12 Mei 2013

UMNO Jadi Kera Sumbang, MCA & Gerakan Tak Sertai Kabinet


Tsu Koon lepas jawatan 16 Mei, Soi Lek sebelum akhir tahun

SHAH ALAM - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada 16 Mei ini - perkembangan diumumkan hari ini, seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow juga akan melepaskan jawatannya pada 16 Mei ini.

Perkara itu diumumkan oleh Tsu Koon di ibu negara selepas mesyuarat pusat parti tersebut pagi tadi.

Timbalan Tsu Koon, Chang Ko Youn akan mengambil alih sebagai jawatan sebagai pemangku presiden sehingga akhir bulan Jun.

Pemilihan parti akan bermula akhir bulan depan.

Dalam perkembangan lain, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau akan berundur selepas pemilihan parti yang diadakan antara Jun dan Disember ini.

"Saya akan pergi pada masa yang sesuai apabila semuanya sudah selesai," kata beliau selepas mesyuarat Mesyuarat Majlis Presiden MCA di ibu negara hari ini.

Pemilihan pusat MCA akan diadakan paling awal bulan depan dan tidak lewat daripada Disember ini.

Kedua-dua Tsu Koon dan Soi Lek tidak bertanding pada PRU13 yang diadakan Ahad lalu.

Sementara itu. Tsu Koon berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau rasa bertanggungjawab atas kekalahan teruk parti berkenaan pada PRU13.

"Saya telah memaklumkannya (peletakan jawatan) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan memberi laluan kepada parti untuk memulakan proses pembaharuan melalui pemilihan jawatankuasa baru pada masa akan datang.

"Walaupun telah meletakkan jawatan, saya tetap akan memberi khidmat saya sekiranya perlu dan akan terus bersama-sama dengan parti bagi meneruskan

Berkenaan dengan penyertaan wakil parti itu dalam kerajaan pusat, Tsu Koon berkata pihaknya tetap dengan pendirian mereka untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kabinet.

Bagaimanapun, pemimpin Gerakan masih boleh memegang jawatan di peringkat negeri, katanya.

Ditanya mengenai dakwaan DAP yang menyifatkan keputusan MCA dan Gerakan tidak menyertai Kabinet sebagai tidak matang, Tsu Koon berkata: "Kami hanya menang satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun sahaja, tidak mungkin bagi kami untuk menerima sebarang jawatan dalam Kabinet kerana anggota yang mewakili kami terlalu sedikit."

Gerakan menang kerusi Parlimen Simpang Renggam (Johor) serta Dun Sidam (Kedah), Pemanis (Johor) dan Tanjong Papat di Sabah.

Gerakan bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dun pada PRU13.

Pada PRU 2008, parti itu menang dua kerusi Parlimen dan empat kerusi Dun.

MCA tetap enggan terima jawatan dalam kerajaan

KUALA LUMPUR - MCA tetap dengan pendirian enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri berikutan prestasi buruknya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Parti akan mematuhi resolusi yang dibuat pada mesyuarat agung tahunan 2011 dan 2012 bahawa MCA akan menolak semua jawatan dalam kerajaan, jika prestasinya lebih teruk pada PRU13.

"Saya ingin menekankan bahawa keputusan itu (untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan) bukan datang daripada saya atau (timbalan presiden) Datuk Seri Liow Tiong Lai, atau mana-mana badan. Ia daripada EGM yang diluluskan sebulat suara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di Wisma MCA hari ini.

MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya pada PRU13, menyebabkan ia diberi gelaran memalukan 'seven-11 party' atau parti tujuh-11.

Pada 2008, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dun.

Chua berkata keputusan drastik itu juga bagi menghormati keputusan pengundi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyedarinya.

Ditanya sama ada MCA akan mempertimbang untuk menerima sebarang jawatan dalam kerajaan jika ditawar oleh Perdana Menteri, beliau akan menjawab soalan itu selepas Perdana Menteri membuat keputusan dan mengumumkannya.

Sementara itu, Chua menafikan khabar angin bahawa banyak pusat khidmat MCA ditutup, dan berkata anggota parti berkenaan hanya ingin berehat selepas menjalani tempoh berpolitik yang lama selain kempen pilihan raya yang sengit.

"Tidak benar pusat berkenaan sudah ditutup... Saya fikir kami memahami hala tuju kami amat jelas iaitu akan terus menjadi pusat yang berorientasikan perkhidmatan, bukan seperti DAP yang tidak mempunyai satupun pusat khidmat masyarakat," katanya.

Beliau berkata banyak pusat berkenaan ditutup buat sementara waktu bagi menyesuaikan diri dengan senario politik yang baru.

"Sebagai contoh, sesetengah pusat dipanggil Pusat Khidmat Wakil Rakyat, namun kini mereka perlu menukar papan tanda kerana tidak lagi menjadi wakil rakyat.

