8 Mac 2012

Negeri Dikuasai Pakatan Terima Pelaburan Paling Tinggi, Kedah Tempat Ke 5

Alor Setar – Bagi tahun 2011, Kedah menduduki tempat kelima di kalangan negeri-negeri di Malaysia menerima kemasukan pelaburan di sektor perkilangan.

Jumlah pelaburan yang diterima hingga Disember 2011 adalah sebanyak RM6.14 bilion yang melibatkan 42 projek yang diluluskan.

Prestasi ini menunjukkan peningkatan yang memberansangkan, berbanding bagi tahun 2010 yang hanya mencatat nilai pelaburan sebanyak RM1.96 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, daripada jumlah projek tersebut, 23 adalah projek baru dan 19 adalah projek pembesaran.

Bagi projek baru, ia berjumlah RM4.7 bilion dan projek yang diperbesarkan sebanyak RM1.44 bilion.

“Kita menduduki tempat kelima di Malaysia dengan jumlah pelaburan adalah sebanyak RM6.14 bilion, 42 projek.

“23 adalah projek baru, iaitu mereka yang baru melabur dengan Kedah, 19 adalah projek pembesaran operasi yang sedia ada.

“Tempat pertama adalah Pulau Pinang dengan jumlah pelaburan RM9.106 bilion, diikuti Selangor dengan jumlah RM8.741 bilion, Sarawak dengan jumlah RM8.453 bilion dan tempat keempat adalah Johor dengan jumlah RM6.584 bilion,” ujar beliau.

Tambah beliau, berikutan perkembangan pesat pembangunan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan sambutan yang amat menggalakkan daripada pelabur, kerajaan telah bersedia dengan kelengkapan zon industri dan infrastuktur.

“Di KHTP, kita telah tambah kepada zon industri fasa empat kepada pelabur yang berminat.

“Kita dah beri maklumat kepada pengarah-pengarah MIDA di seluruh dunia bahawa kita ada lebihan tanah untuk pelabur, jadi jika mereka hendak ke sini, kita telah ada tanah, yang jadi masalah kepada pelabur, mereka dah minat, tapi dia kena tunggu dulu untuk penyediaan tanah,” ujar beliau. -kedahla

KEDAH: Lagi pelaburan masuk sebanyak RM1.84 billion

KULIM, 4 Mac 2012 – Kini terbukti bahawa Kedah sedang menjadi pusat tumpuan pelabur-pelabur luar dari pelbagai negara dan industri apabila merima pelaburan sebanyak RM1.84 bilion daripada Syarikat Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd.

Syarikat tersebut telah melaksanakan majlis pecah tanah dan pertukaran perjanjian sewaan tanah dengan kerajaan negeri Kedah di Kulim Hi-Tech Park.

Panasonic memilih Malaysia dan khasnya Kedah sebagai pengkalan baru kerana sokongan dan kerjasama pelaburan kerajaan Malaysia serta infrastruktur yang baik dan kualiti tenaga kerja yang cemerlang

Sementara itu, produk yang akan dihasilkan adalah production of HIT solar modules (pengeluaran bersepadu bagi wafer, sel-sel dan modul).

Keluasan bangunan tersebut adalah seluas 70 ribu meter persegi dengan bilangan pekerja yang akan berkhidmat syarikat tersebut nanti adalah 1500 orang.

Pihak syarikat berhasrat untuk memulakan operasinya menjelang Disember 2012 dan ianya akan menghasilkan Panasonic HIT (Hiterojunction dengan lapisan nipis pada dasarnya).

Modul solar ini menawarkan kecekapan penukaran teratas tahap dunia dan cirri-ciri cemerlang bagi pergantungan suhu yang dapat memastikan lebih berkuasa walaupun semasa musim panas dan pada suhu tinggi.

Pengkalan baru ini akan melaksanakan penghasilan pengeluaran tahunan sebanyak 300W.

Hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Kulim Technology Park Corp Bhd, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah dan YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul mewakili Menteri Besar. wartakedah







Lagi Kes Kereta Meletup & Terbakar

Meletup sebaik berhenti

MELAKA: “Sebaik kereta diberhentikan dan kami keluar, saya terhidu bau hangit sebelum melihat enjin berasap disusuli letupan kecil,” kata Jelita Rupuri, 43, yang nyaris rentung bersama rakannya, Regina Abdullah, 35, apabila kereta dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Jalan Melaka Sentral, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, kereta Mazda Capella milik Regina yang dipandu Jelita terbakar sejurus selepas diberhentikan di tepi jalan.

Kebakaran itu menyebabkan kereta berkenaan hangus dan beberapa barangan berharga termasuk dokumen penting milik Regina gagal diselamatkan.

“Walaupun terkejut dengan letupan itu, kami memberanikan diri menyelamatkan barangan berharga sambil dibantu pemandu teksi dan pekerja pasar raya berhampiran,” kata Jelita yang ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika insiden mereka dalam perjalanan dari Duyong ke Bachang dan singgah di sebuah kedai berhampiran sebuah pasar raya berhampiran lokasi kejadian bagi mengambil kasut miliknya yang dibaiki.

Katanya, sejurus keluar daripada kereta dia terkejut melihat bahagian enjin berasap dan berlaku letupan kecil. -hm

Bantu Cari Adik Nurul Nadirah, 5 Tahun Yang Hilang

Ibu kanak-kanak hilang yakin anak disembunyikan di kawasan berhampiran

PASIR GUDANG: Selepas lapan hari berlalu, keluarga Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang lebih manja dengan panggilan Dirang, masih menaruh harapan tinggi supaya anak kecil itu ditemui segera dalam keadaan selamat.

Harapan itu disandarkan mereka selepas mengadakan solat hajat serta doa selamat, selain pandangan lima pengamal perubatan tradisional dan Islam yang membantu keluarga Dirang.

Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata sejak hari pertama anaknya dilaporkan hilang, beliau dan suaminya, Lima Medeng, 25, berusaha mencari anak kesayangan mereka di sekitar daerah ini kerana yakin Dirang masih berada di kawasan berdekatan.

“Saya sekeluarga hanya mampu berterima kasih kepada sumbangan semua pihak, termasuk bomoh dan ustaz yang membantu dengan ikhlas tanpa meminta sebarang bayaran daripada kami yang sememangnya tidak berkemampuan kerana suami masih mencari pekerjaan.

