28 Nov 2013

BERS✔H 2.0 Tuntut SPR Hentikan Segera Persempadanan Semula


Bersih 2.0 menuntut dihentikan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga masalah berkaitan dengannya diselesaikan.

"Bersih 2.0 sekeras-kerasnya dengan ini, sekali lagi menggesa supaya persempadanan semula yang sedang berlangsung kini dihentikan serta merta sehingga senarai pengundi dibersihkan, dan SPR yang baru perlu dilantik dengan penglibatan langsung masyarakat sivil.

"Kenyataan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ini melengkapkan lagi episod panjang kecurangan dan salah laku yang terpalit ke atas SPR selama ini.

"Walau demikian, kami percaya kecurangan ini boleh dihentikan. Namun ia perlu dilakukan sekarang," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 itu.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Bersih mengecam kenyataan umum yang dikeluarkan oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkaitan keahliannya dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut laporan media, beliau telah mengakui bahawa sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan Setiausaha dan Pengerusi SPR, tiga persempadanan semula telah dijalankan untuk “mengekalkan kuasa Melayu.”

Beliau turut mengeluarkan kenyataan yang berbunyi, “Kami lakukan secara sah dan teliti. Mereka yang kalah semasa pilihan raya umum lalu mendakwa kami melakukan kesalahan. Jika betul, mengapa Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?"

Bagi Bersih, kenyataan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa penggarisan semula sempadan pilihan raya berdasarkan kaum tersebut dilakukan dengan “cara yang sah” dan “teliti” ternyata satu kenyataan tidak jujur.

Di bawah Jadual Ketiga Belas dalam Perlembagaan Persekutuan, salah satu prinsip yang harus diikuti dan dipatuhi dalam amalan persempadanan atau penggarisan semula ini.

Ia termasuklah, “bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran perwajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya.”

Bersih 2.0 katanya, kenyataan itu tidak menafikan bahawa peruntukan perwajaran di daerah desa sering ditafsirkan sebagai menyebelahi Melayu, namun gambaran sebenar adalah jauh lebih kompleks.

"Kami suka untuk mendedahkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, selain tidak beretika dan menyalahi semangat Perlembagaan adalah tidak tepat dan tidak sejajar dengan fakta dan angka sebenar," kata kenyataan itu.

Kerusi DUN terbesar di Selangor dan Perak adalah kerusi majoriti Melayu; misalnya kerusi DUN Seri Serdang (majoriti Melayu) yang pernah menjadi kerusi BN dahulu adalah dua kali ganda lebih besar berbanding kerusi Kinrara (majoriti CIna) yang dimenangi oleh Pakatan.

"Dengan meletakkan hanya seorang ADUN untuk berkhidmat kepada 72,729 pengundi berdaftar di Seri Serdang, serta puluhan ribu lagi penduduk yang bukan pengundi, apakah kebaikan yang diterima oleh pengundi Melayu di sana?" soal kenyataan itu.

"Dengan rekod lampau yang ditunjukkan oleh SPR lalu, Bersih 2.0 tidak mempunyai keyakinan ke atas barisan SPR hari ini dalam menjalankan tugas mereka secara adil, bebas, dan beretika," katanya kenyataan itu.

Testimoni yang dikumpul ketika Tribunal Rakyat pada September 2013 lalu pernah mendedahkan kewujudan ahli-ahli parti politik yang aktif menjadi petugas SPR ketika Pilihan Raya Umum ke-13(PRU13) lepas.

Sebelumnya, timbul dakwaan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR juga mempunyai keahlian dalam Umno.

Keengganan SPR membersihkan senarai undi walau sudah dibuktikan sebagai bermasalah kini boleh difahami sebab-musababnya, katanya.

Penemuan kes-kes penyelewengan dan pelanggaran peraturan pilihan raya pada PRU13 oleh Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau), ditambah dengan keengganan SPR untuk bertanggungjawab dalam kes dakwat kekal; memuktamadkan segala dakwaan. –TMI


SPR nafi sempadan semula bagi pertahan kuasa Melayu


Proses persempadanan semula yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lama lagi, tidak akan dilakukan dengan tujuan untuk mempertahankan kuasa politik Melayu, kata Pengerusi SPR, Abdul Aziz Abdul Yusuf.

Sebaliknya, kata beliau, proses itu akan mengikuti prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"SPR tidak menjadikan mempertahankan kuasa Melayu sebagai prinsip untuk membuat proses persempadanan," katanya dalam mesej teks SMS kepada Malaysiakini.

Abdul Aziz menegaskan bahawa SPR dipandu mengikut jadual 13 Perlembagaan Persekutuan - Perkara 113, fasal 2, 3, 3A, 6, 7, 8, 9 dan 10, serta Perkara 116 dan 117 serta Bahagian 1 dan 11 Jadual 13.

Bahagian-bahagian Perlembagaan Persekutuan itu antara lain menyatakan bahawa sempadan pilihan raya mesti mengambil kira persekitaran dan jumlah pengundi tempatan.

"SPR memberi pertimbangan tentang jumlah pengundi, keluasan, kemudahan pentadbiran daerah dan kerajaan tempatan, kemudahan perhubungan, kesenangan masyarakat sama ada bandar, separuh bandar atau luar bandar.

"Seberapa boleh menggambarkan komposisi penduduk Malaysia," katanya lagi.

Abdul Aziz menyatakan demikian sebagai menjawab persoalan mengenai sama ada proses persempadan semula itu nanti, akan dilaksanakan berikut prinsip-prinsip seperti yang dilakukan sebelum ini.
-mk


2 ulasan:

Awanama berkata...

Dah nak bersara pun masih nak kelentong rakyat. Hentikanlah beb, lu tak lama lagi akn disarakan dari kerajaan allah s.w.t dan apabila dah tiba masanya lu nak balik semula ke dunia dah tak boleh biarpun lu minta berbillion kali dengan allah s.w.t.

Kelentong 1 juta kali pun, rakyat yg selalu guna otak utk berfikir tidak akn tertipu dgn lu punya kelentong. Tapi spesis yg bernama umat melayu sp shj yg mudah tertipu dengan lu punya kelentong sebab diaorg selalu guna lutut utk berfikir.

Amuraria berkata...

MACAI PANDI KUTTY TERUS KERJA DAJJAL TANPA PEDULI ! ABU !