2 Dis 2013

[AL-FATIHAH] Bekas Pengarah CID, Datuk Fauzi Shaari Kembali Ke Rahmatullah

Sselayang: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari, 63, meninggal dunia jam 8.17 malam ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Jenazah allahyarham dibawa balik ke rumah No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.

Dilahirkan pada 25 September 1950, di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau, Perak, bapanya Shaari Musa turut terlibat menubuhkan Persatuan Ulama Malaya pada 23 Ogos 1951 bersama Ustaz Ahmad Fuad Hassan dan lain-lain.

Beliau menyertai PDRM pada April 1975. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Diploma Sekolah Staf Komando Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Sesko ABRI) serta Diploma Sains Kepolisan.

Ketika menjawat Ketua Polis Dang Wangi, beliau gigih membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur walaupun mendapat bantahan kerana tindakan didakwa boleh menjejaskan aktiviti pelancongan.

Ketika itu banyak aktiviti maksiat di Sun Komplek, Wisma Bond dan beberapa tempat di daerah Dang Wangi.

Selepas menjadi Ketua Polis Selangor, beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Allahyarham menyertai PAS pada 20 Mei 2012 dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu majlis di Lumut, Perak.

Beliau bertanding mewakili PAS di kawasan Parlimen Larut pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu tetapi tewas kepada calon BN.

Mengulas kekalahannya dalam pilihan raya, beliau dilaporkan berkata: “Kita hanya kalah dalam pertandingan, namun tetap menang dalam setiap perjuangan yang kita lakukan sebelum ini.”

Pada 2005, Allahyarham menerima anugerah 'Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP)' daripada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail di Istana Negara. -HD

Datuk Fauzi Shaari meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Shaari meninggal dunia akibat jangkitan pada hati dan buah pinggang di Hospital Selayang di sini, malam ini.

Mohd Fauzi, 63, yang dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lepas, meninggal dunia pada pukul 8.17 malam di Unit Rawatan Rapi hospital berkennaan, menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebooknya.

Jenazah Mohd Fauzi akan dibawa ke rumahnya di No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor dan akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.

Allahyarham yang berasal dari Larut Matang, Perak meninggalkan isteri Datin Fauziah Ngah Nordin serta empat anak lelaki.

Mohd Fauzi menyertai PDRM pada 30 April 1975 sebelum dilantik menjadi Ketua Polis Selangor pada 2003 dan kemudian dilantik sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman pada 2005, sebelum bersara setahun selepas itu. - Bernama

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mudah2an beliau ditempatkan bersama2 para syuhada ..

cdinkb berkata...

Al-Fatihah.Doakan semoga rohnya ditempatkan bersama para solehin dan mendapat rahmat Illahi.Amin.

Balai 15 berkata...

Al-Fatehah.........Saya kenal semasa bertugas di Shah Alam. Beliau seorang yang mudah mesra, rendah diri, tegas.....saya sedih dengan pemergiannya, namun Allah lebih sayangkannya. Moga allahyarham ditempatkan bersama para syuhadak dan anbiak, amin.

Tanpa Nama berkata...

Al Fatihah, semoga Allah menerima taubat dan syukur beliau kembali ke landasan Islam dan dijempat Allah ketika berusaha kearah menegak dualah Islamiah.
AL FATIHAH