“Bomoh dan ustaz yang kami temui sekitar Pasir Gudang, Seri Alam dan Masai mendakwa Dirang selamat tetapi dalam kawalan seseorang. Mereka menasihatkan kami mencarinya di kawasan rumah kosong di sini kerana percaya Dirang dikurung di situ,” katanya.

Roselyn berkata, setakat ini, pencarian yang dilakukan mereka belum berhasil dan tiada sebarang petunjuk Dirang disembunyikan di kawasan berkenaan.

“Saya dan suami tidak akan berputus asa, selagi terdaya kami tetap akan berusaha mencari Dirang selain mengusahakan majlis doa selamat dengan menjemput jiran bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Dirang.

“Poster Dirang akan ditampal bagi memudahkan pencarian anak kedua kami itu,” katanya.

Sementara itu, kumpulan perbankan RHB akan memasang poster gambar Dirang yang dilaporkan hilang sejak lapan hari lalu pada lebih 1,800 mesin pengeluaran wang (ATM) miliknya di seluruh negara dalam usaha membantu menjejaki kehilangan kanak-kanak terbabit.

Pengarah Perkhidmatan Korporat RHB, Norazzah Sulaiman, berkata pihaknya juga akan memaparkan gambar Dirang pada laman web bank berkenaan bagi membolehkan orang ramai yang menggunakan khidmat dalam talian mereka membantu mengesan anak kedua daripada tiga beradik itu.

Beliau berkata, RHB juga akan bekerjasama dengan beberapa media tempatan untuk mengiklankan gambar kanak-kanak terbabit.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar, berkata pihaknya akan menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga kanak-kanak terbabit. -BH



Kereta Terjunam Dalam Lubang Besar Atas Jalan

Terjun lubang atas jalan

KUALA LIPIS: “Kalau treler yang mengekori kereta itu tidak sempat menekan brek, saya tak tahu apa berlaku kepada ketiga-tiga mangsa di dalam kereta itu,” kata seorang penduduk, Noor Anuar Ismail, 44.

Noor Anuar antara saksi awal kejadian sebuah Perodua Kancil dinaiki tiga buruh Indonesia terjunam ke dalam lubang besar di Kilometer 43, Jalan Benta-Jerantut berhampiran Kampung Terap, di sini, malam kelmarin.

Dia yang turut membantu mengeluarkan mangsa kemalangan itu berkata, persekitaran tempat kejadian gelap dan hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan aliran air banyak, sekali gus menjadi punca pembetung di bawah jalan itu pecah.

“Apabila pembetung itu pecah, berlaku mendapan yang teruk dan membentuk lubang besar, sekali gus membuatkan jalan itu putus. Ketiga-tiga mangsa itu memang bernasib baik,” katanya.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, ketiga-tiga warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh di ladang sawit berhampiran itu dalam perjalanan pulang ke kuarters pekerja di Kampung Baru Jerkoh selepas membeli-belah di Benta.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa tidak sempat mengelak lubang sedalam kira-kira dua meter yang terbentuk akibat mendapan sebelum terjunam hingga mengakibatkan penumpang depan parah manakala dua lagi cedera ringan.

Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) Temerloh manakala dua rakannya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lipis dan sudah dibenarkan pulang.

Kejadian itu menyebabkan Jalan Benta-Jerantut ditutup kepada semua kenderaan dan dipercayai berpunca akibat hujan lebat, tetapi beberapa penduduk mendakwa kegagalan pihak berkuasa menyelenggara jalan berkenaan dengan baik menjadi punca utama.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang melawat tempat kejadian, pagi semalam mengarahkan JKR Pahang membina sebuah jambatan sementara dan dijangka siap tiga hari lagi.

Beliau mengarahkan JKR Pahang dan kontraktor yang menjalankan kerja menaik taraf Jalan Benta-Jerantut membuat pemantauan dan memeriksa kawasan mempunyai pembetung air di laluan sepanjang jalan itu. -HM


Kereta terjunam akibat jalan raya mendap

KUALA LIPIS - Seorang lelaki warga Indonesia cedera parah, manakala dua rakannya cedera ringan apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki mereka terjunam ke dalam lubang akibat jalan raya mendap.

Kejadian di Kilometer 43 Jalan Benta-Jerantut berdekatan Kampung Terap itu berlaku kira-kira jam 9 malam mengakibatkan laluan terbabit terputus dua.

Pemandu, Herman, 27, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua rakannya, Anuar, 30 dan Wan, 45, dalam perjalanan dari arah Benta menuju ke Jerantut.

“Kami tinggal di Taman Sama, Jerkoh. Ketika kejadian, kami dalam perjalanan menuju ke Jerantut. Ketika itu hujan lebat, manakala keadaan sekeliling gelap-gelita.

“Saya tidak perasan ada rekahan pada laluan terbabit. Ketika melalui jalan itu, kereta saya tiba-tiba terjatuh bersama mendapan tanah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Herman berkata, dia hanya sedarkan diri selepas diangkat keluar pengguna lain yang kebetulan melalui jalan itu.

“Saya tidak ingat apa-apa dan hanya sedar ketika dibaringkan di tepi jalan. Selain itu, lutut dan dahi saya juga mengalami kecederaan dan terpaksa menerima beberapa jahitan.

“Saya juga dimaklumkan Anuar yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, manakala saya bersama Wan dirawat di Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan mengesahkan kejadian itu.

Kereta tiba-tiba hilang

Seorang saksi kejadian, Noor Anuar Ismail, 44, berkata, ketika kejadian, dia memandu dalam jarak 50 meter di belakang kereta Kancil dinaiki lelaki warga Indonesia terbabit.

“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerangsang selepas selesai meronda sekitar kawasan Tanjung Besar yang dinaiki air akibat banjir kilat.

“Dalam jarak 50 meter di hadapan, saya lihat dengan jelas sebuah kereta Kancil tiba-tiba hilang. Saya segera berhenti dan terkejut apabila mendapati kereta terbabit terjatuh bersama mendapan tanah serta tar jalan,” katanya.

Noor Anuar berkata, dia bersama beberapa penduduk kemudiannya bertindak segera mengeluarkan mangsa daripada kenderaan dan menghubungi ambulans serta polis untuk mendapatkan bantuan.

“Kami bimbang seandainya aliran air makin deras menyebabkan kereta itu terjatuh ke dalam mendapan yang lebih dalam,” katanya.

Bina jambatan sementara

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor ketika melawat tempat kejadian berkata, jalan tersebut terputus dan tidak boleh dilalui semua kenderaan kerana mendap sedalam dua meter akibat hujan lebat dan dilimpahi air berikutan pembetung air bawah
tanah pecah.