"Rakyat harus menyoal DAP mengapa mereka tidak mempunyai pusat khidmat masyarakat. Mengapa mereka perlu bising apabila pusat khidmat MCA ditutup beberapa hari. Ini menunjukkan mereka masih memerlukan khidmat MCA," katanya.
- Bernama

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat


Peningkatan sokongan kaum Melayu terhadap PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu dengan purata lebih 45 peratus membuktikan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu masih mendapat tempat di kalangan pengundi.

Purata sokongan yang diperolehi PAS daripada pengundi Melayu di Semenanjung itu berjaya menepis dakwaan Umno-BN berhubung ‘tsunami Cina’ yang mengaitkan isu perkauman.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan propaganda Umno-BN yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman nyata telah gagal dan tidak mempengaruhi rakyat.

Mengambil contoh di Selangor, katanya rakyat yang berada di bawah kepimpinan PR sejak lima tahun lalu tidak mengalami kerugian malah diberikan hak dan manfaat yang sama rata.

“Saya rasa di negeri Selangor, segala propaganda Umno-BN untuk menjadikan politik perkauman telah gagal.

“Apa yang kita mahu ialah kerajaan yang bersih seperti di Selangor di mana kita semua telah menikmati hasil daripada pemerintahan yang bersih.

“Sokongan masyarakat Melayu kini sudah semakin meningkat kerana propaganda Umno-BN telah memakan diri dan diketahui rakyat sebagai satu pembohongan,” katanya kepada TV Selangor.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata, kemenangan besar yang dicatatkan PR adalah atas dasar sokongan padu semua kaum terhadap gagasan itu yang mahukan perubahan.

Katanya, kebanyakan kerusi DUN yang dimenangi PAS dan PR membuktikan rakyat kini semakin bijak membuat pilihan dan menolak politik perkauman.

Sementara itu, Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berpendapat peningkatan undi PR bukanlah disebabkan tsunami Cina, tetapi ia datang daripada sokongan masyarakat bandar dan kampung tradisi.

“Memang Cina kita lihat sebahagian besarnya menyokong PR tetapi dalam masa sama kemenangan yang dikecapi adalah hasil sokongan golongan muda dan Melayu. Contohnya di DUN Sabak yang mendapat majoriti undi daripada kaum Melayu. Itu sahaja sudah jelas menangkis anggapan BN tentang tsunami Cina,” tegasnya.

[VIDEO] TIPU PRU: Hadiah Keranda Untuk SPR


Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan mahasiswa mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof agar meletakkan jawatan segera.

Ia berhubung pelbagai dakwaan kegagalan suruhanjaya itu dalam mengendalikan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) lepas dengan telus dan adil.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, pada 18 Mei ini satu himpunan lebih besar rakyat membantah penipuan SPR akan diadakan dalam masa terdekat yang akan diumumkan kemudian.

“Kami menuntut dengan jelas untuk dikembalikan semula sistem demokrasi, dengan kebangkitan rakyat hari ini kamu tidak berjaya melenyapkan suara kami,

“Wahai anak muda kekalahan dan kemenangan itu tidak terletak hanya di atas kertas undi, kekalahan adalah apabila kita terus berdiam diri, percayalah apabila kita terus bangkit kemenangan berada di pihak kita dengan negara ini perlu diselamatkan,” kata Badrul Hisham.

Desakan itu dilakukan kira-kira 50 orang daripada pelbagai NGO dan mahasiswa di hadapan Bangunan SPR di sini dengan kebanyakkan mereka memakai baju hitam simbol matinya demokrasi di negara ini. Mereka turut membawa dua buah replika keranda bewarna hitam dengan tulisan SPR serta sepanduk bertulis ‘PRU 13 adalah yang paling kotor’ mereka turut melaungkan ‘Tukar SPR’ dan ‘Anak Muda Mahukan Keadilan’.

Turut kelihatan juga ialah kira-kira lebih 20 orang anggota polis di sekitar kawasan perhimpunan itu bagi mengawal keselamatan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang semasa ucapannya berkata, pihaknya memberi masa selama tujuh hari untuk Abdul Aziz memberikan respon terhadap tuntutan mereka.

“Kami sebagai badan bebas dan juga pemerhati politik merasa kecewa dengan unsur – unsur penipuan yang berlaku sebab itu kita berjumpa dengan SPR untuk mendapatkan penjelasan apa sebenar yang berlaku.

“SPR tidak wajar bersikap bias, kita menolak sebarang unsur penipuan yang berlaku,” kata Safwan.


UMNO Terkedu, Akhirnya Azmin Sokong Khalid Sebagai MB Selangor


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali pada Sabtu men'tweet' bahawa beliau mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

"Kita harus menyokong Khalid untuk kekal.

"Fokus saya kini adalah menjadi Ahli Parlimen yang efektif," kata Azmin dalam laman Twitternya.

