13 Mei 2012

PAS Buat Keputusan Tangguh Muktamar, Himpunan Raksasa I Jun Di Alor Setar

PRU13: PAS tangguh muktamar, ganti himpunan raksasa

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia akan digantikan dengan perhimpunan raksasa pada 1 Jun di Alor Setar, Kedah yang akan memberi fokus sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13.

"PAS lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum yang masih menjadi teka-teki, itulah demokrasi di negara itu.

"Jadi PAS tangguh muktamar ke satu tarikh lain dan akan adakan ijtima' dan munajat perdana untuk perkasakan jentera dan ahli di seluruh negara bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat parti, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar akan menjadi pengarah bagi ijtima' yang dijangka dihadiri lebih 100,000 ahli parti itu.

"Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

"PAS tak akan sediakan bas untuk ke sana tapi semua atas usaha ahli sendiri tapi kita yakin kehadiran lebih 100,000," katanya.

Sementara itu, Ustaz Hadi juga memaklumkan seratus peratus nama calon dari setiap negeri sudah dihantar ke Jawatankuasa Pusat dan diluluskan Majlis Syura.

"Jawatankuasa Pusat memberi kepercayaan kepada Dewan Harian PAS Pusat untuk meneliti semua calon yang dikemukakan kepada pusat dan diluluskan Majlis Syura," katanya.

Tambah beliau juga, isu pertindihan kerusi dengan PKR dan DAP akan diselesaikan oleh Jawatankuasa Bersama dalam Pakatan Rakyat.

"Itu akan diselesaikan oleh jawatankuasa bersama dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, serta Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali. -HD


Isu Air Selangor : Khalid Selar Najib Sebagai Bukan Negarawan

Isu Air : Najib Razak Bukan Negarawan

BANTING 12 MEI : Kenyataan Datuk Seri Najib Razak berhubung isu air di Selangor membuktikan Perdana Menteri hanyalah seorang ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan bukannya negarawan sebenar yang sepatutnya mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenyataan Najib itu juga bertentangan dengan titah DYMM Sultan Selangor yang menyeru semua pihak tidak mempolitikkan isu air demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

“Kita telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan tawaran kepada syarikat konsesi termasuk menggunakan arbitari antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita tidak menerima maklum balas malah Kerajaan Pusat berdolah-dalih untuk melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri menguruskan air.

“Jika Perdana Menteri negarawan sejati, beliau sepatutnya mengarahkan penstrukturan semula industri air di Selangor diselesaikan dengan segera,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Visit Kuala Langat 2012 di Pantai Morib sempena Program Mesra Khas Terima Kasih Rakyat peringkat Daerah Kuala Langat.

Beliau juga berjanji kepada rakyat Selangor yang tarif air hanya akan dinaikkan pada kadar munasabah sekitar 12 peratus dan pemberian air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan diteruskan, jika selesai penstrukturan semula air.

Kadar kenaikan air mengikut pelan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) adalah melebihi 70 peratus.

“Rancangan kerajaan Selangor adalah menjaga kebajikan rakyat keseluruhan. Justeru, Perdana Menteri perlu mengotakan janji untuk mengutamakan rakyat dengan mempercepatkan penstrukturan air,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Selangor kosisten dengan pendirian bahawa projek Langat 2 dibina selepas rundingan penstrukturan semula diselesaikan.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, laporan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang diterima setiap bulan menunjukkan bekalan air mentah di Selangor pada tahap lebih dari mencukupi.

“Masalah ialah bekalan air bersih kerana kegagalan syarikat konsesi mengguna sepenuhnya loji-loji rawatan air yang sedia ada, tidak menaiktaraf paip-paip air dan gagal mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW),” katanya. - selangorku



Mat Sabu: PR Mahu 'Guling' BN, Tapi Bukan Guna Kekerasan

Kota Bharu - Pakatan Rakyat (PR) hanya akan menggulingkan kerajaan menerusi pilihan raya yang bersih bukannya melalui kekerasan seperti dakwaan pihak tertentu.

Gambar: A Samad Said berkongsi pengalamannya menyertai Bersih 3 0 di Kota Bharu.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, PR nekad menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun dakwaan yang mengatakan pihaknya akan menggunakan kekerasan hanya fitnah semata-mata.

“Betul, kita nak gulingkan kerajaan tetapi kita akan melakukannya berdasarkan pilihan raya bersih dan bukannya melalui kekerasan pada himpunan yang lalu seperti didakwa,” katanya sempena Ceramah Perdana Pasca Bersih 3.0 di sini.

Turut hadir dalam ceramah yang dihadiri 10,000 pengunjung, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk A Samad Said dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke.

Muhamad menegaskan himpunan Bersih 3.0 yang disertai ratusan ribu rakyat itu menakjubkan dengan penglibatan pelbagai bangsa dan ia menunjukkan rakyat bersatu untuk memilih kerajaan baru dalam pilihan raya akan datang.

“Sekiranya tuntutan rakyat ini tidak dipenuhi saya berharap pihak Bersih boleh memerintahkan kita untuk melaksanakan Bersih 4.0 dan dianggarkan kira-kira satu juta orang akan berhimpun dan ada yang menyatakan kesungguhan menyokong himpunan ini,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad meragui panel Siasatan Bebas Bersih 3.0 yang diketuai oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar kerana beranggapan masih ramai bekas pegawai dan peguam yang boleh dilantik.

Mohamad turut menegaskan beliau tidak pernah memusuhi pihak polis, namun menentang kekejaman yang dilakukan oleh segelintir anggota keselamatan itu yang bertindak kejam ketika menyuraikan perhimpunan.

Sementara itu, Samad berkata, golongan sasterawan menyedari kepentingan keadilan dalam pemerintahan yang sebelum hanya diperjuangkan oleh golongan politik sahaja.

“Buktinya, Bersih 1.0 digerakkan golongan kuasawan (berkuasa), namun Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 bukan lagi dikepalai orang politik dan pada awalnya saya hadir memberi sokongan sahaja, namun diminta berada di barisan depan sebagai pengerusi bersama Bersih 3.0 bersama Datuk Ambiga,” katanya.

