13 Dis 2013

KDN Juara "Maharaja Lawak Mega" Untuk Tutup Tirai 2013!


Bukti KDN Mat Sabu “Syiah” jadi bahan lawak media sosial

Pendedahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengaitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dengan fahaman Islam Syiah menjadi “bahan lawak” di kalangan rata-rata pengguna media sosial.

Kebanyakan mereka tidak dapat menerima hujah Mohamad kagum kepada pemimpin besar Revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeini sebagai salah satu bukti beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu menganut fahaman Syiah.

“KDN, adakah jika aku kagum kat John Lennon sejak di bangku sekolah sampai dah mati dia pun aku kagum, maka aku anuti fahaman John Lennon?” tulis seorang pengguna Twitter @AbdMalekHussin yang juga merupakan Ketua Staf di pejabat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Andai kagumi Khomeini jadi Syiah, aku Abdul Malek bin Hussin, KP 560814-06-5467 sejak 1979 kagumi Ayatullah Rohullah Mustafa Musawi al-Khomeini.”

KDN semalam mendedahkan 10 bukti penglibatan Timbalan Presiden PAS dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya kerana memuji perjuangan Khomeni.

Mohamad sebelum ini memberitahu The Malaysian Insider beliau tidak pasti sama ada KDN memaksudkan dirinya kerana Timbalan Presiden PAS bukan jawatan nombor dua dalam parti Islam itu.

“Di dalam PAS, jawatan tertinggi adalah Mursyidul Am yang dipegang oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala jawatan kedua tertinggi adalah Tuan Guru Datuk Haron Din,” katanya.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi juga memberitahu semalam, Mohamad adalah orang yang dimaksudkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mengatakan orang nombor dua PAS menganut fahaman Syiah semasa ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013.

“Saya kagum Mandela, Che Guevara, Ghandi, Mother Theresa. Adakah bermakna saya Kristian, Komunis, Hindu?

“Saya juga kagum Khomeini. Adakah saya Syiah?” tulis bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah melalui akaun Twitter @saifuddinabd petang semalam.

Ada juga pengguna media sosial yang beranggapan pendedahan KDN mengenai 10 bukti pengelibatan Mohamad dengan fahaman Syiah sebagai tindakan Ahmad Zahid memperkudakan penjawat awam.

“Saya tak peduli Mat Sabu nak jadi Sunni atau Syiah tapi saya kecewa dan marah bila menteri perkuda penjawat awam untuk tutup aib politik sendiri,” tulis seorang pengguna Twitter @najwanhalimi.

“KDN dijadikan kuda politik oleh Zahid Hamidi untuk tutup ‘political blunder’ yang dia buat ketika berucap dlm #PAU2013. Tak gentleman langsung!”.

Mengulas isu ahli politik menggunakan penjawat awam @AbdMalekHussin menulis: “Seperkara lagi. Jika Rahim Radzi KSU KDN nak main politik atau nak jadi macai politik Zahid Hamidi ~ letak jawatan masuk mana-mana cawangan Umno!

Selain itu, turut disebarkan oleh pengguna media sosial adalah gambar Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali bersama Ayatollah Khomeini di Paris, Perancis sebelum pemimpin itu pulang ke Tehran untuk merasmikan Revolusi Islam Iran.

“Zahid kata sapa kagum dengan Khomeini jadi Syiah - ada gambar Brahim Ali dengan Khomeini- Braheng jadi Shiah - kah kah kah. http://tukartiub.blogspot.com/2013/12/ibrahim-ali-shiah.html…,” tulis Hishamuddin Rais yang menggendalikan blog Tukar Tiub di akaun Twitter @ishamrais.

“Siapa Syiah? KDN kata sapa hormat pada Ayatollah Khomeini ialah Syiah – habis semua bani Melayu jadi Syiah kah kah kah.”

Dalam reaksi awal kepada pendedahan KDN Timbalan Presiden PAS berkata, beliau sememangnya mengagumi perjuangan Ayatollah Khomeni tetapi itu tidak bermakna dirinya berfahaman Syiah.

"Tuduhan mengatakan saya amalkan Syiah, saya tetap nafikan. Dakwaan kagum dengan Khomeini, saya ucap terima kasih.

"Saya memang kagum dengan kepimpinan Khomeini kerana dia seorang pemimpin yang boleh membawa orang Islam berdiri sendiri. Saya juga kagum dengan Setiausaha Agung Hezbollah Sayyid Hassan Nasrallah," katanya dalam satu pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider semalam. -TMI

ULASAN GB

Kementerian Dalam Negeri memang layak dinobatkan Juara Maharaja lawak Mega untuk menutup tirai tahun 2013. DB sudah ulas mengenai bukti yang dibawakan oleh KDn itu di SINI.

Yang ini lagi jelas mengkagumi Syiah. Apakah KDN dan JAKIM diam saja?


Saman Lori Bawa Bantuan Banjir: JPJ Sedia Batal Saman, Nafi Bertindak Kejam


JPJ Nafi Bertindak Kejam Saman Lori Bawa Bantuan Banjir

TUMPAT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bertindak kejam apabila menyaman lori yang dikatakan membawa barangan bantuan banjir seperti yang disebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata tindakan itu diambil setelah pegawai penguat kuasa mendapati lori berkenaan membawa muatan berlebihan tanpa dimaklumkan bahawa ia merupakan barangan bantuan banjir.

"Pemandunya langsung tidak memaklumkan yang ia membawa muatan misi kemanusiaan banjir. Sepatutnya pemandu itu memaklumkan keadaan sebenar terlebih dahulu, dan bukannya bertindak mensensasikan keadaan itu di laman sosial," katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Daerah Tumpat pada Khamis. Beliau berkata pihaknya bersedia membatalkan saman itu bagi menamatkan kontroversi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dinasihat memaklumkan perjalanan mereka kepada JPJ selain menggantung bendera penaja bagi mengelak sebarang masalah.

Pada 7 Disember lepas, JPJ didakwa menyaman pemandu sebuah lori yang membawa muatan barangan bantuan banjir seperti pakaian, selimut, beras, gula, susu dan tepung di Tol Gombak, Selangor yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan.

Pemandu kenderaan itu didakwa disaman RM150 manakala syarikat lori berkenaan RM450 kerana membawa muatan lebih.

Terdahulu, Ismail berkata program MyLesen yang bakal diperkenal April depan akan memudahkan rakyat, khususnya belia bermasalah, untuk mendapatkan lesen motosikal.

Beliau berkata ini termasuk membenarkan calon yang gagal beberapa kali dalam ujian berkomputer mengambilnya semula secara bertulis.

"Kadar mereka yang gagal dalam ujian berkomputer adalah sangat tinggi kerana ramai yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi dan ini membantutkan usaha mereka untuk memiliki lesen motosikal," katanya.

MyLesen menyasarkan kelompok usia 16 hingga 45 tahun, terutama pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendapatkan lesen motosikal yang sah. Ismail juga berkata dengan kadar bayaran RM198 seorang, golongan sasaran diharap mengambil kesempatan mendapatkan lesen apabila program itu diperkenal. -BERNAMA

ULASAN GB

Pertama GB ucapkan syabas kepada Ketua Pengarah JPJ yang memberi respons yang cepat terhadap isu ini. Sekalipun beliau menafikan pegawainya bertindak kejam dengan alasan pegawai penguatkuasanya tidak dimaklumkan bahawa ia merupakan barangan bantuan banjir, namun saya merasakan menjadi tanggungjawab pegawai penguatkuasa berkenaan untuk "bertanya" jika benar beliau tidak dimaklumkan, bukan terus sahaja mengeluarkan saman. Apabila saman dikeluarkan tanpa menyelidik terlebih dahulu, maka di situlah ungkapan "kejam" tersebut timbul. Tidak salah untuk bertanya, pegawai penguatkuasa bukannya "robot" yang bertindak tanpa budibicara.

Apa-apa pun rakyat mengalu-alukan keputusan Ketua Pengarah JPJ untuk mengambil langkah membatalkan saman tersebut.

