12 Ogo 2012

[VIDEO] 50,000 Sambut Hari Belia Peringkat Negeri Selangor

Program Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor berjaya mendapat sambutan hebat dengan hampir 50,000 orang menghadiri majlis diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini bermula dari pagi hingga lewat malam semalam.

Program tersebut dimulakan dengan pertandingan memasak bubur lambuk dan pertandingan catur Piala Menteri Besar serta yang lain dengan penampilan selebrtiti popular tanahair seperti Diana Amir, Yatt Hamzah, Ali XPDC, Abby Abadi, Faizal Tahir, Man Raja Lawak serta Penceramah Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya berpuashati dengan sambutan diberikan kepada program itu yang mana ianya memberi gambaran ianya bertepatan dengan kehendak golongan muda di negeri Selangor.

“Saya berpuashati dengan usaha semua pihak terutamanya Penggerak Belia Tempatan (BT) di seluruh Selangor bagi menjayakan program ini. Program memasak bubur lambuk juga berjaya dengan lebih daripada sasaran yang kita tetapkan iaitu dari 100 meningkat kepada 121 penyertaan.

“Kehadiran malam ini (Program sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus) cukup baik dengan kemunculan beberapa artis yang tampil berubah dan ini memberi kekuatan kepada golongan belia bagi mencontohinya,” katanya kepada media selepas program tersebut berakhir semalam.

Program Sesi Soal Jawab Agama Bersama Ustaz Azhar Idrus turut disertai Man Raja Lawak, Faizal Tahir dan Abby Abadi mendapat sambutan yang mana ia berlangsung penuh lawak jenaka dan santai.

Dr Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri sesungguhnya mahu golongan anak muda atau belia turut serta dalam pembangunan negeri ini kerana anak muda mempunyai kekuatan dan pemikiran yang bernas.

Beliau berkata, menerusi program dijalankan itu menyaksikan gabungan Kerajaan Negeri dan anak muda berjaya menghasilkan satu kesan yang memberangsangkan.

Ustaz Azhar Idrus pula berkata, anak muda memang meminati hiburan dan sebagainya tetapi mereka ingin terlibat sama dalam program yang membawa kebaikan kepada diri mereka.

“Contohnya apa yang dibuat Kerajaan Negeri ini ada solat terawih, ada masak bubur lambuk dan yang lain, anak muda yang datang. Kalau program begini dibuat di kampung-kampung, orang tua saja yang datang. Kita boleh tengok sambutannya macam mana dengan berpuluh ribu yang hadir. Sewajarnya program ini kita teruskan. Kerajaan patut memberi keutamaan dan rakyat pula sokong,” katanya. -selangorku


Soalan Abby Abadi kepada Ustaz Azhar Idrus.



Sekali Lagi, "Tendangan" Kickdefella Mengena Diri Sendiri

Kickdefella mohon maaf kepada Ladang Rakyat

KOTA BHARU: Blogger mesra Umno, Syed Azidi Syed Abdul Aziz memohon maaf kepada Perbadanan Kemajuan Ladang Rakyat di atas fakta-fakta yang silap dalam bukunya "Ladang Rakyat Ladang Airmata Rakyat".

Beliau yang juga pemilik blog Kickdefella turut bersetuju membayar sejumlah kos kepada plaintif.

Permohonan maaf tersebut dibuat di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam kamar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Ladang Rakyat diwakili peguam Azahir Surainie dan Azizan Ariff, manakala Aisha Mubarak mewakili defendan pertama. Pada prosiding hari ini Hafizulamin hadir bagi pihak plaintif.

Defendan kedua kes terbabit Wadah Bakat Sdn Bhd sebagai penerbit buku berkenaan.

Ladang Rakyat sebelum ini menyaman Syed Azidi dan Wadah Bakat Sdn Bhd kerana memaparkan fakta tidak tepat terhadap agensi berkenaan.

Sebelum ini isu berkaitan Ladang Rakyat sering diketengahkan media dan blogger pro Umno bagi menghodohkan kerajaan negeri.

Pernyataan mohon maaf itu antara lain menyebut kami, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dan Wadah Bakat Sdn Bhd secara rela hati dan terbuka memohon maaf kepada Perbadanan Ladang Rakyat di atas kesilapan fakta dalam buku "ladang Rakyat, Ladang Airmata Rakyat".

“Kami menyedari terdapat beberapa elemen yang tidak mempunyai fakta-fakta tepat terhadap Ladang Rakyat dalam buku tersebut. Dan segala kehakiman di dalam buku tersebut amatlah dikesali.

“Dengan ini kami bersetuju menghentikan pengedaran buku berkenaan dan sesungguhnya menyatakan maaf di atas fakta-fakta yang silap dalam buku tersebut yang telah menjatuhkan reputasi plaintif sebagai sebuah perbadanan milik kerajaan negeri,” katanya.