Anthony dalam ucapannya berkata, Bersih 3.0 pada 28 April lalu mendapat sokongan luar biasa daripada anak muda Cina yang dianggarkan kehadiran mencecah puluhan ribu.

Janda Dicekup Khalwat Bersama Kekasihnya

Ampang - Seorang janda dicekup khalwat dengan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Taman Muda, di sini, awal pagi semalam.

Janda anak satu yang bercerai dengan suaminya sejak sembilan bulan lalu memberi alasan dia tidak ada tempat tinggal apabila datang dari Nilai, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan diri di salah sebuah universiti di ibu kota hari ini.

Pasangan itu dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel pada jam 4 pagi oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim Ahmad Nawi Othman berkata, selepas pihaknya mengetuk pintu beberapa kali, seorang lelaki berpakaian lengkap terkejut melihat kehadiran penguatkuasa sebelum membenarkan mereka masuk untuk membuat pemeriksaan.

“Kami menemui seorang wanita yang hanya berseluar pendek keluar dari tandas, mereka mengaku pasangan kekasih selepas gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, lelaki berusia 27 tahun itu bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu sanggup mengambil pasangannya yang berusia 27 tahun itu dari Nilai kemudian bawa ke hotel berkenaan.

Dalam serbuan sama di bilik berasingan, seorang penuntut universiti dicekup khalwat bersama pasangannya.

Beliau berkata, perempuan berusia 23 tahun itu memberi alasan mahu berkahwin dengan teman lelakinya.

“Perempuan itu memberitahu keluarganya tidak merestui perhubungan mereka kerana pasangannya yang berusia 24 tahun itu bekerja sebagai kontraktor,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah.

UMNO Gunakan Kemewahan Butakan Hati Ahlinya

Membeli rakyat dengan kemewahan

PETALING JAYA: Umno bukan seperti parti-parti lain. Tidak ada parti lain yang boleh menandingi Umno – parti terbesar berusia 66 tahun itu. Sama ada dari jumlah ahli atau kemewahan, Umno adalah nombor satu.

Kehadiran puluhan ribu ahli Umno ke Stadium Nasional di Bukit Jalil malam tadi kerana menyambut kelahiran parti itu bukan sesuatu yang di luar jangkaan. Nyata sambutan itu mewah dan meriah.

Sambutan yang meriah itu memang sudah sinonim dengan Umno. Sebelum ke Bukit Jalil, ahli-ahlinya bermalam terlebih dahulu di hotel yang di tempah khas di sekitar Kuala Lumpur dan lokasi berdekatan.

Mereka menaiki bas yang disewa khas dan dijanjikan wang saku. Ini tradisi Umno bagi ahlinya yang tinggal di luar ibu kota bagi menghadiri program parti termasuk perhimpunan agung Umno di PWTC. Sesetengah mereka menaiki khas jabatan kerajaan kerana wakil rakyat mereka menjadi Exco kepada jabatan berkenaan.

Beberapa ahli Umno berkata, mereka sangat beruntung menjadi ahli parti itu terutama ketika menghadiri program parti di Kuala Lumpur.

Rosli Awang dari Kuala Terengganu berkata, “Saya datang ke Kuala Lumpur semuanya percuma.”

“Saya tidur di Hotel Grand Seasons dan dijanjikan wang poket tetapi belum dapat lagi. Masa perhimpunan agung Umno pun begini juga.”

Jadi anggaran kasar 100, 000 orang mendengar ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Bukit Jalil bukan luar biasa dan mengejutkan.

Dengan kekayaan yang ada, Umno boleh membawa seberapa ramai yang mereka mahu. Jangan lupa ahli parti itu berjuta orang.

Namun menjelang pilihan raya umum 13 yang kini di depan mata, kemeriahan sambutan 66 tahun itu mungkin untuk seketika sahaja.

Percakapan di cawangan dan bahagian ialah Umno masih tidak dapat bersatu padu sepenuhnya.

Tolak calon parti

“Isu yang paling besar ialah masih tidak semua ahli akan setuju dengan calon yang dipilih parti. Ini yang berlaku dalam setiap kali pilihan raya.

“Umno kalah kerana sikap pemimpin di cawangan dan bahagian berlaku tikam belakang menjelang pilihan raya. Kerana mereka tidak bersatu, kerana ada kepentingan sendiri, ahli akar umbi berpecah belah.

“Umno kalah kerana tidak bersatu. Mereka bermusuhan sesama sendiri,” kata Rosli lagi.

Apa yang berlaku itu mungkin satu contoh sahaja. Barangkali perkara serupa timbul juga ditempat lain. Najib mungkin menyedarinya tetapi apa yang boleh dilakukannya?

Beliau cuma boleh merayu tetapi apa yang berlaku sebelum ini tidak semua suara presiden didengari.

Ini yang berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadapi pilihan raya umum 2008 yang menyebabkan BN kalah empat negeri – Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Perbalahan sesama sendiri adalah musuh dalam parti. Adakah ahli Umno memberi sokongan sepenuh hati kepada Najib?

Adakah rakyat boleh menerima sepenuhnya pemerintahan Najib? Untuk menukurnya dari segi program turun padang atau bantuan kepada rakyat ia bukan jaminan BN secara automatik mendapat undi.

Pengundi sudah bijak. Mereka kini menilai antara kebaikan yang dibuat BN sejak 1957 dengan harapan baru yang diberikan Pakatan Rakyat. -FMT

Kerajaan UMNO BN Tertekan, Tubuh Akademi Undang-Undang Untuk Saingi Majlis Peguam

Kerajaan Setuju Cadangan Bentuk Organisasi Baru Pegum - Nazri Aziz

KUALA KANGSAR: Kerajaan bersetuju dengan tuntutan golongan peguam yang mahu membentuk satu organisasi baru bagi mewakili mereka mempertahankan profesion, kebajikan dan kepentingan guaman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Gambar: Para peguam yang menyokong usul kutuk kekerasan polis di perhimpunan Bersih 3.0

Beliau berkata golongan peguam itu boleh membentuk organisasi itu atas nama persatuan atau agensi lain yang baru seperti Akademi Undang-undang dengan menggunakan pendekatan lain.