Menurutnya, kementerian akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memasang jambatan Bailey untuk menghubungkan laluan Benta-Jerantut.

“Kementerian meminta JKR negeri memasang jambatan sementara (Bailey) untuk memudahkan orang ramai yang sering menggunakan laluan itu.

“Walau bagaimanapun, jambatan itu hanya boleh digunakan kenderaan ringan dan ia dijangka siap dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya turut mengarahkan JKR dan kontraktor yang menjalankan kerja-kerja naik taraf Jalan Benta-Jerantut membuat pemantauan serta memeriksa kawasan mempunyai pembetungan di sepanjang jalan tersebut.

Menurutnya, kerajaan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM14.5 juta untuk menaik taraf dan melebarkan jalan itu bermula Disember tahun lalu.

“Saya harap kontraktor terbabit dapat memberi keutamaan untuk membuat dan menggantikan laluan terowong berbahaya terlebih dahulu.

“Jalan Benta-Jerantut ini berusia lebih 40 tahun. Banyak terowong bawah tanah sudah usang dan tidak mampu lagi menampung jumlah air terlalu banyak serta deras terutama jika hujan lebat,” katanya.

Shaziman berkata, pemeriksaan itu penting untuk memastikan tiada lagi pembetung atau laluan air sepanjang jalan tersebut pecah di samping mengelakkan sebarang kesulitan. -SH


[Video] Noh Omar Diselar Sebagai Menteri Kangaroo

Shah Alam, 7 Mac : Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar disifatkan sebagai “Menteri Kanggaru” kerana enggan hadir dalam sesi Selcat baru baru ini walaupun beliau dengan yakin, pernah mendakwa mempunyai bukti penyelewengan Kerajaan Selangor.

Dalam menyelar sikap Noh, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap Noh, yang sebelum ini lantang mendakwa yang dia mempunyai fakta penyelewengan Kerajaan Selangor.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan mempunyai fakta, jika menyimpan fakta keluarkan saja fakta itu, kenapa susah-susah hendak jadi kanggaru.

“Dia Menteri Pertanian bukan Menteri Pertanian di Australia yang perlu tahu tentang kanggaru,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Noh tidak hadir pada mana-mana sesi pendengaran awam SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan yang berlangsung pada 5 ke 7 Mac.

Peranan sesi pendengaran awam tersebut adalah untuk mengenalpasti kelemahan dalam pengurusan Kerajaan Selangor di samping memperbaiki unsur-unsur yang boleh menyebabkan ketirisan dan salah urus tadbir.

Noh pernah mendakwa ada banyak unsur penyelewengan dalam pentadbiran syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Selangor seperti Yayasan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di bawah pemerintahan Pakatan.

Beliau juga telah dicabar oleh Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Khim dan setiausaha politik Menteri Besar Faekah Hussin supaya datang ke sesi Selcat dan kemukan bukti.

Abdul Khalid pada hari ini sekali lagi mengulang pendirian Pakatan Selangor bahawa Selcat merupakan wadah yang terbaik untuk mengemukan bukti tentang penyelewengan dan salah tadbir.

“Kalau dia ada fakta tentang isu haram, jenayah atau sebagainya, keluarkan saja. Dia sebagai mempunyai tugas, bukan sahaja sebagai ahli DUN atau ahli Parlimen tetapi juga sebagai rakyat tempatan.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan menyimpan fakta, tetapi tidak hadir. Jika dia tak reti pasal tugas dia bermakna dia gagal dan saya berasa kasihan kepada rakyat Selangor kerana mempunyai menteri sepertinya.” -selangorku




Imam Hosnan Yang Baling Kasut Ke Arah Hakim Dipenjara Setahun

Putrajaya, 8 Mac — Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang imam yang membaling kasutnya ke arah hakim mahkamah sama bulan lalu, kerana telah menghina mahkamah.

Ketiga-tiga hakim yang sama menjelaskan “tindakan menghina mahkamah adalah sangat serius” dan “sekiranya tiada tindakan diambil, akan mencemarkan kuasa mahkamah.”

Mereka sebelumnya membenarkan Hoslan Hussin membuat rayuan bagi meringankan hukuman selepas mendapati beliau bersalah atas kesalahan tersebut.

Hoslan, 46, berkata, “saya keliru” mengapa dibicarakan di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah. Beliau diwakili oleh Karpal Singh untuk tujusan itu.

“Saya keliru. Semuanya keliru. Sebagai seorang imam saya hanya menolong orang melakukan perkara yang baik.

“Disebabkan politik dalam agama, mereka mendakwa imam,” katanya sebelum menangis.

Pada 22 Februari, Hoslan telah melemparkan kasutnya di Mahkamah Persekutuan apabila beliau cuba mencabar keputusan Masjid Kuala Lumpur pada 1999.

Tindakannya ketika itu mengejutkan hakim, peguam, dan pemerhati di kamar mahkamah.

Ketiga-tiga hakim yang sama, diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, membuat keputusan berkenaan “selepas menilai penjelasan” Hoslan.

“Mahkamah harus menjatuhkan hukuman yang bersesuaian,” kata Zulkifli ketika perbicaraan.

Datuk Suriyadi Halim Omar turut berkata Hoslan adalah “ganas.”

“Sesiapa yang alim akan dipandang tinggi. Tetapi kamu bersifat sebaliknya dan tidak menunjukkan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Ketika membuat rayuan, Karpal menjelaskan bahawa mahkamah harus mengambil kira “aspek emosi” berikutan tempoh 13 tahun yang Hoslan dipaksa menunggu sebelum kes beliau didengarkan.

“Mahkamah harus mengambil kira sekiranya teguran lebih bermakna daripada hukuman. Teguran serius lebih bermakna,” katanya.

Namun begitu, Ketua Hakim menjelaskan hukuman penjara adalah perlu sebagai pengajaran.

“Ini adalah kes menghina mahkamah yang serius, lebih-lebih lagi dia adalah kakitangan awam. perbuatannya itu telah mencemarkan nama baik mahkamah,”

“Hukuman ini adalah pengajaran ... untuk pentadbiran yang lebih adil,” jelas peguam persekutuan Suzana Attan.

Hoslan kemudian mengaku menyesali perbuatannya dan memohon maaf daripada pihak kehakiman.