Beberapa hari selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Ahad lalu yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan negeri Selangor, Azmin berkata menteri besar yang baru tidak perlu 'pak turut' yang menyebabkan dirinya dipimpin oleh orang lain.

Gelaran 'pak turut' itu nampaknya dikaitkan secara tidak langsung dengan Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah diberi sokongan oleh DAP dan PAS untuk mengekalkan jawatan Menteri Besar.

Pada sidang media Jumaat lalu, Azmin tanpa berselindung menyalahkan Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana menghantar senarai calon Menteri Besar kepada Istana Selangor pada Khamis tanpa mendapat persetujuan dan konsensus barisan kepimpinan PKR Selangor, termasuk beliau.

Azmin turut mempertahankan diri daripada dikatakan kemaruk jawatan Menteri Besar kerana beliau telah menolak tawaran pada ketika itu bagi mengelakkan masalah perpecahan dan kestabilan dalam PKR.

Sejak beberapa hari lalu, Azmin menimbulkan banyak persoalan apabila membuat beberapa kenyataan dalam Twitter yang dilihat mengkritik kepimpinan tertinggi PKR. -mstar

Ulasan GB

Sejak timbul "krisis" diantara Azmin yang dikatakan hendak menuntut kerusi MB Selangor, pihak UMNO cukup gembira dan beberapa blogger pro-UMNO telah mengambil kesempatan di atas isu berkenaan untuk menangguk di air keruh.

Mujurlah "kematangan" Azmin mengatasi nafsunya, dan akhirnya beliau akur bahawa rakyat Selangor berkehendakkan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor.

Semuga Selangor terus maju dan berjaya di bawah panji-panji PAKATAN RAKYAT.

"Najib Bakal Diturunkan Lebih Dasyat Dari Pak Lah" Bakal Jadi Kenyataan


Husam persoal kenapa Najib tidak 'ditendang'

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mempertikaikan kenapa Datuk Seri Najib Razak tidak ‘ditendang’ dari Perdana Menteri berikutan pencapaiannya dalam Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) lebih lemah berbanding Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi dahulu?

Husam yang juga Adun Salor mendakwa dahulu pemimpin Umno ‘tendang’ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada menjadi Perdana Menteri kerana pencapaian BN yang lemah pada PRU-12.

“Namun hari ini pencapaian Najib lebih lemah dari Pak Lah. (Oleh itu) kalau dulu Pak Lah ‘ditendang’, kenapa Najib tidak ditendang?” Husam mempersoalkan.

Beliau berceramah pada majlis kesyukuran kemenangan calon PAS Parlimen Kubang Kerian pada PRU-13, di Pasir Tumboh dekat sini malam tadi.

Turut menyampaikan ceramah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Hadir sama Ahli Parlimen baru Kubang Kerian Ahmad Baihaki Atiqullah, Adun baru Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus dan Adun baru Demit Mumtaz Md Nawi.

Dalam perkembangan berkaitan, Husam mencadangkan Najib meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Saya bukan sokong Muhyiddin, tetapi bagilah peluang kepada Muhyiddin.

“Ini kerana jelas bahawa tanggungjawab politiknya begitu apabila Najib gagal, dia kenalah serahkan kepada timbalannya," katanya.

Husam mengulas perkembangan semasa ke arah pembentukan Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas PRU-13.

Umum mengetahui pencapaian Datuk Seri Najib adalah jauh lebih rendah daripada pencapaian diperolehi Pak Lah pada PRU-12.

Naib Presiden PAS itu mendakwa undi keseluruhan BN di bawah kepimpinan Najib pada PRU-13, 5 Mei baru-baru ini adalah di bawah 50 peratus.

Pakatan Rakyat (PR) mendapat mejoriti seluruh negara ialah 250,000 lebih daripada BN di mana kerusi BN kuRang tujuh kerusi lagi iaitu daripada 140 kepada 133 kerusi.

Difahamkan, Kabinet baru akan dibentuk Isnin ini.

Dalam perkembangan ini, Husam mendakwa beliau difahamkan, Muhyiddin menuntut supaya dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Justeru, dakwa Husam, Najib rasa tergugat, bahkan Tun Mahathir sendiri menyebut bahawa dia tidak sangka yang pencapaian Datuk Seri Najib pada PRU-13 lebih lemah berbanding pencapaian Pak Lah pada PRU-12.

Husam mendakwa, dari segi Perlembagaan menurut Tun Mahathir bahawa Datuk Seri Najib adalah sebagai Perdana Menteri, namun dari segi amalan Umno maka terpulanglah kepada Umno sendiri sama ada Umno masih mahukan Datuk Seri Najib atau pun tidak.

Selain itu, Husam turut mengulas laporan dakwaan ‘tsunami Cina’ telah berlaku pda PRU-13.

Husam mendakwa kaum Cina bukan tidak mahu pemimpin Melayu tetapi mereka mahukan pemimpin Melayu yang bersih, kerajaan yang adil dan berjiwa rakyat, dan yang ada kedaulatan undang-undang.