"Kalau (mahu) ada satu persatuan dan agensi yang lain yang (boleh) dibentuk untuk mewakili mereka yang berkelulusan undang-undang mesti tahu, Malis Peguam (sedia ada) hanya mewakili mereka yang praktis undang-undang dan berdaftar dengan majlis itu sahaja.

"Tapi ada juga yang lulusan undang-undang jadi pensyarah namun tidak menjadi anggota majlis berkenaan. Ada lulusan udang-undang yang bekerja di bank-bank dan sektor korporat. Mereka ini bukan 'practising lawyer', mereka tidak jadi anggota majlis, tidak ada persatuan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada program Profesional Guru-guru Daerah Kuala Kangsar Zon Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak di Padang Rengas di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anggota Majlis Peguam Abu Backer Sidek supaya sebuah badan guaman baru yang bebas dibentuk kerana Majlis Peguam sedia ada gagal dipertahankan sebagai sebuah badan yang profesional dan berintegriti.

Menurut Mohamed Nazri, golongan peguam berkenaan boleh mewujudkan Akademi Undang-undang yang mewakili semua lulusan undang-undang di negara ini.

Katanya beliau tidak terkejut apabila terdapat anggota Majlis Peguam sendiri tidak berpuas hati dengan badan itu.

Majlis Peguam sepatutnya menjaga anggota dan kepentingan profesion guaman serta mengambil tindakan terhadap mana-mana peguam yang didapati menyelewengkan hasil aduan yang dibuat orang ramai terhadap peguam yang terbabit, katanya.

"Saya dari awal lagi menyatakan kalau Majlis Peguam mahu terlibat politik, sila daftar sebagai parti politik maka tidak berbangkitlah masalah seperti hari ini.

"Ia ada hampir 20,000 anggota dan hanya 1,270 hadir (semalam ke mesyuarat agung luar biasanya). Itu tidak mewakili kehendak suara majoriti peguam-peguam," katanya.

Beliau berkata pemilihan dalam jawatankuasa Majlis Peguam juga dimonopoli oleh segelintir kumpulan sahaja kerana sistem pemilihannya dibuat secara pos dan tiada sistem undi serta peti undi. Pada Jumaat, Majis Peguam meluluskan 12 resolusi pada mesyuarat agung luar biasanya yang antaranya mengecam tindakan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan yang bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lepas.

Mengenai tuntutan Majlis Peguam supaya Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara memohon maaf atas tindakan polis ketika perhimpunan berkenaan, Mohamed Nazri berkata tidak ada kesalahan yang dilakukan pihak berkuasa.

"Jangan mimpi, esok matahari terbit di timur, kita tidak akan meminta maaf. Jangan mimpi. Tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh kita. Dia patut bubarkan (Majlis Peguam) kerana mendatangkan malu besar pada profesion dia. Susah sangat lawan sayalah (dalam pilihan raya)...kalau tidak anda hanya penakut, bacul," katanya.

Beliau turut berkata pihaknya akan meneliti sekiranya penganjur perhimpunan berkenaan Datuk S.Ambiga melanggar apa-apa kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011 terutama kerana menghina mahkamah. "Kita nak tengok kalau dia ada langgar apa-apa kesalahan di bawah akta baru ini. Kita nak lihat di bawah (kesalahan) menghina mahkamah (kalau) saya nak minta supaya dia didakwa. "Paling ketara adalah menghina mahkamah sebab jelas ada perintah mahkamah yang tidak boleh dilanggar. Dia ketua, jadi dia mesti ambil semua tanggungjawab ini. Jangan 'semut' sahaja kena dakwa, anda sebagai ketua nak lari?," soalnya.-BERNAMA

Usul kecam kekerasan polis: Hanya 16 daripada 1270 tentang

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam semalam membuat usul tergempar mengutuk kekerasan melampau polis ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 3.0 April 28 yang lalu di dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Hanya 16 peguam daripada 1,270 ahli majlis peguam yang membantah resolusi tersebut.

Dalam resolusi yang diluluskan dengan cara undian itu, Majlis Peguam turut menuntut permohonan maaf daripada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara kepada orang awam dan ahli media atas tindakan polis ketika perhimpunan tersebut.

Pengerusinya Lim Chee Wee berkata kehadiran EGM kali amat memberangsangkan – melebihi mesyuarat agung tahunan (AGM)nya.

“Ini menandakan bahawa ahli majlis melihat insiden Bersih 3.0 dengan serius,” kata beliau.

Aman sehingga diganggu

Faktanya, kata Lim ialah laporan terhadap kekejaman polis, dan penggunaan gas pemedih mata dan meriam air yang berlebihan hanya selepas penghadang Dataran Merdeka diceroboh pada pukul 3 petang.

“Sebelum itu, situasi (perhimpunan) adalah seperti karnival,” kata beliau.

Lim berkata Majlis Peguam telah mengerahkan sebanyak 78 ahli untuk memerhati perhimpunan Bersih, dan hanya keadaan di Kuala Lumpur menjadi kelam-kabut manakala situasi di Kuantan, Johor Bharu, Melaka dan Ipoh aman kerana polis telah bertindak secara terkawal.

Beliau turut menambah bahawa 100,000 hadirin yang membanjiri Kuala Lumpur pada April 28 yang lalu tidak diberikan ruang dan masa secukupnya untuk bersurai di mana gas pemedih mata dan air berasid terus dihalakan pada mereka walaupun mereka dalam keadaan hendak melarikan diri.

“Ini membawa kepada satu soalan mudah. Mengapa polis masih tidak membaca dan melaksanakan apa yang dicadangkan Suhakam?” kata Lim, merujuk kepada laporan siasatan terhadap perhimpunan aman yang lepas.