“Saya kecewa. Saya harap kita akan memaafkan satu sama lain,” katanya. -TMI

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Pelaburan KL Eco City Pelaburan Peribadi?

Hartanah KL Eco City adalah ‘pelaburan peribadi’, kata NFCorp

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) menafikan syarikat itu menggunakan dana RM250 juta daripada kerajaan sebagai insentif kepada bank agar memberi pinjaman untuk pelaburan hartanah komersial di KL Eco City di sini sebagaimana dakwaan pembangkang.

Sebaliknya, mereka menjelaskan pembelian berkenaan adalah “pelaburan peribadi” pengarahnya, yang kini berhadapan dengan pelbagai tuduhan membeli hartanah mewah berbanding memberikan keutamaan kepada projek penternakan lembu bagi mengurangkan kadar pergantungan import daging negara.

“NFCorp menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan hartanah berkenaan bukan dibeli oleh syarikat,” jelas NFCorp dalam kenyataannya lewat malam tadi.

Suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Mohamad Salleh dan tiga anaknya merupakan pengarah kepada NFCorp, yang telah dianugerahkan prijek Pusat Fidlot Nasional (NFC) pada 2006 untuk penternakan lembu.

Ketika sidang media semalam, PKR turut mendakwa keluarga Shahrizat telah menggunakan dana NFC untuk pembelian hartanah mewah termasuk lapan unit komersial di KL Eco City, pembangunan urban di Bangsar.

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli mendakwa, pengarah NFCorp telah menyerahkan sejumlah jutaan ringgit daripada NFC ke dalam dua bank sebagai deposit tetap.

Ini jelasnya, adalah demi untuk mendapatkan “kemudahan kredit” daripada bank berkenaan bagi membeli hartanah mewah.

Selain itu, Rafizi turut mengesahkan pembelian unit kondominium berharga RM10 juta di Orchard Scotts Residence di Singapura, dan pendedahan terbaru hari ini lapan unit ofis mewah di KL Eco City di Bangsar.

Lapan unit berkenaan jelasnya dianggarkan berharga sekitar RM12 juta.

Rafizi turut mendakwa bahawa pada 2009, Shahrizat dan keluarganya telah membuat pembelian yang sama untuk pembelian peribadi menggunakan dana NFC.

“Mereka mendapatkan khidmat perunding dan dinasihatkan untuk menggunakan wang berkenaan untuk pembelian-pembelian ini,” katanya.

Menurut dokumen daripada salah satu bank, yang menurutnya diperolehi daripada pemberi maklumat, pengarah NFCorp telah membuat deposit bernilai RM71,486,589 (RM71,395,617 dan RM90,972) di bawah nama syarikat dan satu lagi deposit bernilai RM1,872,254 di bawah National Meat and

Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC), syarikat yang turut dimiliki keluarga Shahrizat.

Dua dokumen lain menunjukkan keluarganya turut memperoleh kemudahan kredit bernilai 197,338 di bawah satu lagi syarikat mereka, Agroscience Industries Sdn Bhd, RM4,391,240 pinjaman bagi pembelian aset hartanah, dan Mohamad merupakan penjamin bagi pinjaman lain bernilai RM663,743.

Ini, jelas Rafizi memetik dokumen berkenaan, adalah fakta yang Mohamad hanya mempunyai simpanan sebanyak RM421 di dalam akaun manakala Agroscience mempunyai sekitar RM927.

Tambahnya lagi, semakan lebih mendalam dengan bank yang tidak didedahkan kepada media menunjukkan dana berkenaan dipindahkan untuk pembelian lapan unit di KL Eco City, dengan nilai jualan RM9,688,866.

“Tetapi nilai pembelian itu merujuk kepada hartanah semasa bidaan dan ianya lebih rendah daripada harga pasaran. Berdasarkan harga pasaran untuk unit KL Eco City, biasanya berharga antara RM1,000 kepada RM1,100 kaki persegi. PKR menganggarkan jumlah pasaran untuk lapan unit adalah RM12 million,” kata Rafizi.

NFC menjadi topik hangat setelah Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010 menunjukkan projek berkenaan menghadapi masalah dan tidak mencapai sasaran.

Bukit Aman sebelum ini telah mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara agar mendakwa kesemua pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah, malah turut dipersetujui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Namun Peguam Negara menyerahkan kembali dokumen berkenaan dan mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih terperinci. -TMI

PKR dakwa pengarah NFC beli lot kedai di Bangsar

PKR hari ini mendakwa bahawa pengarah National Feedlot Corporation menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai itu.

"Dana awam yang diberikan kepada NFC untuk mengusahakan projek fidlot telah diselewengkan untuk dijadikan jaminan bagi mendapatkan pinjaman peribadi dan dibelanjakan dengan membeli hartanah di atas nama peribadi mereka," dakwanya pada sidang media hari ini.

Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli pada nilai tebusan pinjaman RM9.69 juta.

Bercakap di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta.

"Berdasarkan harga pasaran semasa unit komersial di KL Eco City iaitu RM1,000 hingga RM1,100 setiap persegi dan kami anggar harga pasaran semasa unit ini boleh mencecah RM12 juta," dakwanya lagi.

Rafizi juga mendakwa pembelian itu dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan individu lain yang setakat ini masih belum dapat dikenalpastinya.

Rafizi mengemukakan beberapa dokumen bank sebagai bukti bahawa Mohamad Salleh dan pengarah NFC diberikan pinjaman bersama itu melalui kawalan ke atas akaun syarikat berkenaan.

Dokumen yang didedahkannya itu menyebut, NFC mempunyai simpanan sebanyak RM71.4 juta di dalam akaun di sebuah bank.

Dokumen itu seterusnya menyatakan bahawa Mohamad Salleh hanya mempunyai RM421 di dalam akaunnya di bank tersebut pada satu masa, namun tetap diberikan pinjaman berjumlah RM4,391,240 untuk membeli hartanah.


Selain itu, dokumen itu juga menunjukkan bahawa Mohamad Salleh telah bertindak sebagai penjamin untuk satu lagi pinjaman berjumlah RM663,743.

Ia turut menunjukkan bahawa dua lagi syarikat yang turut dimiliki Mohamad Salleh – National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan Agroscience Industries masing-masing merekodkan baki sebanyak RM1,872,254 dan RM197,338 melalui akaun di bank sama.

Rafizi mendakwa, pembelian hartanah tersebut, yang setiap satunya bernilai antara RM1.1 juta hingga RM1.56 juta dibuat oleh ahli keluarga Mohamad Salleh.