Husam mendakwa itu yang ‘hilang’ dari negara kita sama ada di kalangan orang Cina, Melayu, India dan umumnya.

“Jadi jangan mengaitkan isu ini untuk menjadikan ketegangan kaum sama ada di Terengganu, Kedah, Kelantan dan lain negeri di Malaysia,” ujarnya. -HD

Ulasan GB

Lebih setahun yang lalu, GB sudah menjangkakan bahawa Najib bakal diturunkan dengan lebih dasyat dari Pak Lah.

Petikan:

Tetapi ahli-ahli UMNO sendiri melihat rupa-rupanya Pak Lah ini terlalu lemah. Sehingga orang-orang Najib pula mengasaknya supaya turun segera (jangan lupa ada manderam ditemui di pejabat Pak Lah - orang kata agen Rosmah yang letak... wallahu alam).

Dan kini Najib berkuasa.

Putaran akan berlaku dimana jika dahulu Pak Lah diasak untuk turun, maka tidak mustahil perkara yang lebih buruk boleh menimpa Najib.

Itu hukum karma, atau di dalam istilah kita, sunnatullah. Pesan Tuhan, sunnatullah itu tidak berubah.

[VIDEO & GAMBAR] Puluhan Ribu Banjiri Stadium Batu Kawan, P.Pinang


Puluhan ribu rakyat berhimpun di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang untuk membantah keputusan pilihan raya minggu lalu.

Kebanyakkan mereka berpakaian hitam, terpaksa meletakkan kereta mereka sejauh di plaza tol Bukit Tambun kerana kesesakan lalu lintas.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di stadium jam 8.30 malam untuk menggelakkan kesesakan teruk di kawasan stadium.

Pada pukul 9.00 malam stadium yang boleh memuatkan 40,000 orang itu sudah separuh penuh.

Kebanyakkan mereka adalah anak-anak muda yang mengibarkan bendera gergasi PAS, PKR dan DAP.-TMI














11 Mei 2013

[LIVE] Himpunan "Black 505" Di stadium Batu Kawan Pulau Pinang


Program Black 505, Tolak Penipuan PRU 13 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam ini boleh diikuti secara langsung melalui rangkaian internet.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berucap pada program yang diatur berikutan pelbagai bentuk penipuan rejim Umno BN hingga menafikan keputusan rakyat.

Turut menyampaikan pidato ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Suasana petang ini di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang Program dijadual bermula jam 8 malam ini, namun ramai penyokong Pakatan Rakyat sudah tiba di lokasi program.


MB Terengganu Mula Tekan Rakyat Yang Sokong Pakatan


MB T'ganu: Tiada rumah mampu milik di kawasan BN kalah

Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat di kawasan Parlimen dan DUN berkenaan perlu meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

"Kita akan pertimbangkan cara lain, namun buat masa ini memang tiada cadangan untuk meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan yang (BN) kalah.

"Selama ini kita (BN Terengganu) telah mengambil alih tugas wakil rakyat PAS dalam menyelesaikan masalah harian mereka (rakyat) dan kali ini biarlah rakyat di kawasan itu mengadu kepada wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Maziah di sini hari ini.

Ahmad bagaimanapun berkata BN Terengganu akan terus melaksanakan agenda pembangunan seperti yang dilakarkan dalam Aku Janji BN negeri.

"Pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang kita (BN) kalah, kita akan bina di kawasan yang dimenangi BN," katanya.

Antara Aku Janji tambahan BN Terengganu dalam pilihan raya lalu ialah menarik pelaburan lebih RM25 bilion dalam industri petrokimia, bioteknologi dan keluli dengan lebih 10,000 peluang pekerjaan, menaik taraf Institut Al Quran Terengganu sebagai sebuah kolej universiti dan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Hab Ekopelancongan dan kawasan bebas cukai.

Ahad lalu BN Terengganu mengekalkan mandat pemerintahan di negeri itu apabila memenangi 17 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu).

Daripada lapan kawasan Parlimen, BN menang di Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala PAS menang di Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu. - Bernama

[VIDEO] Khalid Ibrahim: Memang Saya Kedekut Sebab Itu Bukan Duit Saya!


Ada orang kata saya kedekut. Yaa!! Memang saya kedekut, sebab itu bukan duit saya, itu duit dan hak rakyat, berdosa besar jika saya salah guna duit rakyat.

Saya tak boleh beli syurga dengan duit. Saya akui tak berapa pandai berpolitik, tetapi saya pandai berniaga dan cari duit untuk kerajaan negeri Selangor." - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

*Ucapan beliau di Majlis Kesyukuran Pakatan Rakyat di Dataran Kemerdekaan malam tadi, 9 Mei 2013


Johor Bukan Lagi Kubu Kuat BN, PAS Akan Terus Asak


Johor bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya baru-baru ini dan PAS akan terus mengasak tempat kelahiran parti Umno tersebut, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Salahuddin juga menyatakan komitmennya untuk terus berkempen di Johor dan menjadikan negeri tersebut destinasi tetap walaupun tewas di kedua-dua kerusi yang ditandinginya memandangkan sokongan kuat yang diterimanya pada pilihan raya baru-baru ini.

