ungkapan “barua” dan “broker' kepada ahli dan pimpinan PAS tertentu.

"Saya minta maaf lagi, saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula.

“Bila saya balik dari muktamar, kawan saya dari Umno tanya saya, kamu ni barua ke broker? Geramnya saya,” katanya.
-mk


ULASAN GB

Sekalipun Husam Musa mendapat pencalonan yang lebih tinggi daripada Ust Ahmad Awang, namun jika hendak bertanding jawatan Presiden, pada pendapat GB, maka Ustadz Ahmad Awanglah orang yang paling sesuai untuk mencabar Haji Hadi.

Ini berdasarkan faktor kedudukan dan latarbelakang Ustadz Ahmad Awang sendiri sebagai seorang ulama yang disegani di dalam dan diluarnegara. Beliau pernah memegang jawatan Presiden Peratuan Ulama SeMalaysia. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Perak dan pernah menjadi Naib Presiden PAS serta ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Di peringkat antarabangsa beliau pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad, dan menjadi Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Cawangan Malaysia.

Pada tahun lepas, Ust Ahmad Awangg juga adalah perwakilan Malaysia ke Perhimpunan Kesatuan Ulama Sedunia bersama-sama Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Haji Abdul Hadi Awang.

Sebagai seorang ulama, maka beliau juga berkebolehan untuk berijtihad di dalam menyelesaikan masalah ummah


Jadi tidak timbul persoalan persepsi mereka yang tidak mengundi Haji Hadi sebagai anti-ulama kerana yang bertanding itu juga seseorang yang berstatus ulama.

[VIDEO] Jom Tonton Kenapa Mahathir Serang Najib...


Najib Harapan Saya, Tetapi Dia Mungkir Janji - Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak memungkiri janji untuk membina jambatan bengkok antara Johor Baharu dan Singapura.

Menerusi temuramah sebanyak empat bahagian yang dimuat naik di blog, Din Turtle, dua hari selepas temuramah Najib di televisyen, Dr Mahathir mendakwa perdana menteri itu menyokong projek berkenaan ketika beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Harapan saya, bila Pak Lah dah tak ada (letak jawatan), dia (Najib) akan buatlah jambatan itu. Najib pada satu masa sebut 'walaupun Singapura setuju atau tidak setuju pun, kami nak buat'. Tetapi bila dia jadi perdana menteri, dia tak buat," kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak gembira apabila Najib memungkiri janjinya.

"Jika Singapura tak nak buat (tak setuju), saya buat sebelah saya, apa salahnya. Bukan pasal nak buat jambatan bengkok, tetapi pasal nak buat sebelah tak jadi. Ia adalah hak berdaulat kita, dalam kawasan wilayah kita, kawasan perairan. Separuh daripada tambak itu adalah milik kita. Saya tidak sentuh langsung bahagian Singapura.

"Dia (Najib) ada minta persetujuan dengan Singapura, nak buat benda di dalam negara kita. Di mana kedaulatan kita? Di mana kemerdekaan kita? Adakah kita sebahagian daripada Singapura?" soal Dr Mahathir.

Dalam satu temuramah khas bersama TV3 pada Khamis lalu, Najib berkata, serangan Dr Mahathir terhadap beliau tercetus disebabkan kemungkinan perbezaan pendapat mengenai jambatan bengkok dan pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Mengenai BR1M, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan idea BR1M kerana memberikan wang percuma kepada rakyat.

"Kita tak pernah beri duit kepada orang. Kita beri peluang pekerjaan untuk rakyat, beri mereka pendidikan, latih mereka maka mereka boleh hidup dan buat duit untuk diri mereka sendiri. Kalau kebajikan, kita perlu beri tetapi hanya kepada rakyat yang memerlukan bantuan kebajikan,"
katanya.

Mengenai kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Dr Mahathir berkata, adalah lebih baik untuk Najib meletakkan jawatan sekarang bagi mengelakkan daripada Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang kerana siasatan terhadap syarikat itu boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

"Ia perlu sekarang kerana kita masih mempunyai dua tahun lagi untuk pulih. Jika dia (Najib) tidak berundur sekarang, dengan adanya PAC (Jawatankausa Kira-Kira Wang) dan lain-lain yang akan menyiasat untuk dua atau tiga tahun lagi dan sampai pilihan raya pun, dia masih ada, kita akan kalah. Saya fikir akan ada banyak masalah untuk semua," katanya.

"Kita perlukan pihak yang 'neutral' untuk menjalani siasatan untuk mengetahui ke mana wang itu pergi. Siapa yang mengendalikan wang itu? Siapa Jho Low? Secara tiba-tiba dia menjadi begitu penting. Dalam kerajaan pun dia (Jho Low) tak ada jawatan, dia bukan penjawat awam, secara tiba-tiba dia ada kuasa seperti itu," kata Dr Mahathir.

Mengenai komando polis Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah kerana membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Dr Mahathir berkata, semua individu yang disabitkan bersalah dengan hukuman mati mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan.

"Awak tahu, saya dahulu adalah perdana menteri. Tugas saya ialah menasihat Yang di-Pertuan Agong atau Sultan sama ada seseorang itu perlu mendapat perkenan terhadap rayuannya atau tidak," katanya.