Rafizi mendakwa perkara itu telah disahkan oleh satu sumber beliau, yang tidak didedahkan.

Sementara itu, NFC menafikan laporan media yang menyatakan bahawa pengarah NFC telah menggunakan pinjaman mudah kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar.

Dalam satu kenyataan malam ini, NFC berkata, hartanah ini tidak dibeli oleh syarikat itu.

Pembelian itu, katanya, adalah pelaburan individu pengarahnya. -mk





[Video] Remaja Maut Tertimbus, Tebing Rumah Runtuh

Pelajar mati tertimbus

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar, Raja Mohd Irfan Raja Mohd Azlan, 13, tertimbus dari paras pinggang ke bawah selama lebih 10 minit sebelum diselamatkan jiran dalam kejadian tanah runtuh di rumahnya di Kuarters Kerani Polis, Jalan Belfield Off Jalan Maharajalela, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian hujan lebat jam 9.20 malam itu, mangsa berada di belakang rumah sebelum diarah bapanya masuk ke dalam rumah berikutan hujan semakin lebat.

Bagaimanapun, ketika mahu masuk ke dalam rumah, tiba-tiba tanah di tebing belakang rumah yang terletak lima meter dari rumah mangsa runtuh dan menimbus separuh badan mangsa termasuk muka.

Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

Ibu bapa mangsa yang menyedari kejadian itu menjerit meminta tolong.

Jiran mangsa, Zaharah Hashim, 54, berkata dia yang pada mulanya menyangka bunyi bising yang didengari dari belakang rumah kerana dipecah masuk pencuri, tetapi selepas terdengar jeritan meminta tolong, dia keluar melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia ternampak muka anak jirannya diliputi tanah dan menghubungi ambulans bagi meminta bantuan.

“Sebaik dikeluarkan, mangsa yang tidak sedarkan diri diberi bantuan oleh paramedik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mangsa yang berjaya diselamatkan dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 11.50 malam tadi. -hm




Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Bergambar & Video] KL Dilanda Banjir Kilat - Jalan Utama Sesak Teruk, Kereta Tenggelam

Terkandas jalan tenggelam

KUALA LUMPUR: Ribuan kenderaan dan orang ramai terkandas di sekitar ibu kota akibat banjir kilat di beberapa jalan utama berikutan hujan lebat sejak lewat petang semalam.

TENGGELAM...seorang penduduk melihat keretanya yang ditenggelami banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, malam tadi.

Selain beberapa jalan utama di pusat bandar, turut dilaporkan kejadian pokok tumbang dan kemalangan kecil membabitkan kenderaan ringan akibat jalan dinaiki air.

Tinjauan Harian Metro mendapati, antara kawasan terjejas ialah Jalan Pudu, Jalan Istana, Jalan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee dan beberapa kawasan di Ampang terutama Bukit Belacan dan Lembah Jaya dinaiki air sehingga ke paras pinggang akibat hujan lebat tanpa henti sehingga jam 9 malam tadi.

SESAK...kenderaan yang terkandas di Jalan Tun Razak.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, antara jalan yang terjejas teruk dalam kejadian banjir kilat ialah Jalan Travers, Jalan Bangsar-Mahameru, Jalan Silang manakala beberapa kawasan di Ampang termasuk Desa Pahlawan, Hiliran Ampang serta jalan Hulu Langat dinaiki air sehingga ke paras lutut.

Menurutnya, sebuah kereta dan motosikal terbabit kemalangan sebelum terhumban ke dalam longkang di hadapan Balai Polis Travers, bagaimanapun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kerana kedua-dua pemandu dan penunggang motosikal diselamatkan.

Katanya, pihaknya sudah menghantar skuad bantuan ke semua kawasan termasuk meminta bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan yang mengalami kejadian pokok tumbang seperti Jalan Silang bagi memudahkan proses pembersihan kawasan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, hujan lebat di ibu kota menyebabkan Jalan Sultan Ismail ditutup kepada kenderaan ringan, namun kembali dibuka sepenuhnya mulai jam 10 malam tadi.

Beliau berkata, empat jalan utama mengalami kesesakan teruk sejak petang semalam iaitu Jalan Raja Chulan, Jalan Naga Sari, Jalan Dato’ Onn dan Jalan Sultan Ismail.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya sudah menggerakkan semua jentera bomba di kawasan terjejas teruk untuk menyalurkan bantuan bagaimanapun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian terbabit. -hm


Kredit Foto: NST, BH & HM













Terima Padah Akibat Tidur Dengan Isteri Orang

Jangan pernah cuba-cuba untuk meniduri isteri orang jika tidak mahu nasib seperti yang menimpa Abdul Tholib (22). Lelaki berasal dari Bulak Banteng Wetan, Surabaya, Jawa Timur, ini maut gara-gara dilibas parang oleh Sawaludin (31).

Dari maklumat yang dikumpul, kejadian nahas yang menimpa Tholib bermula tatkala beliau berduaan dengan Siti Azizah (35) yang tak lain adalah isteri Sawaluddin.

Ketika itu, Sawaludin yang tinggal di Jalan Dukuh, Bulak Banteng Patriot, Surabaya ini hendak berangkat pergi bekerja. Namun, selang satu jam kemudian Sawaludin kembali ke bilik sewanya kerana telefon bimbitnya tertinggal.

Dia terkejut tatkala membuka pintu bilik mengetahui isterinya sedang tidur dengan seorang laki-laki yang tidak dikenalnya. Terjadi pertengkaran diantara Sawaludin dengan laki-laki yang biasa disapa Bang Tholib itu.

Setelah terjadi pukul memukul, Tholib mengeluarkan sebilah parang. Dengan pantas, Sawaludin merebut parang dan langsung melibas Tholib di bahagian perutnya.

Tholib pun langsung meninggal di tempat kejadian dengan berlumuran darah. Setelah melakukan tindakannya itu, Sawaludin langsung lari dan ditahan oleh petugas Resmob Polrestabes Surabaya.

"Dia kami tangkap di Pasar Tanah Merah Bangkalan. Tersangka tidak melawan saat ditangkap"; kata Kasat Reskrim Polrestabes Surabaya AKBP Farman kepada Wartawan di Mapolrestabes Surabaya, Jalan Taman Sikatan I.

Untuk sementara, kata Farman, motif pembunuhan yang dilakukan oleh Sawaluddin adalah marah kerana melihat isterinya tidur dengan laki-laki lain.