Kedua, dengan pengakuan Ketua Pengarah JPJ tentang tindakan pegawai penguatkuasa berkenaan mengeluarkan saman, ia sekaligus memadam dan menafikan dakwaan macai-macai UMNO kononnya isu ini adalah rekaan dan fitnah semata-mata. Macai-macai UMNO yang tidak tahu asal-usul kes tiba-tiba boleh mendakwa isu ini sebagai rekaan.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Isu Mat Sabu Syiah: KDN Tiada Bukti, Hanya Bawa Cakap-cakap Orang


KDN: Kagumi Khomeini, satu contoh Mat Sabu berfahaman Syiah

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan 10 bukti penglibatan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya melibatkan perjuangan pemimpin besar revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeni.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, Mohamad adalah orang yang disebut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

"Penama yang menjadi subjek dalam kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini adalah Mohamad. Beliau pernah menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini melalui tulisan di Harakah pada Julai 2008.

"Beliau juga menyatakan kekaguman kepimpinan perjuangan Khomeini yang mana banyak mencorakkan kepimpinan beliau melalui ucapan pada Jun 2011," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid berkata di Pulau Pinang hari ini, bukti-bukti untuk menyokong tuduhan Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu terlibat dalam aktiviti Syiah akan didedahkan hari ini.

Apabila ditanya jika pengumuman tersebut adalah mengenai dakwaan ke atas Mohamad, dia berkata, "Ia tentang perlibatan beliau dalam aktiviti Syiah".

Abdul Rahim berkata, Mohamad ketika mengulas perutusan sempena Hari Natal 2008 telah menggunakan pendekatan ulama Syiah iaitu Imam Khomeini sebagai terma rujukan meraih sokongan politik dan agenda perpaduan seperti mana diterbitkan Harakah pada Disember 2008.

Katanya, Timbalan Presiden Jati Datuk Aidit Ghazali dalam satu wawancara menjelaskan Mohamad merupakan ikon Syiah dan Timbalan Presiden PAS itu gagal menafikan kaitannya dengan ajaran itu.

"Mat Sabu secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali.

"Berdasarkan maklumat, beliau juga didapati telah membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, Selatan Thailand pada 2011. Kunjungan dilakukan ke atas pemimpin Syiah dan menghadiri majlis ramah mesra di sana," katanya.

Abdul Rahim berkata lagi, Mohamad beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah pada 2011 yang dikendalikan oleh dua orang ustaz berfahaman Syiah bertugas di sekolah agama di Gunung Semanggol, Perak.

Katanya, berdasarkan temuramah bersama sahabat Mohamad selama hampir 20 tahun, C N Afghani, beliau berkata Mohamad kerap kali melawat Iran dan pernah terlibat dengan program penghantaran pelajar Malaysia ke Qom.

"Dalam satu temubual bersama Dr Abdul Aziz Hanafi pada 11 Disember lalu, beliau menjelaskan bahawa Mat Sabu pernah melafazkan selawat sebagai mana yang diamalkan penganut Syiah pada satu ceramah PAS di Arau pada 2005.

"Tuan Guru Abd Rahim dari Pendang, Kedah menjelaskan Mat Sabu seorang penganut Syiah kerana pemimpin itu beberapa kali pernah dilihat menunaikan solat menggunakan sebiji batu leper yang sinonim dengan penganut Syiah," katanya.

Mohamad Radzi berkata KDN, polis serta agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri akan terus bekerjasama membendung gerakan Syiah di Malaysia.

Katanya, KDN bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan negara manakala Jakim bersama jabatan agama Islam negeri akan melihat dari aspek akidah dan penguatkuasaan di peringkat negeri," katanya. -TMI


'Ya, saya kagum Khomeini, tapi bukan Syiah'


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengakui kagum dengan kepimpinan bapa revolusi Iran Ayatullah Khomeini serta pemimpin Lubnan Hassan Nasrallah.

Bagaimanapun beliau tetap menafikan mengikuti fahaman Syiah.

"Dakwaan kagum dengan Khomeini, saya ucap terima kasih.

"Saya memang kagum dengan kepimpinan Khomeini kerana dia seorang pemimpin yang boleh bawa orang Islam berdiri sendiri.

"Saya juga kagum dengan Hassan Nasrullah," kata beliau dalam kenyataan ringkas hari ini.

Mohamad yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu turut menyatakan akan menyerahkan isu tersebut untuk diteliti peguamnya.
-mk



Saifuddin: Saya juga kagumi Khomeini


Bukti yang didedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung dakwaan bahawa timbalan presiden PAS Mohamad Sabu seorang pengikut Syiah tidak meyakinkan bekas anggota kabinet Datuk Saifuddin Abdullah.

KDN hari ini antara lainnya membangkitkan bahawa Mohamad pernah menyatakan kekaguman ke atas kepemimpinan dan perjuangan revolusi Iran 1979 Imam Ruhollah Khomeini.

Saifuddin dalam tulisan di Twitter berkata, beliau juga mengagumi Khomeini, dan juga tokoh revolusi lain seperti ikon anti-apartheid Nelson Mandela, pemimpin gerila Bolivia Che Guevara, dan pejuang kebebasan India Mahatma Gandhi.

"Saya kagum Mandela, Che Guevara, Ghandi, Mother Theresa. Adakah bermakna saya Kristian, komunis, Hindu?

"Saya juga kagumi Khomeini. Adakah saya Syiah?," tulis bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu.

Seorang lagi bekas anggota Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim juga menyatakan rasa hairan dengan alasan KDN tersebut, yang disifatkannya sebagai "karut".

"Apa dah jadi? Apa salah kalau saya kagumi Khomeini? Atau (pejuang hak sivil golongan kulit hitam) Martin Luther (King Jr) atau (tokoh falsafah Cina) Confucius.

"Bukan berti saya tukar agama atau akidah. Karut," tulisnya.

Turut hairan dengan alasan KDN itu ialah Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh yang berpendapat sumber yang digunakan untuk siasatan tersebut sepatutnya digunakan untuk membanteras jenayah.

"Tentulah lebih baik jika sumber dan masa mereka digunakan untuk memerang jenayah dan bukannya Mat Sabu," kata ADUN DAP itu di laman sosial tersebut.

KDN menyenarai bukti ke atas dakwaan berkenaan, dalam satu sidang media khas di Putrajaya petang ini.

Ketua setiausaha kementerian tersebut Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi antara lainnya menyatakan bekas tahanan ISA itu juga pernah 'berselawat' sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada 2005.

Rahim berkata maklumat itu hasil dari temuramah antara pegawai KDN Zamihan Mat Zin bersama Ahli Majlis Fatwa Kedah, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi.

Menurutnya, Mohamad juga pernah memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan Hassan Nasrullah.

Rahim berkata Mohamad juga kerap kali berulang-alik ke Iran untuk beberapa urusan seperti program penghantaran pelajar di Qom, Iran dan sudah empat-lima kali bertemu Hassan.
-mk


ULASAN GB

Pertama-tama ternyata Zahid Hamidi penipu besar. Beliau menyatakan sebelum ini beliau tak sebut nama Mat Sabu, hanya sebut pemimpin no.2 PAS. Hari ini KSU KDN menyatakan: "Mohamad adalah orang yang disebut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini". Bukankah itu PENIPU namanya?

Kedua, GB tertunggu-tunggu apa yang disebutkan "bukti" (evidences) dari KDN terhadap tuduhan Mat Sabu seorang Syiah.

Ternyata tiada lansung bukti kukuh yang disediakan. Yang aada cuma hasil wawancara dengan beberapa orang yang memang tidak sebulu dengan Mat Sabu.

Selawat Syiah? Bagaimana bunyinya? Bila Mat Sabu melafazkannya? Ada atau tidak rakamannya? Dituduhnya juga Mat Sabu pernah dilihat menunaikan solat menggunakan sebiji batu leper. Berapa biji batu leper yang digunakan? Mana batu leper itu sebagai bahan bukti?

Pergi membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, Selatan Thailand pada 2011. KDN sendiri yang men yatakan itu program "majlis ramah mesra". Bukan program Mat Sabu sertai Syiah.

Dituduhnya Mat Sabu menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah pada 2011 yang dikendalikan oleh dua orang ustaz berfahaman Syiah. Kenapa tak tangkap guru-guru berkenaan jika benar mereka mengajar ajaran Syiah?

Kalau memuji Ayotollah Khomeini & Hassan Nasrullah, apakah sudah menjadi Syiah lantarannya?