“Selepas ini, hidup dan mati saya adalah di Johor, saya akan fokus untuk bantu PAS di sini.

“Walaupun tewas di kerusi Nusa Jaya dan Pulai, sokongan pengundi di kawasan itu meningkat malahan saya hanya tewas kerana undi awal dan pos,” kata Salahuddin dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Salahuddin tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusa Jaya hanya dengan majoriti 2,201 kepada calon BN, manakala di kerusi Parlimen Pulai pula beliau tewas sebanyak 3,226 majoriti, satu pencapaian yang baik berbanding pada tahun 2008 dahulu.

Di samping itu, Salahuddin juga mengganggap prestasi keseluruhan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selatan semenanjung tersebut adalah membanggakan selepas berjaya memenangi 18 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) negeri tersebut.

“Bagi saya prestasi Pakatan di Johor sangat membanggakan dengan kemenangan 18 kerusi Dun.

“Malah sehingga kini, tiada pemerhati dan penganalisis berani mengatakan Johor adalah kubu kuat BN lagi... malah, banyak kerusi yang ditandingi Pakatan tewas tipis sahaja,” tambahnya lagi.

Menurut Salahuddin lagi, taraf negeri Johor kini adalah sama seperti negeri Kedah, Perak dan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya 2013, di mana ia dianggap sebagai kerusi boleh menang PR pada pilihan raya yang mendatang. -TMI

Ubah Keputusan Pilihanraya: Akhbar Taiwan Gambarkan Najib Ahli Silap Mata


Sebuah akhbar di Taiwan telah menggambarkan Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai seorang ahli silap mata yang mampu mengubah keputusan pilihan raya.

Cukup memalukan. Seluruh dunia melihat dan mengetahui Malaysia melakukan penipuan dalam pilihan raya.

SPR tak ada lansung perasaan malukah dengan laporan penipuan yang telah tersebar di seluruh dunia itu?

Anehnya masih mendabik dada kononnya Daftar Pemilih SPR di antara yang terbersih, kata Pengerusinya walaupun terbukti di hari pilihanraya, begitu ramai nama bangla siap dengan Mykad datang mengundi.

Berita Luarnegara Lapor Najib Dijangka Lepaskan Jawatan PM Hujung Tahun Ini


Berita Reuters yang disiarkan di luarnegara menyatakan, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkemungkinan perlu melepaskan jawatannya di penghujung tahun ini, memetik sumber dalaman partinya apabila Barisan Nasional menang tetapi dengan prestasi paling buruk di dalam sejarah pilihanraya di Malaysia.

Najib, 59, telah cuba memperkuatkan masa depan politiknya dengan harapan memperkukuhkan majoriti BN di parlimen melalui pemberian BR1M kepada rakyat Malaysia sebelum berlansungnya pilihanraya kali ke 13 pada 1 Mei yang lalu.

Tetapi usaha Najib dilihat gagal setelah BN cuma memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi parlimen, kurang 7 kerusi daripada pencapaian BN pada tahun 2008 dan gagal memperolehi majoriti 2/3 yang diharapkannya.

Untuk kali pertama di dalam tempoh 44 tahun, BN juga gagal untuk meraih undi popular.

Tertekan dengan keputusan itu, Najib kini berdepan dengan tugas sukarnya selepas ini.

“Kita akan dapat menyaksikan Najib akan turun di penghujung tahun ini,” kata seorang pemimpin kanan UMNO, parti yang mendominasi BN.

“Beliau mungkin enggan (letak jawatan), kita tak pasti tentang itu, namun beliau telah menunjukkan prestasi paling buruk. Beliau kini tidak mempunyai banyak kuasa tawar-menawar lagi,” katanya, yang lebih suka untuk tidak mendedahkan identitinya.

Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang masih mempunyai pengaruh di dalam UMNO, memberitahu Reuters tahun lalu bahawa Najib perlu memperbaiki kedudukan 140 kerusi yang dimenangi di dalam tahun 2008 atau berrisiko kedudukannya tergugat.

Kaum Cina, yang membentuk seperempat penduduk Malaysia, memilih untuk menolak Barisan Nasional, satu penerusan terhadap tren 2008. Mereka telah menolak dengan jelas parti MCA, parti kaum Cina di dalam BN.

Najib, yang tersentak dengan keputusan pilihanraya tersebut telah menyalahkan “Tsunami Cina” sebagai faktor kekalahan BN. Namun yang nyata juga, sokongan dari masyarakat Melayu terhadap BN, terutama di kawasan bandar, juga merudum, satu petanda kelas menengah Melayu kini mengharapkan satu perubahan.