Polis juga mengambil sejumlah barang bukti berupa sebilah parang, seluar, dan t-shirt milik Tholib yang masih terdapat kesan darah. Di hadapan petugas, Sawaludin mengakui semua perbuatannya.

"Saya lihat dia dan isteri saya tidur. Siapa yang tidak marah kalau isterinya tidur dengan lelaki lain" akuannya kepada petugas. Diatas pebuatannya itu, Sawaludin perlu ditahan dengan Pasal 338 KUHP dengan ancaman hukuman penjara maksima 20 tahun. -okezone

7 Mac 2012

BN Bererti "Bankrapkan Negara"

BN - Bankrapkan Negara

Keadaan di Malaysia jelas menunjukkan bahawa negara ini sedang menuju ke arah kebankrapan yang tidak dapat dielakkan lagi. Ya, singkatan BN ini telahpun digelar Bankrapkan Negara dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika sekiranya hutang negara yang kini berjumlah lebih RM456 billion ini ditambah pula dengan tanggungan luar jangkaan sebanyak RM97 billion lagi (belanjawan tak terkawal), negara ini akan menanggung hutang sejumlah RM553 billion, suatu jumlah yang telah melebihi 63% daripada keluaran dalan negara kasar (KDNK).

Menurut Akta Pinjaman 1959 dan Akta Peruntukan Kerajaan 1983, kadar hutang negara tidak sepatutnya melebihi 55% daripada KDNK.

Dan jika sekiranya tanggungan luar jangkaan sebanyak RM97 billion itu tidak dicampurkan bersama dengan beban hutang negara sebanyak RM456 billion, kadar tersebut tidak akan menjangkau lebih 63% daripada KDNK, tetapi hanya akan terletak pada kadar 53.5% daripada KDNK iaitu kurang sedikit daripada 55%. Penetapan kadar yang lebih rendah itu sudah pasti melegakan kebimbangan kerajaan persekutuan BN yang tidak akan menampakkan penyelewengan kewangan negara yang terlalu jelas.

Malah, ahli parlimen PAS Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad telah berkali-kali memberi amaran kepada perdana menteri dan presiden Umno Datuk Najib Razak agar tidak membohongi rakyat kononnya defisit negara kita telah berkurangan. Dr Dzulkefly turut menambah kerajaan Greece telahpun menjadi bankrap akibat daripada lebihan belanjawan luar jangkaan yang terlalu tinggi.

Kerajaan persekutuan BN kini sedang berbelanja besar melalui pemberian peruntukan kepada kroni-kroninya yang begitu ramai dan jiga ianya berterusan, adalah dibimbangi negara ini akan menjadi bankrap sepenuhnya sebelum tahun 2019 menjelang.

Disebabkan itulah, kerajaan persekutuan BN beria-ria mahu melaksanakan skim GST (Cukai Perkhidmatan dan Barangan). Perbendaharaan negara kini hampir kering. Sehinggakini, boleh dikatakan kerajaan ini sekarang sedang diuruskan tanpa mempunyai aliran tunai yang kukuh.

Sebaik sahaja negara ini menunjukkan tanda-tanda akan tumbang, ia semestinya akan tumbang tidak lama lagi. Tumbangnya negara ini adalah kerana penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan kapitalisma kroni-kroni yang amat berleluasa.


Dan jika sekiranya BN berjaya memenangi pilihanraya umum ke-13 yang akan datang, kerajaan persekutuan BN akan mengambil langkah-langkah yang lebih drastik untuk mengisi semula perbendaharaan serta dana sampingannya dengan perlaksanaan pelbagai jenis percukaian baru yang bakal membebankan lagi rakyat jelata. Kerajaan ini tidak akan mengurangkan belanjawannya, tetapi akan terus bersikap boros seperti sekarang.

Subsidi-subsidi khususnya untuk keperluan harian akan ditarik balik satu demi satu dan penderitaan rakyat jelata akan juga bertambah. Seperti biasa, pelbagai bentuk pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan akan menyemarakkan lagi api kemarahan rakyat.

Tukar Lampin

BN dijangka akan dapat memenangi pilihanraya umum yang akan datang dengan bantuan lebih daripada 200,000 pengundi baru yang terdiri daripada para pendatang asing tanpa izin yang telah berjaya menyusup masuk ke dalam senarai daftar pemilih melalui saluran yang tidak sah.

Buktinya adalah terdapat 3 kawasan parlimen yang kini diwakili oleh Pakatan Rakyat telah mencatatkan peningkatan jumlah pengundi berdaftar di antara 25% hinggalah ke 35% iaitu rekod yang boleh dikatakan paling mendadak sekali. 3 kawasan tersebut adalah:

1)Kawasan parlimen Subang yang diwakili ahli PKR R.Sivarasa,

2)Kawasan parlimen Kota Raja yang diwakili ahli PAS Dr Siti Mariah,

3)Kawasan parlimen Puchong yang diwakili ahli DAP Gobind Singh Deo.

Yang pasti, BN boleh memenangi pilihanraya umum yang akan datang dengan menggunakan pelbagai takti kotor dan apajua tipu helah. Dan sudah pasti banyak jenis cukai yang akan dikuatkuasakan kelak terhadap rakyat jelata yang akan mengakibatkan kalangan yang miskin dan berpendapatan sederhana terus menderita akibat terus diketepikan dengan begitu sahaja.

Seseorang yang cukup marah boleh mengakibatkan satu lagi tsunami politik yang lebih besar seperti apa yang telah berlaku di Tunisia di mana seorang peniaga kecil yang membakar dirinya telah menyemarakkan api kemarahan rakyat yang seterusnya bangkit beramai-ramai untuk menggulingkan kerajaan Tunisia. Sememangnya tidak dapat dijangka akan peranan Twitter, Facebook dan kamera telefon bimbit yang boleh menyebarkan maklumat tersebut dengan begitu cepat sekali.

Itulah sebab kenapa Najib sehingga kini masih tidak berani untuk membubarkan parlimen bagi memberikan laluan untuk pilihanraya baru diadakan. Beliau sedar bahawa kedudukannya masih goyah walaupun kerajaan pimpinan beliau telah menyumbangkan sejumlah besar wang kepada umum. Najib juga sedar, kalah atau menang, masalah-masalah akan juga tetapi menyusul. Rakyat jelata kini sedang mengharapkan lebih banyak hadiah tunai akan dikeluarkan dan jika Najib tidak menunaikan sumbangannya sekali lagi, rakyat akan bangkit.