Dr Mahathir yang menemui ibu Sirul baru-baru ini menegaskan bahawa isu berkenaan bukan mengenai politik.

Beliau berkata, Sirul sebagai seorang anggota polis tidak akan membunuh kecuali dia diserang atau diarahkan oleh seseorang. -mstar








ULASAN GB

GB bukanlah penyokong TDM, tetapi GB tidak menolak 100% apa yang disebutkan oleh Mahathir seperti di atas.

Jika Mahathir ingin Najib melepaskan jawatannya kerana khuatir BN akan kalah dalam PRU akan datang, bagi GB pula jika Najib tidak melepaskan jawatannya, akan lebih banyak kerosakan yang akan dibawa kepada negara dan rakyat jelata akan terus sengsara sebelum tiba pilihanraya. Dan najib boleh menggunakan pelbagai taktik dan tipudaya untuk terus menang dalam pilihanraya.

Tidakkah kita perhatikan keborosan dan ketirisan berbilion ringgit di era Najib sehingga rakyat terpaksa menanggung beban dengan GST?

Hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan, percaya atau tidakm Najib akan dihukum dan perlu menerima hukuman.

Habis, Hadith "Jangan Sampai Dipatuk Ular Dua Kali" Itu Apa Maknanya?


Umno pelawa runding hudud, PAS wajib terima, kata Hadi

Susulan pelawaan rundingan Umno berkenaan hukum Islam, hudud, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu wajib menerimanya dan mengetepikan pandangan mereka sedang ditipu.

Hadi sebaliknya berkata, ‘ikhlas’ adalah urusan Allah dan mereka wajib menerima pelawaan rundingan Umno.

"Ikhtilaf (berbeza pendapat) boleh, membantah hukum tidak boleh. Sebab itu dalam menangani isu ini, DAP tidak setuju, mintak ditangguh sejak 20 tahun, sedangkan kita nak hukum orang Islam saja, kita pilih pandangan ulama, (berkenaan) hukum orang Islam.

"Dia nak ganggu juga. Umno ajak kita berunding, wajib kita berunding, ada yang kata dia (Umno) nak tipu, tipu itu urusan Allah, kita anggap semuanya ikhlas, jangan kita campur urusan ikhlas ini," kata Hadi, ketika berucap dalam Program Nadwah Fiqh Ikhtilaf, di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, hari ini.

Hadi berkata, dengan pelawaan Umno itu, PAS membuka peluang rundingan.

"Bila ada orang itu terima, zahirnya, kita terima, maka rundingan dibuat mengikut ijtihad," katanya, di depan lebih 300 peserta program dialog anjuran Pemuda PAS itu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, hudud yang dibawa PAS dan cuba dilaksanakan di Kelantan itu berbeza daripada undang-undang Islam yang diguna pakai kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) serta Taliban.

"Kita melaksanakan hukum ini bukan macam Isis, Taliban, mereka menegakkan negara tanpa asas Islam yang kukuh, belum apa-apa hukum bunuh, ini bukan Islam," katanya.

Beliau berkata, terdapat ulama dalam PAS yang mampu mengendalikan perkara itu, lebih-lebih lagi kerana mempunyai Majlis Syura Ulama.

"Ada ulama yang boleh kendalikan isu ini, PAS ada Majlis Syura Ulama yang boleh berijtihad, dalam mengendalikan hukuman ini perlu kepada kepakaran.

"Majlis syura boleh panggil doktor pakar, sebab itu kita boleh tangani ikhtilaf ini dengan sebaik-baiknya.

"Perkara manusia tidak boleh fikir, perlu lihat hukum Allah, perkara manusia boleh fikir, kita serah kepada rakyat,” katanya.

Hadi sebelum ini membawa usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 ke Dewan Rakyat, dalam usaha bagi meminda kuasa Mahkamah Syariah untuk membolehkan Enakmen Jenayah Syariah II di Kelantan dilaksanakan.

Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan enakmen berkenaan pada 19 Mac lalu, yang meliputi pelaksanaan hukuman hudud.

Hadi bagaimanapun menghantar notis kepada Dewan Rakyat, sehari sebelum enakmen berkenaan diluluskan, untuk membolehkan rang undang-undang persendirian ahli bukan kerajaan yang dibawanya dapat dibentangkan dalam sesi Dewan yang tamat pada Khamis lalu.

Susulan tindakannya itu, DAP memutuskan hubungan secara rasmi dengan Hadi, namun mengekalkan tahaluf siyasi mereka dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, bersama PKR.

Hadi bagaimanapun perlu mengemukakan usul semula kepada Dewan Rakyat untuk membawa rang undang-undang persendirian berkenaan ke Parlimen pada sesi akan datang yang bermula pada 18 Mei, berikutan usul itu tidak dapat dibentangkan pada sesi kali ini. -TMI

ULASAN GB

"Ikhlas" itu urusan Allah kata Tuan presiden. Habis hadith Nabi ini untuk apa?

Sabda Rasulullah S.A.W. “Jangan sampai kamu dipatuk oleh ular di dalam lubang yang sama dua kali,” (Riwayat Abu Daud)

Bukankah hadith itu menyaran dan menyuruh umat Islam agar tidak ditipu lebih sekali?