Lim turut menegaskan bahawa kekerasan yang ditunjukkan polis adalah tidak memadai dengan tindakan penyokong yang mengejek mereka kerana semua peserta adalah tidak bersenjata, dan tanggungjawab menjaga keamanan adalah jatuh di bahu pihak berkuasa yang bersenjata.

Majlis Peguam Malaysia turut menuntut agar anggota polis yang melakukan keganasan dikenalpasti dan didakwa.

Pulau penal bebas kerajaan

Selain itu, Lim berkata Majlis Peguam turut memulau panel bebas yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat dakwaan keganasan polis dalam perhimpunan BERSIH 28 April lalu.

Majlis Peguam mencadangkan agar wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat insiden Bersih 3.0 dan bukannya bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar.
-HD


Ulasan GB

Faktanya: Kerajaan UMNO BN kini tertekan dengan keadaan rakyat sudah tidak menyebelahinya apabila 99% peguam yang hadir menyokong usul mengutuk keganasan polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu, hanya 16 orang menentang usul berkenaan.

Namun, kerajaan UMNO BN masih dengan sindrom penafian, tak mahu terima hakikat itu lantas menuduh Majlis Peguam yang bebas itu mahu menjadi parti politik.

Lalu diluluskan penubuhan sebuah lagi klon Majlis Peguam dengan harapan hendak menyaingi Majlis peguam yang sedia ada. Untuk mengelakkan daripada mendapat malu besar berkemungkinan kurangnya peguam menyertai pertubuhan baru itu, maka dinamakan pertubuhan baru itu sebagai Akademi Undang-undang dengan menerima masuk mereka yang bukan dari profeyen peguam sebagai ahli seperti para pensyarah dan sebagainya.

Hukum kebenaran dan keadilan tidak dapat ditolak. Yang bersalah tetap bersalah walaupun berpuluh atau beribu klon majlis peguam ditubuhkan oleh kerajaan.

Lagi faktanya apa>? Keganasan polis sudah tidak boleh lagi ditutup.

Rakyat segenap lapisan telah mula bangun dan bersuara.

Keganasan dan kezaliman polis adalah hasil daripada sikap dan tindakan kerajaan UMNO BN yang membiarkan mengizinkannya untuk menekan rakyat yang tidak menyokongnya.

Namun di sisi lain, yakinlah tindakan UMNO BN itu sia-sia, air dari gunung akan terus melimpah dan tidak mungkin dapat disekat oleh sesiapa, atau anda akan mati jika cuba menghalangnya.


Najib Berdepan Dengan Saman Malu Akibat Keceluparannya

Haram jadah: Najib mohon maaf atau saman malu

KULAI, 13 Mei: Ungkapan ‘haram jadah’ yang diulang dua kali oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang ditujukan kepada penentang-penentang penyenaraian FGVH adalah terlalu kesat dan tidak sewajarnya disebut oleh seorang Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman kepimpinan Anak Negeri Johor membuat laporan polis di Balai Polis Kulai, semalam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Kata Mazlan, ia ekoran ucapan Najib ketika mengumumkan 'Durian Runtuh' di Felda Jengka 8 di Pahang pada 8 Mei lalu.

Beliau berkata, ‘haram jadah’ dalam kamus DBP bermaksud 'Anak Luar Nikah' dan ia sangat bertentangan prinsip Rukunegara- Kesopanan dan Kesusilaan'; apatah lagi ajaran Islam yang menekankan ketinggian akhlak dan moral, lebih-lebih lagi pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan rakyat.

“Laporan polis mendesak PM menarik balik ucapannya dan meminta maaf secara terbuka kerana golongan yang tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia terlalu ramai,” ujarnya.

Mazlan menambah, ia bukan sahaja warga Felda tapi umumnya rakyat yang terlalu sayang dengan prihatin dengan masa depan institusi Melayu seperti Felda.

Katanya, pihak peguam akan menghantar notis tuntutan permohonan maaf oleh PM dan jika gagal berbuat demikian, saman malu akan dikemukakan. -HD

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Karnival Umno Semalam Lengang & Sunyi Sepi

Bukit Jalil: hari kedua sambutan ulangtahun ke 66 semalam berlangsung dengan keadaan sunyi sepi.

Hanya segelintir dari jumlah yang dikatakan 70,000 yang memenuhi Stadium Bukit Jalil pada malam sebelumnya hadir pada tengahari semalam.

Terdapat beberapa buah khemah pameran dan gerai yang telah dipasang di luar stadium, tetapi tidak ramai orang menjengahnya.

Tiada seorang ahli politik pun yang datang berhimpun pada malam sebelumnua kelihatan hadir di karnival pada hari semalam, yang hanya dihadiri tidak lebih dari 300 orang sahaja pada awal tengahari.

Mengikut aturcara program, karnival yang "masuk-percuma" itu sepatutnya bermula jam 10 pagi.

Kebanyakan tumpuan hanya di khemah expo kerjaya oleh Pemuda BN, arena paintball dan beberapa gelanggang futsal.

“Hari ini pagi Sabtu. Keadaan begitu sunyi. Saya harap lebih ramai akan datang pada sebelah tengahari,” kata seorang yang enggan dikenali selepas membahagikan risalah-rasalah pada jam 11 pagi.

Hal ini sepatutnya tuidak berlaku, sedangkan taman "inflatable castles" dan "skateboard" juga telah diwujudkan.

Malah, kerana terlalu kurang orang yang menghadiri karnival tersebut, beberapa kakitangan yang bosan mwnunggu pengunjung mengambil kesempatan menghiburkan diri mereka dengan bermain sendiri di khemah-khemah berkenaan.

Karnival akan berakhir jam 6 petang hari ini. -FMT (terjemahan bebas -GB)



[BERGAMBAR] Aisyah Serah Borang Sertai PAS, Dr Chua Jui Meng & Tamrin Ghafar Hadir Sama

Kuala Lumpur: Penyanyi popular bersuara lunak dan Juara Lagu 1990, Wan Aishah Wan Arifin secara rasmi menyertai PAS apabila menyerahkan borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi.

