16 Jul 2013

Awas Pembohongan Muhyiddin, Rumah Percuma Umpan Politik - Azan


Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, pengumuman rumah percuma kepada pendudu Kuala Besut sempena pilihan raya kecil adalah umpan politik.

Beliau yang juga Adun Bandar menasihatkan pengundi berhati-hati dengan pengumuman 72 ‘rumah percuma’ di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut.

“Skrip ini persis dengan apa yang menimpa penduduk di Kuala Terengganu beberapa tahun lalu. Tanah mereka diambil kerajaan atas nama pembangunan,” kata Azan kepada Keadilandaily.

Kampung Ladang diambil kerajaan Terengganu untuk memberi laluan kepada pembangunan bersepadu KTCC (Kuala Terengganu City Centre) yang tertumpu di kawasan pesisir air, bermula dari Seberang Takir hingga Batu Burok.

Penduduk hanya mendapat pampasan berjumlah sekitar RM6,000 dan ditempatkan semula di Flat 18 tingkat Ladang Gemilang di tapak sama.

Mereka dijanjikan sewa beli sebanyak RM126 sebulan, namun kini menjadi sewa sahaja dan dinaikkan sebanyak RM300 sebulan.

“Penduduk Kuala Terengganu dijanji akan mendapat flet dengan cara sewa beli. Namun akhirnya, penduduk ditipu apabila flet itu sebenarnya hanya sewa, bukan sewa beli.

“Wang pampasan diberi kepada penduduk tak setimpal dengan nilai sebenar tanah mereka,” katanya. -KD


BN Tabur Janji Rumah Percuma Untuk ‘Umpan’ Rakyat Miskin


Medan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut kini menjadi pentas pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) menabur ‘janji-janji manis’ bagi mengumpan rakyat miskin terus bersama parti itu.

Ini kerana, pada hari kedua kempennya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan kepada 72 keluarga miskin bakal mendapat ‘durian runtuh’ jika rakyat memilih BN pada 24 Julai ini.

Malah, majlis peletakan batu asas dan pecah tanah projek pembinaan 72 unit pangsapuri tersebut telah diadakan di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut pada 13 Julai lalu.

Muhyiddin menganggap pembinaan pangsapuri tersebut oleh kerajaan negeri sebagai durian runtuh kepada rakyat, apabila memetik ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said sebelum itu, yang menyatakan pangsapuri itu “mungkin diberi percuma”, kerana mangsa tidak berkemampuan untuk memiliki dan membayarnya.

Pangsapuri tersebut dijanjikan kepada 46 keluarga mangsa air pasang dan ombak besar di penempatan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkatan Atap, Kuala Besut dan selebihnya kepada penduduk miskin yang lain.

Projek pangsapuri berkeluasan 720 kaki persegi itu mempunyai kemudahan tiga bilik dibina atas tanah kerajaan yang ‘dirampas’ kembali dari rakyat dengan kos lebih RM10.35 juta.

MB Terengganu, Ahmad Said berkata pangsapuri tersebut akan diberi percuma kepada 46 keluarga mangsa air pasang besar dan bakinya akan diagihkan kepada penduduk miskin lain.

“Dulu jarak air pasang besar kira-kira 50 meter dari penempatan mereka, tetapi sekarang ini jika berlaku air pasang besar terutama musim tengkujuh, ia hampir ke bumbung rumah dan ini membahayakan keselamatan penghuninya.

“Kerajaan negeri meluluskan pembinaan dan pemberian rumah itu secara percuma kerana prihatin dengan nasib penduduk di Pengkalan Atap,” ujar Ahmad.

Isu sejarah rampasan tanah rakyat di Tok Saboh berlaku apabila kerajaan Umno-BN Terengganu yang kembali berkuasa pada tahun 2004, bertindak ‘merampas’ tanah-tanah Lesen Menduduki Sementara (LMS) pemberian kerajaan PAS Terengganu.