Najib, akan terpaksa berdepan dengan cabaran dari dalam UMNO sendiri seawal Oktober atau November, apabila parti itu mengadakan perhimpunan dan pemilihan terhadap kepimpinan parti.

“Di dallam pemilihan kali ini, kita akan dapat menyaksikan mereka yang tak berpuas hati bangun dan meminta Najib untuk meletakkan jawatannya", kata sumber berkenaan yang juga pernah menduduki kerusi kabinet sebelum ini.

Barisan Nasional juga gagal untuk merampas Selangor, yang diwarwarkan sebelum ini oleh Najib, negeri yang amat perlu ditawan kembali oleh UMNO.

“Najib kini mengepalai sebuah parti yang kehilangan undi popular, sebuah parti gabungan yang terpaksa berhempas-pulas untuk membuktikan legitimasi pemerintahannya,” kata Wan Saiful Wan Jan, Ketua Institut Untuk Democradi Dan Hal-Ehwal Ekonomi di Kuala Lumpur.

“Pada pendapat saya ia bukan perkara mudah untuk Najib”, tambahnya.

10 Mei 2013

Nombor Telefon Salahuddin Diklon, Hello Celcom Ni Apa Cerita?


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub kesal apabila nombor telefon bimbit peribadinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur hasutan dan perkauman.

Mesej itu yang berbunyi "Cina telah cuba tolak kuasa Melayu tetapi gagal, 'Chinese are not the king maker!' sekarang masa Melayu bersatu untuk ajar Cina", dipercayai telah disebarkan tanpa pengetahuan beliau.

Katanya, beliau hanya mengetahui kewujudan SMS itu setelah beberapa pihak memberitahunya menerima mesej berbaur perkauman itu daripada beliau.

"Dari jam 8 malam tadi hingga 12 tengah malam, ada pihak salah guna nombor telefon mudah alih saya iaitu 013-727 8292 untuk hantar SMS mesej berbaur hasutan dan perkauman.

"Perbuatan tak bertanggungjawab itu telah cemarkan nama baik saya dan cuba bunuh karier, ia juga menanam kebencian orang Cina terhadap saya," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Salahuddin yang tewas di kerusi Parlime Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nusajaya, Johor berkata, beliau telah melanggan nombor itu dari talian syarikat telco Celcom sejak 1995 terkejut dan kecewa apabila nombornya telah disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Selain Salahuddin, turut menjadi mangsa penyalahgunaan nombor telefon bimbit itu ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada awal pagi tadi.

Menurutnya, sebaik sahaja beliau menerima maklum balas penerima SMS itu, beliau segera membuat laporan polis pada jam 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu.

Kira-kira jam 9 pagi tadi, beliau dipanggil untuk diambil keterangan hampir 30 minit oleh pegawai penyiasat, Inspektor Zamzari di pejabat polis yang sama.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengemukakan saman terhadap syarikat telco terbabit susulan nombor telefon bimbit beliau telah diklon tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun beliau mahu pihak Celcom terlebih dahulu tampil memberikan kenyataan rasmi bagaimana nombor itu boleh digunakan oleh pihak ketiga secara sewenang-wenangnya.

"Saya minta Celcom tampil buat kenyataan rasmi bagaimana nombor saya sebagai pelanggan setia sejak 1995 sampai sekarang boleh diklon dan digunakan untuk kirim SMS berniat jahat," dakwanya.

Tegasnya, sekiranya Celcom gagal berbuat demikian atau kenyataan rasmi syarikat telco itu tidak memuaskan hatinya, beliau tidak teragak-agak untuk mengeluarkan arahan kepada semua ahli Pas supaya menghentikan langganan serta-merta. "Saya ingin nasihatkan Celcom, ahli Pas ada 1.2 juta orang, saya boleh buat arahan sekiranya Celcom tak buat kenyataan yang boleh yakinkan, saya akan minta ahli Pas hentikan langganan Celcom.

"Suruhanjaya Multimedia maklumkan pada saya, tindakan itu bukan sebarangan orang boleh akses nombor saya atau klon dengan niat jahat.

"Saya bimbang mungkin selepas ini akan ada tersebar pula SMS berunsur lucah dihantar kepada golongan wanita bertujuan burukkan nama baik saya," katanya.

Salahuddin percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Johor di mana hampir semua kawasan mempunyai majoriti yang rendah berbanding 2008.

Ini dikuatkan lagi apabila Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi Dun Johor kepada 18 kerusi pembangkang, 13 kerusi daripada DAP, 1 PKR dan 4 Pas. -SH

Pas dan DAP Terus Sokong Abdul Khalid Sebagai Calon Menteri Besar


Pimpinan DAP dan Pas terus bersepakat memilih Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR, sebagai calon Menteri Besar bagi penggal ke dua.