UMNO sudah menipu berkali-kali pun mahu hulur diri untuk dipatuk lagi. Hairan kita.

Jauh berbeza dengan sikap TG Nik Aziz yang lebih bijak di dalam berpolitik supaya kita berwaspada dengan makhluk yang bernama UMNO itu...

12 Apr 2015

Bersyukur & Menafaatkan Pakatan Sebagai Pertolongan Allah - Ahmad Awang


Ramai sahabat-sahabat yang menyatakan perasaan kecewa dan sedih mereka kepada saya, melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat. Samaada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang Mengentahui.

Kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tak penting” dan sebagainya adalah sangat-sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.

KENANGAN ZAMAN DAHULU

Saya masih ingat pada tahun-tahun 80an semasa PAS mempunyai kekuatan hanya di pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, pada ketika itu, semua pimpinan berusaha memikirkan kaedah untuk memperluaskan pengaruh PAS supaya melangkaui kawasan pantai timur ini.

Pada ketika itu PAS sebagai parti yang tersisih dari politik arus perdana negara dan dianggap parti yang mempunyai sokongan hanya di kawasan Pantai Timur dan kawasan terhad di Kedah dan Perak. Maka pimpinan dan keseluruhan ahli-ahli PAS berusaha sambil berdoa agar ruang pengaruh PAS dapat diperluaskan.

Didoakan semoga Allah bantu PAS supaya dapat maju ke depan, memperluaskan ruang pengaruh dan sokongannya, bukan sekadar di Pantai Timur sahaja tetapi juga di Pantai Barat. Begitu juga, bukan sekdar di kampung-kampung tetapi juga di bandar raya dan bukan sekadar di kalangan orang Islam sahaja tetapi juga di kalangan yang bukan Islam.

Pada ketika itu, pimpinan di semua peringkat bertungkus lumus berusaha mengatasi prejudis dan gambaran negatif yang tersebar luas terhadap PAS di kalangan masyarakat, khususnya yang bukan Islam. Maka diusahakan pembentukan "Chinese Consultative Council" atau "CCC".

Nak cari orang Cina yang sanggup hadir program PAS pada ketika itu cukup sukar walau pun bersama CCC. Pada masa itu beberapa orang suadara baru dari kaum Cina ikut mendekatkan PAS dengan masyarakat Cina. Di antara mereka yang saya masih ingat ialah Kamal Koh, Ridzuan Daniel Onn dan Ali Abdullah.

Kemudian semasa PAS menubuhkan lajnah antara kaum pada tahun 90an seorang saudara baru yang sangat kuat membantu saya di Perak semasa menjadi PJ ialah Faizal Tan(Allahyarham) dan kemudian datang lagi seorang saudara baru membantu saya di pusat semasa saya menjadi ketua penerangan ialah saudara Ann Wang Seng Abdullah.

DATANGNYA PERTOLONGAN ALLAH?

Saya yakin, dengan doa dan usaha ahli dan pimpinan, yang merupakan gandingan ulama, profesional dan aktivis, Allah hasilkan perpecahan Umno pada 1987 dan Semangat 46 terbentuk. Pimpinan PAS bertindak bijaksana, menyedari ianya bantuan dari Allah, mengadakan Tahaluf dengan S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pada pilihan raya 1990, Kelantan dimenangi kembali selepas 14 tahun di bawah Barisan Nasional.

Sepuluh tahun kemudian, pada 1998 Allah memberi pertolongan kepada PAS sekali lagi dengan perpecahan Umno buat kali kedua. Barisan Alternatif (BA ) terbentuk dan Terengganu pula dimenangi PAS sambil Kelantan tetap berjaya dipertahankan pada PRU 1999. Pada ketika itu, imej PAS yang bekerjasama rapat dengan DAP dan Keadilan mula berjaya diperbaiki di kalangan "mayarakat selain dari ahli PAS". PAS dilihat adil membela semua golongan yang dizalimi.

Malangnya pada 2004, atas sebab Umno/BN bersatu kembali melalui kepimpinan barunya ia itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan DAP meninggalkan BA maka Terengganu terlepas kembali kepada BN dan PAS hilang kembali kerusi-kerusi yang dimenangi di Selangor dan Perak. PAS pun dapat bertahan di Kelantan dengan majoriti kerusi yang minima. Namun, kemenangan cemerlang Umno/BN yang dicapai pada 2004 hanya sementara.

PERPECAHAN UMNO DITERUSKAN

Hasil perpecahan Umno yang berterusan, dan pendekatan serta strategi bijaksana PAS, dengan diperkenalkan cogan-kata “PAS for all”, dan kegagalan Pak Lah untuk melaksanakan apa yang dijanjikannya melalui slogan Islam Hadharinya maka PAS, PKR dan DAP terus mara di arena politik tanah air. PR terbentuk selepas PRU 2008 hasil pencapaian cemerlang dalam pilihan raya tersebut dan Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dapat dirampas dari BN sambil Kelantan terus berjaya dipertahankan dengan cemerlangnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diperolehi PAS, melalui pilihan raya yang disertainya selama ini, adalah hasil dari doa dan usaha gigih pimpinan dan ahlinya, serta kemampuan mereka untuk mengenali dan memanfaatkan bantuan yang Allah berikan sepanjang perjuangan mereka.