Tibalah masa untuk menukar lampin bayi ini (Malaysia negara yang masih belum matang). Sudah lebih 54 tahun, bayi ini masih memakai lampin sama yang telah rosak dan menjadi busuk.

Angka-angka sering dimanupulasi

Bagi memelihara imej kerajaan dan negara ini di kaca mata dunia, Najib sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai tujuannya, sampailah ke tahap mengupah dan membayar sebuah firma perhubungan awam FBC Media sebanyak RM80 juta.

Walaubagaimanapun, kerajaan pimpinan Najib tidak dapat menutup malu apabila Perbadanan Penyiaran British (BBC) memohon maaf kepada umum atas penyiarannya mengenai Malaysia dan program-program yang direkacipta oleh FBC Media. Beginilah wang rakyat sebanyak RM80 juta dihabiskan dengan begitu sahaja yang mana akhirnya negara kita yang mendapat malu akibat perbuatan Najib itu.

Media-media utama dalam negara yang kebanyakan dimiliki oleh kerajaan, syarikat milik kerajaan, Umno, MCA dan sebagainya tidak henti-henti dengan penyiaran berita-berita yang hanya mempromosikan Najib hampir pada setiap siaran pada setiap hari. Tidak pernah satu hari pun muka Najib tidak disiarkan.

Selain itu, rekod perangkaan dan statistik mengenai pencapaian sesuatu kegiatan atau perlaksanaan juga sering dimanupulasi atau diputarbelitkan bagi disesuaikan dengan kehendak dan halatuju kerajaan BN, Umno dan para pemimpinnya. Misalannya, didakwa kadar jenayah dan penggangguran telah menurun, akan tetapi apabila kita meninjau di sebuah pekan dan bercampur gaul dengan para penduduk khususnya di Jelebu, Negri Sembilan, kita akan dapati ramai warga pekan tersebut yang telah lama dan masih mengganggur.

Bagi kadar jenayah pula, kejadian pecah rumah, rompakan dan sebagainya masih berleluasa di Bandar Menjelana, Kepong, sebagai contoh. Persatuan-persatuan penduduk di kawasan perumahan mengambil inisiatif sendiri untuk membiayai usaha memagarkan kawasan tempat tinggal mereka dan mengupah pengawal keselamatan swasta untuk memastikan kawasan dan para penghuni bebas daripada ancaman jenayah.

Kes ragut turut berleluasa di Taman Sri Sinar Segambut sehingga hari ini. Walaubagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pihak polis yang telah mempertingkatkan rondaan mereka di sekitar kawasan yang dikenal pasti mempnyai kadar penggangguran dan masalah sosial yang tinggi.

Menyedari bertapa pentingnya kemenangan BN pada pilihanraya umum yang akan datang, Najib kini sedang berusaha keras untuk memastikan imej politiknya terpelihara dan “jasanya” ditokok tambah dengan seberapa banyak yang boleh. -malaysia-chronicle

[Video] NFC Cuba Merasuah Polis, Shamsubaharin Serah Bukti Kepada SPRM

Skandal projek lembu: Shamsubahrin serah bukti

Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail hari ini menyerahkan transkrip komunikasi SMS dan telefon miliknya yang mengandungi beberapa mesej kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan bahawa seorang tokoh penting dalam National Feedlot Corporation (NFC) cuba merasuah polis.

Shamsubahrin, yang sebelum ini, didakwa menipu pengerusi eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.755 juta, tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 12:15 tengahari dengan diiringi oleh empat peguam dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

"Ia adalah mengenai apa yang diperkatakan oleh Shamsubahrin sebelum ini dalam laporan awalnya bahawa beliau mempunyai bukti dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung cubaan merasuah polis oleh tokoh utama dalam NFC," kata peguam, N Surendran.

"Pada masa itu, hanya yang ada kata-kata Shamsubahrin. Sekarang beliau telah tampil dengan bukti kukuh, konkrit ... dan ini telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Jadi tidak ada sebarang alasan lagi mengapa pihak berkuasa tidak boleh bertindak dan mengambil langkah sewajarnya dengan segera," katanya.

Surendran juga berkata SPRM sebelum ini menyimpan telefon berkenaan tetapi kemudian memulangkannya tanpa sebarang tindakan sehingga isu itu didedahkan.

Shamsubahrin, yang juga merupakan penasihat dan perunding korporat NFC, menambah bahawa bukti-bukti berkenaan akan menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.

Dalam laporan awalnya, beliau menuduh suami Ketua Wanita Umno Datuk Seri shahrizat abdul Jalil mendesak beliau merasuah polis dalam usaha untuk menutup skandal syarikat projek ternakan lembu itu.

Walau bagaimanapun, Mohamad Salleh menafikan dakwaan berkenaan. -mk



Sikap Berat Sebelah SKMM Tidak Ambil Tindakan Ke Atas Blog UMNO Dikecam

Isu cabul: SKMM gagal bertindak ke atas blog Umno

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus dibidas kerana kegagalan menyiasat beberapa blog pro-Umno yang memfitnah Lim Guan Eng dengan menyiarkan laporan kononnya anak ketua menteri Pulau Pinang itu telah mencabul kehormatan seorang rakan pelajar wanita.

Pada sidang akhbarnya semalam, setiausaha politik ketua menteri, Mohd Zairil Khir berkata tindak balas SKMM adalah tidak jelas.

Ini kerana sehingga hari ini, katanya, masih tidak pasti sama ada suruhanjaya itu akan terus menyiasat kes berkenaan atau hanya membantu polis membuat penyiasatan.

"Saya akan menulis satu lagi surat untuk minta penjelasan. Jika mereka (SKMM) enggan membuka fail untuk siasatan, saya anggap mereka tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau merujuk kepada surat yang diterima daripada SKMM pada 20 Februari lalu, yang menunjukkan bahawa suruhanjaya itu tidak menyiasat blog Umno-Online, Pisau-Net dan Papagomo yang telah menyiarkan dakwaaan berunsur fitnah itu.

Surat yang ditandatangani oleh Pengarah Kanan SKMM, Eneng Faridah Iskandar, memberitahu bahawa suruhanjaya itu telah menerima laporan daripada DAP berkaitan kes tersebut pada 9 Februari.

'Sembang Rakyat-kedai 1Malaysia'

Eneng Faridah menulis, suruhanjaya itu telah melihat dan membaca artikel yang dicatatkan pada blog tersebut.