Bercakap di hadapan kira-kira 30,000 penonton dalam Majlis Kesyukuran Sempena Kemenangan Pakatan Rakyat Selangor, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata pimpinan DAP Pusat sudah menghantar surat sokongan kepada DYMM Sultan Selangor untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga bekas Exco Selangor berkata surat tersebut dihantar kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

“Saya harap tiada masalah dengan jawatan Menteri Besar. Harap juga rakyat memberi sokongan kepada kerajaan baru untuk pastikan pencapaian lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut menyatakan Pas berpendirian yang sama.

Beliau berkata menerima surat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dua hari lalu yang memberikan sokongan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Kalau ada orang Pas yang tidak percaya, saya boleh tunjukkan surat itu, kalau perlu saya tampalkan di dahi saya,” katanya sambil berseloroh.

Katanya, keputusan sepakat untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar itu menunjukkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

“Ini sikap parti-parti dalam Pakatan, kita tidak anggap jawatan sebagai piala untuk direbut dan bergaduh.

“Bukan DAP nak kata dia lebih berhak dapat sebab menang dengan majoriti yang lebih besar.

Bukan juga pegangan Pas sebab Pas menang banyak.

“Saya ditanya wartawan sebelum ini, saya jawab jika satu pasukan bola sepak menjadi juara dan secara tiba-tiba mahu menukar pengurusnya itu merupakan tindakan kurang bijak dan pelik,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui berkata beliau berterima kasih kerana Dap dan Pas menyokong beliau untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Saya berterima kasih kepada kedua-dua parti.

Begitu juga kepada rakyat yang menyokong saya.

“Itu perkara baru dalam politik di negara Malaysia bila rakyat sendiri yang menjadi penentu kepada pimpinan,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan turut menyatakan sokongan untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Keputusan Menteri Besar Selangor bakal diumumkan DYMM Sultan Selangor.

PR Selangor berjaya membentuk kerajaan baru selepas memenangi kemenangan dua pertiga dengan majoriti 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya umum ke 13.

DAP dan Pas masing-masing memenangi 15 kerusi manakala PKR memenangi 14 kerusi.

Calon Perkasa Kalah Teruk, Mahathir Sudah Hilang Pengaruh


Pilihan Raya Umum 2013 adalah petanda Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak lagi berpengaruh dalam kuasa politik, analisis di mana dan bagaimana beliau berkempen adalah merupakan petanda jelas.

Bekas perdana menteri itu berkempen tidak henti-henti namun calon Barisan Nasional (BN) disokong atau berkongsi cita-cita dengan beliau - seperti ahli politik kontroversi Zulkifli Noordin dan Ibrahim Ali, kedua-dua tewas.

Di Kedah, walaupun anaknya Datuk Mukhriz telah ditabal sebagai Menteri Besar sebaik sahaja - ahli politik tempatan dan pemerhati telah menyatakan PAS telah disingkir adalah kerana tadbir urus yang lemah oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) tersebut.

Mahathir tidak memenangi Kedah untuk BN tetapi sebaliknya adalah kerana PAS yang akan kehilangan negeri tersebut, kata seorang pemimpin politik veteran Umno di negeri Kedah kepada The Malaysian Insider.

Usaha Dr Mahathir untuk mewujudkan pertarungan di Gelang antara Melayu dan Cina juga mengalami kegagalan teruk.

Ramai penganalisis dan ahli politik BN berkata langkah beliau memainkan isu perkauman sepanjang kempen Pilihan Raya 2013 juga menyebabkan sokongan kepadanya semakin menurun.


"Beliau masih mempunyai penyokong khususnya di kalangan kaum Melayu, mereka tidak akan merendahkan martabat pemimpin yang mereka rasa telah lama bersama mereka.

"Tetapi ya... mungkin pada suatu ketika masanya sudah berakhir. Apa yang dia kata, bagaimana dia berkata, mungkin sudah tidak menarik di kalangan generasi muda, di kawasan bandar. Tapi kita jangan lupa, beliau bukan PM hari ini," kata setiausaha Umno Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada The Malaysian Insider.

Namun, pemimpin lain tidak memberi ruang kepada beliau dan berpendapat Dr Mahathir yang sudah mencecah 87 tahun sewajarnya bersara dan menjauhkan diri daripada politik semasa kerana sudah lagi relevan.

Mereka berpendapat di zaman politik media sosial, pengaruh Dr Mahathir menyusut dengan cepat kerana rakyat Malaysia lebih suka jenama yang lebih liberal, sederhana dan politik inklusif yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sokongan kuat ke atas Dr Mahathir di kalangan pengundi Melayu tradisional generasi tua dilihat tidak mencukupi untuk membantu kemenangan BN pada pilihan raya selepas ini.

Mereka berkata pengundi bandar yang berkembang pesat, kelas pertengahan dan muda tidak lama lagi akan membentuk sebahagian pengundi yang lebih besar.