Maka PAS mencapai apa yang diinginkan dan diusahakan selama ini. PAS menjadi sebuah parti politik yang dilihat releven semua kaum, berada di tengah-tengah arus perdana politik negara, membicarakan masalah rakyat dan ummah sambil membela semua yang teraniaya, samada Islam atau bukan Islam.

PAS menjadi parti yang punyai daya penarik terhadap seluruh rakyat dan tidak lagi dilihat sebagai parti terpencil dan tidak releven. Kebersamaan PAS dengan rakyat dalam usaha menangani masalah rakyat semakin menonjol tanpa mengabaikan persoalan-persoalan Islam dan ummah yang menjadi dasar perjuangannya.

Justeru itu, bagi saya, pembentukan PR adalah sebenarnya satu pertolongan dari Allah yang jelas dan nyata. Ianya terhasil dari perpecahan yang Allah cetuskan di kalangan pimpinan Umno dan BN.
Ianya satu gabungan yang suatu ketika dahulu dianggap tidak masuk akal tetapi tetap dijayakan Allah juga hasil kebijaksanaan dan usaha gigih serta doa pimpinan dan ahli-ahli PAS. Ianya juga hasil dari doa rakyat jelata yang ingin terlepas dari kesempitan yang dihasilkan kezaliman Umno.

PERUBAHAN SIKAP SECARA MENGEJUT

Malangnya secara tiba-tiba saya dan ramai pendokong PAS melihat ada pihak yang tidak menghargai dan mensyukuri pertolongan yang Allah berikan ini walaupun kebaikannya dizahirkan Allah melalui keputusan PRU, penerimaan orang bukan Islam terhadap PAS, pembentukan dan pengukuhan DHPP, pembentukan kerajaan PR di beberapa negeri dan bermacam-macam lagi.

Mereka bagaikan tidak mengenalinya sebagai pertolongan dari Allah dan sebaliknya mendakwa ianya pengkhianatan terhadap perjuangan Islam! Segala pencapaian yang disasarkan dan dicapai melalui PR tiba-tiba dilihat sebagai tidak berharga dan bernilai dan dianggap sebagai kelemahan yang membawa kerosakan aqidah.

PERLU WAHYU MENGESAHKAN?

Tiada wahyu yang akan turun untuk menyelamatkan PAS dari kesimpulan yang negatif ini sepertimana turunnya wahyu membetulkan sikap beberapa sahabat selepas ditanda-tangani perjanjian Hudaibiyyah. Dan sebenarnya wahyu baru tidak diperlukan lagi kerana Al-Quran lengkap dan sempurna.

Hanya yang diperlukan adalah untuk dibuka mata untuk melihat dan dibuka minda untuk berfikir dan dibuka hati untuk bersikap adil dan ikhlas. Jangan ada di antara kita yang menjadi seperti golongan Bani Israel yang diturunkan Al-manna was-Salwa kepada mereka tetapi mereka meminta pula diberikan kepada mereka tumbuhan-tumbuhan dari bumi seperti bawang, gandum, sayur-sayuran dan sebagainya!

Jangan kita bersikap seperti kaum Bani Israel yang Allah kisahkan itu yang inginkan bantuan dalam bentuk yang mereka inginkan sahaja, sambil kufur dan engkar terhadap cara yang Allah berikan.

Amat meleset sekali kalau kita bersikap, PR adalah satu kesilapan dan penyelewengan dari dasar PAS. Ini membawa erti kita menafikan usaha-usaha serta ijtihad pimpinan terdahulu. Sambil itu kita tidak bersyukur ke atas pertolongan yang Allah berikan sehingga PAS mencapai status sepertimana yang tercapai hari ini. Sebaliknya kita wajar teruskan dan bina di atas apa yang dibina mereka yang terdahulu dari kita.

PAS mula diterima semua

Kepercayaan rakyat jelata termasuk yang bukan Islam terhadap PAS bertambah tahun demi tahun sejak 1998 dan memuncak pada 2012. Imej almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat semakin kukuh dan beliau dipuji semua kecuali BN (yang hanya memberi pujian setelah beliau kembali mengadap Allah). Adakah ianya kerana TGNA "tunduk pada DAP"? Sudah pasti tidak!

Pada masa yang sama, hubungan di antara PAS dan DAP menjadi begitu rapat sehingga DAP sanggup menggunakan lambang PAS sekiranya perlu pada PRU 2013 ia itu sekiranya parti DAP digantung atau dibatalkan pendaftarannya sebelum PRU ke 13.

Ke mana perginya hubungan yang sebegitu rapat pada masa ini? Adakah PAS pernah menggugurkan dasar perjuangannya demi mencapai hubungan sebegitu akrab? Sudah pasti tidak pernah! Namun kepercayaan dan hubungan itu dibina dengan pendekatan yang berhemah dan bijaksana pimpinan terdahulu.