Sungguh mengarut. Menjatuhkan imej dan integritinya sebagai sebuah kementerian. Tidak memenuhi syarat paling asas pun untuk membuat sebarang pertuduhan di mahkamah. Lakukan pelbagai fitnah TANPA sebarang bukti.

Ayuh Mat Sabu, heret segera Zahid Hamidi dan KDN ke mahkamah!

12 Dis 2013

R4BIA Semakin Tersebar Bukti Bahawa Penentang Kudeta Semakin Ramai


Kaherah. Sebuah akhbar UK, The Guardian menyebutkan bahawa semakin meluasnya simbol R4BIA menunjukkan tentang penolakan rakyat Mesir terhadap kudeta militer semakin meluas. Hal ini seperti dimuatkan dalam akhbar berkenaan pada edisi Selasa (10/12/2013) yang lalu.

Penguasa kudeta selalu melakukan usaha membenteras simbol ini. Namun semakin ia diperangi, ia menjadi semakin meluas. Hal ini membuktikan pembohongan tentera kudeta bahawa aksi kudeta mereka mendapatkan dukungan yang luas dari rakyat.

Terakhir, Khalid Bakara, seorang pelajar berumur 15 tahun telah ditangkap dan ditahan bersama tahanan dewasa selama 16 hari, tanpa ada pengadilan. Bakara ditahan hanya kerana membawa sebarang pembaris bergambarkan simbol R4BIA. Tindakan penguasa yang sewenang-wenang kepada pelajar ini hanyalah ugutan untuk menakuk-nakuti para pelajar agar mereka tidak lagi mendukung Presiden Mursi.

Sebelumnya pihak penguasa juga melarang bermain pemain sepakbola Ahmad Abdu Zhahir setelah menunjukkan simbol R4BIA selesai menjaringkan gol semasa pertandingan final Liga Champion Afrika. Malah Abdu Zhahir dijual oleh kelabnya.

Juara kungfu juga ditahan kerana aksi yang sama ketika menerima pingat emas didalam kejuaraan kungfu di Rusia. Yang tidak kurang menggemparkan adalah 21 mahasiswi gerakan “7 Pagi” yang dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di kota Iskandariah.

Peguam Bakara, Amru Abdul Maqsud, menyatakan bahawa kasus anak guamnya bebas dari politik. Menurutnya, penangkapan Bakara bertujuan menekan pendukung Presiden Mursi agar tidak lagi melakukan demonstrasi menentang kudeta. Apalagi di daerah asal Bakara, Balthim, yang terjadi demonstrasi hampir setiap hari.

Abdul Maqsud menyebutkan, Bakara dituduh berhubungan kepada Jamaah Ikhwanul Muslimin yang dilarang, menjelek-jelekkan tentera, dan provokasi untuk melakukan kekerasan. Tapi di waktu yang sama, menahan anak di bawah umur bersama para tahanan dewasa adalah satu kejahatan yang diancam hukuman seperti tercatat di dalam undang-undang.

[VIDEO & GAMBAR] Mahasiswa, NGO Lancar Gerakan TURUN Kos Sara Hidup


Sekumpulan mahasiswa semalam melancarkan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang akan bertindak sebagai kumpulan pendesak bagi membantah kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Majlis pelancaran yang diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo turut dihadiri pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat (PR) iaitu Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong dan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat.

Kok Seong berkata, penubuhan Turun adalah manifestasi anak muda yang muak dengan pelbagai janji manis kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, namun sebaliknya berlaku setelah terus berkuasa.

“Kami Pemuda PR, menyokong gerakan ini kerana kita tidak mahu kerajaan terus menekan rakyat dengan pelbagai kenaikan yang tidak munasabah.

“Bukan saja kos sara hidup meningkat, malah pelbagai kenaikan yang membebankan dikenakan seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.89 peratus, pemotongan subsidi gas asli, kenaikan cukai taksiran dan lain-lain lagi.

“Kenaikan semua ini juga amat bertentangan dengan janji manis mereka sebelum PRU-13 lalu, akhirnya janji tinggal janji,” katanya.

Suhaizan menambah, Pemuda PR akan bersama gerakan ini untuk mendesak kerajaan supaya tunduk dan mendengar suara rakyat.

Objektif turun adalah bertindak sebagai jentera penerangan kesedaran rakyat supaya turut sama menyuarakan bantahan terhadap kegagalan urus tadbir kerajaan dalam menguruskan kebajikan masyarakat.

Turun juga akan bertindak sebagai pusat pengumpulan anak muda yang ditindas agar nasib mereka dapat diperjuangkan.

Manakala agenda lainnya adalah mendesak kerajaan membanteras korupsi, menstrukturkan subsidi industri, menangguhkan GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol dan memecahkan monopoli terutama pembekal gula.

Turun akan bergerak ke seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada rakyat bermula dengan forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada Sabtu ini (14 Disember). -Roketkini

NGO, siswa lancar gerakan turun kos sara hidup


Kumpulan NGO dan mahasiswa hari ini melancarkan gerakan mendesak kerajaan menurunkan kos sara hidup rakyat, antaranya ekoran tindakan kerajaan menghapuskan subsidi secara perlahan-lahan dan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Gerakan yang disokong parti politik pembangkang itu antaranya mempersoalkan kenaikan kos sara hidup rakyat selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

Berucap dalam perhimpunan awal membantah perkara itu di ibu negara semalam, Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) Ahmad Afif Zulkifli menyeru golongan muda tampil mendesak kerajaan melalui Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN).

"Buktinya satu demi satu isu kezaliman berlaku kepada kita, kenaikan barang makan dan minum juga mengalami kenaikan.

"Adakah golongan muda mahu berdiam diri lagi? (Mahu) lawan atau senyap?" soalnya lagi sambil dijawab "lawan" oleh sebahagian besar daripada kira-kira 50 peserta yang hadir.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat (gambar atas, di tengah), Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY), Teo Kok Seong dan beberapa pemimpin aktivis mahasiswa.

Gimik tangan terikat

Pada masa yang sama, beliau juga mengkritik kerajaan BN yang didakwa tidak jujur dan sudah menipu rakyat, berbeza dengan manifesto pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

"BN janji macam-macam dalam PRU tetapi bila memerintah macam-macam naik (harga). Ada penyelewengan, ada rasuah.

"Graduan lepasan universiti akan bekerja di sektor awam mahupun swasta dengan gaji yang sedikit membuatkan kelompok ini tertekan dan terpaksa bekerja lebih masa menampung kehidupan," kata Suhaizan.

Sementara itu, demonstrasi di sebuah pusat membeli belah itu diwarnai dengan gimik pelancaran menyaksikan tiga peserta diikat tangan dan masing-masing memegang replikas berupa tol, petrol dan logo Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kemudian, Pengerusi TURUN Azan Safar tampil memotong ikatan tangan itu dan kesemua peserta melepaskan ke udara belon kuning bertulis perkataan "TURUN".

Orang ramai yang lalu-lalang, kebanyakan membeli belah untuk jualan hujung tahun, ada yang berhenti menjengah sebentar.

Dalam masa terdekat, gabungan itu merancang mengadakan forum membincangkan masalah kenaikan kos sara hidup dan mahu menyerahkan hasil penyelidikan mereka kepada pelbagai anggota Parlimen supaya membangkitkannya di Dewan Rakyat.
-mk





Hebahkan Sumbangan Isteri Hanya Helah Najib Tutup Keborosan Rosmah

Kenyataan Kadir Jasin lambang kekecewaan penyokong Umno, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat kenyataan bekas wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin tidak boleh dipandang remeh dan perlu mendapat perhatian pemimpin kerajaan kerana ia menggambarkan kekecewaan seorang penyokong Umno.

Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata meskipun cadangan Kadir lebih dilihat sebagai sindiran namun perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana ia memberi kesan kepada kepimpinan kerajaan dan Umno terutamanya.

“Pandangannya berbentuk sinis tetapi perlu diberikan perhatian serius. Amat penting bagi pemimpin kerajaan memahaminya secara serius kerana ia melihatkan penyokong Umno sudah mula mengeluarkan pandangan yang melambangkan kekecewaan.

“Jangan dibiarkan orang yang menyokong kerajaan ini semakin kecewa dengan apa yang berlaku.” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kadir pada Ahad lalu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula peranan menteri Kabinet selain melantik isteri Datin Seri Rosmah Mansor sebagai Menteri Tugas Khas.

Katanya melalui pelantikan itu, tiada pihak boleh membantah campur tangan Rosmah atau menuduh Najib dan anggota Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan penggunaan kemudahan kerajaan.

“Saya dah berbuih mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan dilantik menjadi menteri malah ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata,”
katanya yang menyatakan usaha itu boleh dibuat melalui pelantikan Rosmah sebagai senator.

Wan Saiful berkata tidak mudah bagi melantik Rosmah sebagai menteri dan menyifatkan pendedahan Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2013 (PAU 2013) pada Sabtu tidak akan meredakan kemarahan rakyat terhadap isteri Perdana Menteri itu.

“Tidak semudah itu kerana Rosmah tidak mempunyai jawatan dalam parti dan kerja yang dilakukannya tidak terlalu melibatkan isu politik. Ia sindiran dan tidak serius. Bagaimana bagus kerja yang dibuat oleh Rosmah, kritikan masyarakat juga perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata penglibatan Rosmah dalam gerak kerja kerajaan perlu didefinisikan dengan betul dan didatangkan secara berstrategi agar tidak bertindih dengan peranan kementerian.

“Saya lihat kesilapan strategi perhubungan awam Najib. Ia boleh disebut kerana Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sendiri selalu memuji isterinya. Itu perkara biasa tetapi di Malaysia suasananya agak tegang.

“Bila Najib berkata demikian, ia akan menambahkan kemarahan orang. Ia tidak membantu langsung. Ini hanya masalah strategi komunikasi masyarakat. Ini penglibatan yang baik tetapi tidak distrategikan dengan betul sehingga menjadi alat untuk menyerang kerajaan dan Umno sendiri,” katanya.

Najib semasa ucapan penangguhan PAU 2013 menyebut dua peristiwa jasa Rosmah kepada negara.

Katanya, bantuan pertama adalah menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip dan kedua menggunakan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara itu tanpa visa.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan cadangan Kadir bagi melantik Rosmah akan lebih menggugat kedudukan Najin selain tiada keperluan melaksanakannya.

“Itu kenyataan sinis daripada seorang bekas wartawan. Sudah tentulah ada yang ingin disampaikan sama ada mengkritik secara langsung atau cadangan serius.


“Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, akan lebih menyukarkan kedudukan Najib. Bagi saya cadangan itu tidak praktikal. Tiada keperluan walau sehebat manapun Rosmah,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia Dr Jayum Jawan pula berpendapat Najib tidak seharusnya menghebahkan sumbangan isterinya itu kepada khalayak ramai kerana perkara itu lebih bersifat peribadi.

Katanya, Rosmah bukanlah mewakili mana-mana kementerian tetapi sebagai pemudah cara kepada suaminya yang menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Itu cerita peribadi yang diceritakan Najib dalam PAU 2013. Rosmah tidak mewakili mana-mana kementerian tetapi sebagai wakil kepada suaminya.

“Ini bukan saranan yang ikhlas tetapi cuba memperli. Cadangan itu tidak masuk akal. Ada benda lain yang ingin dikritik dan beliau bermain dengan kata-kata,” katanya yang melihat Najib juga berhak mendedahkan sumbangan isterinya kepada negara.

Kadir ketika diminta mengulas dalam sebuah laman portal menarik balik tulisannya atas arahan kerajaan berkata, cadangan yang dikemukakannya atas hak sebagai wartawan dan rakyat bebas menyuarakan apa sahaja asalkan tidak melanggar undang-undang. -TMI

ULASAN GB

GB pernah ulas sebelum ini, petikan:

Belum ada isteri-isteri PM sebelum ini yang bertindak liar seperti yang dilakukan oleh isteri Mohd Najib, Rosmah Mansor namanya.

Najib nampaknya seperti tidak dapat mengekang dan mengawal tindakan Rosmah yang besar sangat nafsunya menjadi "diplomat" sekalipun bukan berhormat dan tidak pula bertauliah.

Rakyat BERHAK untuk mendesak Najib mengarahkan isterinya berhenti dari berkelakuan jelek yang menghabiskan wang rakyat.


Justeru itu, apa yang dilakukan Najib (menghebakah sumbangan Rosmah) hanyalah helah Najib menutup keborosan Rosmah selama ini yang telah merembat wang rakyat melalui PERMATA yang bukan di bawah mana-mana kementerian dan lansung tidak pernah diaudit aliran wang keluar masuknya.

[KISAH BENAR] Uskup Dedahkan Ikhwanul Muslimin Selalu Lindungi Gereja


Kaherah - Uskup Wilayah Almenya di Mesir bernama Makarius, menyatakan bahawa para demonstran yang menentang kudeta selalu membentuk jawatankuasa sosial bagi melindungi gereja-gereja, terutama jika jalan-jalan berhampiran gereja tersebut sering dilalui oleh konvoi-konvoi demonstran, portal dakwatuna dipetik.

Hal itu dinyatakannya ketika beliau diwawancarai oleh lamanwab masralarabia.com, Jumaat (6/12/2013) minggu lepas.

Beliau mengatakan bahawa jika Ikhwanul Muslimin yang menyelenggarakan demonstrasi, maka mereka akan melindungi gereja.

Sebaliknya, Makarius menyatakan pihak polis yang telah mengabaikan tugas utamanya yang di antaranya melindungi gereja. Bahkan terdapat individu-individu tertentu dalam polis yang mempunyai hubungan erat dengan mereka yang selalu melanggar undang-undang, atau preman.

Sedangkan ketua pejabat polis wilayah lansung sama sekali tidak mengetahui peta keadaan wilayah provinsi Almenya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Makarius itu sekaligus menolak propaganda yang dikeluarkan oleh pihak kudeta yang menyatakan Ikhwanul Muslimin bertindak ganas menyerang gereja-gereja semasa berlakunya demonstrasi di Mesir.

Hal yang sama turut berlaku bilamana para demonstran beragama Islam menunaikan solat, maka umat Kristian akan membantu mengadakan kawalan supaya mereka tidak diganggu dan umat Islam dapat menyempurnakan solat mereka dengan aman, lapor akhbar thedailymail.


11 Dis 2013

Siapa Sudah Sembunyikan Amir Bazli Yang Ditumbuk Zahid Hamidi?

Peguam Karpal Singh menggunakan rangkaian politik untuk mengesan anak guamnya, Amir Bazli Abdullah yang masih terikat dengan kes tuntutan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyerangnya.

Amir Bazli, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, gagal menghadirikan diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember lalu untuk prosiding kesnya di hadapan hakim hingga menyebabkan peguamnya bimbang di mana ahli perniagaan itu berada kini.

Pengerusi DAP itu turut mendapatkan bantuan daripada Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu untuk mencari Amir Bazli.

Karpal berkata, beliau mendapatkan bantuan Mohamed atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu kerana ahli politik itu mempunyai rakan dan ahli parti yang mungkin tahu di mana anak guamnya berada.

“Beliau berjanji untuk menghubungi beberapa rakannya dan ahli parti untuk mengesan anak guam saya yang perlu hadir di mahkamah hujung bulan ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mohamed memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau sudah mengarahkan beberapa rakan untuk mencari di mana ahli perniagaan itu berada kini, berdasarkan kepada alamat terakhirnya.

Amir Bazli sepatutnya hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember lalu untuk memaklumkan kepada Hakim Vernon Ong mengenai terma penyelesaian kes membabitkan dirinya dan Ahmad Zahid.

Karpal terdahulu sudah menghantar surat berdaftar menerusi Pos Malaysia dan satu lagi nota menerusi firma kurier tetapi tidak mendapat balasan daripada Amir Bazli.

“Saya diberitahu bahawa tidak ada orang berkenaan di alamat itu. Amir Bazli juga tidak dapat dihubungi menerusi telefon bimbitnya,” katanya.

Peguam veteran itu berkata, sebelum 18 Julai, Amir Bazli boleh dihubungi dengan mudah menerusi telefon bimbit dan akan datang ke firma guamannya dalam tempoh singkat apabila diberitahu.