Berdasarkan corak pengundi Pilihan Raya 2013, demografik pengundi ini adalah kunci utama yang perlu BN menangi jika mahu mendapat mandat yang lebih kuat pada pilihan raya mendatang.

"Saya berharap dengan melihat analisis pilihan raya, beliau akan sedar masanya sudah berakhir," kata ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.

"Beliau meninggalkan pentadbiran negara ini kepada generasi baru ahli politik yang diketuai oleh Najib.

"Beliau sudah berada pada zamannya dan telah melakukan banyak perkara menakjubkan tapi masanya dalam politik sudah tamat. Sebelum beliau memusnahkan legasinya, sudah tiba masanya beliau bersara dengan aman," katanya.

Pilihan Raya 2013 menyaksikan calon pilihan pro-Melayu Dr Mahathir seperti Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan naib presiden Datuk Zulkifli Noordin kedua-duanya gagal mendapat kemenangan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, ketua bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi M. Zin mengakui jika Dr Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin boleh mendapat lebih banyak undi.

"Secara keseluruhannya, di bandar-bandar, saya rasa pengaruh Dr Mahathir tidak lagi relevan kerana isu yang beliau membawa dan pendapat beliau tidak benar-benar sesuai dengan generasi semasa, terutama dengan sokongan terhadap Perkasa
.

"Mungkin BN perlu kaji semula perkara ini," kata beliau.

Dikala lawan mereka Pakatan Rakyat (PR) memastikan pemimpin mereka bekerja keras menjauhkan diri daripada perkauman semasa berkempen, Dr Mahathir sebaliknya mengeluarkan ucapan-ucapan berasaskan kaum sepanjang tempoh berkempen 15 hari lalu.

Beliau berkali-kali menyerang musuh parlimennya Lim Kit Siang kerana meninggalkan kerusi Ipoh Timur untuk bertanding di kerusi majoriti Cina Gelang Patah, memanggil pemimpin veteran DAP itu sebagai "sangat perkauman" kerana cuba untuk mempengaruhi masyarakat Cina untuk membenci Melayu.

"Saya akan bercakap dengan lantang. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah pelampau perkauman," kata beliau semasa berceramah di Shah Alam tiga hari sebelum pengundian.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, Tan Sri Rafidah Aziz, pemimpin Umno veteran yang berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir bersetuju penggunaan perkauman untuk mendapat sokongan perlu ditolak.

"Hari untuk kita menjadi juara satu-satu kaum sudah berakhir. Saya tidak pernah bersetuju. Kita adalah rakyat Malaysia dahulu dan itu adalah perkara utama.

"Saya adalah rakyat Malaysia yang ditakdirkan berbangsa Melayu... tapi ia adalah kebanggaan Melayu yang kita bawa bersama semasa kita berada diluar sana," kata beliau.

Pengarah kaji selidik Merdeka Center, Ibrahim Suffian walaubagaimanapun menegaskan pengaruh Dr Mahathir di kawasan luar bandar di Malaysia masih besar meskipun ditolak di kawasan bandar kelas pertengahan.

Tetapi dia bersetuju pengaruh meluas seperti mana yang dijangkakan Umno dan Dr Mahathir kerana banyak juga pengundi Melayu yang sudah berpindah menyokong pembangkang.

"Pengundi lebih arif. Mereka menolak jenama cauvinisme kaum," tambah beliau.

Tetapi Ibrahim berkata Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar dalam Umno, parti utama dalam BN, ia juga dipersetujui rakan penganalisis politik, Wan Saiful.

"Saya bersetuju ... tetapi beliau lebih berpengaruh di kalangan ahli-ahli Umno dan apabila tiba pilihan raya, apa yang kamu perlu lakukan ialah bukan sahaja menyokong parti anda sendiri," katanya.

Wan Saiful menegaskan bahawa Dr Mahathir harus berundur dari arena politik, ia bagi memastikan imej 'bapa pemodenan" yang diberikan ke atas bekas perdana menteri itu tidak dicemari oleh kesilapan yang beliau buat hari ini.

"Najib adalah PM hari ini dan Dr Mahathir adalah semalam. Najib merasakan terdapat keperluan untuk beliau bergerak ke arah yang berbeza dan ini adalah apa yang beliau sedang lakukan," kata beliau.

Ibrahim juga mengingatkan perubahan drastik dalam pengaliran maklumat di dalam landskap politik hari ini, juga adalah salah satu faktor yang menjejaskan pengaruh Dr Mahathir pada Pilihan Raya kali ini.

"Terdapat cabaran itu kerana Dr Mahathir sebelum ini mentadbir negara semasa tiada media sosial dan rakyat yang mudah dikawal serta lebih kecil.

"Hari ini, generasi muda yang membesar ketika maklumat mengalir. Persekitaran telah berubah, dan banyak juga pemimpin yang telah bertukar," katanya lagi. -TMI