RETAK MENUNGGU BELAH

Tiada siapa yang menjangka, dalam tempoh hanya 2 tahun hubungan PAS dan DAP menjadi bagaikan "retak menunggu belah". Lebih-lebih lagi setelah mencapai keputusan yang agak cemerlang semasa PRU 13. Keputusan cemerlang ini sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan ini dan bukan sebaliknya. Tetapi anehnya, sekarang PR seperti berada di ambang perpecahan dan berantakkan. Di mana silapnya?

Imej PAS turut tercalar, menyebabkan kepercayaan bukan Islam terhadapnya semakin terhakis. Dituduh khianat dan tidak amanah rakan segabungannya. Dilihat PAS membawa perjuangan yang eksklusif hanya untuk orang Islam sambil bagaikan kurang berminat terhadap penderitaan rakyat.

Isu 1MDB, GST dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lainnya seolah-olah tenggelam di bawah perbahasan mengenai perlaksanaan Enakman Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang di kenal dengan Undang-Undang Hudud negeri Kelantan.


Saya melihat isu hudud ini menjadi besar setelah ianya diwar-warkan kerajaan pusat yang di ketuai Umno memberi sokongan untuk melaksanakan undang-undang hudud negeri Kelantan dengan syarat ianya dibawa ke Parlimen untuk di luluskan.

Namun apa yang sebenarnya yang terkandung dalam Rang Undang-undang Persendirian yang di bawa TGHH (MP Marang) adalah hanya mengenai Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah 1965) yang dikenali dengan Akta 355 .

Pindaan itu bertujuan bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah dalam kes-kes jenayah dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah iaitu kesalahan zina, minum arak, menuduh zina yang selama ini hukuman sebatan hanya boleh dilaksanakan sebanyak tidak lebih dari enam sebatan sahaja. Maka dengan kelulusan Rang Undang-undang Persendirian itu Mahkamah Syariah bolehlah melaksanakan hukuman sebatan mengikut yang dituntut syariah.

Ada pun hukuman rejam sampai mati, hukuman potong tangan, hukuman potong tangan dan kaki dan hukuman bunuh atas jenayah murtad dan jenayah qisas seperti yang terkandung dalam EKJS Kelantan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak termasuk dalam Pindaan Akta 355.

Perkara seperti ini tidak difahami masyarakat umum termasuk sebahagian pimpinan PAS sendiri. Sebagai contoh ketika menulis artikel ini saya terbaca kenyataan PJ Perak yang dengan tegas menyebutkan, Private Bill yang dibawa PAS ke Parliman ialah EKJS yang diluluskan DUN Kelantan baru-baru ini. Hal ini bertambah menjadi perbahasan apabila digambarkan, PAS amat bergatung dengan pihak Umno yang diwar-warkan bersetuju dengan perlaksanaan undang-undang hudud Kelantan.

Perkara ini bertambah merancakkan perbahasan apabila ada beberapa pemimpin PAS Kelantan membangkitkan kononya TGNA (Allahyarham) memberi amanat supaya berbaik-baik dengan Umno bagi melaksanakan undang-undang hudud.

CAMPUR TANGAN UMNO?

Sedih, namun itulah keadaan yang berjaya diwujudkan sekarang ini. Semestinya mereka yang terlibat dalam merencanakan perkembangan ini amat di sukai Umno/BN. Sudah pasti ini semua terhasil bukan secara kebetulan tetapi diusahakan pihak-pihak tertentu mengikut perancangan mereka.

Melalui berbagai usaha, termasuk permainan Umno yang menggunakan isu hudud sebagai wasilah mereka yang berjaya menghasilkan suasana ini. PAS dan DAP lebih sibuk bergaduh sesama sendiri dari menyentuh Umno. Malahan ada di kalangan ahli PAS yang beranggapan, menyerang DAP dan PKR adalah “lebih afdhal” dari menyerang Umno. Dan itulah yang golongan ini lakukan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

KESIMPULAN

Keadaan ini semua adalah hasil kepimpinan yang dilihat kurang berkesan dengan wawasan yang bercelaru. Sebelah kakinya di dalam perahu PR dan sebelah lagi bagaikan di luar perahu . Walaupun disebut berkali-kali “kukuhkan PR”, “PAS terus bersama PR”, “PAS tidak akan keluar PR”, namun tindakan bercanggah dengan kata-kata. Tambahan pula terdapat golongan ulama pelapis muda yang baru dapat amanat kepimpinan sering membuat kenyataan, PAS lebih senang berjuang bersendirian.

Sudah tiba masanya kita kembalikan PAS kepada landasan yang dipersetujui dan diputuskan bersama, dengan kepimpinan yang jelas wawasan serta manhaj dan uslubnya. Sama sama kita kembalikan keyakinan rakyat, yang Islam dan bukan Islam, terhadap PAS.