Karpal memohon penangguhan terakhir dan mahkamah membenarkannya. Hakim menetapkan 31 Disember ini dan berharap Amir Bazli akan hadir di mahkamah.

“Saya sudah meminta peluang terakhir dengan harapan dapat mengesan Amir Bazli dan jika gagal, mahkamah mungkin akan membatalkan tuntutan samannya terhadap defendan (Ahmad Zahid),” katanya.

Bulan lalu, Karpal menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membuka semula tuntutan saman terhadap Ahmad Zahid berikutan proses pengantaraan berjalan tanpa kehadiran peguam.

Pada 18 Julai, Ahmad Zahid dan Amir Bazli bertemu dengan pengantara, Rohani Ismail yang juga hakim mahkamah sesyen di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Sejurus selepas proses pengantaraan selesai, kedua-dua pihak mendakwa isu saman itu sudah diselesaikan tetapi peguam mereka tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian.

Rohani didakwa memberitahu kedua-dua pihak untuk merahsiakan terma penyelesaian.

Karpal bagaimanapun tidak menerima penyelesaian itu berikutan tuntutan saman Amir Bazli sudah ditetapkan untuk perbicaraan pada Ogos.

Amir Bazli terus menghilangkan diri selepas 18 Julai dan tidak menghubungi Karpal sejak itu.

Karpal berkata, beliau tidak gembira kerana tidak dimaklumkan mengenai pelaksanaan pengantaraan itu dan berkata, “duluan berbahaya belum terbuka”.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi perlu dimaklumkan mengenai apa yang berlaku dalam proses pengantaraan itu walaupun kes itu dikatakan sudah selesai.

“Biar dia (Amir Bazli) datang sendiri ke mahkamah dan memberitahu hakim apa yang berlaku. Jika dia gembira dengan terma penyelesaian itu, biar ia direkodkan untuk membolehkan kes itu ditutup. Jika tidak, tarikh baru perbicaraan akan ditetapkan,” katanya.

Selepas pelaksanaan pengantaraan itu, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa Amir Bazli memohon maaf kepadanya dan beliau juga memaafkan ahli perniagaan itu kerana menuduhnya.

Amir Bazli memfailkan tuntutan saman terhadap Ahmad Zahid pada Julai 2007 menuduhnya yang pada ketika itu memegang jawatan timbalan menteri menumbuknya di muka di Kelab Rekreasi Country Heights Kajang, Selangor.

Beliau berkata, Ahmad Zahid juga mengugut untuk membunuhnya dan beliau dikurung secara salah di rumah Ahmad Zahid di Country Heights.

Ahmad Zahid menafikan tuduhan itu dan berkata Amir Bazli mereka-reka keseluruhan cerita itu.

Beliau kemudian memfailkan tuntutan balas menyatakan beliau dimalukan dan mengalami trauma secara emosi akibat tuduhan Amir Bazli itu.

Amir Bazli turut membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid tetapi tiada tindakan diambil oleh pendakwa raya hingga mendorong ahli perniagaan itu memfailkan tuntutan saman.

[PANAS] JPM Arah Astro Awani Buang Artikel Mengenai Rosmah


Ekoran panggilan telefon dari Pejabat Perdana Menteri, laman web Astro Awani online telah menarik balik satu berita mengenai cadangan bekas Ketua Pengarang New Straits Times Datuk A. Kadir Jasin yang mencadangkan agar isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dilantik sebagai menteri.

Berita itu tidak ada lagi dalam laman web sejak tengahari semalam selepas disiarkan sehari sebelum itu. Namun begitu tulisan asal kadir masih disiarkan oleh laman ini.

Ketika dihubungi, seorang kakitangan Astro Awani memaklumkan, ia dibuang atas arahan Pejabat Perdana Menteri.

Namun pengarang laman ini ketika dihubungi enggan memberikan sebarang pengesahan dan meminta pihak atasannya menjawab persoalan ini.

Kadir pula ketika dihubungi menegaskan beliau tidak tahu-menahu arahan penarikan balik penyiaran berita tersebut.

Beliau enggan memberi komen lain mengenai hal itu dan berkata artikelnya yang bertajuk "PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa" yang disiarkan Ahad lalu adalah pandangan sebagai rakyat jelata dan wartawan.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai adanya arahan menarik balik berita Astro Awani atau mana-mana portal media, maka pertanyaan itu saya tidak boleh jawab.

"Bagaimanapun artikel adalah berdasarkan atas hak saya sebagai wartawan dan rakyat yang bebas menyuarakan apa sahaja asalkan ia tidak melanggar undang-undang dan peraturan dalam perlembagaan," katanya.

Beliau juga turut menjelaskan catatannya dalam blog boleh digunakan oleh mana-mana media untuk diubah menjadi berita asalkan pihak tersebut memetik sumber artikel yang diperolehi.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 memuji isterinya, Rosmah, di atas jasanya kepada negara.

Selain, bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, Najib mendedahkan Rosmah juga dikatakan berjasa kerana berjaya membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa Mesir akibat disyaki sebagai pengintip dengan hanya menggunakan pengaruhnya menelefon isteri Presiden Mesir Suzanne Mubarak (isteri kepada Hosni Mubarak).

Lebih dari itu, Rosmah juga dikatakan mengguna pengaruhnya dengan keluarga Diraja Arab Saudi untuk membebaskan pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir semasa kebangkitan Arab Spring untuk memasuki negara itu tanpa menggunakan visa.

Susulan dari itu Kadir dalam tulisan diblognya, mencadangkan Rosmah perlu diberi jawatan menteri, malah mungkin jawatan perdana menteri.

Mengulas kenyataan Najib yang memuji isterinya ketika Perhimpunan Agung Umno itu, Tokoh Wartawan Negara itu berkata, pendedahan perdana menteri menyebabkan kedudukan Menteri Luar dan menteri lain harus dikaji kerana ternyata ia tidak setanding dengan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa. -TMI

ULASAN GB

Selepas tersiarnya tulisan A.Kadir Jasin di balam blognya The Scribe, beberapa portal telah meyiarkan semula tulisan tersebut diantaranya The Malaysian Insider dan astro awani.

Lazimnya artikel The Malaysian Insider akan menjadi perhatian untuk GB ulas semula, namun pada hari berkenaan, tergerak hati GB untuk memilih menyiarkan tulisan di astro awani. Boleh baca di SINI.

Apa sebabnya GB memilih tulisan di astro awani dan bukan The Malaysian Insider mengenai isu ini? Kerana sukar sekali untuk melihat astro awani menyiarkan tulisan yang kritikal berbanding The Malaysian Insider atau malaysiakini atau harakahdaily.

Apabila astro awani berani menyiarkan semula tulisan A.Kadir Jasin tersebut, GB mendapati wujudnya fenomena suara dari silent majority yang mengesahkan rakyat telah meluat dengan sikap Najib yang membela perlakuan melampau isterinya Rosmah Mansor. Jika tidak masakan astro awani sendiri turut sama di dalam penyiaran semula tulisan wartawan terbilang itu.

Kini JPM pula kelam kabut memandai-mandai arahkan astro awani buang artikel berkenaan. Ya, astro awani terpaksa patuh, tetapi hukum kebenaran dan keadilan tidak akan dapat ditolak lantarannya. Bahawa sememangnya semakin hari semakin ramai yang menyedari perbuatan melampau Rosmah Mansor. Ingat, yang menulis artikel itu bukan calang orang. A.Kadir Jasin, bekas ketua pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times. Bukan Sakmongkol, MSO, Aspan, Shahbudin atau tukartiub yang sememangnya telah diketahui sentiasa melemparkan pandangan yang kritikal terhadap isu semasa. Yang menyiarkan semula ialah astro awani. Bukan juga oleh KiniTV atau TVPAS!

Apa yang dilakukan oleh pegawai-pegawai JPM yang memaksa astro awani keluarkan tulisan itu tidak akan sekali-kali memadam rasa meluat rakyat terhadap isteri PM tersebut. Dan apa yang GB katakan dulu, Najib Bakal Jatuh Tergolek Kerana Rosmah semakin hampir menjadi kenyataan.

p/s Sekalipun artikel itu telah dibuang dari portal astoawani ia tetap boleh diakses di google cache. Itu kebebalan pegawai di JPM tentang sistem dan teknologi maklumat.