Blogger terbabit dan Wadah Bakat Sdn Bhd juga memohon maaf kepada Ladang Rakyat di atas segala kesulitan yang timbul akibat penulisan dan penerbitan buku "Ladang Rakyat, Ladang Airmata Rakyat".

Peguam Hafizulamin berkata, atas persetujuan tersebut, saman yang dikenakan terhadap kedua-dua defendan ditarik balik.

Ulasan GB

Tepat seperti yang GB jangkakan sebelum ini. Nasihat GB supaya beliau menukar nicknamenya tidak mahu diindahkan.

Sebelum ini GB tulis:

p/s Dulu GB dah berpesan kepada para blogger, cari nickname tu biar elok sikit. Nickname tu sendiri sebenarnya boleh melambangkan perwatakan yang sebenar. Ia akan kembali kepada diri sendiri.

KICKDEFELLA - anda nak "kick" orang, berakhir nanti anda yang kena tendang, bukan sekali, malah bertubi-tubi selagi tak ubah nama itu. Dan apabila dah ubah nama, jangan lupa ubah sikap dan perangai. Itu lebih mustahak.


Murid Dicabul Guru Lebih Setahun Lalu

Kuala Lumpur – Rahsia kemurungan seorang murid perempuan berusia sembilan tahun terjawab apabila dia mendakwa dicabul guru lelaki sekolah itu sejak lebih setahun lalu.

Perbuatan itu terbongkar jam 5 petang Khamis lalu, apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya berusia lewat 30-an sebelum membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini.

Menurut sumber, mangsa mendakwa dicabul guru lelaki berusia 30-an itu sejak darjah dua.

“Guru lelaki itu dilaporkan memanggil mangsa datang dekat dengannya sebelum memegang alat sulitnya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa tidak berani menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, termasuk keluarganya, kerana bimbang dimarahi guru terbabit.

“Sejak itu, mangsa dilaporkan sering murung dan takut pergi ke sekolah. “Namun tak tahan diperlakukan demikian, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya.

“Terkejut dengan pengakuan itu, ibu mangsa bergegas ke sekolah untuk mengadu kepada guru besar. Selepas siasatan dilakukan pihak pengurusan sekolah, guru terbabit mengakui melakukan perkara keji itu,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di balai polis untuk tindakan lanjut. -hm

Poster Hina Pemimpin Pembangkang Diedar Di Pontian

Pontian - Pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia, kawasan Pontian, kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang didakwa mengedar poster gambar beberapa pemimpin tertinggi parti pembangkang dalam keadaan memalukan.

Penyelarasnya, Mohammad Saiful Amri Saifullah berkata, pengedaran poster yang menggunakan pelbagai kata-kata kesat terhadap pemimpin dan parti pembangkang turut dikesan dibuang di hadapan sebuah sekolah rendah di Benut, di sini.

Menurutnya, poster itu diedarkan di kawasan pekan kecil di Tampok, Ayer Baloi dan Benut, sejak awal pagi kelmarin.

Mohammad Saiful Amri mendakwa, kira-kira 300 poster dijumpai sepanjang kerja pembersihan dan pengutipan yang dijalankan bersama ahli pertubuhan.

Jelasnya, dia tidak menolak kemungkinan, jumlah poster yang dibuang mencecah angka ribuan memandangkan pihaknya masih menerima aduan daripada orang ramai dan ahli pertubuhan.

Tambahnya, poster berkenaan seperti menghina perjuangan parti pembangkang apabila secara terang-terangan mempermainkan gambar pemimpin tertinggi Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin lain.

“Selain gambar, kata-kata kesat yang sungguh memalukan kepimpinan tertinggi Pas turut ditulis di poster berkenaan yang jelas menunjukkan kebiadaban pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Lebih memalukan, perkara ini terjadi pada Ramadan dan sanggup diedar di hadapan sekolah rendah,” katanya kepada Sinar Harian, di Ayer Baloi, di sini, kelmarin.

Mohammad Saiful Amri berkata, poster berkenaan turut dicetak dalam saiz A4 atau seperti risalah bagi diedarkan dari rumah ke rumah di beberapa kampung dan kedai di kawasan pekan kecil, di sini.

Justeru, satu laporan polis di Balai Polis Ayer Baloi dibuat petang kelmarin, berhubung pengedaran poster itu.

“Kami mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan mencari dalang pelaku pengedaran poster ini, memandangkan hal sebegini sudah terlalu kerap berlaku,” katanya.

Menurutnya, perkara sama berlaku pada awal Januari lalu, tetapi ketika itu bilangan poster yang diedar tidak banyak berbanding yang terbaru ini.