Kita ingin ke Putrajaya dengan PR dan tidak redha Umno/BN terus bertakhta lebih lama. PRU 14 tumpuan kita, dengan gandingan yang kukuh dan mantap bersama PR. PAS sebagai rakan setia yang jujur dan boleh diyakini kata-kata dan janji nya. – TMI

ULASAN GB

Baru beberapa hari Ustaz Ahmad Awang mengeluarkan kenyataan di atas GB sudah menulis di blog ini. Petikan:

Sepatutnya pimpinan PAS yang ada perlu bersyukur kepada Allah kerana dengan kewujudan Pakatan Rakyat, PAS telah mendapat tempat di hati rakyat termasuk yang bukan Islam. Malah PAS memenangi banyak kerusi samada di peringkat DUN ataupun parlimen hasil dari kerjasama erat parti-parti pembangkang ini. Tetapi mereka tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan itu, sebaliknya mencari jalan untuk menghapuskan PR dengan "membarua" mana-mana pimpinan yang berhasrat untuk memperkukuhkan PR.

Dan sebelumnya GB pernah menyatakan bahawa ungkapan BARUA itu akan kembali kepada penuturnya... dan sememangnya demikianlah hukum alamiah, hukum kebenaran dan keadilan....

11 Apr 2015

Tragedi Semenyih, Apakah Najib dan Pegawai Di PMO Ambil Iktibar Darinya?


Kematian tiga sahabat satu tragedi peribadi - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kematian sahabat rapatnya Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan dua orang pegawai kanannya Datuk Seri Azlin Alias dan Datuk Mohd Po'ad Jelani, baru-baru ini sebagai satu tragedi peribadi.

Walaupun bersedih, perdana menteri berkata kematian mereka telah mendorongnya untuk menjalankan tugas dengan lebih baik.

"Kehilangan mereka itu menguatkan iltizam saya untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin negara dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara," kata beliau semasa wawancara dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas, yang disiarkan malam tadi.

Beliau berkata ketiga-tiga arwah telah banyak memberi sumbangan serta telah menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik.

"Dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.

"Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisien, dengan amanah. Begitu juga dengan Datuk Po'ad sebagai setiausaha sulit saya, telah jalankan tugasnya dengan baik.

Jamaluddin yang merupakan anggota Parlimen Rompin dan bekas Duta Khas ke Amerika Syarikat, serta Azlin, yang merupakan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, terkorban dalam satu nahas helikopter di Semenyih 4 April lepas.

Po'ad yang merupakan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri pula meninggal dunia akibat kanser limfoma bulan lepas. -Bernama

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan terus berjalan...

Berlakulah apa yang dinamakan Tragedi Semenyih... yang mengorbankan 6 orang penumpangnya termasuk 2 orang kanan Najib, iaitu Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Seri Azlin Alias. Tragisnya daripada gambar-gambar yang tersiar di media sosial begitu mengeri dan menggerunkan, yang putus kepala, yang hancur jasadnya... Ianya berlaku selang bebrapa hari selepas pemergian Dato' Poad Jelani. Ketiga-tiganya merupakan orang kuat Jabatan Perdana Menteri (MPO).

Tragedi Semenyih berlaku tatkala Najib sedang "diserang" begitu hebat oleh bekas PM, Tun Dr Mahathir di dalam beberapa isu yang menyangkut hal-hal integriti dan kredibiliti Najib sebagai PM. Isu Altantuya, 1MDB, Jho Low dan anak tiri Najib (Riza Aziz).

Najib setiap kali dikritik dan diserang seperti biasa akan dibela oleh pegawai-pegawainya di PMO. Peruntukan kepada PMO meningkat dari setahun ke setahun sehingga mencecah berbillion ringgit, lebih besar dari mana-mana kementerian yang lain. Jangan lupa pula bayaran untuk konsultan antarabangsa APCO untuk menggilap namanya di peringkat antarabangsa dan peguam UMNO bernama Hasfarizam yang ditugaskan untuk menyaman pihak-pihak yang didakwa mencemarkan nama Najib dan Rosmah.

Berbalik kepada Tragedi Semenyih. Ia berlaku semasa Najib diserang oleh TDM dengan pelbagai isu, dan sebelum berlakunya Tragedi Semenyih itu, pemerintahan Najib sudahpun ditimpakan dengan pelbagai musibah seperti tragedi MH370, MH17 & QZ8501. Musibah-musibah berkaitan dengan penerbangan udara pula berlaku di ketika negara dikejutkan dengan pembelian dan penggunaan jet peribadi oleh Najib dan Rosmah untuk tujuan-tuan rasmi dan peribadi mereka berdua. Kemudian timbul pula dakwaan RM28 juta digunakan untuk mengubahsuai jet peribadi yang digunakan oleh Najib dan Rosmah. Dan PMO seperti biasa mengeluarkan kenyataan penafian berhubung dengan isu-isu yang berkaitan dengan jet peribadi tersebut, sekalipun penafian tersebut tidak dapat meyakinkan rakyat.

Ditengah-tengah hiruk pikuk itulah berlakunya Tragedi Semenyih, dan pegawai-pegawai PMO diantara mangsanya!

Perkara yang telah berlaku sepatutnya menjadi pengajaran kepada Najib. Ia adalah hukum alam, hukum kebenaran dan keadilan yang tidak boleh ditolak, tidak boleh dinafi. Jika ada pegawai di PMO ingin menolak dan menafikan, kini pegawai PMO sendiri "mati", dan nak kata apa lagi?

Sebelum ini GB telah menyatakan bahawa Negara Hancur Rakyat Sengsara Kerana Rosmah Mansor. Akibat keborosan dan ketirisan yang dilakukan oleh Najib, rakyat menanggung beban dengan dikenakan GST.

Dan kita berharap Tragedi Semenyoh membuka hati dan minda Najib serta pegawai-pegawai di PMO supaya bertaubat dan tidak mempertahankan tindakan-tindakan yang sememangnya salah itu. Jika tidak, kita khuatir periistiwa yang lebih dasyat daripada Tragedi Semenyih boleh berlaku, dan semasa itu sesal kemudian sudah tidak berguna lagi.

Sikap Haji Hadi Semakin Jelas, Mahu Bawa PAS Keluar Pakatan Rakyat


PAS sambut baik usaha kerajaan menentang keganasan

PAS menyambut baik dan menyokong usaha kerajaan untuk menangani keganasan menerusi Rang Undang-undang Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat Selasa lepas, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, meskipun terdapat beberapa perkara teknikal yang parti tidak bersependapat dengan kerajaan, namun PAS tidak menafikan akan keperluan undang-undang berkenaan bagi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

"Kami bersatu dalam menentang keganasan, kami tidak mahu keganasan diimport ke negara kita ... kami menganggap apa yang dicetuskan (keganasan) di negara lain tidak sesuai dengan ajaran Islam.

"Kami tidak nafikan perlunya undang-undang itu dan telah dibahas dengan panjang lebar di Parlimen (Dewan Rakyat). Ini tanggungjawab bersama," katanya pada sidang media di Rusila di sini hari ini.

Berhubung penangguhan pembentangan Rang Undang-undang persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bagi pelaksanaan hudud di Kelantan ke sesi Dewan Rakyat akan datang dijadual pada Mei, Abdul Hadi berkata, beliau berpuas hati kerana perkara itu telah dipersetujui sebulat suara selepas satu perbincangan diadakan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, PAS bersetuju untuk tidak terlalu memaksa usul itu dibentangkan lebih awal sebaliknya bersedia mengikut giliran yang telah ditetapkan kerana percaya agenda negara khususnya melibatkan isu keselamatan dan keganasan perlu diutamakan pada masa ini.

"Saya juga dimaklumkan bahawa ada menteri yang membuat kenyataan di Parlimen bahawa akan dipanjangkan perkara ini dalam sidang akan datang. Maka, sebab itu, kami tak perlu tergesa-gesa dalam hal ini," katanya.

Jelas Abdul Hadi, beliau turut berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh anggota Parlimen yang beragama Islam termasuk UMNO dalam perkara itu dan menganggap penerimaan terhadap hukum berkaitan Islam semakin baik berbanding dahulu.

"Keadaan sekarang tidak seperti tahun 50-an dulu. Tahun 50-an dulu, orang memomokkan undang-undang Islam ini. Tapi, perkara ini dah dianggap sebagai ilmu sejak tahun 70-an hingga hari ini termasuk berlaku perbincangan dalam UMNO dan MCA juga menganjurkan seminar hudud walaupun ada kekalutan. Tapi, itulah, dia (MCA) berjaya anjur secara akademik, secara ilmu dan ini satu perkara yang sangat positif," katanya. – Bernama

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan...

Haji Hadi memaparkan sikap sebenar yang nampaknya jiwanya lebih hampir kepada UMNO BN daripada Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat telah mengundi untuk menolak POTA kerana ia adalah jelmaan ISA yang mengizinkan penangkapan tanpa bicara.yang bertentangan dengan Islam.

Sejarah membuktikan bahawa kewujudan ISA dulu telah menjadi lesen terbesar bagi pihak kerajaan untuk menjustifikasikan bahawa pihaknya sentiasa benar, alasannya untuk memelihara ketenteraman awam atau kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama kerajaan memiliki super power untuk menekan suara kedua atau pendapat alternatif yang cuba dibangkitkan oleh sejumlah rakyat, yang tidak mampu dijawab dengan memuaskan oleh kerajaan. Sedangkan rakyat yang memerhati dapat memahami bahawa ‘ketenteraman awam atau kepentingan rakyat’ yang dilaung-laungkan itu, dalam banyak keadaan adalah ketenteraman dan kepentingan politik dan kedudukan pihak kerajaan sendiri iaitu UMNO BN.

Menteri KDN, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa POTA tidak akan disalahgunakan - tetapi apa jaminannya? Sedangkan ISA dulu pun dikatakan oleh kerajaan tidak akan disalahgunakan, tetapi berapa banyak kali ia disalahgunakan untuk menangkap dan menekan suara pembangkang termasuk ppara pemimpin PAS?

Maka terlalu malang apabila Presiden PAS memgambil sikap menyokong malah memuji POTA berkenaan. Beliau menyatakan bahawa "undang-undang itu dan telah dibahas dengan panjang lebar di Parlimen" sedang beliau sendiri TIDAK HADIR untuk membahaskan undang-undang berkenaan. Setelah ahli-ahli parlimen PR berhempas-pulas menentang RUU POTA berkenaan, tiba-tiba Haji Hadi mengeluarkan kenyataan menyambut baik RUU berkenaan.