Sama juga dengan kes dengan Hamidah Osman yang disaman Khalid Samad. Mahkamah Rayuan memutuskan memang sah Hamidah telah memfitnah Khalid. Sekalipun Hamidah telah membuang artikel berkaan ia tetap boleh diakses siap dengan gambar fitnah itu melalui webarchive.

Khalid Samad Menang Kes Saman Terhadap Hamidah Osman

Kuala Lumpur- Mahkamah Rayuan hari ini mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman Khalid Abdul Samad terhadap bekas Adun Sungai Rapat di Perak, Datuk Hamidah Osman yang menyiarkan gambar Ahli Parlimen Shah Alam itu memakai salib.

Dalam keputusannya itu, mahkamah mengarahkan Hamidah membayar kos RM50,000 di samping mengarahkan Penolong Kanan Pendaftar untuk menilai taksiran ganti rugi yang perlu dibayar kepada Khalid.

“Mahkamah mendapati tulisan dan gambar yang disiarkan adalah fitnah. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah silap dan diketepikan,” kata Hakim Mohamad Ariff Md Yusof yang mengetuai panel tiga hakim.

Dua lagi hakim adalah Mah Weng Kwai and Abang Iskandar Abang Hashim.

Pada 12 Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hashim Hamzah menolak saman Khalid terhadap Hamidah kerana Khalid didakwa gagal mengemukakan dokumen asal yang mendakwa dia difitnah.

Beliau juga mengarahkan Khalid membayar kos RM20,000 kepada Hamidah.

Hashim dalam penghakimannya berkata, dakwaan Khalid yang mengatakan artikel yang diterbitkan oleh Hamidah adalah fitnah merupakan satu perkara yang subjektif dalam sesuatu tuntutan.

Khalid menyaman Hamidah pada 23 Disember, 2011 berhubung penyiaran gambar yang menggunakan teknik tindih gambar yang disiarkan melalui blog Hamidah pada Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang paderi Kristian dan murtad.

Mahkamah Rayuan sahkan Hamidah fitnah Khalid

Mahkamah Rayuan hari ini telah membenarkan rayuan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad terhadap Datuk Hamidah Osman yang merupakan bekas Ahli Exco Negeri Perak dengan kos RM50,000 dan gantirugi untuk ditaksirkan.

Mahkmah rayuan yang diketuai oleh Yang Arif Datuk Mohd Ariff Yusof bersama Yang Arif Datuk Mah Weng Kwai dan Yang Arif Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara memutuskan bahawa, kandungan artikel yang bertajuk 'Umat Islam Perlu Bersatu' yang diterbitkan di laman blog Hamidah, http://hamidahosman.blogspot.com memfitnah Khalid.

Artikel tersebut turut memaparkan gambar "super impose" Khalid memakai pakaian paderi kristian yang mengandungi lambang salib dan juga memegang staff yang juga mengandungi lambang salib.

Di dalam artikel tersebut Hamidah juga menuduh Khalid Samad dengan tuduhan-tuduhan berikut.

[Perenggan 8]

"Golongan yang menyokong penggunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, Yb Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian menggantikan perkataan 'God' di dalam Bible kepada perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh di sudut hantinya dengan keputusan mahkamah ini."

[Perenggan 12]

"Selepas ini jangan pula hairan jika kita melihat tulisan Gereja Allah bagi menggantikan House of God dihadapan rumah-rumah ibadat kristian diseluruh negara. Ini akan menjadi lambang kepada perbuatan melacurkan agama oleh puak-puak yang mengaku pejuang Islam seperti PAS."

[Perenggan 18]

"Sekalung tahniah buat parti pas kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat islam di negara ini."

Khalid diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin.

Manakala Hamidah diwakili oleh Wan Azmir Wan Majid dan Nor Emelia Iszeham daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Writ Saman difailkan pada 23 Disember 2011 lalu manakala keputusan Mahkamah Tinggi pada 2 Julai 2013.

Di dalam keputusannya Mahkamah Rayuan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan Khalid gagal membuktikan bahawa artikel di blog Hamidah tidak mempunyai gambar super imposed tersebut.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan tuduhan tuduhan di perenggan 8, 12 dan 16 artikel Hamidah adalah fitnah ke atas Khalid dan Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan ianya tidak memfitnah Khalid.

Kes ini juga amat menarik kerana buat pertama kali Mahkamah Rayuan mendengar tentang isu artikel dari blog yang dikeluarkan (removed) dari blog tetapi masih boleh dicapai dari www.archeive.org.

Zahid Yang Terlondeh Sebelum Sempat Dedah Hal Mat Sabu


Syiah: Mat Sabu tidak gentar pendedahan Zahid Hamidi

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tidak gentar dengan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan fahaman Syiah.

Mohamad Sabu tidak gentar dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendedahkan bukti secara terperinci mengenai pemimpin PAS yang terlibat dengan fahaman Syiah.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu termasuk ketika pemilihan parti Islam itu baru-baru ini.

“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya yang dikenali sebagai Mat Sabu ketika ditemui The Malaysian Insider, malam tadi.

Mohamad berkata, sejak menyertai PAS pada awal 1980-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1984 dan semasa Operasi Lalang pada 1987.

“Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan dia,” katanya merujuk kepada Ahmad Zahid. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada Ahmad Zahid memaksudkan dirinya kerana Timbalan Presiden PAS bukan jawatan nombor dua dalam parti Islam itu.

“Di dalam PAS, jawatan tertinggi adalah Mursyidul Am yang dipegang oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala jawatan kedua tertinggi adalah Tuan Guru Datuk Haron Din,”
katanya.

Semalam, Ahmad Zahid berkata, beberapa bukti bahawa pemimpin PAS terlibat dengan fahaman Syiah akan diterangkan secara terperinci dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.

Katanya, sidang akhbar itu akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin yang didakwa terlibat itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam fahaman Syiah.

"Kenapa dia takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti dia nak cakap apa?

“Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya, semalam.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak mahu umat Islam berpecah-belah seperti negara lain hanya kerana fahaman mazhab berbeza.

Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS.

"Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab memegang portfolio agama.

Jamil Khir berkata, pembuktian kukuh perlu dibuat untuk menuduh seseorang itu penganut Syiah.

Katanya, ajaran Syiah bukan melibatkan parti semata-mata, kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang penganut fahaman berkenaan.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Jakim sudah ada bukti untuk menahan Mohamad, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.

"Elok tanya Zahid. Elok tanya polis,” katanya. -TMI


Nik Aziz: Sebelum serang Syiah, bersihkan dahulu “taring daripada daging mangsa”


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bangkit menempelak pihak yang menyerang Syiah dengan berkata: "Jika Syiah menipu, nasional sekular apa kurangnya."

Nik Aziz berkata:"Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala.

"Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa,"
sindir Nik Aziz.

Beliau juga mencabar pihak berkuasa supaya melakukan tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik jika mahu membanteras Syiah.

"Soalnya, bagaimana ingin membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut ajaran sesat," kata bekas Menteri Besar Kelantan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tanpa menamakan sesiapa Nik Aziz dipercayai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangkap “orang nombor dua PAS” atas dakwaan syiah.

Ketika dikatakan orang nombor dua PAS itu adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Zahid berkata, beliau tidak pernah menyebut nama Mohamad Sabu.

Nik Aziz berkata, beliau terbaca kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah dan menyatakan ciri utama Syiah ialah menipu.

"Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah.

“Tidakkah menipu namanya apabila mewar-warkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut,”
katanya.

Beliau berkata, Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad dan ciri akidah mereka ada ditulis dan diterangkan oleh ulama Sunnah dalam banyak penulisan.

Sehubungan itu, katanya, ulama berperanan untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah.

Nik Aziz berkata, beliau menyokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini tetapi meletakkan alasan membanteras Syiah supaya umat Islam tidak berpecah menunjukkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang.

"Justeru, janganlah mendabik dada diri sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah.