"Untuk maklumat anda, kes itu sedang disiasat oleh pihak polis dan suruhanjaya telah diminta untuk membantu.

"Oleh itu, kita tidak akan menjalankan apa-apa penyiasatan kerana ia (berlaku) menjadi kes yang sama (seperti yang disiasat oleh pihak polis)," tambah Eneng Faridah.

Menurut Zairil, selain polis yang perlu menjalankan siasatan, SKMM yang merupakan sebuah badan profesional perlu juga menyiasat.

"Adakah SKMM akan memulakan penyiasatan di bawah Akta SKMM 1998? Jika tidak, apakah sebabnya?" soalnya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP sebelum ini dengan tegas menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis terhadap blog tersebut yang jelas sekali katanya, telah melakukan fitnah jenayah.

Corke Anya, mangsa yang didakwa dicabul itu turut menafikan dakwaan berkenaan dan memberitahu bahawa beliau tidak pernah bertemu Lim atau anaknya semasa di Pulau Pinang.

Pada sidang akhbar itu, Zairil berkata, pada Oktober lalu, beliau turut membuat satu lagi laporan terhadap video bertajuk 'Sembang Rakyat-kedai 1Malaysia' yang disiarkan dalam YouTube.

Video tersebut kononnya menuduh DAP berpakat dengan peniaga berbangsa Cina untuk menaikkan harga barang keperluan rumah.

"SKMM telah mengambil kenyataan saya tetapi sudah enam bulan sejak laporan saya dibuat, tiada apa-apa yang berlaku. Kami berharap mereka tidak akan mengulangi perbuatan ini," katanya.

"Harimau tidak bertaring"

Sementara itu, ADUN Komtar, Ng Wei Aik yang hadir sama berkata, beliau berharap SKMM tidak menjadi seperti "harimau tidak bertaring" yang enggan bertindak walaupun mereka mampu mengambil tindakan undang-undang.

Katanya, SKMM merupakan sebuah suruhanjaya dan bukannya sebuah agensi kerajaan.

"Ia sepatutnya mempunyai lebih banyak kuasa untuk menyiasat. Polis menyelesaikan sesuatu kes dari aspek fitnah.

"SKMM perlu membuka fail sendiri dan menyiasat fitnah yang tersebar melalui internet," katanya.

Ng, yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang berkata, keengganan SKMM menyiasat perkara itu menunjukkan bahawa penulis blog pro-Umno "begitu kuat, dan boleh berbuat apa-apa".

"Satu (Papagomo), boleh masuk kapal selam tanpa dikesan oleh radar. SKMM enggan menyiasat blog Papagomo. Mungkin kerana dia telah terjun ke dalam laut dan tidak dapat ditemui," sindirnya. -mk

Pakatan Gesa Najib Lepaskan Jawatan Menteri Kewangan

Petaling Jaya 6 Mac: Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan ekoran beliau dilihat tidak wajar memegang dua jawatan serentak.

Jawatankuasa Polisi Pakatan Rakyat yang buat pertama kalinya bersidang hari ini menegaskan, tindakan Najib memegang jawatan menteri kewangan juga menyebabkan beliau sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingannya sebagai perdana menteri.

“Seperti mana amalan syarikat korporat, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan adalah dua individu berbeza,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Melalui kaedah yang digunapakai sekarang, tidak menghairankan jikalau belanjawan untuk dua tahun sebelum ini fokus kepada pemberian ‘one-off’ untuk meraih undi, berbanding implementasi perubahan struktur ekonomi,” katanya pada sidang media di Sekretariat Pakatan Rakyat di Seksyen 16, Petaling Jaya, hari ini.

Hadir dalam sidang media itu ialah dua anggota sekretariat Pakatan Rakyat iaitu Rafizi Ramli dan Liew Chin Tong.

Dzulkefly mengulas pandangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dalam wawancara dengan akhbar China Press baru-baru ini yang mencadangkan Najib melepaskan jawatannya itu ekoran beban tugas yang dipikulnya.

Prestasi Najib sebelum ini juga mengecewakan termasuk isu berkaitan pengenalan cukai perkhidmatan 6% dan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Persaingan.

“Tambahan pula, Menteri Kewangan Kedua merumitkan keadaan. Kita perlukan Menteri Kewangan penuh tanpa beban tugasan lain,” kenyataan tersebut dipetik.

Pada sidang media sama, Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli menegaskan tawaran Pakatan Rakyat untuk melaksanakan Akta Gaji Minima sekira berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

“Bukan sekadar dasar gaji minima RM1,100, Pakatan Rakyat meletakkan sasaran pendapatan isi rumah bulanan di Malaysia ialah RM4,000.

“Umum mengetahui pasaran kerja dipenuhi buruh murah asing. Objektif kita selain mengurangkan kebergantungan pada buruh asing, pekerja tempatan termasuk kaum wanita akan ditambah nilai melalui latihan kemahiran bagi meningkatkan kemahiran.

“Dari sudut perniagaan, satu Tabung Fasiliti akan diperuntukkan kepada usahawan, Industri Kecil dan Sederhana untuk melaras operasi mereka.

“Ini bagi mengelak penutupan insentif kepada IKS berikutan pelaksanaan dasar gaji minima,” kata Rafizi. -KD


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Ustaz Dituduh Cium Remaja Lelaki

Melaka - Seorang guru tahfiz dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki di sebuah madrasah di Ayer Molek, lima tahun lalu.

Ismail Ghazali, 44, dari Merlimau mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Ismail didapati dengan sengaja melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 14 tahun 7 bulan dengan mencium mangsa dan memaksa mangsa memegang kemaluannya.

Ismail melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Madrasah Al Muqarrabin, Balik Bukit, Bukit Lintang kira-kira jam 12.15 tengah malam, pada 16 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi meminta jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh yang tidak hadir tiga kali sebutan semula kes, bermula 2007 hingga 2008 dan menyebabkan waran dikeluarkan mahkamah.

Bagaimanapun, Ismail yang baru balik menunaikan umrah dua bulan lalu memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tidak dimaklumkan mengenai tarikh sebutan semula kes tersebut.

“Ketika itu saya sedang belajar di Yaman dan saya tidak mengetahui mengenai waran yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut, malah ahli keluarga juga tidak memaklumkan apa-apa berkaitan kes ini,” katanya.

Syajaratudur kemudian membenar Ismail diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 April depan bagi lantikan peguam. -SH