Tegasnya, pihak yang mengedar poster ini perlu bertanggungjawab dan segera berhenti daripada melakukannya, kerana tindakan mereka jelas menunjukkan taktik politik kotor. -SH

Isu Kafir Harbi - Membongkar Kejahilan Pihak Yang Tuduh DAP Kafir Harbi

Kafir Harbi Tidak Wujud Selagi Tidak Tertegak Negara Islam - Haron Din

Tidak wujud istilah penggunaan ‘kafir harbi’ selagimana tidak tertegaknya sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar, tegas Datuk Dr Haron Din.

Dr Haron yang merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS ketika dihubungi TVSelangor berkata, polemik itu perlu hentikan segera kerana ia ditakuti boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Ujar beliau definisi kafir harbi itu merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh umat Islam.

Beliau juga mengingati agar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan kenyataan dan melabelkan sesuatu golongan itu agar berhati-hati serta berdasarkan hujah yang kukuh dalam menyampaikan pandangan.

“Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar.

“Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tidak perlu mengisytiharkan haram kepada umat Islam untuk menyokong DAP kerana ia hanya berkaitan perbezaan pandangan dalam politik.

Katanya, ia hanya persoalan politik dan bukan berkaitan soal apa yang boleh atau tidak seperti dalam bidang kesalahan jenayah.

Sebelum ini, kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah, dipetik Utusan Malaysia menyatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi. -TVS







GAMBAR BERBICARA: Inkuiri Suhakam - Penggunaan Gas Pemedih Mata Secara Membabi Buta


Siasatan awam pihak Suhakam ke atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman Bersih 3.0 telah bermula sejak 5 Julai yang lalu.

Terdapat beberapa anggota polis dan FRU yang melepaskan tembakan gas pemedih mata secara terus terhadap orang awam walhal mereka sepatutnya melepaskan tembakan dari jarak yang selamat bagi membolehkan peserta bersurai.

Seorang saksi terpaksa menderita hilang penglihatan mata sebelah kiri akibat terkena kelongsong gas pemedih mata yang ditembak dari jarak dekat. Dia baru sahaja bergraduasi dan telah kehilangan pekerjaan pertama akibat kecederaan yang dialami.

Beberapa saksi lain menyatakan terlalu banyak gas pemedih mata dilepaskan di kawasan sempit yang dipenuhi orang awam menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang untuk menyelamatkan diri. Diawal inkuiri, seorang saksi memberitahu panel siasatan bahawa dia telah terkena kelonsong gas pemedih mata di leher menyebabkan dia pengsan semasa kejadian.




[BERGAMBAR] Di Dataran Kemerdekaan Shah Alam Bersama Ustaz Azhar Idrus Malam Tadi


Ribuan orangramai hadir untuk mendengar Kuliah Soal Jawab Ustaz Azhar Idrus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi bersama Abby Abadi, Faizal Tahir dan Man Raja Lawak...


Faizal Tahir, Bila Lagi Nak Ikut Jejak Langkah Ali XPDC, Sham Kamikaze, Bob Lokman, Aishah, Abby Abadi & Zuar XPDC?... Macam Tak Lama Lagi Jer...






Tamrin Berjanji Kempen Habis-habisan Bersama PAS Kerana Yakin PAS Sangat Ikhlas


Tamrin keluar Umno, serah borang sertai PAS

Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Datuk Tamrin Ghafar akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.

Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.

Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.

Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.

Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.

"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.

"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.

Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.

Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.

"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Datuk (Seri) Abdul Hadi (Awang) dah lama.

"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan Umno," katanya. -HD


Dato' Tamrin Tun Ghafar sertai PAS..


Alhamdulillah, mlm ini di KUIZM Taman Melewar, Dato' Tamrin serah borang menyertai PAS kepada YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS.

Saya mula rapat dengan beliau setahun yang lalu dalam majlis makan tengahari bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau kerap menghubungi saya kerana berminat dengan perjuangan membela warga Felda. Sarapan pagi, makan tengahari dan minum petang adalah rutin kami bila bertemu di KL.

Beliau juga memperkenalkan kepada saya ramai bekas pemimpin UMNO dan tokoh2 VIP yang ingin tahu mengenai isu Felda. Saya seronok bersahabat dengan beliau. Apapun persepsi orang mengenai beliau, saya punya keyakinan dan sangka baik yg mendalam kesedaran beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan.

Banyak yang beliau ceritakan mengenai sejarah perjuangan ayahndanya, Tun Ghafar Baba. Bahkan kisah silamnya pun dia bagi tau. Dia tak mahu hipokrit; seolah2 masuk PAS ada agenda tertentu.

Saya mula cadangkan beliau sertai PAS sebulan setengah yang lalu. Walaupun dia dapat tawaran yg sama dari kekawan lain, dia setuju dengan pandangan saya.