Ia berjalan di dewan besar, Kolej Universiti Zulkifli Mohamad (KUIZM) Taman Melewar dalam majlis ceramah perdana "Rakyat Melangkah Ke Putrajaya".

Turut serta di majlis anjuran PAS Kawasan Batu itu adalah Tamrin Ghafar dan Datuk Seri Chua Jui Meng.

Penyajak tersohor, Pyan Habib turut mendeklimasikan beberapa sajaknya.

Dengan penyertaan Aishah, sudah ramai artis dan para sastrawan yang menyertai PAS. -HD


Pyan Habib mendeklamasi puisi


Penyanyi Terkenal Aishah turut hadir memberikan ucapan


Tuan Guru Nik Aziz bersama Dato DR Chua Jui Meng


Penyanyi Aishah menyerahkan borang kemasukan ahli PAS kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat


Tuan Guru Nik Aziz memberikan ceramah


Suasana di dalam dewan yang penuh dengan orang ramai yang hadir  di Taman Melewar


Telok Bakong Online juga tidak ketinggalan membuat siaran video secara langsung pada ceramah Perdana malam tadi dari Taman Melewar


Tuan Guru Nik Aziz sedang minum bersama En Tamrin Ghafar baba


Lambaian Tok Guru


DR Chua Jui Meng  turut memberikan ucapan 


Wakil dari UMNO En Tamrin Ghafar Baba turut hadir di Taman Melewar  memberikan ceramah beliau


Sumber: telok bakong online


12 Mei 2012

Kenapa Tiba-tiba NST & Utusan Minta Maaf Kepada Senator Australia, Xenophon?

Kuala Lumpur: Selepas New Strait Times, sebuah lagi akhbar Umno, Utusan Malaysia membuat permohonan maaf kepada senator Australia, Nicholas Xenophon selepas membuat laporan melulu terhadap beliau.

Gambar: Xenophon [dua dari kiri] ketika bercakap dalam sidang media di Parlimen sebelum perhimpunan Bersih 3.0. Beliau adalah antara pemerhati luar yang datang ke Malaysia untuk melihat pelaksanaan demokrasi di negara ini.

Utusan dalam penyataan mohon maaf hari ini turut menarik balik laporan mereka yang menuduh Nicholas Xenophon sebagai anti-Islam.

Kedua-dua akhbar Umno itu membuat laporan melulu kepada Nicholas Xenophon selepas senator itu menyifatkan perhimpunan Bersih 3.0 aman sehinggalah dikacau oleh polis.

NST dan Utusan membuat laporan kononnya Xenaphon penyokong LGBT, ungkapan yang ditujukan kepada kumpulan lesbian, gay, biseksual dan pondan.

Berikut adalah kenyataan yang disiarkan Utusan hari ini.

Kenyataan maaf dan penarikan balik

ARTIKEL Utusan Malaysia bertarikh 30 April 2012 yang disiarkan pada 1 Mei 2012 pada muka surat 6 dan di dalam Utusan Online (‘www.utusan. com. my’) yang bertajuk ‘Senator anti-Islam pantau Bersih 3.0’. Artikel tersebut merujuk kepada Senator Nicholas Xenophon, seorang senator bebas dari Selatan Australia.

Utusan Malaysia mengesahkan terdapat kesilapan dalam menerbitkan pernyataan-pernyataan di dalam artikel tersebut. Kami menerima bahawa dalam ucapan beliau di Parlimen Australia yang dirujuk dalam artikel tersebut, Senator Xenophon tidak menggunakan perkataan ‘Islam’ dan beliau tidak juga menegaskan bahawa Islam bukanlah sebuah organisasi agama tetapi sebuah organisasi jenayah yang berselindung di sebalik kepercayaan agama.

Berdasarkan sebab-sebab di atas, Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesemua pernyataan-pernyataan terkandung di dalam artikel tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Senator Xenophon di atas kedukaan atau pengaiban yang diakibatkan kepada Senator Xenophon ekoran daripada penyiaran artikel tersebut.




NST minta maaf kepada Senator Australia

The New Straits Times telah memohon maaf kepada senator Australia Nicholas Xenophon berhubung satu laporan yang mendakwa beliau membuat ucapan anti-Islam di Parlimen Australia pada tahun 2009.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di lamanweb NST hari ini, akhbar berkenaan berkata ia telah membuat "kesilapan besar" dalam menyiarkan kenyataan dalam artikel tersebut.

NST berkata, dalam ucapannya di Parlimen Australia yang dirujuk dalam artikel tersebut, Xenophon tidak menggunakan perkataan 'Islam' dan tidak pernah menegaskan Islam bukan sebuah pertubuhan agama tetapi sebuah organisasi jenayah yang bersembunyi di sebalik kepercayaan agama.

Atas sebab di atas, tambahnya, akhbar itu menarik balik semua kenyataan yang terkandung dalam artikel terhadap Xenophon dan memohon maaf kepadanya di atas sebarang kesusahan atau rasa malu yang disebabkan oleh artikel tersebut.

Akhbar itu juga telah mengeluarkan artikel tersebut daripada versi dalam taliannya berkuat kuasa serta-merta.
-mk


Senator Australia cadang turut saman Utusan

Senator Australia, Nick Xenophon berkata beliau sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dua akhbar tempatan, termasuk Utusan Malaysia, kerana tersalah memetik ucapannya yang menggambarkan beliau sebagai anti-Islam.

"Sudah tentu (tindakan undang-undang akan dipertimbang) dalam apa sahaja bahasa ia diterbitkan sama ada mereka telah memohon maaf atau tidak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Xenophon merujuk kepada sebuah artikel yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) yang telah tersalah memetik ucapannya di di Parlimen Australia pada 17 November 2009.

Akhbar harian berbahasa Inggeris NST telah memohon kerana "kesilapan besar" itu pada hari berikutnya.