"Masyarakat sudah bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti lawan yang semakin mendapat sambutan," katanya. – TMI



Kalau berpura-pura tanda Syiah, dalam Umno pun ramai penganutnya


Dalam reaksi awalnya mengenai dakwaan yang dibuatnya di penggulungan Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu bahawa orang nombor dua dalam PAS iaitu Mohamad Sabu mengamalkan ajaran Syiah, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukti terperinci mengenainya akan dibuat dalam sidang akhbar khas yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya akan mendedahkan bukti-bukti mengenai dakwaan yang dibuatnya itu dan pemimpin yang didakwa itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam amalan Syiah itu.

"Kenapa dia perlu takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti, dia nak cakap apa? Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura," tegas Naib Presiden Umno itu lagi.

Adoyai, takkan sikap berpura-pura boleh dikaitkan dengan Syiah!

Sementara menunggu sidang akhbar khas itu diadakan dan bukti-bukti lain didedahkan, sehingga ini pemahaman Ahmad Zahid ialah orang-orang yang berpura-pura sudah boleh dikategorikan sebagai pengamal ajaran Syiah. Tidakkah ini lawak jenaka jadinya?

Mengaitkan sikap dan perangai berpura-pura sebagai elemen Syiah adalah terlalu dangkal dan lemah. Pura-pura ialah salah satu sikap dan perangai manusia. Ia tidak ada kena-mengena dengan agama atau amalan Syiah. Berpura-pura juga tidak mengenal agama, bangsa dan warna kulit.

Dalam Islam ada orang yang berpura-pura, di kalangan bukan Islam pun ada. Di kalangan orang putih atau di kalangan orang Afrika pun ada sikap itu. Begitu juga di kalangan bangsa dan agama lain.

Pendeknya, sikap dan perangai berpura-pura ini boleh didapati di mana-mana saja. Ia ada di Amerika, di negara-negara Arab, di zaman dahulu, zaman sekarang dan zaman akan datang. Di negara kita pun ramai yang berpura-pura.

Ia juga tidak mengenal Islam atau bukan Islam, Syiah atau bukan Syiah.

Di dalam PAS ada yang berpura-pura, malah di dalam Umno juga mungkin lebih ramai jumlahnya. Bagi yang pernah bertanding apa-apa jawatan dalam Umno, sama ada di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi, tentu amat faham tentang perangai berpura-pura ini.

Adakah ini bermakna dalam Umno juga ramai penganut Syiah?

Suatu ketika, pernah seorang pemimpin Umno yang bertanding jawatan Pengerusi Tetap Umno Malaysia melahirkan rasa kecewanya dengan sikap perwakilan Umno yang bersikap berpura-pura di depannya dengan mengatakan telah memberikan undi kepadanya sedangkan beliau akhirnya kalah juga.

Kata pemimpin tersebut, kalau ikutkan yang bersalam dan mengaku memberi undi kepadanya, jumlahnya hampir 1,500 orang tetapi akhirnya undi yang diperolehinya tidak sampai pun 300 jumlahnya. Apakah mereka itu penganut Syiah belaka?

Sudah tentulah tidak masuk akal untuk mengatakan berpura-pura itu salah satu elemen Syiah kerana sikap itu bersifat umum dan ada pada semua kelompok manusia, dan bukannya ciri mutlak orang Syiah.

Sebagai Menteri Dalam Negeri yang berani membuat dakwaan secara terbuka kepada Mat Sabu sebagai pengamal Syiah, Ahmad Zahid tidak seharusnya cuba berselindung dengan memberi hujah atau bukti yang longgar dan umum mengenai dakwaan yang dibuatnya sehingga akhirnya tafsiran umum ialah beliau sengaja membangkitkan isu itu sekadar untuk meraih publisiti semata-mata.

Ini kerana dengan hujah atau bukti yang longgar, sudah tentu orang yang dituduh dengan mudah saja menangkis dakwaan itu dan penyudahnya dakwaan mengenai Syiah yang dibangkitkannya itu hanya menjadi mainan dan berlegar-legar di media sahaja.

Dalam kes Mat Sabu ini, kalau sekadar satu atau dua kejadian Timbalan Presiden PAS itu pernah bersikap berpura-pura saja sebagai bukti yang ada untuk menuduhnya mengamalkan ajaran Syiah, lebih baiklah ianya tidak didedah atau digembar-gemburkan kepada umum. Bukti-bukti yang lebih kukuh, konkrit dan jelas haruslah dikemukakan.

Jika setakat itu saja asasnya yang menjadi pegangan Ahmad Zahid, bermakna ramailah pengamal Syiah ini, termasuk sebahagian besar ada di dalam Umno sendiri.
- shahbudindotcom


ULASAN GB

Dulu tuduh Mat Sabu agen komunis, sekarang Syiah... apa ada heran Mat Sabu pada itu semua?

Nak dedah dedahlah... kita nak tengok juga apa yang Zahid nak dedahkan. Nak tengok kot-kot jika ada video tunjuk Mat Sabu tenyeh dahinya di batu sewaktu sujud... atau ada rakaman pernikahan mut'ah dengan perempuan lain...

Yang di bawah ini ajaran Islam jenis apa pulak yang mengizinkan sentuhan dengan bukan-muhrim wahai Zahid?


Itulah hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan. Belum sempat kamu rencanakan pendedahan terhadap tuduhan palsu kamu, Tuhan mendedahkan dahulu untuk menunjukkan siapa sebenarnya kamu!

10 Dis 2013

[VIDEO] 13 Tentera Lalui Pengalaman Ngeri Bertarung 28 Jam Di Laut

Seorang jurulatih, seorang jurumudi bot dan 11 penuntut kursus asas komando Kem Sungai Udang yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Upih, Melaka, Sabtu lepas, ditemui selamat berhampiran Jeti Tanjung Bruas, Melaka, awal hari ini.

Kenyataan Kementerian Pertahanan menyebut kesemua mangsa dan bot yang dinaiki mereka ditemui berhampiran jeti itu pada 12.50 pagi ini.

"Semua anggota selamat dan tiada peralatan yang hilang. Operasi mencari dan menyelamat dihentikan sebaik sahaja mereka ditemui," menurut kenyataan itu hari ini.

Mereka adalah antara seorang pegawai, 10 jurulatih dan 35 penuntut yang menaiki tiga bot diiringi sebuah bot keselamatan dalam perjalanan pulang dari Sungai Udang ke Pulau Upih, yang jaraknya kira-kira 7 kilometer, selepas menjalani latihan mendayung kira-kira 4 petang pada Sabtu lepas.

Semasa perjalanan berdekatan Pulau Upih, berlaku ribut yang mengakibatkan ketiga-tiga bot dinaiki penuntut berada dalam kesulitan dan hampir karam.

Susulan itu, bot keselamatan berkenaan mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan ketiga-tiga bot berkenaan dengan menarik sebuah bot ke Pantai Klebang diikuti sebuah bot lagi ke Pulau Upih.

"Bot keselamatan kemudian pergi tempat kejadian untuk menyelamatkan bot ketiga, namun ia tidak dapat dikesan lagi. Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan oleh Markas Tentera Darat dan tumpuan pencarian adalah di sekitar pesisiran pantai.


"Usaha mencari dan menyelamat menggunakan pesawat udara 'Beach Craft' selain usaha menyelamat oleh anggota-anggota tentera dilakukan. Malah, Pusat Mencari dan Penyelamat Maritim Johor Baharu telah mengarahkan kapal-kapal dagang yang melalui kawasan itu untuk membuat pencarian di kawasan Linggi dan Port Dickson," kata Kementerian Pertahanan.

Operasi mencari dan menyelamat turut dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia.

Kementerian Pertahanan juga menafikan laporan akhbar bahawa mangsa adalah anggota Komando sebaliknya mereka hanya penuntut, dan menganggap kenyataan itu menjejaskan kredibiliti anggota yang sedia terlatih sebagai anggota elit Komando.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mangsa sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak dan laporan menunjukkan mereka berada dalam keadaan stabil.

Ketika ditanya mengenai latihan itu, beliau berkata latihan di perairan bagi penuntut yang mengikuti kursus asas komando Kem Sungai Udang akan diteruskan dengan tahap keselamatan yang dipertingkatkan.

"Ia tetap akan diteruskan seperti biasa meskipun keadaan laut yang bergelora akibat musim tengkujuh ketika ini. Kita akan tambah baik dari segi tahap keselamatan," katanya. - Bernama

'Hidup atau mati'

MELAKA - Hidup atau mati. Itulah apa yang dirasai hampir semua mangsa bot hanyut di perairan Selat Melaka, Sabtu lalu selepas bot tersebut dilanda ribut, dipukul ombak sebelum terbalik.