Saya bertemu dengan beliau di Masjid Negara pada 11 Julai lalu dan menziarahi Maqam Pahlawan khususnya kubur Allayarham Tun Ghafar. Selepas itu ke rumahnya kerana beliau mengisi borang PAS di situ. Saya pencadang kepada borang keahlian beliau.

Saya cuma maklumkan hal ini kepada Dr Samsuri, Setpol Presiden PAS, Nasaie Ismail, SU Akhbar Presiden dan Sdr Adly Zahri Pesuruhjaya PAS Melaka agar dpt dibincangkan tarikh sesuai beliau sertai PAS. Borang beliau saya serah kepada Ust Md Khairul SU Kerja PAS Pusat.

Beliau maklumkan ujian nak sertai PAS. Ada pihak nak ugut beliau jika teruskan hasrat sertai PAS. Semlm lepas majlis buka puasa ANAK di Gombak, kami masih bincang lagi. Saya kata pada dia, PAS adalah parti yang memperjuangkan kebenaran dan Gerakan Islam. Sisa hidup kita;sumbang tenaga, idea dan wang ringgit utk ISLAM.

Tentulah saya gembira bila Dato' Tamrin masuk PAS. Masa dia isi borang PAS, menitis airmata saya terharu atas kesediaannya. Kalau ada orang nak perlekeh dan kutuk dia, terpulanglah. Kita bukan maksum, sempurna dari sebarang kesilapan...

Meskipun detik bersejarah malam ini, saya tidak dpt bersamanya, namun jauh di sudut hati saya timbul rasa bangga anak Bekas Timbalan Perdana Menteri bersama PAS. Alhamdulillah, syukur pada Allah!


oleh: Mazlan Aliman







Noriana Bersyukur Pilih Islam

Kuala Dungun - “Saya bersyukur kerana menjadi orang Islam, Alhamdulillah, sejak masuk Islam, rezeki pun bertambah.

Demikian luahan Noriana Abdullah, 47, seorang saudara baru yang juga ibu kepada enam anak yang memeluk Islam selepas melihat kehidupan abangnya, Yan Sin Abdullah, 51, berubah selepas menganut Islam.

Noriana atau nama asalnya Meria Bujang ketika berkongsi pengalaman hidupnya berkata, perkenalannya dengan suaminya sekarang, Mohd Nawi Daud, 49, seorang anggota polis, 29 tahun lalu, telah membuka jalan untuknya menjadikan agama suci itu sebagai pegangan hidupnya.

Katanya, selepas beberapa bulan berkenalan dengan Mohd Nawi, dia lebih dekat dengan Islam sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang berasal dari Machang, Kelantan itu.

Noriana kemudiannya memeluk Islam pada 13 September 1984 sebelum mendirikan rumah tangga dengan Mohd Nawi yang ketika itu bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Pusat, Miri.

“Selepas memeluk Islam, saya perlahan-lahan mempelajari ibadah seperti solat dan mengaji al-Quran di pejabat agama.

“Dari situ saya lebih dekat dengan ALLAH SWT, kini kehidupan saya jauh lebih baik dan saya bersyukur kerana menjadi orang Islam,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ulek Beach Resort pada program meraikan saudara baru anjuran Pejabat Agama Daerah di kafe cakna, dekat sini, malam kelmarin.

Menyentuh hubungannya dengan ahli keluarga lain selepas memeluk Islam, Noriana berkata, hubungan silaturahim dengan dua kakak serta keluarga mendiang ibunya, itu tetap rapat biarpun mereka berlainan anutan agama.

Katanya, jika ada rezeki lebih, dia akan pulang menjenguk dua kakaknya, Mary, 53 dan Tiew Geok, 58 yang kini menetap di Miri, Sarawak.

“Saya kini sedang berusaha untuk menarik dua lagi kakak saya agar sama-sama memeluk Islam selepas abang sulung saya Yan Sin lebih dahulu memilih agama suci ini sebagai pegangan hidupnya,”

Hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Mohd Nawi, dia dikurniakan enam cahaya mata masing-masing Nurfatihah, 28, Nur Fatma, 27, Mohd Alifdzar, 24, Mohd Fikri, 20, Mohd Redhuan, 18 dan Mohd Aqil Fahmi, 10. -SH

11 Ogo 2012

[BERGAMBAR] Monorel Terkandas Di Ibu Kota, 183 Terperangkap


Monorel terkandas di hadapan Wisma Monorail, Jln Tun Sambathan Brickfields, Kuala Lumpur. Dianggarkan lebih 100 orang terperangkap... Kerja-kerja penyelamatan sedang dijalankan oleh Bomba.Mari Doakan semoga semuanya selamat .

Monorel KL rosak, 183 penumpang cemas

KUALA LUMPUR - Kira-kira 183 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields hari ini.

Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 2.18 petang.

"Monorel itu tersangkut berhampiran Stesen Tun Sambanthan sejurus keluar dari stesen tersebut menuju ke Stesen seterusnya, iaitu Maharajalela," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata seramai 35 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Taman Desa, Pantai, Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.

"Kami menyelamatkan 63 mangsa menggunakan kren bomba dan selebihnya menggunakan kaedah 'train-to-train evacuation' untuk menolak tren terbabit ke stesen Tun Sambanthan," katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada kira-kira 4 petang.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali berkata kejadian berlaku pada 1.58 petang ekoran masalah 'traction Control' yang menyebabkan enjin berhenti secara automatik.

"Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa pada 4.30 petang selepas operasi membaik pulih monorel selesai," katanya.

Beliau berkata seramai tiga penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana seorang daripada mereka pengsan manakala dua lagi sesak nafas berikutan kejadian itu.

Sementara itu, seorang penumpang, Nur Izzah Nazihah Hasnul Bahrin, 14, dari Nilai, berkata sejurus sebelum insiden itu, tren yang bergerak seperti biasa tiba-tiba berhenti secara mengejut.

"Enjin tren berhenti secara tiba-tiba dan penghawa dingin juga tidak berfungsi," katanya.

Beberapa minit kemudian, beliau berkata semua penumpang mula cemas apabila terlihat dua orang pengsan akibat sesak nafas, selain keadaan yang panas di dalam tren itu.

"Satu jam kemudian, kami semua amat gembira apabila melihat anggota bomba tiba dan menyelamatkan semua penumpang," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari England yang hanya ingin dikenali sebagai Matthew, 27, berkata keadaan di dalam tren amat sesak sebelum beliau menaikinya di Stesen Tun Sambanthan untuk ke Stesen Maharajalela.

"Ketika tren tiba-tiba berhenti masih ada penumpang yang ketawa kerana tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku," katanya. - Bernama









foto: ondscene.my/bernama



Gambar Berbicara: Anda Mampu Menilainya!








BUKANKAH IA CUKUP JELAS DAN CUKUP NYATA?

MAKA PILIHAN KINI DI TANGAN ANDA!



Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[DEDAH] Mahathir Dalang Projek IC/Mykad Di Sabah Semasa Beliau PM

Parti-parti politik Sabah ‘seperti mati’ selepas era Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Parti-parti politik di Sabah seperti “sudah mati” selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa menjadi perdana menteri dengan kehadiran ramai pendatang tanpa izin ke negeri itu, kata timbalan pengerusi Parti Perubahan Negeri (Star), Daniel John Jimbun.

Beliau mendakwa projek IC Dr Mahathir telah menyebabkan ramai warga asing menjadi pengundi dalam pilihan raya dan kepentingan penduduk asal tidak lagi diambil kira.

“Kenyataan Dr Mahathir pada hari Rabu yang lalu tentang warga asing yang sudah tinggal di Sabah harus mendapat kewarganegaraan sangat membahayakan, dan Star mencabar parti-parti komponen BN di Sabah supaya keluar agar dapat membela warga tempatan,” katanya lagi.

“BN Sabah tidak seharusnya mempertahankan kenyataan Dr Mahathir, kerana kenyataan ini mendahului Suruhanjaya Di Raja (RCI) mengenai isu ini,” kata Jimbun lagi.

Katanya, dalam tulisan blog terbaru, Dr Mahathir seolah-olah menghalalkan mereka untuk datang ke negeri Sabah dan seterusnya mengenepikan warga asal Sabah.

“Seharusnya kita mempunyai Perlembagaan yang baru untuk tahun 1963, tetapi sebaliknya Perlembagaan yang digunakan adalah Perlembagaan Malaya yang kemudiannya ditukar menjadi Perlembagaan Malaysia.

“Tulisan beliau dalam blog menunjukkan beliau terlibat dalam Projek IC yang memberi MyKad kepada warga asing tanpa izin di Sabah,” kata Jimbun lagi.

Jimbun memberi contoh seperti Majid Kani yang dilahirkan di Tamil Nadu, dan tidak pernah tinggal di Sabah lebih dari sepuluh tahun mengikut perjanjian semasa Sabah menyertai Malaysia, namun diberikan MyKad dan dibenarkan mengundi.

“Pendatang tanpa izin tidak seharusnya diberikan kewarganegaraan hanya kerana kebolehannya bercakap bahasa Malaysia, tetapi kewarganegaraan harus diberi jika dia hanya memasuki negara ini dengan sah dan bukan dari jalan belakang,” kata Jimbun lagi.

Jimbun bagaimanapun berkata, pendatang tanpa izin ini perlu diberi pengampunan dan dilayan dengan penuh kemanusiaan, seperti menghantar mereka pulang, atau hanya mengenakan denda sekurang-kurangnya RM300 seperti di tahun 1965 di Semenanjung Malaysia, dan nama mereka perlu dibuang dari senarai pemilih pilihan raya.