Xenophon mengesahkan laporan awal yang memetik jurucakap dari pejabatnya bahawa beliau masih akan mengambil tindakan undang-undang terhadap NST walaupun akhbar tersebut telah memohon maaf.

Utusan Malaysia milik Umno, yang menerbitkan berita yang sama yang tersalah petik Xenophon, telah mengeluarkannya dari versi dalam talian di laman webnya tetapi tidak memohon maaf.

Xenophon adalah sebahagian daripada pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia.
-mk



Ulasan GB

Kenapa tiba-tiba NST & UM membuat kenyataan memohon maaf kepada senator Australia, Nicholas Xenophon, sesuatu yang jarang benar dilakukan oleh media massa pro-UMNO/BN?

Difahamkan bahawa ada arahan dari pihak kerajaan supaya kedua-dua akhbar tersebut memohon maaf.

Ia dikatakan ada kaitan dengan pergerakan saham yang menurun yang salah satu sebabnya ialah penarikan diri para pelabur luar hasil dari kenyataan Xenophon yang hendak menyaman akhbar-akhbar tersebut.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI telah turun 6.72 mata kepada 1,584.32 daripada 1,591.04 .

Indeks Kewangan turun 32.59 mata kepada 14,173.49 daripada 14,206.08, Indeks Perusahaan rugi 29.7 mata kepada 2793.45 daripada 2,823.15 dan Indeks Perladangan merosot 68.76 mata kepada 8,640.20 daripada 8,708.96.

Indeks FBM Emas turun 67.29 mata kepada 10,852.93 daripada 10,920.22, Indeks FBM ACE turun 32.76 mata kepada 4,542.68 daripada 4,575.44, Indeks FBM Mid 70 rugi 166.93 mata kepada 11,879.98 daripada 12,046.91 dan Indeks FBM T100 merosot 65.64 mata kepada 10,655.78 daripada 10,721.42.


Nik Aziz: Selagi Tuntutan Tidak Dipenuhi, Akan Tetap Ada BERSIH 4.0

Gombak - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akan ada perhimpunan Bersih 4.0 jika isu-isu berkaitan dengan tuntutan pilihan raya bersih dan adil tidak diselesaikan dengan segera.

“Bila timbul masalah Bersih (perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu), Syeikhul Azhar, Mufti Mesir masa itu mengatakan perhimpunan yang berlaku di Mesir haram.

“Tetapi rakyat Mesir membandingkan dengan fatwa Dr Yusuf Al-Qardawi melalui buku ditulis beliau dan hasilnya tujuh juta rakyat Mesir turun ke jalan kerana fatwa Qardawi betul,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menggalakkan orang ramai khususnya ahli-ahli Pas agar menyertai Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April lalu. Malah beliau sendiri mengakui ada membiayai beberapa peserta perhimpunan itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Langkah Rakyat ke Putrajaya di Markas Tarbiah Pas Pusat Taman Melewar dekat sini, malam tadi.

Pada majlis itu, penyanyi popular bersuara lunak dan Juara Lagu 1990, Wan Aishah Wan Arifin menyerahkan borang keahlian menyertai Pas.

Ceramah itu turut dihadiri bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar Baba.

Aishah ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau mengambi keputusan menyertai Pas kerana merasakan ia fasa kedua dalam hidupnya selepas mendapat hidayah Allah.

“Saya merasa terharu kerana diberi peluang memberi borang keahliannya kepada Tuan Guru Nik Aziz dan inilah perkara yang ingin saya buat setelah mendapat hidayah Allah,” katanya.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, rakyat negara ini perlu menukar parti yang memerintah Malaysia menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan parti yang mendukung Islam.

“Tidak kisahlah kaum mana pun yang akan berada di Putrajaya itu, Melayu ke, Cina Muslim ke, India Muslim ke asal dia berasas Islam seperti yang di bawa Nabi Muhammad, Insya-Allah kita boleh selamat,” katanya. "Saya menyokong Bersih, itu baru 3.0, akan ada yang keempat lagi," kata beliau.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin PKR memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya tetap dengan pendirian untuk terus menyokong jika akan ada perhimpunan Bersih 4.0.

“Pihak kami belum berbincang apa-apa lagi mengenai perkara ini kerana belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat mengenai Bersih 4.0," kata Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Subang, Sivarsa Rasiah pula berkata, pihaknya juga akan terus menyokong tindakan Bersih kerana setakat ini, kerajaan belum memberi sebarang jaminan mengenai tuntutan-tuntutan Bersih.

“Saya juga akan terus menyokong kerana rakyat sendiri inginkan pilihan raya dibuat secara bersih, adil dan saksama,” katanya lagi.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah memberi amaran perhimpunan yang lebih besar akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya yang bebas dan adil. -SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Ibrahim Ali Tertidur, Majlis Fatwa Sudah Putuskan Perkataan Islam Boleh Digunakan

PERKASA cadang Majlis Fatwa kaji gugur nama Islam pada PAS

PASIR MAS: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam pada parti itu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, berkata sudah sampai masanya majlis fatwa berbuat demikian memandangkan ia boleh mengelirukan umat Islam terutama di kalangan penyokong fanatik parti itu.

Beliau berkata, ada yang menganggap setiap tindak tanduk atau kenyataan daripada pemimpin PAS sebagai tuntutan Islam.

“Contohnya ialah seperti kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mewajibkan umat Islam khasnya penyokongnya menyertai perhimpunan yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan yang menimbulkan kekacauan di ibu negara baru-baru ini.

"Sedangkan beliau (Nik Aziz) sendiri tidak menyertai perhimpunan itu yang menyebabkan beberapa orang awam dan anggota polis cedera," katanya selepas majlis ceramah di sini, malam tadi.

Beliau berkata, ini menunjukkan PAS menyeleweng jauh daripada Islam dan seolah-olah fahaman yang dibawa PAS semuanya adalah tuntutan Islam.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau sanggup mendedahkan lebih banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pemimpin parti itu terutama berkaitan pembelian tanah yang membabitkan pemimpin parti itu.