Ketika itu, kerajaan negeri diterajui oleh mantan MB Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh yang kini Ketua Umno Bahagian Besut dan Menteri Pendidikan (II) Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesemua tanah-tanah yang pernah diagihkan semasa kerajaan PAS Terengganu (1999-2004) kepada rakyat di negeri ini dibatalkan serta dirampas kembali oleh kerajaan BN Terengganu.

Pemimpin Umno-BN cuba memadamkan jasa baik bekas kerajaan PAS Terengganu yang berjaya menyediakan lebih 60,000 lot tanah kepada rakyat sepanjang satu penggal pemerintahannya.

Pada 4 Oktober 2012, operasi terakhir melibatkan beberapa rumah rakyat diroboh pihak berkuasa tempatan yang dibina di atas penempatan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tok Saboh.

Tinjauan Harakah ketika itu mendapati sejumlah lima buah rumah rakyat yang telah siap termasuk masih dalam pembinaan diroboh oleh pihak berkuasa tempatan.

Pemilik rumah terbabit melahirkan rasa dukacita, sedih dan kecewa dengan tindakan pihak berkuasa atas arahan kerajaan BN Terengganu.

Encik Rosli Jaafar, 50, merupakan salah seorang mangsa rumahnya dirobohkan pihak kerajaan negeri tanpa pampasan.

“Saya rasa sangat dukacita, kecewa, sedih dan keliru dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Pejabat Tanah Besut dan agensi terlibat.

“Tanah lot (RTB Tok Saboh) ini, saya dapat semasa zaman kerajaan PAS memerintah Terengganu lagi. Bila ‘bunyi’ (ura-ura) kerajaan nok ambil balik tanah, saya pergi jumpa wakil rakyat Umno ketika itu, Dr A.Rahman Mokhtar (Allahyarham) yang juga Exco Kerajaan Negeri.

“Dia (A.Rahman) suruh saya pergi pejabat (Pejabat Tanah Besut) dan bincang. Pada bulan Mac 2012, saya diberi kebenaran bayar lesen Jadual I. Selepas itu, bulan Mei tahun yang sama dia (Pejabat Tanah) datang dan ukur keluasan tanah tapak rumah kami.

“Tiba-tiba, pada 4 Oktober 2012 tahun lalu. Kami anak beranak tidak ada di rumah kerana keluar bekerja, mereka (kerajaan) datang roboh semua rumah yang telah kami duduk sejak enam tahun lalu,” jelasnya.

Beliau melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian tersebut kerana sebelum ini diberi kebenaran membayar Jadual I pada bulan Mac 2012 serta melakukan kerja-kerja mengukur tanah bagi lot PT.1359 berkenaan.

Katanya, tanah lot PT.1359 tersebut diperolehi pada 15 Oktober 2003 ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu satu penggal dari tahun 1999 hingga 2004.

Menurutnya, keluasan rumah yang dirobohkan itu bersaiz 35 x 40 kaki persegi yang siap dibina pada tahun 2005 lagi.

Rosli dan keluarganya merupakan anak jati tempatan yang bekerja sendiri mempunyai seorang isteri Puan Faridah Daud serta tujuh orang anak dan lima daripadanya masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.

Beliau mengakui pernah menerima notis roboh dari pihak berkuasa dan masalah tersebut diajukan kepada Allahyarham, Dato’ Dr Abdul Rahman Mokhtar, tahun lalu.

Menurutnya, jawapan yang diberikan oleh wakil rakyat berkenaan amat mendukacitakan sekadar menyebut “nasiblah”.

Seorang warga emas, Ahmad Awang, 65, pula mendakwa tidak pernah menerima sebarang notis dari kerajaan agar rumah bersaiz 14 x 20 kaki persegi yang masih dalam pembinaan tersebut dirobohkan.

“Ambo (saya) fahamlah selepas PAS kalah (2004) dan kerajaan Umno berkuasa semula, semua tanah rakyat zaman kerajaan PAS ‘dirampas’ semula oleh kerajaan (BN).