Kedua mengenai isu RUU Persendirian menegenai hudud. Tiba-tiba hari ini Haji Hadi membuat U-Turn menyatakan PAS bersetuju untuk tidak terlalu memaksa usul itu dibentangkan lebih awal. Siapa yang sebenarnya yang sebelum ini terburu-buru hendak membantangkan usul itu di dalam sesi ini kalau bukan beliau sendiri? Malah beliau dilaporkan pernah hendak bertemu Najib bagi mempercepatkan pembentangan sul berkenaan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang berusaha menemui Datuk Seri Najib Razak sebelum sidang Dewan Rakyat yang bermula jam 10 pagi esok, bagi membolehkan rang undang-undang persendirian yang dibawanya ke Parlimen dapat dibentangkan pada sesi kali ini, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Ketua sekretariat tetap hudud Kelantan itu berkata, presiden PAS itu sedang menunggu kemungkinan bertemu Najib sama ada malam ini atau esok pagi memandangkan esok merupakan persidangan hari terakhir mesyuarat pertama penggal ke-3 Parlimen ke-13 yang sedang berlangsung ketika ini.

Usaha Hadi itu ialah bagi membolehkan rang undang-undang persendirian itu, yang kini berada di kedudukan terakhir aturan urusan mesyuarat Dewan, diangkat ke kedudukan yang membolehkan ianya dibentangkan di dalam Dewan esok. -petikan TMI 8/4/2015

Kita sudah menyatakan lebih awal bahawa kita tidak perlu terburu-buru di dalam soal hudud. Banyak hal perlu diutamakan terlebih dahulu dan dalamasa yang sama penerangan dan pendidikan terutama kepada bukan Islam adalah lebih patut didahulukan daripada bebrgegak-gempita mahu melaksanakan undang-undang tersebut.

Kini hukum kebenaran dan keadilan berjalan, Haji Hadi akur dengannya.

Nampaknya Haji Hadi sudah mahu membawa PAS semakin jauh dari Pakatan Rakyat sekalipun muktamar PAS bertahun-tahun membuat keputusan mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Apa yang dilakukan Haji Hadi lebih lebih kepada mempurkukuhkan UMNO BN dan benarlah kenyataan kita sebelum ini bahawa Hadi Akan Diingati Sebagai Penghancur Pakatan.

10 Apr 2015

ADUN PAS Berpakaian Serba Hitam Tidak Bersalah...


Pas Perak tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap lima wakil rakyat parti itu yang tidak mengenakan pakaian istiadat pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri, 31 Mac lalu.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu jelas selepas pihaknya mendapati pakaian serba hitam yang dipakai ke semua wakil rakyat terbabit tidak melanggar sebarang kod etika berpakaian ketika menghadiri Persidangan Dewan Negeri.

“Tiada sebarang peruntukan dalam kod etika berpakaian yang menyatakan memakai baju Melayu serba hitam adalah salah dan melanggar peraturan dewan.

“Ingin saya tegaskan, pakaian hitam yang dipakai kelima-lima mereka itu juga telah dipersetujui ketika mesyuarat antara Adun PR sebelum ini,” katanya.

Razman berkata, isu pakaian itu dipercayai sengaja diperbesarkan BN bagi mengalihkan perhatian terhadap kelemahan urus tadbir di Perak.

“Selain itu, sekiranya Sultan Perak murka, mengapa sehingga ke hari ini (semalam) tiada sebarang kenyataan terbuka dibuat oleh pihak istana tentang hal tersebut?,” katanya.

Disoal tentang penolakan dari sudut kepimpinan oleh Dewan Ulama Pas Perak terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Razman berkata, beliau telah mengesyorkan kedua-dua pihak bersemuka bagi menyelesaikan kemelut itu.

“Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, perkara itu perlu diselesaikan secepat mungkin demi kelangsungan parti.

“Itu yang sebaiknya dan diperlukan untuk mengukuhkan parti dan Pas Perak sendiri,” katanya. -SH

LAPORAN SEBELUM INI
ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalanlah...

GB sudah ulas sebelum ini di media sosial, pakailah baju warna apa pun, ia tidak menjadi satu kesalahan kerana tidak ada sebarang peruntukan di dalam kod etika peraturan dewan menyatakan berpakaian berwarna hitam itu tidak dibenarkan.

Yang bising-bising mengenai pakaian berwana hitam ini ialah YAB Pak Hitam, mungkin terasa dirinya tersindir dengan pemakaian warna hitam ADUN-ADUN PR berkenaan. Lalu digunakan alasan Sultan Perak murka. Sedangkan Sultan Perak sendiri tidak pun menitahkan demikian.

p/s GB dimaklumkan bahawa terdapat mereka di dalam PAS sendiri terutama PAS Perak yang melakukan serangan dalam isu baju hitam ini, yang sebenarnya serangan yang dilakukan hendak dihalakan terhadap Dato Mohd Nizar Jamaluddin. Tetapi tak menjadi kenyataan apabila kesemua ADUN-ADUN PAS termasuk bekas Pesuruhjaya PAS Perak, ADUN Titi Serong, Ustaz Abu Bakar Hussien turut berpakaian serba hitam.