"Saya sedia membawa perkara itu kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika ada pemimpin parti itu sanggup mencabarnya berbuat demikian," katanya.

Presiden Jalur Tiga (JATI) yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, yang turut serta pada majlis ceramah itu berkata JATI akan menghantar satu memorandum tuntutan 10 perkara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika ahlinya mencecah 100,000 orang.

Katanya, antara tuntutan utama ialah menggesa kerajaan menjadikan mata pelajaran agama Islam sebagai mata pelajaran wajib di peringkat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR); Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - BERNAMA

Ulasan GB

Apa yang dikemukakan oleh Ibrahim Ali itu menunjukkan betapa takutnya beliau terhadap nama "Islam" setelah beliau menipu PAS di dalam PRU12.

Di dalam pilihanraya ke 12 pada 2008 Ibrahim Ali memperdayakan PAS dengan bertanding di atas tiket PAS dan setelah menang beliau telah melompat menjadi ahli bebas.

Beliau menyedari beliau akan tewas jika bertanding melawan PAS di dalam pilihanraya akan datang ini, maka itu timbul cadangannya untuk menggugurkan nama Islam pada PAS>

Tetapi malang, beliau tidak mengikuti perkembangan semasa kerana Fatwa sudah dikeluarkan pada 31 Mac 2000 yang menyatakan

"1. Tiada halangan untuk menggunakan perkataan "Islam" oleh mana-mana pertubuhan, malahan digalakkan tetapi hendaklah berdisiplinkan ilmu, iman dan ehsan. Walau bagaimanapun mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan Islam atau perkataan "Islam" untuk tujuan mengelirukan masyarakat atau penyelewengan adalah salah dan bercanggah dengan prinsip-prinsip syariat Islam dan boleh diambil tindakan menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada."


Majlis Raja-Raja juga pada 22 Mac 2001 telah memutuskan bahawa ia tidak menghalang penggunaan perkataan Islam pada mana-mana pertubuhan dan parti politik.

Ia juga memutuskan bahawa tiada pihak berhak menentukan keislaman seseorang itu dengan mengenakan syarat-syarat tambahan setelah orang itu menepati rukun Iman dan rukun Islam.

Keputusan itu yang dibuat berdasarkan usul Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, dicapai pada mesyuarat ke-188 Majlis Raja-Raja selama dua hari di Istana Negara.



Ternyatalah bahawa gesaan Ibrahim Ali itu adalah sesuatu yang karut malah menghina Majlis Fatwa dan Majlis Raja-raja yang telah memutuskan dengan jelas dan tegas: bahawa ia tidak menghalang penggunaan perkataan Islam pada mana-mana pertubuhan dan parti politik!


[KAJIAN] Isu "2L" (Lembu NFC & Lynas) Bakal Buat UMNO BN Terkangkang Pada PRU13

PRU13: Isu NFC boleh jejas imej Umno-BN

Shah Alam - Kontroversi berkaitan dengan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang tercetus November lalu, dilihat sebagai antara isu masih 'segar' di kalangan pengundi dan boleh menjejaskan imej Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Ia antara penemuan kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang baru dikeluarkan.

Daripada lebih 2,200 responden ditemui, yang terdiri daripada pengundi berdaftar, majoriti pengundi mengatakan mereka bersetuju yang isu NFC menjejekasn imej Umno kerana ia memberi gambaran parti teras Barisan Nasional (BN) itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Isu itu telah membawa kepada tindakan mahkamah ke atas Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Salleh Ismail manakala isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh senator berakhir 8 April lalu.

Kajian ini dijalankan dalam lingkungan tersebut.

Hasil kajian yang diperoleh menunjukkan 68 peratus responden Melayu berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju apabila diajukan soalan berkaitan.

Begitu juga dengan responden kalangan pengundi Cina - masing-masing 31 peratus sangat setuju dan 49 peratus setuju. Pengundi India yang sangat bersetuju dan setuju dengan soalan itu masing-masing 13 peratus dan 32 peratus.

Kontroversi NFC merupakan salah satu daripada empat isu yang menjadi pilihan responden apabila ditanya mengenai antara isu yang boleh menjejaskan prestasi BN pada PRU13.

Dua isu yang lain ialah kenaikan harga rumah yang melambung tinggi dan aspek berkaitan dengan integriti pemimpin BN-Umno.



Salah satu aspek penemuan hasil kajian, yang dibawa Sinar Harian Online semalam menunjukkan BN menjadi keutamaan di kalangan 49 peratus pengundi manakala 21 peratus kepada Pakatan Rakyat. Bagaimanapun 30 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, dilihat sebagai pengundi atas pagar.

Berhubung soalan sama ada isu NFC tidak berkaitan dengan Shahrizat dan diperbesarkan oleh parti pembangkang, 49 peratus respoden tidak setuju manakala 35 peratus tidak pasti.

Hanya masing-masing empat peratus dan 12 peratus sangat setuju dan setuju dengan soalan itu.

Malah, arah aliran pandangan itu seiring dengan pendirian yang dilahirkan oleh responden yang cenderung menyokong BN.

Peratusan mereka yang tidak setuju dan sangat tidak setuju (38 peratus) mengatasi kumpulan responden yang setuju dan sangat setuju (21 peratus).

Majoriti responden juga bersetuju bahawa isu NFC melibatkan Shahrizat kerana penglibatan keluarganya secara langsung.

Seramai 58 peratus sangat setuju dan setuju manakala 35 peratus lagi tidak pasti.

Menjawab soalan sama ada keluarga Shahrizat perlu memulangkan kembali wang NFC kepada kerajaan, 66 peratus responden berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju.



Hanya 29 peratus responden tidak pasti. -SH


Kajian: Lynas perlu ditutup sebelum PRU13

SHAH ALAM - Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil tindakan drastik - menutup projek nadir bumi Lynas dengan kadar segera, untuk memperoleh sokongan menyeluruh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), demikian menurut satu kajian kendalian Universiti Malaya (UM).



