2 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Ugutan Bunuh, Teresa Kok Buat Laporan Polis

Lebih setahun selepas kejadian rumah keluarganya di baling bom petrol, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa beliau menerima satu lagi 'ugutan bunuh' semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai ugutan tersebut di balai Pandan Indah hari ini, Teresa berkata, ugutan tersebut dimuatkan ke dalam blognya 'Sassy MP'.

Menurutnya, ugutan tersebut dimuatkan pada jam 10.37 pagi semalam di bawah nama 'Hanturaya'. Meseg itu berbunyi: "Teresa, kau ni patut diajar dengan darah. Terima kasih".

Komen itu, tambahnya, dimuatkan di bawah laporan "A Second DAP members' branch", yang merujuk kepada penubuhan cawangan DAP sewaktu sambutan Hari Raya baru-baru ini.

"Saya juga difahamkan bahawa komen itu dimuatkan melalui alamat IP 120.141.120.96," kata Teresa yang juga exco kerajaan Selangor dan ADUN Kinrara.

Katanya, beliau perlu membuat laporan polis itu "untuk melindungi diri saya dan keluarga daripada apa juga bentuk ancaman".

"Saya bimbangkan keselamatan kami kerana kami pernah diserang dengan bom petrol oleh pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan saya.

"Saya harap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat segera perkara itu," katanya.

Pada 27 September tahun lalu, rumah keluarganya di Jalan Ipoh di Kuala Lumpur dibaling dengan dua bom petrol pada awal pagi berkenaan.

Teresa, 45, telah dilaporkan berkata ketika itu bahawa ia mungkin ada kaitan dengan penahanannya di bawah ISA pada 12 September kerana didakwa membangkitkan isu-isu mengenai Islam. Dia dibebaskan seminggu kemudiannya.



Tiada ulasan: