2 Okt 2009

Era Zambry Kadir : Cukai taksiran naik berganda, Pas Perak bidas MBI

Pas Perak menyifatkan kenaikan cukai taksiran sebanyak empat kali ganda di sebuah kawasan perumahan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah sangat memeranjatkan dan dikesali.

Setiausaha Pas Tambun, Ahmad Khair Faizal Yahaya (gambar) berkata, kenaikan mendadak itu sekali gus mencerminkan urusan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), di negeri ini yang dilihat membelakangkan kepentingan rakyat.

Menurutnya, iaturut membuktikan bahawa Exco yang bertanggungjawab menguruskan pihak berkuasa tempatan (PBT), tidak berkredibiliti selain gagal membawa perancangan yang baik kepada warga bandar raya.

“MBI tidak sewajarnya mengabaikan tanggungjawab sosial mereka khususnya dalam soal berkhidmat kepada rakyat.

“Ianya berbeza pada ketika kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah apabila prinsip sosial ini dipertahankan selaras dengan polisinya iaitu negeri berkebajikan dan keadilan bagi semua kaum.

“Kenaikan cukai taksiran juga dilihat sebagai jalan singkat dalam menjana sumber kewangan MBI, namun apalah ertinya MBI memperolehi pendapatan berganda tetapi polisinya menindas rakyat?,” katanya kepada Sinar Harian.

Faizal berkata, ketika pemerintahan PR, ahli majlis MBI pernah menolak cadangan kerajaan pusat agar PBT menswastakan pengurusan kutipan sampah kerana bimbang ianya bakal membebankan rakyat dari segi kos pengurusan yang perlu ditanggung sendiri oleh mereka.

Katanya, ahli majlis yang dilantik pada ketika itu melibatkan ahli politik serta anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan wakil-wakil dari golongan profesional, dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi konsep pengurusan (check and balance).

“Malangnya, rakyat tidak sempat merasai kenikmatan berkenaan akibat berlakunya peralihan kerajaan di negeri Perak.

“Justeru, saya memohon agar pihak MBI dapat mempertahankan prinsip pengurusan yang telah dilaksanakan ahli majlis PR sebelum ini kerana yakin bahawa rakyat turut mengharapkan agar kenaikan cukai taksiran ini dibatalkan,” katanya.

Era Najib Altantuya : BN Ghairah Mahu Menang Sanggup Letak Calon Politik Wang

Barisan Nasional (BN) ternyata ghairah menginginkan kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sehingga sanggup mengetepikan nasihat dan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, nasihat Tun Mahathir yang tidak mahu BN mencalonkan pemimpin yang mempunyai kesalahan politik wang bukan nasihat sembarangan sebaliknya untuk masa depan parti itu sendiri.

“Sebab itulah mereka tetap calonkan Isa tanpa mengambil kira rekodnya yang pernah terbabit dalam politik wang dan saya merasakan pencalonan ini jelas menggambarkan pandangan Tun Mahathir tidak lagi diguna pakai.

“Saya berpendapat BN telah membuat kesilapan besar dengan mencalonkan Isa,” katanya, semalam.

Menurutnya, Pakatan Rakyat yakin melakukan kejutan dan perubahan yang besar di Bagan Pinang.

“Walaupun Tun tidak mahu berkempen di Bagan Pinang, itu bukanlah persoalan buat kami kerana kami tetap menjalankan kerja buat seperti biasa,:” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya berkata, ketidakhadiran Tun Dr Mahathir ke Bagan Pinang tidak memberi impak pada PR.

Katanya, sama ada hadir berkempen atau tidak, PR tetap berkempen dalam memastikan calon Pas, Zulkefly Mohd Omar meraih kemenangan.

"Rakyat perlu bijak memilih calon pilihan mereka dengan tepat agar tidak timbul masalah di kemudian hari. Calon bersih daripada pelbagai aspek, sudah tentu menjadi pilihan rakyat. Sebaliknya, calon yang pernah terbabit dengan rasuah dan telah dijatuhkan hukuman oleh parti itu sendiri, sudah tentulah akan ditolak mentah-mentah oleh pengundi di kawasan itu,” katanya. -SH

Era Najib Altantuya : Tiada Akta Larang Naikkan Bendera

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution menegaskan bahawa tiada sebarang akta yang melarang mana-mana parti tidak bertanding dalam pilihan raya kecil yang diadakan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sewajarnya melarang parti tidak bertanding memberi sokongan kepada parti komponen yang bertanding.

Menurutnya, PKR tidak menolak kemungkinan akan menaikkan bendera parti pada pilihan raya kecil Bagan Pinang sebagai tanda sokongan kerana sehingga kini tiada sebarang akta melarang parti yang tidak bertanding berbuat demikian.

“Sehingga kini tiada akta yang diperuntukkan untuk melarang mana-mana parti politik yang tidak bertanding dalam pilihan raya.

“Selagi tiada akta yang melarang kita untuk menaikkan bendera parti, selagi itu kita akan teruskan (menaikkan bendera) untuk memberi sokongan kepada calon Pas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, dalam peraturan pilihan raya terdapat lapan akta yang telah diperuntukkan oleh SPR namun tiada satu akta pun yang jelas melarang bendera parti yang tidak bertanding dipamerkan.

Menurutnya, selagi tiada akta yang menghalang bendera parti dinaikkan, PKR, Pas dan DAP akan tetap menaikkan bendera mereka dalam pilihan raya yang akan datang sebagai tanda sokongan kepada parti komponen PR yang bertanding.

Beliau berkata demikian bagi merujuk larangan menaikkan bendera kepada parti yang tidak bertanding oleh SPR pada pilihan raya kecil terdahulu.

Sebelum ini, parti komponen PR akan turut menaikkan bendera dalam mana-mana pilihan raya yang melibatkan parti komponen tersebut tersebut sebagai tanda sokongan.

PKR dan DAP turut menaikkan bendera pada pilihan raya kecil terdahulu seperti di Permatang Pasir dan Manek Urai.

ERa Najib Altantuya : Ahli DAP Seluruh Negara Bantu PAS Di Bagan Pinang

Semua petugas DAP akan bertumpu kepada Pusat Penyelaras DAP yang dilancarkan di Batu 9 Jalan Teluk Kemang di sini kelmarin, ujar Pengerusi DAP negeri Terengganu, Ng Chai Hing.

Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran itu memberitahu, pusat tersebut akan menjadi penyelarasan semua gerakerja kempen DAP bersama Pakatan Rakyat.

Sebuah laman online memetik beliau sebagai berkata, "Ia akan jadi pusat penyelaras bagi pilihanraya kecil bagan Pinang,

"Ahli DAP seluruh negara akan bertumpu ke kawasan ini," katanya selepas majlis pelancaran pusat tersebut.

Menurutnya, PRK Bagan Pinang merupakan satu pilihan raya yang sengit yang memerlukan semua petugas Pakatan Rakyat bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

Katanya, DAP Terengganu akan menurunkan 10 orang petugas yang akan membantu kempen pilihanraya tesebut selepas penamaan calon.

Menurutnya lagi, jentera DAP telah turun padang menemui pengundi bersama-sama dengan jentera Pakatan Rakyat dari PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Selepas kematian bekas wakil rakyat (BN), aktiviti untuk menggerakkan jentera telah dilakukan termasuk aktiviti turun padang dilakukan bersama PAS dan Keadilan.

"Kita berharap ia akan mendatangkan hasil yang baik untuk memenangi pilihan raya kcil DUN Bagan Pinang," ujarnya.

Era Najib Altantuya : Kedudukan Badrul Hisham Ditentukan Akhir Bulan Ini

Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah akan ditentukan akhir bulan ini bagi memastikan sama ada beliau boleh meneruskan khidmatnya di kawasan itu atau sebaliknya.

Hal ini diputuskan oleh Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan isu kesihatan wakil rakyat berkenaan sehingga sukar menumpukan perhatian kepada tugasnya.

“Kita masih lagi belum dapat berhubung terus dengan adun tersebut tapi kita jangkakan sebelum akhir bulan oktober ni kita buat keputusan yang terbaik untuk kita adakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (Mtes) di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini.

Khalid berharap Badrul dapat memberi kerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah yang dihadapinya secepat mungkin.

“Kita berharap adun pelabuhan klang ini mengambil sikap supaya beliau telah dipilih oleh rakyat, dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan dapat menolong beliau menjalankan tugas.

“Kita percaya rakyat memahami beberapa kekurangan yang beliau hadapi, tetapi kita berharap hal ini dapat kita selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Di samping itu, jelas Khalid, tiada tindakan akan diambil sekiranya beliau ingin terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan parti.

“Itu terpulang, kalau beliau terus ingin bekerjasama dengan kita, takdelah tindakan yang kita lakukan, malah kita kan bekerjsama dengan beliau dan keluarga dan parti keadilan di sana untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat di sana,” katanya.

Awal tahun ini, Adun Pelabuhan Klang itu dilaporkan akan meninggalkan Pakatan Rakyat oleh media arus perdana. Bagaimanapun Badrul kemudian mengumumkan pendirian untuk terus bersama kerajaan Pakatan Rakyat.



Era Najib Altantuya : Saiful Hina Mahkamah

Mohd Saiful Bukhari Azlan bertindak menghina mahkamah apabila membuat tuduhan kononnya sistem perundangan negara memihak mantan timbalan perdana menteri itu, kata peguam Anwar Ibrahim.

Dalam blognya, Saiful merungut kerana Mahkamah Tinggi membenarkan Anwar mengemukan beberapa permohonan, antaranya bagi mendesak pihak pendakwaraya menyerahkan bukti untuk membolehkan Anwar menyediakan pembelaannya.

Sebagaimana yang dijangka Utusan Malaysia tajaan Umno memberi liputan meluas kepada tulisan Saiful dalam blognya itu.

Peguam Sankara Nair berkata Utusan dan Saiful sengaja mengenepikan hakikat bahawa tuduhan liwat yang dibawa terhadap Anwar adalah “karut” dan tanpa bukti.

Beliau berkata Anwar tidak ada pilihan kecuali membuat pelbagai permohonan yang difikirkan wajar bagi membela diri kerana ia termaktub dalam prinsip undang-undang negara.

“Apa yang dikatakan tidak benar kerana seseorang yang telah dituduh patut diberi apa-apa dan sebanyak boleh ruang untuk membela diri termasuk untuk membuat segala-gala permohonan yang wajar dan patut untuk membela diri," katanya.

Beliau berkata segala tindakan yang diambil oleh Anwar adalah mengikut “prinsip undang-undang di negara kita dan Komanwel.”

“Ini adalah hak asasi tertuduh. Saiful boleh mendakwa kononnya haknya dicabul, tetapi hakikat dalam kes ini ialah hak orang yang tertuduh lebih tercabul. Ini adalah prinsip undang-undang di negara kita dan Komanwel,” katanya kepada TV Antara.

Sankara berkata Saiful menghina mahkamah apabila membantah keputusan mahkamah membenarkan Anwar mengemukakan permohonan bersabit kers itu.

“Apa yang dia katakan atau komen di blog sebagai peguam kita anggap seolah-olahnya menghina mahkamah. Dia kata mahkamah telah memberikan ruang,seolah-olah mahkamah salah untuk berbuat demikian. Itu menghina mahkamah," katanya.

Sankara turut membidas kenyataan bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim bahawa permohonan yang dibuat Anwar seolah-olah satu strategi untuk melengahkan perbicaraan.

“Kalau dia berkata begitu pertama sekali kita hendak bertanya siapa yang memberi nasihat kepada dia? Adakah dia itu seorang yang beramalan dalam undang-undang untuk membuat kenyataan begitu.

“Sebab hak asasi adalah berdasarkan hak-hak yang diberi kepada tertuduh yang telah dijamin oleh undang-undang. Saya pun kurang faham bagaimana mereka mentafsir sesuatu perkara,” kata Sankara.

Anwar dituduh kononnya meliwat Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun tahun lalu. Tuduhan itu dilihat banyak pihak sebagai mencurigakan kerana laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur dan doktor Hospital Pusarawi mendapati tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful mangsa liwat.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas berjumpa dengan Presiden Umno, Najib Razak ketika parti itu sedang cuba menundukkan Anwar pada pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Pertuduhan kali kedua itu, sebagaimana pertuduhan kali pertama ditolak oleh rakyat. Anwar menang kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti lebih besar dan diangkat sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.


Era Najib Altantuya : Ugutan Bunuh, Teresa Kok Buat Laporan Polis

Lebih setahun selepas kejadian rumah keluarganya di baling bom petrol, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa beliau menerima satu lagi 'ugutan bunuh' semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai ugutan tersebut di balai Pandan Indah hari ini, Teresa berkata, ugutan tersebut dimuatkan ke dalam blognya 'Sassy MP'.

Menurutnya, ugutan tersebut dimuatkan pada jam 10.37 pagi semalam di bawah nama 'Hanturaya'. Meseg itu berbunyi: "Teresa, kau ni patut diajar dengan darah. Terima kasih".

Komen itu, tambahnya, dimuatkan di bawah laporan "A Second DAP members' branch", yang merujuk kepada penubuhan cawangan DAP sewaktu sambutan Hari Raya baru-baru ini.

"Saya juga difahamkan bahawa komen itu dimuatkan melalui alamat IP 120.141.120.96," kata Teresa yang juga exco kerajaan Selangor dan ADUN Kinrara.

Katanya, beliau perlu membuat laporan polis itu "untuk melindungi diri saya dan keluarga daripada apa juga bentuk ancaman".

"Saya bimbangkan keselamatan kami kerana kami pernah diserang dengan bom petrol oleh pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan saya.

"Saya harap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat segera perkara itu," katanya.

Pada 27 September tahun lalu, rumah keluarganya di Jalan Ipoh di Kuala Lumpur dibaling dengan dua bom petrol pada awal pagi berkenaan.

Teresa, 45, telah dilaporkan berkata ketika itu bahawa ia mungkin ada kaitan dengan penahanannya di bawah ISA pada 12 September kerana didakwa membangkitkan isu-isu mengenai Islam. Dia dibebaskan seminggu kemudiannya.



1 Okt 2009

Inkues Teoh Beng Hock : Pemilik DNA Misteri DIketahui Esok

Pemilik DNA lelaki misteri yang dikesan pada tali pinggang dan blazer Teoh Beng Hock akan diketahui esok berikutan adanya penemuan terbaru ahli Kimia.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia memaklumkan perkara tersebut dalam inkues kematian setiausaha politik itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini dan beliau turut memberitahu bahawa ahli kimia, Dr Seah Lay Hong akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berkaitan perkara itu.

Katanya, seorang lagi ahli kimia akan dipanggil untuk memberi pandangan terhadap hasil siasatan Dr Seah itu dan beliau juga akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan hasil siasatan.

Laporan terbaru ini merupakan hasil siasatan kali ketiga Dr Seah berkaitan perkara sama yang mana hasil sisatan sebelum ini gagal menemui lelaki misteri yang mempunyai kesan DNA pada kedua-dua tempat itu.

Dalam siasatan kedua, Dr Seah telah menganalisis profil DNA bagi 157 individu untuk perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari jabatan patologi forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 49 pegawai polis, 81 pegawai SPRM, dua tukang cuci, lapan kakitangan penyelenggaraan dan keselamatan dan tiga saksi individu.

Manakala pada siasatan pertama hanya melibatkan 102 tetapi kedua-duanya gagal menemui pemilik DNA misteri ini dan ia hanya dinamakan 'male 1'.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati, 16 Julai lepas di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kira-kira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan dakwaan salahguna wang oleh ahli majlis exco negeri.

Sementara itu abang Teoh, Beng Kee, 33, yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke-24, memberitahu adiknya itu tidak mempunyai sebarang masalah kewangan walaupun menerima gaji bersih RM1,500 sahaja.

Malah katanya, adiknya itu juga tidak pernah mengadu mengenai sebarang masalah sebaliknya beliau adalah seorang yang penyayang serta suka membantu.

Beng Kee berkata, sekiranya Teoh mempunyai masalah beliau selalunya akan memberitahu kepada ahli keluarga.

Sebelum itu, Peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertanya tentang tindakan Teoh yang ingin menyegerakan perkahwianan dengan teman wanitanya Soh Cher Wei kerana wanita itu telah mengandung, Beng Kee berkata: "Setuju"

Bagaimanapun Beng Kee tidak bersetuju bahawa Teoh mempunyai masalah kewangan ekoran majlis yang tergesa-gesa itu kerana Teoh mempunyai wang simpanan.

Majlis perkahwinan Teoh sepatutnya berlansung Sabtu ini (3 Oktober) dan pada 18 Julai (dua hari selepas kejadian) Teoh dan Soh perlu mendaftarkan perkahwinan mereka serta menghadiri majlis fotografi.

Selain itu Beng Kee yang merupakan anak kedua daripada empat beradik mengakui tidak begitu rapat dengan Teoh dan jarang berhubung antara satu sama lain.

Beng Kee turut memberitahu bahawa Teoh tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak pernah menerima apa-apa rawatan.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarganya sama ada Teoh mempunyai sebab untuk membunuh diri, Beng Kee berkata: "Tiada."

Bakal pengapit di hari perkahwinan Teoh, Woo Chuan Sing, 30, yang memberi keterangan selepas Beng Kee turut memberitahu, bahawa rakannya itu tidak pernah bercerita tentang sebarang masalah kepadanya.

Katanya, Teoh yang dikenalinya ketika sama-sama belajar di universiti dahulu telah menghubunginya sehari sebelum kejadian (15 Julai), pada pukul 8.36 pagi, untuk mendapatkan jawapan mengenai undangan ke majlis perkahwinannya dan Woo berkata beliau hanya menjawab "akan hadir."

Tetapi sebelum itu Woo berkata Teoh telah menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS)pada pukul 7 pagi untuk memaklumkan mengenai perkahwinan itu dan meminta beliau menjadi pengapitnya tetapi SMS itu tidak dibalas kerana masih tidur.

Selain perbualan itu, Woo berkata tiada lagi sebarang perbualan lain.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung esok. -Bernama

Era Najib Altantuya : Hong Kong Rampas Wang Musa Aman?

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin berlepas ke Hong Kong sebentar tadi untuk mendesak Badan Pencegah Rasuah Hong Kong menyoal siasat sekutu Ketua Menteri Sabah Musa Aman berhubung kes penyeludupan dan pengurupan wang RM16juta.

Michael Chia ditahan di Hong Kong pada Ogos lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Hong Kong apabila cuba berlepas dari wilayah China itu menuju Kuala Lumpur, membawa wang berkenaan.

Shamsul mengesahkan beliau akan membuat laporan terhadap Chia dengan pihak berkuasa Hong Kong esok. Laporan itu bertujuan mendesak supaya siasatan terperinchi dijalankan terhadap Chia dan Musa bersabit wang berkenaan.

Wang itu dikatakan mempunyai hubung kait dengan lesen membalak di Sabah yang membawa pulangan lumayan kepada ahli politik Barisan Nasional di negeri itu.

Blog-blog di Sabah telah memberikan liputan meluas kepada penangkapan Chia.

Berikut disiarkan satu daripada laporan itu yang dipetik dari blog "Deep Throat Sabah" yang mendakwa Chia ialah adik angkat Ketua Menteri Sabah.

Penangkapan adik angkat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman iaitu Michael Chia di Hong Kong pada jam 2.35 petang khamis (14 Ogos 2008) telah membongkar misteri di sebalik enigma.

Michael Chia ditangkap polis Hong Kong di Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong ketika ingin menyertai penerbangan ke Kuala Lumpur.

Menurut sumber rapat Polis Hong Kong dan Interpol, mereka telah memantau kegiatan haram Michael Chia sejak tiga tahun lalu dan akhirnya berjaya menangkap Michael bersama bukti wang tunai Singapura bernilai RM16 juta yang diseludup keluar daripada Hong Kong di dalam beg pakaiannya.

Setelah disoalsiasat, Michael merayu agar dibebaskan kerana wang berkenaan milik Musa Aman dan beliau hanyalah agen membawa keluar wang berkenaan ke Kuala Lumpur bagi membantu meringankan beban kewangan Barisan Nasional dalam proses penamaan calon di Permatang Pauh dan sebahagiannya untuk kegunaan pilihanraya kecil berkenaan.

Penangkapan ini membuatkan Musa Aman berang dan bimbang beliau akan terjerat berikutan penahanan Michael Chia bersama bukti dan lebih malang lagi apabila akaunnya di beberapa bank di Hong Kong dibekukan serta merta.

“CM (Musa) marah betul atas kebodohan Michael Chia kerana bawa wang tunai. Kenapa tidak TT (Telegraphic Transfer) saja? Saya rasa CM kita dalam bahaya,” ujar Datuk Amin Khan, seorang proksi Musa Aman ketika memberitahu rakannya yang juga Datuk melalui telefon di sebuah coffe house hotel terkemuka yang sempat didengar wakil Malaysia Today di Sabah yang secara kebetulan menikmati makan malam di situ.

Penangkapan suspek ini mengejutkan semua pihak terutama Badan Pencegah Rasuah Sabah kerana Michael Chia tidak boleh meninggalkan Negara ini tanpa mendapat izin BPR kerana pasportnya dalam simpanan BPR atas beberapa pertuduhan rasuah bersama Loh Man Heng.

Michael yang sebelum ini ditangkap bersama rakan kongsi Musa Aman, Loh Man Heng dan Chong ‘Khung Long’ (Chong Dinasour) kemungkinan akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Hong Kong pada hari ini bagi menghadapi pertuduhan penyeludupan wang dan pengurupan wang haram (Money Traficking dan Money Laundering).

Penangkapan Michael ini memberi tamparan hebat kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan kerana desas desus yang tersebar meluas mengatakan bahawa Kes Rasuah Loh Man Heng telah ditutup berikutan pengakuan Loh Man Heng sendiri bahawa beliau telah membayar sejumlah RM4 juta melalui pegawai kanan BPR, Mohd Jamidan Abdullah yang sebelum ini menutup kes Musa Aman dalam kegiatan pembalakan haram di Keningau.

Sebelum ini, Pengurus Besar Operasi Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong yang sering kelihatan bersama dengan Michael Chia di Hong Kong dan Singapura untuk menjalankan transaksi kewangan bagi pihak Musa Aman.

Namun bak kata pepatah moden, sepandai-pandai ayam melompat, akhirnya menjadi KFC, Michael Chia terjebak walaupun sebelum ini telah berjaya melakukan traksaksi pemindahan wang dalam jumlah yang besar, namun kali ini tertangkap kerana gelojoh membawa wang tunai dengan jumlah melebihi had yang dibenarkan.

Musa Aman begitu mempercayai Michael Chia kerana syarikat bapa Michael, Chia & Sons telah banyak membantu Musa di era beliau membina kerjaya dalam bidang pembalakan dan kontrak, terutama penyewaaan skau (tongkang) untuk menarik kayu balak Musa.

Apabila Musa menjadi Pengarah Yayasan Sabah dan Ketua Menteri Sabah, Michael telah menjadi ‘Taiko’ dalam bidang perhutanan terutama di konsesi Yayasan Sabah.

Michael turut dibantu oleh Chong ‘Khung Long’ atau yang digelar ‘Dinosour’ kerana kegiatannya dalam bidang pembalakan haram untuk membekalkan balak kepada Michael selain daripada konsesi dengan kerjasama Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan @ Sam Singh.

Berita penangkapan Michael Chia belum diketahui umum namun tidak mengejutkan penduduk Sandakan kerana selama ini beliau menunjukkan kekayaan luar biasa dan hidup mewah dengan memiliki sekurang-kurangnya dua bungalow dan 17 kereta mewah, selain harta yang dibeli di Hong Kong dan Singapura.

Era Najib Altantuya : Korban Gempa Meningkat Lebih 500 Orang

Gegaran susulan dijangka akan berterusan untuk beberapa hari ekoran gempa bumi berskala 7.6 Richter yang berlaku di Padang, Sumatera barat, semalam.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana kekuatan gempa bumi susulan yang berlaku hari ini dan pada beberapa hari akan datang dijangkakan semakin lemah, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

JMM berkata sejak semalam, lapan gegaran susulan direkodkan berskala 4.5 hingga 6.8 Richter.

Satu daripadanya sekuat 6.8 skala Richter turut dirasai di Semenanjung pada pukul 9.53 pagi hari ini iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"JMM akan sentiasa memantau dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku serta mengeluarkan amaran sekiranya berlaku ancaman tsunami kepada Malaysia," katanya.

JMM berkata gempa bumi yang menyebabkan ramai terkorban dan kemusnahan yang teruk di Padang telah menyebabkan tsunami kecil setinggi 0.27m sekitar Padang dan tidak mengancam Malaysia.

Ramai lari keluar dari bangunan tinggi di beberapa tempat di pantai barat Semenanjung apabila gegaran turut dirasai petang semalam.

Sementara itu, Jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat petang semalam masih bercelaru dengan pelbagai laporan menyebut antara 215 orang hingga hampir 500 orang terkorban setakat tengah hari ini, ketika usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan.

Pemerintah Indonesia bagaimanapun menganggarkan jumlah kematian akan mencapai angka ribuan kerana masih ramai mangsa yang dikhuatiri tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan lebih 1,000 bangunan termasuk hotel dan rumah serta prasarana lain.

Laporan beberapa pihak berkuasa setempat sehingga tengah hari ini menyebut lebih 100 mangsa dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan Hotel Ambacang di tengah Kota Padang dan lebih 60 murid pula terperangkap dalam bangunan tiga tingkat tempat mereka sedang mengikuti tuisyen ketika kejadian pada pukul 5.16 petang semalam.

Visual TV tempatan menunjukkan anggota tentera, ibu bapa dan orang ramai masih berusaha mencari dan menyelamatkan muridmurid itu, termasuk dengan menggunakan kudrat tangan kosong cuba mengalihkan tiang dan dinding konkrit yang sangat tebal, diiringi jerit tangis kaum keluarga yang menunggu.

Daripada hotel Ambacang pula, kelihatan seorang wanita berjaya di selamatkan dalam keadaan letih lesu dan terus dikejarkan ke hospital, pada ketika beberapa hospital termasuk Hospital Mohamed Jamil dilaporkan sudah tidak cukup tangan menangani mayatmayat mangsa yang dibawa ke situ.

Sejumlah orang juga dilaporkan masih terperangkap dalam runtuhan bangunan Hotel Bumi Minang, yang merupakan satu daripada hotel yang digemari rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana.

Maklumat dari pusat bencana di Pejabat Gabenor Sumatera Barat pula menunjukkan 215 orang disahkan mati di tiga lokasi utama yang paling teruk dilanda gempa iaitu di Kota Padang (139 orang), daerah kecil Padang Pariaman (62) dan Kota Pariaman (14).

Ketika keadaan di Kota Padang, Padang Pariaman dan Kota Pariaman masih kelam kabut, pagi ini Pulau Sumatera digoncang lagi oleh gempa bumi berkekuatan 7.0 SR di Jambi, berpusat di KM 46 ke tenggara Sungai Penuh pada kedalaman 10 KM di daratan pada pukul 8.52 pagi, dan gempa 5.5 SR berdekatan pada pukul 9.20 serta gempa 5.1 SR di Sipura Mentawai pada pukul 10.34 pagi.

Pemerintah Indonesia mengisytiharkan keadaan darurat bagi provinsi Sumatera Barat dan pelbagai bantuan ubat, makanan dan minuman dilapor telah dikirim ke sana dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang baru pulang dari Amerika Syarikat dijadual melawat Padang hari ini.

Di Malaysia, pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati lima bangunan tinggi di sekitar Lembah Klang mengalami keretakan kecil akibat gempa bumi yang berlaku petang semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata keretakan tersebut dikesan hasil pemeriksaan terhadap 47 buah bangunan tinggi di seluruh negara selepas penghuninya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan turut merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan.

"Ini bukan bermakna hanya 47 buah bangunan tinggi sahaja yang merasai gegarannya kerana ada juga pemilik bangunan tinggi lain yang tidak melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Bagaimanapun retakan yang berlaku di lima buah bangunan tinggi itu didapati tidak serius selepas pemeriksaan oleh jurutera dan pihak yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Sains, Teknologi dan Angkasa (SAINTEK) Perak 2009 di Stadium Indera Mulia di sini Khamis.

Katanya walaupun tiada kemalangan jiwa dan kerosakan harta kesan daripada gempa bumi berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan menyelamat pada bila-bila masa diperlukan.

Gempa bumi semalam dituruti oleh satu lagi gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan Sumatera Selatan iaitu kira-kira 162 km di Barat Laut Bengkulu, Indonesia pada pukul 9.53 pagi tadi.


Era Najib Altantuya : Shahruddin Dipecat Jika Tanding Bebas

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memecat Anggota Jawatankuasa PKR Bahagian Telok Kemang, Shahruddin Abdul Hamid sekiranya bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Okt depan.

Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Saifudin Nasution Ismail berkata bagaimanapun siasatan status keanggotaan ahli itu akan dibuat terlebih dahulu sekiranya hasrat untuk bertanding menjadi kenyataan pada hari penamaan calon 3 Okt ini.

"PKR ada keadah-kaedah tertentu dan jikalau sabit untuk bertanding melibatkan pelanggaran disiplin parti akan diambil tindakan," katanya mengulas hasrat Shahruddin untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil itu nanti.

Semalam, Shahruddin mengumumkan bahawa beliau akan tetap meneruskan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Shahruddin, 52, berkata matlamatnya adalah untuk menyampaikan hasrat dan visi pembangunan komprehensif di daerah Port Dickson sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat kawasan itu.

Beliau juga sedia keluar PKR dan meletak jawatan sebagai anggota jawatankuasa PKR bahagian sekiranya keputusan itu dikehendaki oleh pengundi di kawasan terbabit.

Saifudin berkata PKR telah membuat pendirian untuk menyokong calon PAS yang bertanding mewakili parti Pakatan pada pilihan raya kecil itu.

"Sekiranya apa yang diwar-warkan itu benar dan calon itu (Shahruddin) ahli PKR, kami tidak teragak-agak mengenakan tindakan mengikut kaedah yang ditetapkan," katanya. -Bernama

Era Najib Altantuya : Gegaran Gemparkan Lembah Klang

Penduduk di Lembah Klang gempar dengan gegaran kira-kira lima minit yang turut dirasakan di beberapa kawasan kira-kira jam 6.15 petang tadi, terutama di bangunan tinggi di Shah Alam, Klang dan Kuala Lumpur.

Penduduk di pangsapuri dan rumah pangsa dilihat bergegas keluar ke kawasan lapang, selepas bangunan kediaman mereka bergoyang beberapa kali.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka berasa pening dan merasakan satu gempa bumi telah berlaku di kawasan berhampiran lalu berlari keluar ke kawasan selamat.

"Saya tengah tidur, isteri kejut saya apabila rasa bergegar, rasa bangunan goyang, rasalah goyang lama jugak, yang ni ada dalam lima minit lenih kurang, kuat..sangat pening," kata Ashraff Nasjarudin.

"Kami rasa bangunan ini bergegar dan bergoyang, jadi kami sekeluarga berlari keluar, ia sangat menakutkan kami dan ini kali kedua ia berlaku di bangunan ini," kata Sarah Baskaran.

"Situasi tadi, saya rasa kepala saya pening, saya ingat pening biasa, rasa betul-betul bergoyang rasa nak tumbang, kuat dan cepat-cepat turun, orang menjerit bila building bergoyang,cepat turun," kata Sivabalan.

"Rasa gegaran, so semua turun…masa tu tengah tidur balik kerja..rasa pening sebab bergoyang kuat," kata Khairol Asfar.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku akibat gegaran itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang dihubungi juga melaporkan tiada sebarang kerosakan bangunan atau tanah runtuh berlaku akibat gempa bumi ini.

Menurut jurucakap bomba Selangor, pihaknya menerima lebh 40 panggilan, terutama dari Petaling Jaya, Damansara dan Kajang sejak jam 6.20 petang tadi, berikutan gegaran itu.

Laporan awal dari Sumatera mengesahkan, satu gempa bumi berukuran 7.9 skala ritcher di kesan di Sumatera Barat, berhampiran Padang, iaitu kira-kira 475 kilometer dari Kuala Lumpur.

Kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 5.15 waktu Sumatera atau 6.15 waktu Malaysia.



Era Najib Altantuya : Kes Kugan Peguam Dan Keluarga Kesal

Hanya seorang anggota polis yang didakwa dalam kes kematian A Kugan iaitu Konstabel Navindran Vivekanadan dan 10 yang lain terselamat dari sebarang pertuduhan.

Navindran bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan Kugan. Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan atau Seksyen 330 kanun yang sama iaitu menyebabkan kecederaan kepada si mati.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan tersebut.

Sebelum ini Peguam Negara, Tan sri Gani Patail memutuskan ada kes untuk pendakwaan berdasarkan kepada penelitian terhadap bukti-bukti yang telah diberikan.

Berdasarkan keterangan yang diambil dari 92 saksi, Navindran dikatakan telah memukul Kugan menggunakan hos getah dan empat hari kemudiannya Kugan menemui ajal.

Peguam dan keluarga Kugan kesal, sekiranya disabitkan kesalahan, anggota polis yang terlibat hanya dikenakan hukuman penjara dan ia tidak setimpal dengan apa yang menimpa Kugan.

"Keluarga sangat kecewa. Hanya seorang yang didakwa. Dan dia didakwa di bawah seksyen 330 dan 331. Kugan mengalami kecederaan parah. Sukar untuk diterima. Hanya seorang yang dipertanggungjawabkan di atas semua kecederaan yang dialami oleh Kugan" ujar Gobind, peguam pemerhati keluarga Kugan.

Gobind yang mewakili keluarga si mati berkata, pihaknya tidak akan membenarkan perkara ini berlalu begitu sahaja. Pembelaan ke atas Kugan akan diteruskan.

"Keluarga Kugan tidak akan berhenti di sini sahaja. Kami inginkan jawapan. Kami ingin tahu adakah ini setimpal dengan kecederaan parah yang terpaksa dilalui oleh Kugan" tambahnya lagi.

Namun bagi ibu Kugan, N. Indra, sukar untuknya mengawal kesedihan mengenangkan nasib anaknya yang tidak terbela.

"Apa mahu cakap? Semua orang tipu. Dia boleh dijamin dengan RM 10,000, saya punya anak? Rugilah saya. Senang-senang dia duduk tadi. Hati orang dia tahu ke? Kalau RM 10, 000 saya pun boleh bagilah. Kenapa dia tak dakwa? Apa ini kerajaan?".