Malah, bagaikan memperoleh peluang hidup kali kedua, apabila bot jenis Assault dinaiki 13 tentera selamat kembali ke pantai kira-kira 1.20 pagi semalam selepas hampir 28 jam mereka bertarung nyawa berhadapan detik cemas di tengah lautan.

Pengalaman itu pastinya akan menjadi ingatan yang sukar dilupakan 11 pelatih Kursus Asas Komando dan dua jurulatih daripada Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) ketika menjalani latihan mendayung ke Pulau Nangka berhampiran Pulau Besar.

Pada malam kejadian, empat buah bot jenis Assault dan Titan dinaiki 35 pelatih, 10 jurulatih dan seorang pegawai dilanda ribut berhampiran Pulau Upeh dan hampir karam kira-kira 9.30 malam.

Namun, dua bot berjaya ditarik ke Pulau Upeh sementara bot dinaiki 13 mangsa gagal dikesan menyebabkan usaha mencari dan menyelamat dilakukan.

Seorang pelatih berusia 19 tahun yang berasal dari Pedas, Negeri Sembilan berkata, dia hanya mampu berpaut pada bot sambil bibirnya tidak berhenti membaca surah al-Fatihah.

“Hanya ALLAH yang tahu ketakutan yang dialami kami selepas bot terbalik. Tapi kami tabahkan hati dan cuba merapat dalam satu kumpulan demi mengelak daripada hanyut dan lemas.


“Dalam keadaan gelap kami terbalikkan semula bot sebelum cuba membuat layar, namun gagal apabila bot pula semakin dihanyutkan menuju ke tengah laut,” katanya ketika ditemui di Hospital Tentera Darat, Kem Terendak di sini, semalam.

Pelatih komando itu berkata, mereka dihanyutkan sehingga memasuki perairan antarabangsa dan perasaan takut kembali menjelma apabila berada terlalu lama dalam air.

Sementara itu, seorang lagi mangsa berusia 19 tahun dari Alor Setar, Kedah berkata, jurulatih cuba membaiki enjin bot pada malam kejadian dan keesokan harinya, tapi masih gagal.

"Jadi, kami berusaha dengan pelbagai cara termasuk mendayung menggunakan bekas makanan dan sebatang pendayung buatan.

“Nasib menyebelahi kami apabila usaha menghidupkan enjin kali ketiga berjaya dan kami terus rapat ke darat,” katanya.
-SH



JPJ Halang & Saman Lori Bantuan Mangsa Banjir


Mana perginya peri kemanusiaan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam membantu mangsa banjir di Kuantan? Saya sifatkan mereka sebagai tidak berhati perut dan kejam.”

Itu kata penyelaras bantuan tersebut, Nordiana Abdul Rahman yang kesal apabila lori muatan barangan mangsa banjir ditahan selepas tol Gombak dan dikenakan saman atas alasan membawa lebih muatan.

Jelas Nordiana, sepatutnya penguat kuasa JPJ yang menahan lori tersebut lebih berhati perut kerana barangan yang dihantar adalah untuk membantu mangsa banjir, bukan untuk dijual di pasar lambak.

“Kalau lebih muatan dan tidak benarkan lori meneruskan perjalanan, apalah salahnya benarkan kami keluarkan barang tersebut sehingga cukup muatan yang dibenarkan?

“Ini tidak, JPJ terus denda pemandu sebanyak RM150 manakala syarikat lori yang membawa barangan tersebut disaman RM450 tanpa ada tolak ansur sedikit pun,”
katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Lebih teruk, Nordiana memberitahu, penguat kuasa JPJ itu yang agak sombong dan kasar turut menggertak pemandu lori untuk membawa lori tersebut ke stesen penimbang yang bakal dikenakan hukuman lebih berat.

“Saya memang tak faham wujudnya anggota kerajaan yang tidak bertimbang rasa dalam membantu mangsa banjir. Kami pun bukannya boleh sampai ke Kuantan kerana laluan di tutup.

“Demi mangsa banjir, kami bayar denda tersebut dan saman syarikat akan diputuskan di mahkamah nanti seperti yang tercatat pada surat saman yang dikeluarkan,” ujarnya.

Menurut Nordiana, barangan tersebut dikumpul bersama sanak saudara dan sahabat handainya memang khusus untukmangsa banjir. Antara barang yang dikumpul untuk dihantar ke pusat banjir adalah pakaian, selimut dan makanan seperti beras, gula, susu, tepung dan sebagainya.

“Kami berusaha mengumpul barangan ini selama lima hari kerana kasihankan mangsa banjir tetapi apabila bertemu JPJ di tengah jalan, sudahlah tiada perasaan kasihan malah kami pula disaman dan didenda.

“Saya tahu apa tanggungjawab penguat kuasa JPJ cuma kesal kerana tidak ada pertimbangan langsung dalam membantu mangsa banjir yang amat memerlukan barangan tersebut,” katanya.–MalaysiaGazette

[BERGAMBAR] Rakaman Foto-foto Menarik Sekitar Banjir Dis 2013


Berikut ialah rakaman foto menarik banjir 2013 yang sedang melanda negara. Kredit diberikan kepada pemilik sebenar foto-foto berkenaan.



Tiga suku bahagian rumah ditenggelami air

Motorsikal digantung di pokok

Usaha menyelamatkan keluarga mangsa banjir ke bumbung rumah

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

Menyelamatkan seorang ibu menggunakan tangki air

Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan ikon permaisuri berjiwa RAKYAT ... Seorang kerabat diraja menyinsing lengan, memasak di kawah bersama RAKYAT

Tahirah Sofi bersama sahabatnya Ainul Nadirah meredah 1 km berjalan kaki harungi air ambil anak-anak yatim D'nasti dan warden yang terperangkap

Solat, tugas asas seorang Islam tidak diabaikan oleh para petugas penyelamat tanpa mengira apa jua keadaan

"Budak baju merah" mendapat kredit dari seorang bukan Islam

Makhluk Allah yang bernyawa seperti dua ekor kucing ini juga perlu diselamatkan.

Masjid Al-Fatah Gambang, air banjir yang keruh menjadi jernih membasahi lantainya

Pusat pemindahan banjir, Sekolah Kebangsaan Temai turut alami banjir, sekolah 4 tingkat kelihatan hanya tinggal dua tingkat

Yang bernikah tetap bernikah

Biar betul, kawasan ini bebas dari banjir?

9 Dis 2013

[VIDEO] Amazon.com Guna "Kapal Angkasa" Hantar Barang Kepada Pelanggan

Pembelian secara "online" bakal menjadi mudah. Perusahaan runcit online terbesar di dunia, Amazon.com, telah menyiapkan layanan menghantar barangan langsung kepada pembeli menggunakan pesawat seperti sebuah piring terbang angkasa atau sebuah mini-helikopter yang dinamakan "drone".

Pengarah Utama Amazon, Jeff Bezos menyatakan, "drone" disebut Octocopters, dapat mengirimkan barangan yang beratnya mencapai 2.3 kilogram kepada pelanggan dalam masa 30 minit bahkan kurang dari itu.

Namun, dia menambahkan bahawa layanan ini masih memerlukan waktu panjang untuk dimulakan. Kerana, US Federal Aviation Administration belum bersetuju membenarkan penggunaan pesawat tanpa pemandu untuk tujuan awam.

"Saya tahu hal ini seperti cereka ilmiah, tapi sebenarnya tidak," kata Bezos dalam program 60 Minit stesyen television CBS.

"Dari sudut pandang teknologi, kami telah sedia untuk beroperasi secara komersial dengan segera jika semua peraturan yang diperlukan siap."

"Suatu hari, Prime Air akan dilihat biasa seperti melihat trak-trak di jalanraya," tambahnya.

Amazon menayangkan rakaman video melalui lamanwebnya yang memperlihatkan drone mengambil barangan dari salah satu gudang dan menghantarnya di depan pintu rumah pelanggan.

Ruang udara awam diharapkan akan dibuka untuk semua jenis "drone" di AS pada 2015 dan di Eropah pada 2016.