Penemuan kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel), yang dikendalikan akhir Mac dan awal April lalu mendapati, 34 peratus sangat bersetuju dan 27 peratus lagi bersetuju agar operasi projek itu ditutup segera.



Seramai 24 peratus tidak pasti manakala 11 peratus tidak setuju dan empat peratus lagi sangat tidak bersetuju - mahu projek itu kekal.



Kajian itu menyenaraikan soalan "apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap bantahan projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Kedua-dua Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang diterajui oleh BN.

Tahun lalu, kerajaan menjemput pakar-pakar luar negara menyediakan laporan mengenai projek itu sebelum memutuskan untuk mengeluarkan lesen beserta satu senarai syarat yang panjang.

Ekoran protes yang berterusan, baru-baru ini kerajaan membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkenaan Lynas.

Bantahan berkenaan projek terus diadakan dengan perhimpunan Hijau berlangsung di Kuantang lebih dua bulan lalu, dan baru-baru ini pada 28 April lalu bersama Bersih 3.0 di ibu negara dan beberapa bandar lain.

Dari segi kaum, peratusan pengundi yang sangat bersetuju dan bersetuju, di kalangan orang Melayu, masing-masing sekitar 32 peratus dan 24 peratus dan lebih tinggi di kalangan pengundi Cina iaitu masing-masing 43 peratus dan 29 peratus.

Pengundi India yang sangat bersetuju adalah seramai 26 peratus dan 48 peratus pula bersetuju.

Berhubung soalan sama ada kerajaan perlu memindahkan penduduk berhampiran Gebeng ke kawasan yang lebih selamat, 17 peratus sangat bersetuju dan 40 peratus bersetuju - bermakna hampir 60 peratus menyokong keperluan tidak meneruskan projek tersebut.

Menjawab satu lagi soalan yang berkaitan, seramai 15 peratus tidak sesetuju dan 32 peratus sangat tidak bersetuju apabila ditanya sama ada projek Lynas perlu diteruskan kerana ia merupakan pelaburan besar.

Hanya lapan peratus responden sangat bersetuju dan 16 peratus bersetuju agar projek itu diteruskan. -SH


Pengarah Jais Mengaku Beliau Ahli Umno

Shah Alam: Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Marzuki Hussin (gambar)adalah ahli Umno.

Ketika ditanya peguam Zulhazmi Shariff yang mewakili pemimpin PAS dan Harakah dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi semalam, Marzuki mengaku beliau adalah ahli Umno.

Umno Selangor melalui Setiausaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed menyaman Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, wartawan Harakah, Khairul Azlan Mohamad serta pencetak Harakah, Angkatan Edaran.

Bagaimanapun nama Abdul Hadi dan Mohamad Sabu telah ditolak oleh mahkamah dari menjadi defendan.

Umno Selangor menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dalam laporan itu, Mustafa selaku Setiausaha Agung PAS mendakwa beliau mendapat maklumat, serbuan ke atas gereja itu didalangi oleh Umno.

Ketika ditanya peguam Asmuni Awi pula, adakah Marzuki tahu berhubung dengan serbuan yang dibuat Pegawai Jais ke atas gereja DUMC, Marzuki berkata beliau tidak mengetahui langsung dengan serbuan tersebut sehinggalah satu laporan dikemukakan oleh Ketua Penolong Pangarah Penguatkuasa kepadanya.

Menurutnya lagi, siasatan bagi kes tersebut telah dilakukan selama tujuh bulan, namun siasatan itu dilakukan oleh Bahagian RnD dan seterusnya dirujuk kepada bahagian penguatkuasaan tanpa perlu mendapat kebenaran Pengarah Jais mahupun exco berkaitan agama Islam Kerajaan Negeri untuk melakukan serbuan.

Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam Dr Zulqarnain Lukman berhubung hasrat Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang mewakili PAS ingin bertemu dengan Jais, Marzuki memberitahu beliau sedia maklum perkara tersebut.

Jelasnya perkara itu telah dirujuk kepada bekas exco Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Hasan perlu bertindak memaklumkan kepada Mustafa berkenaan dengan pertemuan yang dicadangkan dan perkara itu tidak dimaklumkan kepada Mustafa.

Pada sesi pagi, Mahkamah hanya mendengar keterangan dari Marzuki dan bersambung semula pada sebelah petang.

Turut hadir pada sesi pagi adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Datuk Ahmad Zaki Husin bertindak sebagai hakim dalam kes ini.

Perbicaraan akan disambung lagi pada 14 dan 15 Jun bagi mendengar keterangan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd selaku pencetak. -HD




[Bergambar] 2 Buah Bas Bawa Ahli UMNO Terengganu Ke Bukit Jalil Kemalangan Di Tol Rasah

Gelombang Merah Umno Terhempas Di Tol Rasah

Dua buah bas yang membawa pulang penyokong-penyokong Umno Terengganu dari perhimpunan di Stadium Bukit Jalil telah terlibat dalam satu nahas jalan raya di exit Tol Rasah awal pagi ini.

Menurut Cikgu Bard melalui tweeternya nya, sebuah bas yang membawa penyokong Umno Terengganu (Kuala Terengganu) telah merempuh sebuah treler yang dipercayai berjalan perlahan dari arah belakang.

Ini diikuti pula oleh sebuah lagi bas yang membawa penyokon Umno Kuala Berang merempuh dari belakang bas tersebut.

Cikgu Bard beserta beberapa aktivis SAMM Negeri Sembilan yang dalam perjalanan pulang dari Johor terserempak dengan kejadian tersebut serta merta turut membantu mangsa nahas yang terlibat.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan, cuma beberapa mangsa dipercayai mengalami kecederaan yang agak serius. Beliau juga mendoakan agar mereka semua selamat!

Syabas kita ucapkan kepada Cikgu Bard yang walaupun diherdik dan dimaki hamun oleh sekumpulan Samseng Umno seperti disini , sikap dan rasa per kemanusian beliau perlu dicontohi oleh kita semua.Syabas Cikgu Bard dan aktivis SAMM Negeri Sembilan! -alhusseyn