“Zalim lagu (cara) ini. Kita (rakyat) tidak ambil hak orang, ada sikit (duit) buat sikit. Kita (rakyat) orang susah tanah lain tidak ada doh…. Ini pun kerajaan roboh, macam mana kata rakyat diutamakan”, jelas ketika menunjukkan lokasi rumahnya yang diroboh itu.

Seorang Ibu Tunggal, Puan Kalsom Abdullah, 60, tidak dapat menahan kesedihannya apabila rumah masih dalam pembinaan siap 70 peratus dirobohkan begitu sahaja.

Beliau mempunyai tujuh orang anak dengan bekerja mengambil upah menyiang ikan menangis sebaik sahaja diberitahu oleh penduduk yang melihat kejadian rumahnya dirobohkan pihak berkuasa.

“Saya orang susah, suami tidak ada…anak ramai, tujuh orang (anak). Saya cari rezeki (kerja) ambil upah siang ikan. Kumpul duit sikit-sikit, baiki (buat) rumah untuk sudah (siap).

“Saya sangat sedih dan tidak tahu hendak kata apa lagi. Harap Tuhan (Allah swt) balas, ganti dengan kerajaan lain,” ujarnya.

Sementara itu, kesedihan dan kepiluan mangsa-mangsa perobohan rumah di RTB Tok Saboh itu turut dikongsi bersama dengan Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Katanya, sudah tiba masa rakyat dan pengundi yang menjadi ‘tuan’ kepada mana-mana kerajaan yang dipilih membuat perubahan.

Menurutnya, kerajaan Umno-BN wajar ditukarganti dengan kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil, 24 Julai ini.

“Umno sudah tidak boleh diharap lagi, sudah tiba masa rakyat dan pengundi di Dun Kuala Besut kena tukar kerajaan (BN). Inilah peluang terbaik untuk rakyat di Kuala Besut.

“Rakyat (pengundi) adalah ‘tuan’ dan gunakan kuasa kita dengan baik dan bijaksana. Kita (rakyat) kena ganti BN dengan Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Kata Ustaz Wan Azhar, tanah rakyat satu lot dirampas dan diroboh rumah mereka sedangkan wakil rakyat Umno-BN Terengganu termasuk di Besut ini senang-lenang mendapat tanah.

Dimaklumkan, ketika kerajaan PAS Terengganu memerintah (1999-2004) sejumlah 88 lot disediakan bagi RTB Tok Saboh serta diagihkan kepada rakyat di kawasan tersebut.
-BO

3 ulasan:

hairan berkata...

biarlah kasi orang ganu syok sekejap... hehehe

Awanama berkata...

Yiddin ka Che Id ka, kalu nak buat janji panas janji politik jeling jeling hujong ekor tu.
Nak bekukok deras kelih ekor getek. Kaku ujong ekor bejeluas tahik toksah bekukok la, rakyat koho bechi.

Mari kelih hok pemimpin OMNO bekukok projek putrajaya:-
Penghuni Flet Taman Permata : Sudah 15 Tahun Janji Umno-BN Tidak Ditepati

Dengkil : Sudahlah tempat tinggal mereka diambil untuk membangunkan Putrajaya, rumah ganti yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan Umno-BN ketika itu hanya tinggal janji dan rumah sementara pula tidak selamat didiami.

Ni hok terang terang tanah mereka diambil.
Orang Kuala Besut kih tok wokey mati ja, bukang kih tanah kena amek, tiba tiba pemimpin OMNO mari bejanji becakap sedap, KOHONG BELAKE.

Bekukok hok ritu dok selesai, mari bekukok pulok, wakpe rakyat bodo?

Awanama berkata...

Pilihlah pemimpin yang beragama Islam Insyaallah kebajikanmu akan dijaga. Tapi pilih pemimpin beragama Melayu maka sampai bila - bila pun kebajikanmu akan diabaikan sebab agama Melayu menghalalkan apa yang diharamkan oleh agama Islam.