“Adalah lebih baik pengampunan ini dilakukan sebelum pilihan raya umum ke-13 sejak banyak nama mereka berada dalam senarai pemilih, bahkan mereka ini ada yang bekerja dalam sektor kerajaan, termasuk di Jabatan Tanah dan memegang jawatan di jabatan-jabatan negeri dan persekutuan,” kata Jimbun lagi. -TMI


Mahathir: RCI Sabah tak perlu

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing diberikan kerakyatan atau lebih dikenali sebagai ‘Projek IC' di Sabah, tidak perlu.

"Mereka berhak minta kerakyatan. Saya harap kita tak ada usaha untuk keluarkan mereka.

"RCI sebenarnya tidak perlu. Kerajaan akan bermasalah jika mengetahui sebarang keputusan suruhanjaya itu.

"Pembangkang akan mengatakan perkara ini dimanipulasi dan jika tidak kerajaan yang akan dipersalahkan," katanya.

Selain itu, bekas perdana menteri yang berkhidmat kira-kira 22 tahun itu berkata, beliau sebelum ini juga pernah didakwa menjadi dalang memberikan kerakyatan kepada pendatang asing.

"Saya dituduh kononnya untuk bawa orang ini. Kita tak payah bawa, mereka datang sendiri. Mereka bukan orang asing.

"Mereka dah tinggal di Sabah sekian lama. Mungkin mereka rasa Sabah lebih selamat sebab itu mereka tinggal di sana," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas tema 'Janji Ditepati', Mahathir berkata, menjadi hak kerajaan sama ada ingin menggunakan tema itu atau tidak.

"Tema pembangkang itu tunjuk mereka sedang keliru tak tau nak buat apa. Tak apalah itu pembangkang.

"(Janji Ditepati) Itu kerajaan punya hak nak buat keputusan slogan yang dia guna. Kalau janji, mestilah kena tunaikan," kata Dr Mahathir.
-mk


Ulasan GB

Patutlah TDM kata RCI tidak perlu, rupanya beliau sudah tahu bahawa RCI akan membongkar skandal pemberian Mykad yang telah berlaku sejak beliau jadi PM lagi.

Bukti keresahan TDM ialah jawapannya ini:

"RCI sebenarnya tidak perlu. Kerajaan akan bermasalah jika mengetahui sebarang keputusan suruhanjaya itu."

Bangun rakyat Sabah, tolak BN pada PRU13 nanti!

Mengapa Polis Terang-terangan Beri Layanan Istimewa Kepada Shahrizat?

Gesa KPN jawab mengapa Shahrizat dapat layanan istimewa polis

KUALA LUMPUR 10 Ogos: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran mempersoalkan layanan istimewa polis terhadap pimpinan Umno semasa hadir ke perbicaraan mahkamah.

Katanya, Umno menggunakan polis seperti pasukan keselamatan peribadi mereka apabila mengawal ketat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang hadir ke mahkamah pagi semalam.

“Umno gunakan polis umpama pengawal keselamatan peribadi. Mengapa pimpinan Umno boleh dapat layanan istimewa seperti yang diperolehi Shahrizat?” tulis Surendran dalam twitternya.

Berikutan itu, beliau mahu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar menjawab berhubung perkara ini.

“KPN mesti jelaskan mengapa pimpinan Umno seperti Shahrizat boleh dapat eskot polis bila hadir ke mahkamah. Mengapa ada layanan istimewa?" soal Surendran lagi.

Terdahulu, sekumpulan polis berkawal di luar mahkamah menyambut ketibaan Shahrizat bersama konco-konconya, sebelum mengiringi beliau masuk ke mahkamah.

Turut serta, penyokong-penyokong beliau termasuk kalangan Wanita Umno diangkut menaiki van ‘Skuad Sayang’ untuk memenuhi ruang mahkamah. -KD



[VIDEO] Nelayan Bantah Projek Kolam Udang Milik Noh Omar

Tanjong Karang : Kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki oleh Datuk Seri Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berucap dalam bantahan itu berkata, Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

Suee Lim mendakwa memiliki dokumen yang menunjukan Noh memiliki tanah kerajaan semasa pentadbiran BN sedangkan rakyat Tanjong Karang dan Sungai Burong sukar untuk mendapatkan tanah bagi membina rumah.

“Tetapi ada pemimpin dapat tanah bukan satu dua ekar tetapi dapat 30 ekar iaitu Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, apa keistimewaan Noh Omar rakyat hendak tanya”? soal Suee Lim.

Menurut Suee Lim, beliau mendesak Noh tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kaitannya dengan projek kolam itu pada kadar segera.

“Kalau Noh gagal menjawab persoalan yang kita bangkitkan kenapa beliau boleh mendapatkan 30 ekar tanah dan apakah keistimewaan beliau, maka beliau perlu meletakkan jawatannya,” tegas Suee Lim.

Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman berkata kawasan itu tidak wajar diterokai kerana ia adalah tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai pemampan daripada berlakunya hakisan pantai.

“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan.

“Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar,” katanya.

Misran mendakwa sejak kewujudan kolam udang ini disyaki hasil kerang dan laut berkurangan sehinggakan menjejaskan pendapatan nelayan.

“Saya anggarkan yang terjejas daripada kewujudan kolam udang ini lebih daripada 1,000 orang,sekarang ini mereka tidak dapat pergi ke laut untuk mencari hasil,” katanya.

Sebelum ini, petani Manan Osman,54, mendakwa sebelum wujudnya kolam udang ini pendapatan para petani di kawasan ini agak lumayan berbanding sekarang ekoran kehadiran monyet-monyet yang banyak memasuki kawasan pertanian ekoran penerokaan hutan yang menjadi habitat hidupan liar itu.

“Saya memang membantah sekeras-kerasnya projek ini.Sikap Noh Omar tidak memahami hati rakyat,petani terlalu risau memikirkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kami sekarang,” ujarnya.

Sehingga berita ini ditulis, usaha Selangor Kini menghubungi Setiausaha Politik kepada Noh iaitu Datuk Mohammed Shafie Asnami untuk mendapatkan respon berkenaan bantahan petani berkenaan belum berhasil kerana beliau diberitahu masih berada dalam mesyuarat.

Noh Omar Sembunyikan Penglibatan Di Dalam Usahasama Kolam Udang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyembunyikan fakta dan gagal menjawab dakwaan yang beliau terlibat di dalam projek ternakan udang di Tanjong Karang.

Katanya, Noh gagal memberikan kenyataan balas mengenai dakwaan terdapat surat akuan sumpah syarikat Pristine Agrofood dan kaveat ke atasnya.

Dokumen tersebut kata Suee Lim, menunjukkan yang pengilbatan Noh di dalam kolam udang itu adalah lebih daripada pemilik tanah yang hanya menyewakan tanahnya semata-mata.

“Perkataan ‘usaha sama’ dalam dokumen itu membuktikan Noh Omar turut mengusahakan projek itu dan jika beliau menyatakan hanya menyewakan sahaja tanahnya, seharusnya perlu ada perkataan ‘tendency agreement’ iaitu perjanjian sewa.

“Beliau tidak boleh mengelak dan hanya menafikan tanpa memberikan fakta sebenar mengenai tanah miliknya dan projek udang itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Ng berkata, terdapat satu kaveat agar Noh terus menyewakan tanahnya seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Di dalam laporan portal Malaysiakini semalam, Noh berkata beliau menyewakan tanah seluas 30 ekar miliknya kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut.

Pengarah Pristine Agrofood, Chu Bak Teck juga turut menafikan penglibatan Noh Omar dan menyatakan beliau hanya menyewakan tanahnya sahaja.

Menurut Suee Lim, Noh Omar juga perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau mendapat tanah 30 ekar itu daripada Kerajaan Negeri dengan mudah.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai 12, Suee Lim mendedahkan yang Noh membeli tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Apakah keistimewaan seorang menteri yang boleh memiliki tanah seluas itu dan hanya membayar premium sebanyak RM 9,760 sahaja sedangkan rakyat terpaksa bersusah payah hanya untuk memiliki tanah sendiri,” katanya.

Di dalam dakwaannya sebelum ini, Suee Lim mendakwa nilai sebenar tanah itu ketika Noh membelinya adalah RM 3 juta.

Ng turut berkata, beberapa pendedahan susulan akan dibuat dan pihaknya sudah memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
-selangorku





KPN Perlu Hormat Mahkamah Yang Isytiharkan BERSIH & Pakaian BERSIH Tidak Haram

Janji Bersih bukan politikkan Merdeka - Pak Samad

Kuala Lumpur: Datuk A.Samad Said menyangkal dakwaan pihak polis kononnya program 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka 30 Ogos ini sebagai cuba mempolitikkan sambutan Merdeka.

Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berkata, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu janji Bersih lalu ditunaikan.

"Memang tidak wujud (mempolitikkan sambutan merdeka), oleh kerana Bersih sendiri itu pun bukan badan politik, apa lagi dengan gabungan badan-badan yang lain.

"Untuk IGP berfikir bahawa ini satu perlawanan oleh Bersih, itu tidak betul," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan di Gombak petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar gabungan NGO itu tidak mempolitikkan sambutan ambang merdeka dengan berbaju kuning di Dataran Merdeka 30 Ogos ini.

Semalam 26 NGO termasuk Bersih menyatakan hasrat untuk 'menguningkan' Dataran Merdeka dalam program dinamakan "Janji Bersih" bagi menuntut janji kerajaan untuk memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil pada malam ambang merdeka itu nanti.