Dalam pada itu, ibu tua itu turut mempertikaikan ketelusan polis dalam menjalankan tugas.

"Apa ini polis? Polis kena jaga orang. Semua barang dicuri, inikah polis? Pertama kali kena tangkap, kena siksa dan mati. Sekarang baru 1 orang. Ini apa? pamerankah? satu orang sahaja. Saya mahu angkat semua orang. Kita tak mahu 331, kita mahu 302" ujar keluarga Kugan.

Kes Kugan akan disebut semula pada 5 November nanti. -TVA



Era Najib Altantuya : 200 Korban Gempabumi Padang Sumatera

Gempa bumi kuat yang berlaku berhampiran bandar Padang di Sumatera semalam sudah meragut 200 nyawa dengan ribuan lagi mangsa tertimbus di bawah runtuhan.

Jurucakap agensi bencana Indonesia, Priyadi Kardono, menyatakan angka korban gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu kini ialah di antara 100 hingga 200 orang.

Kira-kira 500 bangunan kediaman di bandar dengan penduduk seramai 900,000 itu runtuh, memerangkap ribuan mangsa.

Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatana Indonesia, Rustam Pakaya, berkata sehingga pagi ini ribuan orang terperangkap di bawah runtuhan.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, memberitahu sidang media lewat malam tadi bahawa angka korban dijangka meningkat kerana banyak bangunan runtuh.

“Bangunan besar sudah runtuih. Bangunan konkrit semuanya runtuh, hospital, pasar utama runtuh dan terbakar," katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan Kuala Lumpur mempertimbang secara serius kemungkinan memindahkan semua 330 penuntut Malaysia di Padang ke tanah air sehingga keadaan selepas gempa bumi itu pulih.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain, berkata kemungkinannya ialah dengan membawa mereka pulang menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sebaik Lapangan Terbang Minangkabau, Padang dibuka semula.

"Membawa mereka pulang adalah pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan.

“Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, kedutaan besar sudah menghantar pegawai Pejabat Konsul Malaysia di Medan dan Pekan Baru untuk ke Padang dan membuat penilaian keadaan tempat tinggal, bantuan pakaian dan bekalan makanan bagi penuntut itu.

"Jika pasukan penilai ini mencadangkan supaya kita memindahkan pelajar kita, kita akan selaraskan pergerakan dan jadual dengan Wisma Putra," katanya.

Sementara itu, satu bilik gerakan dibuka di Konsul Malaysia di Medan sejak petang semalam, untuk menyelaraskan maklumat mengenai para penuntut di Padang dan melayani pertanyaan ibu bapa melalui talian 00626145531342.

Kebanyakan penuntut Malaysia itu sedang belajar dalam bidang kedoktoran di Universiti Andalas, yang dilaporkan rosak teruk di semua bangunannya termasuk bangunan Fakulti Kedoktorannya, runtuh.

Sehingga malam tadi, mereka berada dalam keadaan selamat walaupun, menurut Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, "Mereka berkumpul dalam keadaan basah ditimpa hujan, tanpa makanan dan minuman."

Setakat pagi tadi, katanya, seorang penuntut tahun dua yang hanya dikenali sebagai Fernisha, mendapat rawatan di Hospital Yodarso kerana kecederaan tulang belakang dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia, yang hanya dikenali sebagai Martaza pula pitam selepas jatuh dari motosikal ketika hendak melawat Fernisha.

Katanya, kedutaan sedang berusaha menyalurkan bantuan yang diperlukan pelajar secepatnya.





-

Era Najib Altantuya : Kenyataan Yusmadi Diputarbelitkan

Ingin saya jelaskan di sini bahawa saya tidak pernah sekali-kali membangkitkan isu jawatan Ketua Menteri digilirkan ikut formula baru,” kata Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mohd Yusmadi Yusof, dalam kenyataan yang dikeluarkan petang semalam.

Menurutnya, beliau dihujani dengan emel dan sistem pesanan ringkas (SMS) daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan parti dan teman-teman penyokong Pakatan yang membaca laporan sebuah akhbar bertajuk “Pemuda PKR mahu jawatan KM digilir ikut formula baru.”

Beliau menjelaskan bahawa hanya memberi pandangan berlatarbelakangkan sambutan hari raya yang antara lain menunjukkan bahawa terdapat penerimaan masyarakat terhadap citra kepimpinan politik baru yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) selepas 8 Mac 2009.

Menurutnya, kunjungan rakyat berbilang kaum ke rumah terbuka anjuran pimpinan PR tidak kira bangsa seperti yang dianjurkan oleh pimpinan PKR, DAP dan Pas menggambarkan bahawa formula kepimpinan yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN)/UMNO yang mengangkat agenda perkauman sudah ditolak.

“Saya cadangkan kenyataan saya dibaca tanpa tajuk dan tafsiran yang diberikan oleh akhbar, tetapi fokus kepada petikan (quotation) yang digunakan lebih menggambarkan kenyataan saya yang sebenar.

“Saya yakin pembaca sekalian mempunyai kematangan untuk membezakan apa yang benar dan apa yang salah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.