"Kuning bukan warna yang haram. Kehadiran dengan baju kuning itu hanya simbolik.

"Perjuangan itu untuk menuntut janji bersih (yang belum ditunaikan)," katanya.


Ulasan GB

KPN perlu jelas bahawa tidak ada unsur politik di dalam program JANJI BERSIH kerana ia dibuat bersama 26 kelompok NGO. NGO bukan parti politik.

Dan lagi, KPN perlu menghormati keputusan mahkamah yang telah mengisytiharkan bahawa BERSIH bukan pertubuhan haram. Dan pemakaian baju BERSIH berwarnna kuning tidak salah di sisi undang-undang. Lihat berita-berita yang dilampirkan ini:

Bersih 2.0 Bukan Pertubuhan Haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 1 Julai tahun lepas yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata beliau membenarkan petisyen 14 anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, termasuk Datuk S. Ambiga, untuk membatalkan perintah menteri itu berdasarkan Bersih 2.0 terdiri daripada gabungan badan berdaftar.

Dalam penghakiman setebal 30 muka surat, Rohana memutuskan keputusan mengisytiharkan Bersih 2.0 sebuah pertubuhan haram dibuat tanpa mengambil kira fakta berkaitan atau mengambil kira fakta yang tidak relevan.

"Pada pendapat saya, keputusan itu dicemari kerana dibuat secara tidak rasional," katanya.


Rohana berkata alasan mengeluarkan pengisytiharan mengikut Sekysen 5 Akta Pertubuhan 1966, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman oleh menteri (responden pertama Hishammuddin), tidak boleh berubah dalam tempoh beberapa hari.

"Adalah tidak munasabah bagi sesebuah pertubuhan yang didapati menyalahi undang-undang untuk alasan serius, seperti digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara pada 1 Julai, dan kemudian tidak lagi pada 5 Julai 2011," katanya.

Pada 8 Julai tahun lepas, Ambiga dan 13 anggota berkenaan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah Hishammuddin yang mengisytiharkan gerakan itu sebagai pertubuhan haram.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai responden.

Selain memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan perintah itu, mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Rohana berkata walaupun boleh dikatakan Bersih 2.0 adalah sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud memudaratkan keselamatan sebelum perintah itu dibuat, ia tidak boleh menjadi kes seminggu, kerana selepas itu alasan berkenaan tidak lagi sah atau digunakan.

Rohana berkata mahkamah juga turut menimbangkan notis kehakiman kenyataan awam menteri (Hishammuddin) yang membenarkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau menekankan bahawa keputusan untuk mengharamkan Bersih 2.0 adalah menceroboh hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya.

Selain itu, beliau berkata tiada tindakan diambil di bawah Akta Pertubuhan terhadap pemohon walaupun mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan itu selepas menteri membuat pengisytiharan.

"Secara ringkas, Bersih 2.0 tidak boleh menjadi sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud menjejaskan keselamatan pada 1 Julai 2011, kemudian tidak lagi seminggu selepas itu. Malah sekiranya ia adalah sedemikian, jadi pengisytiharan itu harus diketepikan sewajarnya,"
kata Rohana.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata beliau perlu mengkaji penghakiman bertulis itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, seorang peguam pemohon, K. Shanmuga memberitahu pemberita dengan keputusan itu, Bersih 2.0 bukan lagi sebuah pertubuhan haram.
-mstar


Mahkamah bebas ahli PAS pakai baju Bersih

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Sesyen di sini, semalam membebaskan tanpa melepaskan dua ahli PAS yang ditangkap di Rompin 2 Julai lalu kerana memakai baju kuning berlogo Bersih 2.0.

Mohd Fadzli Ramly, 33, seorang peguam ialah AJK Pemuda PAS Pahang sementara Abdul Manaf Md Hassan, 41, merupakan AJK PAS Dun Tioman.

Ketika dihubungi, Mohd Fadzli berkata beliau masih belum berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mahkamah masih belum memulangkan baju-T yang dirampas daripadanya sebelum ini.

"Ini tuduhan mengarut dibuat akibat rasa terdesak kerajaan Umno dan BN hendak menyusah dan menakut-nakutkan rakyat yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami akan ambil tindakan saman ke atas kerajaan," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman.

Sebelum ini mereka dituduh di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana memakai baju sebuah pertubuhan haram.

Pendakwaan dilakukan ketua unit pendakwaan negeri Pahang, Kalmizah Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hon Kai Ping dan Hisham Ramzam di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki pakaian yang tertera tulisan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bersih dan adil bagi kepentingan suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di markas PAS Kampung Mentara, Rompin, kira-kira jam 10.50 malam, 2 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Kedua-duanya dikenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, turut meraikan pembebasan mereka ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusuf Embong dan ahli-ahli PAS.
-HD